Thursday, September 1, 2016

Husam: Sambut kepulangan bagai wira dan Wan Rahim umum 'de facto leader' Kelantan

Kelantan syukur Husam sertai Amanah, sambut kepulangan bagai wira
31 Ogos 2016 | HAZRI NAWAR
Muhamad Hussin berkata kemasukan Husam diharap mampu memberi perubahan

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kelantan melahirkan rasa syukur dengan pengumuman Adun Salor Datuk Husam Musa menyertai parti itu semalam.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Muhamad Hussin berkata, kemasukan Husam diharap mampu memberi perubahan besar kepada perubahan politik di negeri itu.

"Kita yakin dengan kemampuan yang beliau ada pengalaman yang beliau lalui, hasrat Amanah untuk ambil pemerintahan Kelantan sekaligus menghalang daripada dirampas Umno, akan dapat dicapai," katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditemui selepas majlis Makan Malam Ambang Merdeka di Cyberjaya yang menyaksikan Husam mengumumkan menyertai Amanah selepas lebih empat bulan dipecat daripada Pas.

Menurut Muhammad, Amanah negeri sudah membuat perbincangan awal berhubung tugas Husam dalam mencapai hasrat itu termasuk strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Untuk permulaan kepada gelombang ini katanya, kepulangan Husam pada 1 September akan disambut di lapangan terbang sebelum menyertai konvoi ke Pasir Puteh.

"Beliau dijangka rasmi penubuhan 14 cawangan Amanah di Dun Limbongan pada hari sama.

"Satu lagi kita akan buat majlis pengisytiharan besar-besaran 16 September ini di Kelantan dan kemasukan beberapa kumpulan lagi bersama Husam," katanya.

Mengulas lanjut Muhammad berkata kerajaan Pas yang ada hari ini sudah tidak mampu lagi memperjuangkan agenda rakyat Kelantan malah banyak pihak menjangkakan Kelantan akan jatuh kepada Umno ekoran sikap Pas itu.

"Kita nampak Pas di Kelantan sudah sampai masa kita ambil alih kerana pemerintahan sekarang sudah merosakkan Kelantan atas nama Islam.

"Boleh dikatakan sudah syarie dan ada kewajipan untuk ambil alih pemerintahan Kelantan daripada Pas ini," katanya.

Mengulas kemungkinan sama ada jawatan tertentu akan diberikan kepada Husam, Muhammad bagaimanapun berkata itu terpulang kepada perbincangan Amanah Nasional.

Wan Rahim umum Husam 'de facto leader' Amanah Kelantan
31 Ogos 2016 | MALAYSIA DATELINE
Husam Musa dilantik pemimpin 'de facto' Amanah Kelantan.

Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengumumkan Datuk Husam Musa secara automatik menjadi "de facto leader" untuk Amanah negeri Kelantan walaupun secara rasmi beliau akan kekal pada jawatannya sekarang.

Datuk Husam yang mengisytiharkan diri menyertai Amanah di Cyberjaya malam tadi belum ditentukan sebarang jawatan dalam parti barunya.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata satu perbincangan khas akan dibuat oleh jawatankuasa tertinggi parti dan Datuk Husam sendiri mengenai peranannya dalam Amanah.

Di Kelantan, kata Wan Rahim, kepimpinan negeri hanya menunggu beliau buat pengumuman untuk diserahkan kepimpinan kepada beliau.

"Bagaimanapun bagi melicinkan perjalanan parti yang telah kita buat perlatikan melalui kongres tahunan, saya secara 'de jure' akan terus memegang jawatan hingga tamat seperti diperuntukkan perlembagaan parti.

"In sya Allah ambo akan kekal menjawat pengerusi Amanah negeri Kelantan, tapi Datuk Husam akan bertindak selaku de facto leader of Kelantan Amanah ," katanya dalam status facebook terbarunya petang ini.

Malam tadi Datuk Husam Musa mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Amanah Negara di Cyberjaya.

"Malam ini saya serahkan perjuangan saya bersama tuan-tuan. Semoga saudara sudi terima saya. Isteri, anak, keluarga termasuk ibu mertua dan jentera saya.. saya serahkan untuk perjuangan ini," kata Husam ketika membuat pengumuman di majlis sambutan di ambang merdeka anjuran Amanah.
>

1 comment:

  1. Syabas hussam..
    Kasi lanyak sama geng penyamun balak besarban nanti

    ReplyDelete