Thursday, November 30, 2017

Isu dokumen SPRM bocor

Dokumen bocor berbeza kenyataan diberikan kepada SPRM, kata suspek
TMI · Diterbitkan pada 30 Nov 2017 8:18AM
Amir Shariffuddin Abd Raub, salah seorang suspek skandal hartanah Johor mendakwa dokumen tular mengenai skandal itu berbeza dengan keterangan yang diberikannya kepada SPRM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2017

PERUNDING hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, salah seorang suspek skandal hartanah Johor, membuat satu laporan polis berkenaan kebocoran dokumen siasatan kes tersebut. 

Amir, 44, membuat laporan tersebut di Balai Polis Sentral Johor Bahru petang semalam, kerana dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya yang ditularkan beberapa hari lepas berbeza dengan keterangan yang diberikannya kepada badan pencegah rasuah negara itu. 

"Terdapat beberapa halaman tiada disertakan, malah terdapat satu jadual pembayaran yang dimuatkan yang tiada kena mengena langsung dengan siasatan yang dijalankan ke atas saya.

"Muka depan Penyataan Dalam Pemeriksaan itu berbeza dengan yang dibuat oleh saya. Saya dapati pemilik blog dan Facebook itu sengaja cuba menjatuhkan maruah saya," Amir berkata dalam laporannya yang turut dilihat The Malaysian Insight. 

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Rupeah Abdul Wahid berkata, Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu.

Dokumen sepanjang 140 muka surat itu dimuat naik dalam sebuah blog, turut mengeluarkan jadual transaksi mendakwa wang diberikan kepada Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin. 

SPRM pada Selasa berkata ia akan membuat satu laporan polis bagi menyiasat kebocoran maklumat dalam kes yang sedang dalam proses mahkamah tersebut.

“Ingin ditegaskan, pembocoran kenyataan sedemikian adalah satu perbuatan menghina mahkamah dan bersifat prejudis kerana kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah,” Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki berkata dalam satu kenyataan. 

Dalam kenyataan sama, Azam turut berkata SPRM berpendapat jadual pembayaran yang dimaksudkan sengaja diada-adakan bagi tujuan mengelirukan masyarakat. 

Wakil rakyat pembangkang Johor kini sedang mendesak Khaled untuk menjawab sama ada beliau terlibat dalam skandal tersebut. 

Skandal hartanah yang meletus pada Mac lepas turut melibatkan seorang bekas exco kerajaan negeri Johor Abd Latif Bandi. 

Amir, Abd Latif dan seorang lagi tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 14 Jun lepas berdepan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta.

Terdahulu, Amir dan Abd Latif berdepan 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta pada 19 April. – 30 November, 2017.

1 comment:

  1. Your method of explaining all in this piece of writing is really good, every one be able to easily know it, Thanks a lot.

    cheap MLB jerseys

    ReplyDelete