Sunday, March 12, 2017

Usul Hadi: BN dan Asyraf Wajdi main wayang?

Usul Hadi: BN dan Asyraf Wajdi, berhentilah main wayang
oleh Edry Faizal Eddy Yusof Pada 12 Mac 2017
Seruan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sebelum ini mudah. Parti-parti komponen BN yang tidak setuju dengan pindaan undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta 355, dibawa oleh Datuk Seri Hadi Awang dan turut pura-pura disokong oleh UMNO, perlu berhenti bermain wayang dan meletakkan jawatan.

Bukannya di hadapan segmen tertentu rakyat mereka katakan mereka bantah, namun di hadapan UMNO dan Datuk Seri Najib Razak mereka membisu bagai boneka.

Belum sempat rakyat melihat sama ada MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak akan berhenti bermain wayang, Datuk Asyraf Wajdi mewakili UMNO yang merupakan tok dalang pementasan, mula mencelah dan melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas kepada DAP.

Oleh kerana dikhuatiri permainan mereka terbongkar, maka cabaran agar meletak jawatan jika parti-parti komponen BN tidak bersetuju dengan UMNO dikatakan sebagai berniat jahat dan anti-Islam. Menyuruh parti-parti komponen BN agar berhenti menipu rakyat bukanlah perbuatan anti-Islam. Saya percaya Asyraf Wajdi sudah cukup arif bahawa amalan lidah bercabang itulah yang ditolak Islam.

Dalam laporan Astro Awani, Asyraf Wajdi mengatakan cabaran itu merupakan, “satu kenyataan yang jahat, sebagai satu usaha menghasut dan menakut-nakutkan rakyat Malaysia.”

Pada masa sama beliau mengaitkan tindakan menolak Pindaan Akta 355 sebagai anti-Islam. Ini menunjukkan bahawa Asyraf Wajdi, UMNO dan mana-mana kawan baru mereka itulah sebenarnya yang berusaha menghasut dan menakut-nakutkan rakyat Malaysia. Mempergunakan agama untuk mengapi-apikan dan mengeruhkan lagi keadaan.

Pindaan kepada Akta 355 sudah dibawa masuk ke Parlimen maka tidak dapat dielak lagi dari dibahaskan baik di ruang Parlimen atau ruang awam. Maka sudah tentu akan ada yang setuju dan tidak bersetuju dengan suatu Rang Undang-Undang itu. Barangkali Asyraf Wajdi sudah terbiasa dengan budaya UMNO yang suka memaksa lulus (bulldoze) undang-undang seperti mana Rang Undang-Undang MKN, SOSMA dan lain-lain.

DAP pula terus memainkan peranan melihat setiap pindaan undang-undang dengan kritis. Ini penting dalam usaha mengelakkan sebarang masalah besar di masa hadapan yang seringkali pembawa usul Rang Undang-Undang terlepas pandang. Sesiapa saja boleh mendukung keselamatan negara tanpa perlu bersetuju dengan RUU SOSMA atau RUU MKN, sesiapa juga boleh menghormati Islam tanpa perlu bersetuju dengan RUU 355.

Bersetuju dan tidak bersetuju merupakan proses sihat dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Sehinggalah muncul watak-watak seperti Asyraf Wajdi dan yang sefikrah dengannya cuba menggugat demokrasi berparlimen dengan melemparkan tuduhan-tuduhan tak berasas kepada pihak yang berbeza pandangan dengannya.

Dengan ini saya mengulangi seruan agar parti-parti komponen BN berhenti bermain wayang dan menari mengikut rentak UMNO. Saya juga meminta Asyraf Wajdi untuk melihat ke dalam cermin setiap kali terlintas niat menuduh orang lain sebagai menghasut dan menakut-nakutkan rakyat Malaysia. – Roketkini.com

* Edry Faizal Eddy Yusof merupakan Ahli Jawatankuasa DAP Selangor

1 comment:

  1. hormati Islam tanpa perlu bersetuju dengan RUU 355
    dalam ruu ini ada apa cuba tengok balik
    dasar pati kpair semau tolak hukum ajaran Islam
    macam mana ada orang Islam boleh duduk dalam pati kapir yang teranagn menentang sebarang hukum tersebut nak diujudkan

    dalam ruu ni tak da lagi hukum potong tnagan tu pung dah rioh menentanag

    ada orang Islam bersama orang kapir bersekutu
    menentang. canteek

    ReplyDelete