Tuesday, September 27, 2016

Kalau kata-kata Husam berfakta jawapan SUP MBlah yang bohong!

Durian Kunyit: Saya berniat jahat atau jawapan balas niat berbohong, soal Husam
26 September 2016 | MALAYSIA DATELINE
Datuk Husam Musa

Selepas dituduh berniat jahat kerana mendedahkan projek penanaman Durian Kunyit di hutan simpan kekal, Adun Amanah Salor, Datuk Husam Musa membuat penjelasan balas dengan mengemukakan bukti-bukti berdokumen untuk menpertahankan dakwaannya.

"Saya mengajak Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya merujuk kepada kembaran yang saya sertakan iaitu surat dari Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengenai kelulusan penanaman DURIAN KUNYIT dan menguruskan tanaman kelapa sawit dalam HSK Ulu Galas dan Batu Papan, bertarikh 20 April 2016," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ali Omar,pemilik Syarikat Gunong Basor Enterprise

Kepala surat Pengarah Perhutanan kepada Syarikat AA Pavilion Mining itu katanya, berbunyi: ‘PERMOHONAN CADANGAN PEMBANGUNAN TANAMAN POKOK DURIAN KUNYIT DALAM KAWASAN PEMBANGUNAN LADANG HUTAN DAN MENGEKALKAN POKOK SAWIT YANG TELAH DITANAM DALAM KAWASAN TEROKA HARAM DI HSK ULU GALAS DAN HSK BATU PAPAN’.

"Jumlah keluasan kawasan yang diluluskan bagi kedua-dua maksud itu adalah 1,697 ha atau bersamaan 4,192 ekar!

"Mungkin SUP terlupa ilmu campur dalam matematik, sehingga kelulusan lain selain 100 ha kepada Gunung Basor tidak diambil kira.

"Angka ini membuktikan saya tidak berbohong, bahkan saya telah meletakkan angka keluasan yang lebih rendah dari yang sebenar.

"Juga membuktikan bukan hanya ada satu kelulusan penanaman durian kunyit dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan!

"Kenapa SUP tidak memasukkan kelulusan ini dalam penjelasan beliau? Niat berbohong?" soal Datuk Husam.

Memang benar katanya, durian disenaraikan sebagai spesis hutan dalam Enakmen Perhutanan.

"Namun, seingat saya, durian tidak disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman Ladang Hutan walaupun ia adalah spesis hutan.

"Ini adalah dua perkara yang berbeza.

"Apa lagi Durian Kunyit," katanya.

Sebab itu kata beliau, sekali pun getah disenaraikan sebagai tanaman Ladang Hutan, tetapi getah untuk susu semata-mata tidak termasuk dalam senarai.

"Getah yang disenaraikan adalah Timber Latex Clon.

"Perkataan "timber" itu sendiri membezakannya dari getah biasa," katanya.

Menurutnya, Durian Kunyit adalah spesis klon yang mempunyai batang yang kecil.

"Penanamannya bertujuan mendapatkan buahnya dan bukan batangnya sebagai kayu.

"Sedangkan jika Ladang Hutan adalah tujuan, keutamaannya adalah untuk penghasilan kayu dan bukan buahnya," katanya.

Ladang durian kunyit katanya, sudah bermakna ladang komersial buah-buahan dalam Hutan Simpan Kekal.

"Bagi tujuan perladangan, sudah pasti semua pokok hutan yang ada akan ditebang.

"Kawasan ini yang asalnya adalah Hutan Simpan Kekal, akan berubah menjadi ladang komersial dalam Hutan Simpan Kekal," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Durian Kunyit dan hutan simpan kekal negeri Kelantan

Saya merujuk kepada penjelasan oleh SUP YAB MB bertarikh 19 September 2016 meliputi isu:

- Kawasan yang diluluskan untuk Durian Kunyit di HSK adalah HANYA 100 ha dan bukan 1,000 ha. Perbezaan 900 ha dari apa yang saya sebutkan dalam ucapan saya pada 16 September lalu di Wisma Tok Guru.

Maka dengan itu saya menyimpang dan berniat jahat.

Durian Kunyit

Saya petik semula penjelasan SUP MB:

“3. ……… semenjak YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, tidak terdapat kelulusan bagi projek ladang TLC atau ladang-ladang yang lain dalam hutan simpan kekal dan hanya meneruskan aktiviti pembalakan biasa sepertimana yang telah diluluskan pada pentadbiran yang lepas.

4. Tuduhan YB Dato’ Haji Husam Musa dengan mengatakan kawasan hutan simpan ditebang dan ditanam dengan tanaman Durian Kunyit sebanyak 1000 hektar juga merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan berniat jahat. Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak 100 hektar sahaja bagi tujuan tersebut dengan dikenakan syarat-syarat yang sangat ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan. Jika dilihat kepada angka ini, ia jelas berbeza dengan dakwaan YB Dato’ Haji Husam Musa iaitu sebanyak 1000 hektar. Perlu dimaklumi bahawa dibawah Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan, durian diklasifikasikan sebagai tumbuhan hutan dan digalakkan untuk dijadikan sebagai spesis pokok bagi tujuan penanaman semula bagi kawasan hutan yang terjejas”.

Jawapan saya:

a. Dalam kenyataan SUP MB, tidak disebut syarikat mana telah diluluskan HANYA 100 ha HSK untuk ditanam dengan Ladang Tanaman Durian Kunyit.

Andaian yang boleh saya buat adalah, ada kemungkinan kelulusan seluas 100 ha yang disebut oleh SUP MB seperti di atas merujuk kepada permohonan Syarikat Gunong Basor Enterprise, berdasarkan surat arahan untuk permohonan syarikat ini untuk diangkat ke mesyuarat JKuasa Kecil Perhutanan dan ‘langkahan selanjutnya pihak tuan’, dari pejabat MB kepada Pengarah Perhutanan bertarikh 31 Mac 2016.

Surat sokongan Pejabat MB itu bermakna hanya LAPAN hari selepas syarikat ini didaftarkan dengan SSM. (Salinan surat Pejabat MB kepada Pengarah Hutan dikembarkan).

Permohonan asal syarikat ini, mengikut surat Pejabat MB itu adalah 404 ha/ 998 ekar, tetapi ada kemungkinan ia hanya diluluskan sebanyak 100 ha/400 ekar sahaja.

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan Negeri selepas surat pejabat MB ini ialah pada 6 April 2016.

Jika syarikat ini mendapat kelulusan berkenaan menerusi mesyuarat pada 6 April itu, bermakna dalam tempoh EMPAT BELAS HARI SAHAJA dari tarikh syarikat ditubuhkan, ia sudah mendapat DURIAN RUNTUH dengan permohonan DURIAN KUNYITNYA!

Hebat!

Syarikat Gunong Basor Enterprise, mengikut carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dimiliki oleh Tuan Ali Omar.

Tuan Ali Omar telah memuat satu posting dalam FBnya bertarikh 20hb September 2016 mendakwa kelulusan yang beliau perolehi untuk penanaman durian kunyit dalam hutan simpan tidak melibatkan tebangan balak kerana kawasan ini telah diteroka oleh peneroka haram. Beliau menulis : ‘permohonan yang melibatkan syarikat saya’.

Salinan posting ini dikembarkan.

Ini mengukuhkan andaian bahawa syarikat yang mendapat kelulusan 100 ha atau 400 ekar hutan simpan itu adalah Syarikat Gunong Basor yang telah disokong permohonannya oleh Pejabat Menteri Besar.

Apa kelayakan syarikat ini sehingga permohonannya boleh diluluskan secepat kilat?

b. Soalnya, adakah satu ini sahaja kelulusan berkait dengan penanaman durian kunyit dalam HSK?

Saya mengajak MB dan SUPnya merujuk kepada kembaran yang saya sertakan iaitu surat dari Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengenai kelulusan penanaman DURIAN KUNYIT dan menguruskan tanaman kelapa sawit dalam HSK Ulu Galas dan Batu Papan, bertarikh 20 April 2016.

Kepala surat Pengarah Perhutanan kepada Syarikat AA Pavilion Mining berbunyi: ‘PERMOHONAN CADANGAN PEMBANGUNAN TANAMAN POKOK DURIAN KUNYIT DALAM KAWASAN PEMBANGUNAN LADANG HUTAN DAN MENGEKALKAN POKOK SAWIT YANG TELAH DITANAM DALAM KAWASAN TEROKA HARAM DI HSK ULU GALAS DAN HSK BATU PAPAN’.

Jumlah keluasan kawasan yang diluluskan bagi kedua-dua maksud itu adalah 1,697 ha atau bersamaan 4,192 ekar!

Mungkin SUP terlupa ilmu campur dalam matematik, sehingga kelulusan lain selain 100 ha kepada Gunung Basor tidak diambil kira.

Angka ini membuktikan saya tidak berbohong, bah kan saya telah meletakkan angka keluasan yang lebih rendah dari yang sebenar.

Juga membuktikan bukan hanya ada satu kelulusan penanaman durian kunyit dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan!

Kenapa SUP tidak memasukkan kelulusan ini dalam penjelasan beliau? Niat berbohong?

c. Memang benar durian disenaraikan sebagai spesis hutan dalam Enakmen Perhutanan.

Namun, seingat saya, durian TIDAK disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman Ladang Hutan walau pun ia adalah spesis hutan.

Ini adalah dua perkara yang berbeza.

Apa lagi DURIAN KUNYIT.

Sebab itu, sekali pun getah disenaraikan sebagai tanaman Ladang Hutan, tetapi getah untuk susu semata-mata tidak termasuk dalam senarai. Getah yang disenaraikan adalah TIMBER LATEX CLON. Perkataan TIMBER itu membezakannya dari getah biasa.

Durian kunyit adalah spesis klon yang mempunyai batang yang kecil. Penanamannya bertujuan mendapatkan buahnya dan bukan batangnya sebagai kayu. Sedangkan jika Ladang Hutan adalah tujuan, keutamaannya adalah untuk penghasilan kayu dan bukan buahnya.

Ladang durian kunyit sudah bermakna ladang komersial buah-buahan dalam Hutan Simpan Kekal.

Bagi tujuan perladangan, sudah pasti semua pokok hutan yang ada akan ditebang.

Kawasan ini yang asalnya adalah Hutan Simpan Kekal, akan berubah menjadi ladang komersial dalam Hutan Simpan Kekal.

Inilah yang berlaku di negeri ini pada hari ini.

Status di atas kertas adalah hutan simpán kekal tetapi hutannya sudah tidak ada lagi.

Saya sangat berbesar hati jika SUP MB Kelantan dapat menunjukkan saya bahagian Enakmen Perhutanan Kelantan yang menyatakan DURIAN KUNYIT adalah sangat digalakkan untuk tanaman dalam Ladang Hutan dan tarikh kemasukan DURIAN/DURIAN KUNYIT dalam gazet Enakmen berkenaan.

d. Kawasan yang dipohon oleh Syarikat Gunung Basor adalah dalam HSK Sg Brok.

Semakan kami ke tapak berkenaan menunjukkan masih terdapat 7 hingga 8 tan hasil kayu se ekar. Hanya 20% sahaja dari kawasan ini yang telah diteroka secara haram meninggalkan kawasan tidak berkayu.

Saya yakin, laporan renjer Pejabat Hutan yang baru disiapkan Rabu lalu, selari dengan jumlah yang saya sebutkan. Menunggu laporan renjer disiapkan terlebih dahulu adalah antara sebab saya sedikit lambat memberikan respon kepada kenyataan SUP MB.

Bermakna terdapat sejumlah 2,240 tan kayu berbaki atas kawasan seluas 100 ha ini, berdasarkan 20% dari kawasan adalah diteroka haram seperti didakwa.

Dakwaan sesetengah pihak bahawa kawasan ini langsung tidak berkayu adalah bohong dan berniat melindungi kedudukan yang sebenar atas tujuan mengaut keuntungan darinya.

Ini bermakna, Syarikat Gunung Basor akan menikmati DURIAN RUNTUH sebelum DURIAN KUNYIT.

Beranikah YAB MB melawat kawasan ini bersama saya, media dan mana-mana pihak yang berkaitan untuk membuktikan ianya tidak berkayu?

e. Alasan terokaan haram telah digunakan untuk meluluskan permohonan AA Pavilion, termasuk menguruskan apa yang dikatakan tanaman kelapa sawit oleh peneroka haram untuk selama dua puluh lima tahun, seperti surat kelulusan yang dikembarkan.

Soalnya, kenapa kawasan ini bersama tanaman kelapa sawitnya tidak ditender?

Mengapa peneroka asal tidak diberi peluang dengan terma yang sama?

Benarkah alasan ini?

Beranikah kerajaan melantik satu pihak bebas memeriksa kesahihan maklumat dan alasan ini?

f. Adakah kebetulan, semua syarikat ini - AA Pavilion dengan kelulusan 1,697 ha, Syarikat Gunong Basor dengan kelulusan 100 ha (berdasarkan kenyataan SUP yang tidak menamakan secara jelas syarikat yang mendapat kelulusan tetapi Tuan Ali Omar mengaku beliau mendapat kelulusan tanaman durian kunyit) dan satu lagi, Taman Astakona Timber Solutions dengan kelulusan pengeluaran saki baki kayu kayan atas kawasan seluas 250 ha - semuanya berkait dengan pemilik yang sama. Juga surat kelulusan dari Jabatan Perhutanan kesemuanya bertarikh April 2016.

Saya sertakan cetakan dari Suruhajaya Syarikat (SSM) berkait pemilik berkenaan bagi ketiga-tiga syarikat itu.

Saya pohon YAB MB memberikan penjelasan.

g. Saya difahamkan, orang yang sama telah diluluskan LAPAN BELAS kelulusan semuanya, dari 44 buah syarikat beliau yang berdaftar di SSM pada mesyuarat terakhir Jkuasa Kecil Perhutanan, iaitu pada 6 April yang lalu.

Saya pohon YAB MB mencari satu kaedah untuk membolehkan dokumen mesyuarat berkenaan disemak oleh pihak-pihak yang berwibawa untuk mengesahkan kedudukan ini.

ADUN Kerajaan dan Pembangkang termasuk saya, boleh menjadi pihak menyemak dokumen mesyuarat berkenaan.

Saya difahamkan, dokumen-dokumen kelulusan bagi 18 syarikat itu telah beredar di pasaran untuk tujuan mencari pembeli.

PAC Kelantan boleh diminta menyemak dokumen mesyuarat pada 6 April itu untuk mengetahui kedudukan yang sebenar dan saya diizinkan untuk sama menyemaknya.

YAB MB sepatutnya tidak keberatan berbuat demikian jika prinsip ketelusan menjadi prinsip pentadbiran beliau.

Ini juga yang diajar oleh Islam.

h. Surat kelulusan kepada Taman Astakona ini juga menunjukkan orang yang sama telah mendapat kelulusan perlombongan, sehingga membolehkan beliau memohon kelulusan pengeluaran saki baki kayu atas kawasan perlombongan yang diluluskan itu.

Rujuk dokumen kelulusan kepada Taman Astakona itu, di mana kepala surat dari Pengarah Perhutanan kepada Taman Astakona berbunyi: ‘PERMOHONAN MENGELUARKAN SAKI BAKI KAYU DALAM KAWASAN YANG DILULUSKAN PAJAKAN MELOMBONG DI HUTAN SIMPAN NENGGIRI SELUAS 250 HEKTAR’

i. Saya tidak tahu ini semua satu skandal atau tidak.

Nampaknya, paling kurang, ia menuju kepada amalan kronisma yang kronik yang menghanguskan kekayaan bumi Kelantan.

j. Ketelusan YAB MB sangat diperlukan.

Hanya dengan ketelusan yang diyakini, kejujuran dapat dibuktikan. Khazanah negeri dapat dilindungi.

k. SUP MB perlu menyemak fakta-fakta dengan lebih teliti sebelum menggunakan kata-kata tuduhan menyimpang dan berniat jahat.

Amalan demokrasi dan juga berkerajaan secara Islam memerlukan tegur menegur dan ketelusan, bukan kata-kata kesat dengan sewenang-wenang.

l. Demi ketelusan, YAB MB mesti tampil menjelaskan ini semua.

Rakyat Kelantan berhak mengetahui kedudukan sebenar secara keseluruhan. Termasuk asas-asas yang digunakan untuk mempertimbangkan kelulusan kepada mana-mana pihak dan had kelulusan kepada pihak yang sama secara berulang-ulang.

Lebih penting lagi adalah isi kayu yang ada dalam kawasan-kawasan berkenaan didedahkan kepada umum dan jumlah kerugian dari pendapatan isi kayu berikutan ketiadaan sistem tender dalam penganugerahan-penganugerahan berkenaan.

Ia belum lagi mengambil kira kesan ekologi yang berpanjangan yang diakibatkan oleh kelulusan-kelulusan ini termasuk kesan kepada tadahan hujan dan lain-lain.

Juga apa jaminan kemampuan syarikat dari orang yang sama ini melaksanakan semua kelulusan yang diberikan kepadanya.

m. Saya menunggu kelulusan YAB MB untuk saya menyemak dokumen-dokumen mesyuarat berkenaan bersama PAC Kelantan.

n. Saya berterima kasih kepada team penyelidik Pusat Aduan Rakyat Kelantan yang telah berjaya mengumpulkan maklumat berkaitan.

Husam Musa
26 September 2016/24 Zulhijjah 1437

# Puak-puak Lobai zaman Hadi, bohong dan label telah menjadi kebiasaan. 

No comments:

Post a Comment