Wednesday, November 15, 2017

V.K Lingam: Macam mana pintar dan belit pun, sampai masa tertonggeng juga!

Kejatuhan peguam V.K Lingam 
Bede Hong · Diterbitkan pada 14 Nov 2017 6:18PM
Rakaman peguam V.K Lingam berbual dengan seorang individu yang didakwa sebagai bekas Ketua Hakim Malaya Ahmad Fairuz Abdul Halim yang tersebar di media sosial. – Gambar Youtube, 14 November, 2017.

BELIAU dirakam bercuti bersama bekas ketua hakim dan turut dirakam videonya yang didakwa sedang berbual melalui telefon dengan ketua hakim lain berhubung pelantikan kehakiman. 

Beliau juga turut didakwa mempunyai akses secara langsung dengan Putrajaya. 

Kesemua dakwaan itu muncul menyebabkan kejatuhan peguam V.K Lingam hari ini apabila Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana menghina mahkamah. 

Dakwaan ke atas Lingam yag bermula pada 2012 dan ditangguhkan sejak sekian lama berikutan kegagalannya untuk hadir pada prosiding. Tuduhan itu berpunca daripada kes di mana Lingam mewakili keluarga dalam saman sivil pada tahun 2009.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2012 yang tidak memihak anak guamnya, Lingam memfailkan semakan atas dasar penghakiman itu diplagiat. 

Lingam, 24 ahli keluarga terbabit dan seorang lagi peguam TC Nagayam didakwa kerana menghina mahkamah. 

Peguam itu mula mendapat perhatian selepas mengulangi perkataan "correct, correct, correct" pada rakaman videonya sedang bercakap di telefon bimbit pada tahun 2007, yang mana beliau mendakwa proses pelantikan hakim tertinggi menyalahi undang-undang. 

Video berkenaan memaparkan perbualan pada tahun 2007 antara Lingam dan seorang lagi yang didakwa sebagai bekas Ketua Hakim Malaya Ahmad Fairuz Abdul Halim berhubung pelantikannya sebagai ketua hakim. Hanya Lingam yang dirakam dalam video terbabit. 

Ahmad Fairuz bersara sebagai ketua hakim pada akhir 2007 selepas pelantikannya tidak disambung berikutan bantahan Majlis Raja-Raja.

Bantahan oleh ribuan peguam daripada Majlis Peguam yang diikuti dengan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) pada tahun berikutnya, yang mana bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut dipanggil sebagai saksi. 

Pada siasatan itu, bekas Ketua Hakim Mohamed Eusoff Chin menafikan beliau merupakan kenalan rapat Lingam walaupun gambar yang didakwa beliau bercuti dengan Lingam di New Zealand tersebar. 

RCI yang dipengerusikan Ketua Hakim Malaya Haidar Mohamed Nor, mengesyorkan tindakan diambil ke atas enam individu - Lingam, Eusoff, Fairuz, ahli perniagaan Vincent Tan, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Dr Mahathir kerana salah laku.

RCI turut menemui bukti prima facie untuk menyiasat enam individu terbabit atas kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan Akta Profesion Undang-Undang.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 2011 memutuskan bahawa dapatan suruhanjaya itu tidak boleh dikaji semula, dan menyatakan suruhanjaya itu hanya membuat penemuan dan bukan keputusan.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh tiga panel yang diketuai bekas Ketua Hakim Malaya Zulkefli Ahmad Makinudin, bekas Hakim Keadilan Mahkamah Persekutuan Abdull Hamid Embong dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan Raus Shariff. 

Raus kini memegang jawatan sebagai ketua hakim dan Zulkefli sebagai presiden Mahkamah Rayuan. – 14 November, 2017.

No comments:

Post a Comment