Thursday, November 9, 2017

Gempar: Bekas Duta ahli PAS sertai DAP

Bekas Duta sertai DAP kerana prestasi cemerlang di P. Pinang
Pada 8 November 2017
Oleh Fatih Hassan Nordin dan Hafiz Zainuddin
Entah orang Melayu mana pula yang terlalu berminat dan berani untuk menyertai DAP dalam saat-saat genting pihak UMNO memomokkan parti itu sebagai kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.

Setiap hari laskar siber UMNO meniupkan api kebencian dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap DAP, malah sikap sebegini juga tidak terlepas hatta daripada golongan cerdik pandai agama.

Seorang mufti pada satu ketika pernah mengelar DAP sebagai kafir harbi (yang darahnya halal dibunuh) kerana kononnya menentang hukum Islam tanpa mengambil kira ahlinya yang juga terdiri daripada golongan Melayu-Islam.

Justeru pelbagai persoalan bermain di fikiran; tidak takutkah orang ini dilemparkan dengan tuduhan kafir dan dilaknat sepanjang hayatnya hanya kerana menyertai sebuah parti yang memperjuangkan nasib semua kaum dan mengangkat tinggi nilai Rukun Negara?

“Nak dikatakan (kerajaan negeri Pulau Pinang) anti Melayu? Itu Jabatan Islam (negeri) dia bagi RM14 juta setahun,” tegas bekas Duta Besar Malaysia, Datuk Yeop Adlan Che Rose, 74 ketika ditanya apa yang menarik minat beliau untuk menyertai DAP.

Beliau turut menyifatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP bersama rakan-rakan komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai satu-satunya kerajaan negeri yang bersih, cekap dan amanah.

Malah ia adalah sebab utama yang menarik minat beliau untuk menyertai DAP selepas pernah menyertai PAS sebagai AJK Lajnah Antarabangsa sebelum dipinjamkan ke PKR dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin sewaktu rombakan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR pada April 2009.

“Pulau Pinang 50 tahun dipegang oleh Barisan Nasional (BN), apa dia buat? Tak ada perancangan, kelam kabut, sesak, begitu begini dan sebagainya. Terutamanya tempat makan, dengan tikusnya, kotor, masyhur sebagai bau sampah.

“Tetapi (DAP) ambil dua penggal sahaja. Tengok, sudah bersih. Kerajaan yang waras dengan perbelanjaan. Tutup bocor (pembaziran), tak ada tiris. (Pelaksanaan) tender terbuka. Dia (kerajaan) belanja, tapi dengan baik.

“Hutang dah turun, daripada RM680 juta tinggal RM66 juta sahaja. Yang paling tinggi sekali (hutang) Pahang (iaitu) RM2.3 bilion,” ujarnya.

Malah, katanya lagi, kemajuan orang Melayu dari segi ekonomi hanya akan dapat dicapai dalam sebuah negara yang ditadbir seperti mana yang dilakukan HARAPAN di Pulau Pinang.
“Kalau dah masuk dalam akaun sendiri (peribadi) sampai RM2.6 bilion macam mana ni? Ini dah rekod dunia!”

Apa salahnya DAP terkedepan?

Bagi Yeop Adlan, orang Melayu tidak perlu bimbang dengan pembabitan DAP dalam HARAPAN kerana gabungan itu juga turut disertai parti-parti majoriti Melayu seperti PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Malah, menurut beliau, tidak ada salahnya bagi DAP untuk mengepalai HARAPAN jika parti itu menunjukkan kebolehannya dalam memimpin.

“Dikatakan DAP di bawah Cina, tetapi kalau beri (parti itu) menerajui dan dia menunjukkan kebolehan, apa salahnya? Apa kita takut?

“Macam pasukan bola. Kalau dulu pasukan bola Malaysia masyhur. Siapa kapten (pasukan)? Soh Chin Aun, tak ada apa-apa (masalah), Abdullah Nordin boleh bermain di sebelah beliau, (Datuk) Santokh Singh boleh bermain di belakang beliau,” ujarnya.

Rasuah

Gejala rasuah, bagi Datuk Yeop, adalah perkara utama yang harus diberikan perhatian dan dibendung secara komprehensif oleh kerajaan bagi memastikan pentadbiran negara sentiasa bersih dan kemakmuran dapat dinikmati oleh rakyat.
“apa yang diperjuangkan kini adalah masa depan Malaysia, ekonomi Malaysia untuk orang Muda

Bagaimanapun, pihak berkuasa di Malaysia, seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) katanya gagal menjalankan tanggungjawabnya apabila sehingga kini tidak menyiasat wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri.

“Kalau dah masuk dalam akaun sendiri (peribadi) sampai RM2.6 bilion macam mana ni? Ini dah rekod dunia!” tegasnya sambil menyifatkan siri tangkapan berprofil tinggi yang dilakukan SPRM sejak akhir-akhir ini sebagai hanya “wayang kulit” semata-mata.

Beliau memberi contoh Indonesia di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Singapura hasil kepimpinan mendiang Lee Kuan Yew yang menurut lebih serius dalam menangani budaya rasuah.

Malah, katanya, rakyat akan bangkit melawan pemerintah yang rasuah sekiranya kesan daripada gejala itu benar-benar dapat dirasaikan oleh orang ramai melalui peningkatan kos sara hidup dan sebagainya.

Anak muda

Ketika ditanya mengenai segelintir orang muda yang agak skeptikal dengan politik dan cenderung untuk tidak mengundi, beliau menasihatkan mereka bahawa “apa yang diperjuangkan kini adalah masa depan Malaysia, ekonomi Malaysia untuk orang Muda”.

Malah, orang muda katanya harus mengambil sikap yang lebih prihatin terhadap masa depan mereka.

“Mereka anak muda harus menggunakan alat (kebolehan) yang ada pada mereka untuk mengubahkan sesuatu.

“Jangan complain (merungut), jangan mengumpat, jangan nak marah, tak guna kalau tak gunakan alat yang ada untuk mengubah,” ujarnya.

1 comment:

  1. Bukan ka kelantan serambi mekah dipimpin para2 lebai negeri terbersih ikut sunnah rasul?

    ReplyDelete