Thursday, January 5, 2017

Dr M tetap dituntut minta maaf kepada Anwar

Otai reformis tetap mahu Dr M minta maaf, tapi..
Alyaa Alhadjri   4 Jan 2017, 3:37 petang
Sejak beralih kepada pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghulur salam perdamaian kepada bekas anak didik yang kemudian bertukar menjadi seterunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Bagaimanapun, mereka yang terlibat dalam gerakan reformasi berikutan tindakan Mahathir memecat bekas timbalannya itu pada tahun 1998 tetap mahu bekas perdana menteri itu memohon maaf.

"Otai Reformis kekal dengan pendirian bahawa Tun perlu meminta maaf kepada DSAI dan keluarga," kata pengerusi kumpulan itu Saari Sungib kepada Malaysiakini.

Saari bagaimanapun berkata Otai Reformis tidak akan 'menyukarkan' Pakatan Harapan berikutan kerjasamanya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Kalau benda itu (permohonan maaf) menyusahkan, kami tak akan insist (paksa)," kata ahli parlimen Hulu Kelang itu yang juga timbalan ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor.

Mac lalu, Otai Reformis meletakkan empat syarat untuk menyokong pendirian Pakatan Harapan bekerjasama dengan Mahathir bagi menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Najib Razak. 

Ini termasuk membebaskan Anwar dari penjara.

Bekas pemimpin pembangkang itu sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat, yang didakwanya telah direka sama seperti tuduhan liwat I di zaman Mahathir.

Saari mengakui masih terdapat sekumpulan kecil penyokong Anwar yang tidak dapat menerima Mahathir.

Bagaimanapun, Saari berkata Otai Reformis menolak pendirian yang bertentangan terhadap Mahathir kerana bekas perdana menteri itu kini telah membuktikan beliau kini terbuka kepada kritikan.

Menurut Saari, perkara penting dalam gerakan reformasi adalah untuk memiliki fikiran yang terbuka.
Dalam tempoh Reformasi, penyokong Anwar mengadakan protes jalanan besar-besaran dan mengecam Mahathir sebagai seorang diktator serta pemimpin korup.

Pada sidang media sebelum ini, Saari mengumumkan bahawa Konvensyen Reformis Malaysia akan diadakan pada 25 Februari tetapi tempatnya belum disahkan.

Ditanya sama ada Mahathir akan dijemput untuk berucap, Saari berkata Otai Reformis mengalu-alukan semua parti politik, kumpulan dan individu yang menyokong matlamat bersama mereka.

2 comments:

  1. Saya sokong otai otai supaya TDM minta maaf kepada Anuar dan keluarganya. Saya juga minta Anuar, keluarga dan otai otai minta maaf kepada TDM sebab tersalah cakap seperti mahafiraun, rasuah, kroni, diktator dll.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bro, syarat kau terlalu mudah. Sebab yang kata mahafiraun diktator tu, orang-orang biasa.

      Bila Tun minta maaf bererti Tun pulak yang bersalah .. jadi tak perlu lah otai reformasi minta maaf ..

      Apakah jika Najib pun insaf, mereka yang caci dia pun kena minta maaf ? Sorry lah..

      Delete