Wednesday, November 8, 2017

DAP perintah Malaysia selepas PRU 14: Perkiraan oleh yang mempunyai ‘sel-sel otak yang tidak bersambung’

DAP akan perintah Malaysia selepas PRU 14?
KANUN  -  November 8, 2017 3:47 pm

Baru-baru ini pada 5/11/2017, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak menyatakan dalam ucapannya di hadapan perwakilan MCA bahawa DAP tidak akan dapat memerintah Malaysia kerana kerusi yang DAP bertanding tidak akan memungkinkan DAP mendapat sokongan majoriti di dalam Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang sama pernah berucap di hadapan audien Melayu pada 22/8/2017 bahawa orang Melayu haruslah sedar bahawa DAP akan menjadi ‘puak dominan’ sekiranya Barisan Nasional kalah dan Pakatan Harapan yang memerintah.

Beberapa hari lepas tular dalam aplikasi whatsapp bahawa DAP akan memerintah Malaysia melalui proksi mereka kerana mereka percaya jika Pakatan Harapan memerintah maka kerusi yang dimenangi oleh wakil rakyat DAP yang bukan Islam akan bertambah daripada 34 kerusi kepada 60 kerusi.

Ramalan seperti ini langsung tidak mempunyai asas dan data dan hanya berlegar kepada perkiraan oleh mereka yang mempunyai ‘sel-sel otak yang tidak bersambung’.
Maka ditakut-takutkan ketika itu Malaysia akan diperintah oleh kerajaan PH yang bermajoritikan wakil rakyat DAP yang bukan islam.

Fahamilah bahawa kesemua yang dinyatakan di atas adalah tindakan dan ucapan untuk menyukat reaksi emosi pengundi semata-mata. DAP hanya menjadi ‘kambing hitam’ sahaja.

AMANAH yang menjadi komponen Pakatan Harapan juga terpalit dengan serangan emosi itu. AMANAH dituduh sebagai ‘macai’ atau ‘kuda tunggangan’ DAP. AMANAH diserang sebagai kelompok yang senantiasa mempertahankan DAP.

Ironinya, tuduhan yang sama pernah dilemparkan ke atas PAS. Kini PAS tidak kira siang dan malam menyerang DAP sebagai musuh Islam.

Hakikatnya manusia lebih suka menggunakan hati yang penuh emosi daripada menggunakan fikiran yang waras. Mereka lebih suka menakut-nakutkan orang ramai dengan mitos dan kepercayaan karut (superstition) daripada mengkaji secara saintifik.

Frank A. Swettenham dalam bukunya Malay Sketches (1895) telah menulis satu bab khusus mengenai kepercayaan karut (superstition) ini. Katanya, kepercayaan karut ini sudah berakar umbi dalam masyarakat Melayu di Perak pada waktu itu dan mungkin berasal daripada fahaman Brahmanisme yang diolah daripada kepercayaan menyembah roh (spiritual worship).

Beliau merekodkan pengalamannya sendiri apabila beliau telah kehilangan barang-barang akibat dicuri. Lantas, ada beberapa orang Melayu pada waktu itu yang merujuknya kepada pawang yang kononnya dapat melihat siapakah pencuri itu.

Pawang itu telah memasukkan kertas yang mengandungi beberapa tulisan dalam mangkuk air dan dikatakan jika beliau melihatnya dengan pandangan yang tajam maka akan dapat melihat pencuri itu.

Malang sekali, apabila ritual itu dibuat langsung nama atau wajah pencuri itu tidak kelihatan. Setelah itu, pawang itu menghilangkan diri kerana malu dengannya.

Menariknya, Frank A. Swettenham merekodkan bahawa ketika beliau berbual dengan Sultan Perak mengenai amalan kepercayaan karut ini, tiba-tiba guru agama Sultan Perak pada waktu itu yang bernama Haji Wan Muhammad Abu Hassan telah masuk ke dalam tempat beliau duduk bersama Sultan Perak itu. Haji Wan Muhammad turut mendengar perbualannya dengan Sultan Perak.

Keesokan harinya, beliau menerima sepucuk surat daripada Haji Wan Muhammad. Surat itu dimulai dengan ucapan puji-pujian kepada Tuhan yang memberikan segala kebaikan dan punca segala rahmat kepada hambaNya.

Selanjutnya ditulis, “Bahawa keseluruhan alam ini di tangan Tuhan (Allah) yang Maha Berkuasa. Beliau akan memberikan kelimpahan rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya. Agama yang benar adalah agama Tuhan ini dan syurga adalah balasan kepada orang yang paling bertaqwa. Selamat dan sejahtera kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk ini dan hanya orang itu yang akan memperolehi akibat yang baik. Tiada Raja yang boleh mendatangkan kebaikan dan tiada siapa yang lebih berkuasa daripada Tuhan (Allah) yang Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa”.

Setelah itu, Haji Wan Muhammad bertanyakan, “Saya ingin mengajukan pertanyaan kepada Tuan Residen mengenai amalan ‘ber-hantu’ yang boleh membuatkan seorang itu gila dan hilang pertimbangan akalnya kerana amalan itu menjadi amalan dan budaya raja serta para ketua di negeri Perak.

“Adakah perkara itu dibenarkan dalam agama kamu kerana ianya adalah sangat berdosa di sisi agama Muhammad saw kerana amalan itu akan menghilangkan kewarasan akal dan menggalakkan pembaziran.

“Ada hidangan makanan yang dihanyutkan ke sungai dan ada yang dibuang ke dalam hutan. Saya sangat berhajat untuk mengetahui adakah amalan sedemikian dibenarkan dalam agama kamu.

“Saya mendapati amalan sebegitu amat menyusahkan rakyat dan orang miskin. Ketua kampung akan membuat kutipan hasil daripada orang kampung untuk menyediakan makanan yang banyak, menyembelih kerbau dan ternakan yang lain dan seterusnya membuang makanan itu seperti yang dinyatakan di atas (seperti dibuat ‘anchak’ untuk persembahan kepada hantu jembalang).

“Mengikut ajaran Muhammad saw, amalan sedemikian adalah diharamkan kerana membawa kepada kebinasaan. Saya memohon maaf sekiranya pertanyaan ini membawa kepada kemarahan kamu kerana saya tidak memahami adat istiadat kamu.”

Kini kepercayaan karut telah dipermodenkan. Jika dahulu masyarakat Melayu percaya kepada semangat hantu dan jembalang, kini masyarakat Melayu dimomok-momokkan dengan kepercayaan bahawa Malaysia akan musnah jika DAP memerintah.

Habis segala pertimbangan akal yang waras apabila masyarakat Melayu diterjah dengan pandangan sedemikian. Malang sekali, bukan setakat masyarakat bawahan yang percaya momokan tersebut bahkan ianya turut dikongsi dengan masyarakat Melayu elit.

Nampaknya psikologi orang Melayu pada masa kini tidak berubah dengan keadaan psikologi orang Melayu di zaman Frank A. Swettenham pada tahun 1895.

Orang Melayu tidak kira golongan elit atau miskin akan mudah terpengaruh dengan cerita-cerita karut-marut yang berasaskan kepada emosi semata-mata.

Ini menjadikan orang Melayu lebih mudah ditipu orang orang yang mengambil kesempatan di atas kelemahan ini. Maka, orang Melayu yang miskin akan lebih miskin kerana membenarkan diri mereka diperkotak-katikkan oleh orang-orang Melayu yang menjadi pemimpin mereka.

Bertambah malang kerana ada segolongan agamawan atau ‘lebai agama’ yang berjubah dan berserban yang turut sama terpengaruh dengan permainan emosi ini. Diwar-warkan bahawa DAP itu musuh Islam yang wajib diperangi. Dikatakan DAP itu suka membuat pesta arak dan menerima akibatnya apabila Pulau Pinang ditimpa bencana tanah runtuh dan banjir besar.

Inilah lebai pemusnah agama. Bandingkan sifat lebai pemusnah agama ini dengan karekter Hj Muhammad Abu Hassan sebagai guru agama Sultan Perak pada waktu itu. Jauh sekali akidah dan kepercayaan Hj Muhammad Abu Hassan dengan karekter lebai agama yang pura-pura alim dan menunggang atas nama agama ini.

Parti Amanah Negara ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan yang telah dipelopori oleh Haji Muhammad Abu Hassan ini dengan mengembalikan rakyat dan orang Melayu kepada akidah Islam yang sebenar.

Islam yang sebenar tidak meminggirkan akal yang waras. Akal yang waras menyatakan bahawa semua pembangkang harus bersatu untuk menjatuhkan Barisan Nasional tetapi ada sekelompok agamawan yang lebih suka percaya kepada kuasa supernatural atau mukjizat ketuhanan untuk menjatuhkan Barisan Nasional.

Ahli-ahlinya telah diseru supaya redha untuk menerima kekalahan dalam pilihan raya kelak seolah-olah mereka sendiri sudah menjangka akan menerima kekalahan.

Ahli-ahlinya pula dijanjikan dengan syurga yang terbentang luas meskipun kekalahan yang mereka terima. Pada mereka inilah kekalahan yang berprinsip. Alangkah jauhnya pola pemikiran seperti ini daripada Islam yang sebenar!

Kita perlu menyuburkan bumi Malaysia dengan seruan dakwah bukan seruan permusuhan. Perjuangan suci ini perlu diperkuatkan. Para agamawan yang menyedari penyelewengan lebai agama ini diajak untuk bersama-sama dalam parti ini bagi memerangi lebai agama yang menunggang agama ini dan membawa Malaysia ke arah negara rahmah dan penuh kebaikan.

No comments:

Post a Comment