Friday, December 30, 2016

Pencerahan menarik: Syria - Bukan hanya perang mazhab


 | DR MUJAHID YUSOF RAWA
Dr Mujahid Yusof Dr Mujahid YusofSAYA memilih untuk membuat analisa perang Syria dalam kerangka yang lebih besar yang mana kerangka ini adalah titik tengah yang bakal menentukan natijah yang diinginkan (desired outcome) oleh pemain-pemain besar dunia.
Segala fenomena perang yang menyinggung sentimen atas premis keganasan sekte (mazhab) Sunni lwn Syiah dalam tanggapan majoriti umat Islam adalah sebahagian daripada alat propaganda yang digunakan untuk mencapai 'desired outcome' yang lebih merbahaya kepada warga dunia.
Ini bukan bermakna kita bersetuju keganasan sekte dibiarkan berlaku tetapi fokus kita harus juga menghentikan kerangka besar yang sedang menentukan pemetaan baru Timur Tengah sebagai motif utama konflik di mana pada penghujungnya natijah perancangan akan berkhidmat untuk kehendak dan kepentingan perebutan kuasa besar dunia secara khususnya Russia, Amerika Syarikat dan China.
Kerangka Besar Perancangan
Yang dimaksudkan dengan kerangka besar konflik di Syria, sebenarnya adalah dasar Amerika yang menggagaskan pemetaan baru dunia (re-mapping of the world) sejurus berakhirnya era perang dingin dengan Soviet Union pada 26 Disember 1991.
Kebangkitan negara-negara baru dalam Soviet Union yang majoritinya Muslim membuka satu ancaman dan peluang (threat and opportunity) kepada Amerika Syarikat. Keperluan strategi di Asia Tengah didesak atas kepentingan negara-negara ini punya potensi sumber tenaga daripada telaga gas dan minyak yang banyak seperti di Kazakhastan, Turkimenestan dan Uzbekistan di mana dianggarkan 405 trilion kubik minyak menunggu untuk digali dan eksplorasi.
Keperluan strategik Amerika di Asia Tengah turut mengambil kira persaingan dengan Russia dan China yang mempunyai sejarah ideologi dan politik dengan wilayah tersebut. Sentimen berkiblatkan kepada ideologi komunis di negara-negara tersebut memberikan kelebihan kepada China dan Rusia dan kerana itu Amerika harus bijak mencatur dan merancang strategi.
Laluan bekalan bukan senjata ke Afghanistan dari Eropah juga melalui wilayah ini manakala Afghanistan diperlukan sebagai laluan minyak darat yang akan dipam dari negara-negara C5 iaitu Tajiskistan, Turkeministan, Kazakhstan, Uzbekistan dan Kyrgystan yang kaya gas asli dan minyak.
Asia Tengah Sebagai Timur Tengah Baru
Dasar Amerika di Asia Tengah akan membantu pemetaan baru dunia di mana gagasan Timur Tengah Raya atau The Greater Middle East dengan memasukkan negara C5 sebagai perluasan dari wilayah Timur Tengah yang sedia ada hari ini termasuk Afghanistan dan Pakistan. Negara-negara Timur Tengah yang sedia ada hari ini ialah negara Teluk, Semenanjung Tanah Arab, dan negara Syam (Syria dan Lebanon), Iran dan negara Afrika Utara yang berbahasa Arab. Kecuali Iran yang berbahasa Parsi kesemua negara-negara Timur Tengah berbahasa Arab.
Sejak penglibatan Amerika di Timur Tengah iaitu pembebasan tebusan di Lebanon dan Iran awal 80-an, ide keperluan Greater Middle East - Timur Tengah Raya mula dicetuskan dan hanya setelah kejatuhan Soviet keperluan ini didoktrinkan.
Penjajahan Afghanistan (2001), Iraq (2003), Peperangan Syria (2012) serta kejatuhan Presiden Morsi (2013) adalah rentetan kepada menundukkan keadaan mengikut natijah yang dirancang dari agenda Timur Tengah Raya  atau "War on The Greater Middle East".  
Pemetaan Baru
Pendekatan Amerika terhadap regim yang dirasakan tidak banyak membantu kerangka besar ini ialah melalui 'regime change'. Kaedah perubahan rejim di kawasan terlibat adalah dengan cara halus iaitu meletakkan kelompok yang mesra Amerika menjadi kerajaan melalui pertolongan dengan kaedah demokrasi biasa.
Satu lagi kaedah adalah dengan melakukan huru-hara sehingga pemberontakan berlaku dan mereka yang akan pegang kuasa adalah kelompok yang akan memenuhi kepentingan strategik Amerika. Kaedah yang lebih ganas lagi ialah menyerang secara ketenteraan sama ada secara proksi atau langsung untuk membawa 'misi kebebasan' (seperti perang Syria) atau atas alasan rejim sedia ada mengancam keselamatan Amerika dan rantau (seperti di Afghanistan) dan juga kerana menyembunyikan senjata kemusnahan besar-besaran (WMD) seperti alasan pelanggaran ke atas Iraq tempoh hari.
Selain alasan keselamatan, Amerika juga membawa misi-misi nilai seperti kebebasan, membawa demokrasi dan kemanusiaan ke atas negara-negara yang mereka ingin kuasai. Sekurangnya secara zahir 'niat' Amerika secara propaganda dilihat murni dan mendapat sokongan rakyat yang kebetulan muak dengan kediktatoran pemimpin mereka seperti di Mesir, Libya dan kini Syria.
Pemetaan baru boleh bermakna beberapa perkara, pertama ialah perubahan rejim, kedua ialah membesarkan wilayah daripada asalnya seperti Timur Tengah dan ketiga ialah membentuk negara baru atau wilayah autonomi baru dalam sesebuah negara asal seperti wilayah autonomi Kurdi di Iraq. Konsep pemetaan baru ini ialah bagi memudahkan kawalan Amerika ke atas sumber dan laluan yang akan memberikan 'nyawa' kepada kewujudan kuasa Amerika.
Russia dan China tidak ketinggalan dalam perlumbaan ini dan mereka mahu memastikan Amerika tidak membolot semua akses dan laluan minyak ini. Mereka juga merancangkan perkara yang sama sehingga Timur Tengah menjadi medan perebutan melalui peperangan proksi.
Dasar Perlindungan Israel
Satu dasar yang kekal berfungsi tanpa perubahan selama ini ialah dasar perlindungan ke atas kewujudan dan keberlangsungan negara Israel. Dasar Amerika di Timur Tengah senantiasa memastikan Israel sebagai pengimbang kepada negara-negara Arab di sekelilingnya. Amerika memastikan keperluan ketenteraan Israel dengan senjata tercanggih dibekalkan atas alasan ancaman keselamatan.
Sebelumnya Soviet Union membekalkan senjata kepada negara Arab seperti Syria dan Mesir dalam peperangan Arab-Israel 1967. Israel menjadi medan perlumbaan senjata antara Rusia dan Amerika di Timur Tengah dan keadaan itu berkekalan sehingga hari ini dengan Israel menjadi epik krisis.
Dasar perlindungan ke atas Israel kekal malah ianya diperkukuhkan dengan perkembangan baru di rantau Timur Tengah iaitu kemunculan Republik Islam Iran 1979 dengan kejatuhan Shah Iran yang merupakan sekutu paling rapat Amerika, begitu juga kemenangan Mujahidin ke atas Russia pada awal 80-an dan kebangkitan ancaman ‘pengganas Islam’ selepas penguasaan Taliban dan kemaraan Hamas di Palestine sebagai alternatif kepada Fatah yang dinaungi PLO dan kebangkitan Hizbollah di Lubnan. Kesemua perkembangan baru ini yang di luar kawalan Amerika memperkukuhkan lagi keperluan melindungi Israel dan usaha membuat perubahan rejim.
Global War on Terrorism (GWoT)
Istilah ini diungkapkan oleh George Bush (Jr) pada awal tahun 2000 dalam kempen Amerika terhadap serangan 9/11 di mana pengganas telah membawa peperangan ke dalam bumi Amerika. Fasa dasar Amerika di Timur Tengah mengambil bentuk yang lebih tegas dengan menjadikan campur tangan ketenteraan sebagai satu pilihan yang tidak dapat dielakkan.
Afghanistan dituduh sebagai sarang terorisme kerana melindungi Osama Ben Laden yang didakwa bertanggungjawab pada serangan 9/11. Pada tahun 2001, Amerika menyerang Afghanistan atas serangan balasan ke atas pelanggaran World Trade Center New York dan menjejaki Osama Ben Laden dan Al Qaeda.
Tahun 2003 Iraq diserang atas alasan Saddam Hussein menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran yang menjejaskan keselamatan rantau Timur Tengah (walaupun hingga kini tidak ditemui dakwaan wujudnya senjata tersebut). Ia diikuti dengan penjajahan baru atas nama 'operation freedom' bagi menumbangkan diktator Saddam Hussein dan menggantikan dengan kerajaan baru yang akan mengamalkan demokrasi (ironinya Iraq menjadi medan perbalahan puak berdarah hingga sekarang).
Perjuangan membebaskan penjajahan baru dikaburi dengan kegiatan keganasan dan aktiviti pengganas termasuk Hamas yang hakikatnya adalah pejuang membebaskan tanahair daripada penjajahan Israel begitu juga Hezbollah yang memperjuangkan kebebasan sebahagian bumi Lebanon yang dijajah Israel. ISIL, ISIS, IS atau Daesh muncul dalam scenario memerangi pengganas dan seterusnya melebarkan daerah peperangan ke wilayah Syam iaitu Lubnan dan Syria selain di Iraq.
Amerika juga melihat proksinya seperti Hosni Mubarak di Mesir tidak diperlukan lagi kerana rekod pencabulan hak asasinya yang tidak dapat dipertahankan lagi dan kerana itu mengharapkan perubahan rejim melalui demokrasi, namun apa yang berlaku ialah kemenangan besar kelompok Islam dan kemenangan Morsi sebagai Presiden baru Mesir yang diundi secara demokrasi.
Perkembangan ini tidak disenangi kerana kepentingan strategik Israel terjejas dan kerana itu, akhirnya Presiden Morsi digulingkan untuk pemerintahan diktator tentera yang baru iaitu As Sisi yang dilihat lebih mudah dikawal untuk kepentingan strategik Amerika dan kewujudan Israel.  
Kebangkitan rakyat yang mendapat jolokan Arab Spring dapat memenuhi kehendak kerangka besar kuasa besar dengan syarat regim baru perlu pro-Amerika diungkap dalam kata-kata 'pilihan raya bebas', 'demokrasi' dan 'hak asasi manusia'.
Syria & Kepentingan Iran Serta Turki
Syria termasuk dalam kerangka besar ini atas beberapa keperluan strategik. Pertama - Bashar dilihat pro Rusia dan jarak dekat Syria dengan Israel pasti menjejaskan kepentingan Israel.  Kedua - kebangkitan rakyat jika Bashar digulingkan belum tentu diganti oleh pemimpin yang pro Amerika dan ketiga pejuang-pejuang Daesh dari Iraq yang menguasai sebahagian wilayah Iraq mengisytiharkan 'Islamic State' di wilayah Syam iaitu Lubnan dan Syria.
Amerika perlu mempunyai strategi untuk mengimbangi kepentingan Russia di sana dengan membantu kelompok pejuang anti-Bashar supaya menjadi kuat. Ia adalah perang proksi sebenarnya antara kepentingan Amerika dan Rusia di Syria khususnya dan Timur Tengah amnya.
Iran mempunyai kepentingan di Syria atas dua sebab, pertama, melalui Hezbollah yang berkiblatkan kepada kepimpinan Iran dan kedua sebagai benteng pertahanan dari Israel yang merupakan musuh ketatnya. Syria selama ini adalah syurga bagi perjuangan anti-Israel termasuk Hamas dan pejuang Hezbollah.
Iran merasakan Bashar perlu dikekalkan atas kepentingan ini dan sebab itu bantuan ketenteraan ke atas regim Bashar diteruskan bagi mengekalkan Bashar di persada kuasa. Bashar menjadi Presiden yang lemah dengan menyerah kepada kuasa Rusia untuk terus bertahan dan seterusnya menafikan suara rakyat menamatkan kediktatorannya selama ini.
Turki pula berkepentingan dalam krisis Syria kerana beberapa sebab. Turki khuatir pejuang-pejuang Daesh dan lain-lain di Syria akan melarikan diri ke Turki melalui sempadan Syria-Turki. Kedua, pejuang Daesh dan lain-lain yang melarikan diri berpotensi bergabung dengan Parti Pekerja Kurdis yang menjalankan operasi sabotaj di Turki dan ketiga Turki menerima bilangan pelarian Syria yang paling ramai.
Sikap Turki akhir-akhir ini yang dilihat lebih mesra Rusia berbanding Amerika dan sekutunya disebabkan kekecewaan Turki kepada sikap Amerika dan sekutu Eropah yang dilihat menyokong kudeta yang gagal tempoh hari. Turki juga mungkin boleh menjadi pendesak kepada keperluan strategik Amerika dan Rusia di Syria.
Saudi Dan Negara Teluk
Saudi dan negara-negara Teluk yang lain merupakan sekutu Amerika sejak 80-an dan ketika Perang Iran-Iraq berlaku, Saudi konsisten melahirkan kebimbangannya terhadap pengaruh Syiah dari Revolusi Islam itu. Saddam dalam peperangan tersebut mendapat sokongan padu daripada Saudi dan negara-negara Teluk.
Permusuhan Saudi dan Negara Teluk dengan Iran berterusan sehinga hari ini atas beberapa sebab. Pertama negara seperti Bahrain, Oman, Emirates dan Qatar memiliki bilangan penganut Syiah ramai yang dikenali sebagai Ibadhiy, malah Bahrain mempunyai  penduduk majoritinya adalah Syiah. Begitu juga Yemen daripada kelompok Zaidiyah.
Kedua, Saudi khususnya menganggap dirinya sebagai pembela Ahli Sunnah dan bertanggungjawab berhadapan dengan negara Iran yang menganut mazhab Syiah.
Pertembungan 'big brother' dari kedua sekta terbesar Islam ini menyumbang kepada hubungan tegang Iran dan Saudi. Iran pula menganggap hubungan akrab Saudi dan Amerika serta bekalan senjata yang sentiasa meningkat ke Arab Saudi dan negara Teluk adalah ancaman kepada kewujudannya dan sebab itu hubungan kedua negara adalah senantiasa atas prejudis keselamatan bukan sahaja prejudis sekte atau mazhab.
Semasa negara Arab di benua Afrika Utara bangkit menjatuhkan pemimpin diktator mereka, Saudi dan negara Teluk terasa bahang kebangkitan rakyat dan bimbang kepada kedudukan sistem Raja Mutlak yang mereka pertahankan. Saudi, Qatar dan lain-lain memberi amaran kepada rakyatnya malah mengenakan tindakan keras kepada pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin yang selama ini mendapat perlindungan mereka kerana takut unsur hasutan menentang kerajaan di negara mereka.
Sebagai rekod walaupun Amerika mempunyai piawaian hak asasi manusia dan demokrasi yang tinggi sebagai syarat hubungan, namun Saudi dan negara-negara Teluk mencatat rekod terburuk piawaian hak asasi dan demokrasi di sebalik hubungan akrab dengan Amerika.
Seperti Mesir, Amerika melihat hubungan dengan Saudi dan negara Teluk dalam jangka masa panjang tidak produktif dari sudut piawaian demokrasi dan hak asasi manusia. Amerika sedang meneroka potensi minyak di Asia Tengah dari negara-negara C5 (Tajiskistan, Turkeministan, Kazakhstan, Uzbekistan dan Kyrgystan) dan telahpun mendapat sebahagian segmen besar untuk carigali minyak dan gas, maka Saudi dan negara Teluk mungkin akan ditentukan nasibnya oleh masalah dalaman yang sedang membengkak dan tidak lagi menjadi 'favorite boy' Amerika.
Malah ada penganalisis yang mengandaikan Amerika akan berbaik dengan Iran dan sebagai tanda awal, boikot ke atas Iran telahpun ditarik balik. Iran mempunyai simpanan minyak yang banyak dan kini boleh menjualnya di pasaran bebas.
Keganasan Mazhab
Ramai yang mengandai pertembungan Sunni-Syiah melatari segala konflik di Timur Tengah dan secara khususnya di Syria. Hakikatnya keganasan sekte (sectarian violence) hanyalah alat propaganda yang digunakan dalam menentukan strategi geo-politik kuasa besar.
Apa yang dilihat sebagai keganasan mazhab itu adalah kesan perang yang melibatkan kematian orang awam dan kanak-kanak dalam konflik peperangan bukan satu yang sengaja dibuat didorong atas kebencian mazhab antara Sunni dan Syiah. Tidak dinafikan sentimen ini digunakan tetapi untuk mengatakan ianya peperangan Sunni dan Syiah semata-mata adalah satu rumusan yang terlalu simplistik.
Syria majoritinya adalah Sunni walaupun Bashar dikaitkan dengan Alawiyin (cabang dari Syiah) tetapi hakikatnya Alawiyin dianggap Syiah yang sesat. Pembunuhan ke atas penduduk awam sendiri adalah atas asas mahu menakutkan kebangkitan rakyat supaya dia terus kekal berkuasa dan bukan kerana dorongan mahu membunuh orang Sunni.
Saddam Hussein satu ketika dahulu di Iraq melakukan perkara yang sama ke atas rakyatnya bukan kerana mereka Syiah yang merupakan majoriti di Iraq tetapi kerana tindakan terdesak mempertahankan kuasa dan memberi amaran kepada penentangnya.
Ini bukan bermakna kita boleh mengizinkan pembunuhan, membunuh rakyat untuk menutupkan suara mereka adalah tindakan jenayah yang wajib dikutuk sekerasnya rentas Sunni dan Syiah.
Bahayanya analisis silap kepada kes Syria yang hanya berasaskan peperangan mazhab akan memburukkan hubungan mazhab di luar zon konflik dan akan mendorong kebencian sesama umat Islam yang berbeza mazhab antara Sunni dan Syiah. Kedua-dua mazhab di luar konflik Syria harus mengutuk pembunuhan di mana sahaja tanpa mengira latarbelakang mazhab malah agama sekalipun.
Propaganda media pula berkehendakkan persepsi awam terbentuk atas asas ini dan kita lupa kepada kerangka besar yang hakikatnya adalah penyebab utama segala kehancuran dan sebab utama tercetusnya peperangan ini.
Analisis Krisis
Analisa krisis bermula dengan menggariskan beberapa premis yang jelas dari pemahaman kita kepada latarbelakang kerangka besar yang melatari konflik di Timur Tengah. Secara rumusannya konflik di Syria difahami atas fahaman berikut;
1. Ianya geo-politik dalam membentuk pemetaan baru setelah berakhirnya perang dingin dalam usaha mencari sumber tenaga (minyak dan gas) serta akses laluan bagi menyalurkan bekalan tersebut untuk ekonomi kuasa besar yang berebut punca yang sama.
2. Dasar keselamatan Amerika adalah memastikan Israel terus wujud sebagai keseimbangan kuasa negara Arab, khususnya dengan kemunculan Iran maka Syria dan negara berstrategik lain menjadi medan untuk memastikan dasar perlindungan ke atas Israel terus berfungsi dengan baik.
3. Pemetaan baru bermakna meluaskan wilayah Timur Tengah dengan nama Timur Tengah Raya, membahagikan sesuatu negara kepada pecahan-pecahan autonomi ataupun menggantikan regim yang sedia ada kepada yang mesra keperluan strategik kuasa besar.
4. Perebutan antara Amerika, Rusia dan China membuka ruang kepada pemain kecil dari negara lain untuk menjadi pendesak atau penentu kepada kejayaan perebutan ini di rantau Timur Tengah. Sebab itu Iran, Saudi, Turki, dan negara Asia Tengah menjadi sebahagian daripada 'pemain' dalam percaturan ini.
5.Faktor kepuakan, kekelompokan dan mazhab merupakan peluru berkesan untuk kejayaan taktikal (operasi) bagi menimbulkan huru-hara, mengalihkan isu sebenar ataupun sekadar menyemarakkan sentimen dalam pendapat awam justeru memecahbelahkan dunia Islam.
6.Kerangka besar ini menjadikan peperangan ke atas pengganas Islam sebagai kambing-hitam untuk mewajarkan pelanggaran, penjajahan dan campur tangan ketenteraan agar pelan induk kuasa besar mudah dilaksanakan. Sesetengah kelompok pengganas ini ditaja oleh kuasa besar ini.
Sikap & Prinsip
Dengan latarbelakang dan analisa kepada krisis Syria dan keseluruhan Timur Tengah, kita sepatutnya mengutuk permainan kuasa besar dunia mencaturkan wilayah Timur Tengah sehingga membawa kepada kancah peperangan yang panjang.
Sebagaimana pada waktu yang sama, kita harus berani mengkritik sikap negara-negara Islam sendiri dan cara bagaimana kita memahami agama sendiri secara sempit yang menyumbang kepada keadaan menjadi lebih buruk.
1. Krisis Syria dan Timur Tengah menelanjangkan wajah sebenar kuasa besar yang penting diri dan bersikap unilateral kepada kebimbangan warga dunia yang mahukan kehidupan atas dasar menghormati wilayah berdaulat masing-masing. Ketamakan untuk menguasai sumber dan akses laluan disembunyikan dengan sentimen peperangan melawan pengganas, membawa kebebasan dan demokrasi yang pada hakikatnya untuk mengaut untung dan dibawa balik untuk kegunaan rakyatnya atas penderitaan mangsa perang.
Strategi ini saling tak tumpah seperti strategi penjajahan dunia Eropah ke atas dunia Islam pada kurun ke-15 kononnya atas nama menyambung peperangan salib di Timur setelah mereka kalah dengan kuasa Islam di Timur Tengah, hakikatnya penjajahan zaman itu adalah untuk mencari sumber memenuhi keperluan Barat yang baru bangkit dari lena panjang mereka. Geo-politik ini adalah sumber konflik dan peperangan.
2. Strategi besar kuasa besar menimbulkan suasana berbunuhan sesama kelompok yang asasnya mempunyai tujuan yang sama iaitu menuntut kebebasan dari pemimpin diktaktor yang zalim. Kuasa besar membekalkan senjata pada kelompok ini dan menghasut antara satu sama lain agar mereka berperangan sesama mereka sedangkan pada satu pihak memperkukuhkan pemimpin yang zalim atas nama memerangi keganasan.
Inilah yang berlaku kepada Syria, Libya, Mesir dan Iraq. Huru-hara yang dirancang ini amatlah menjijikkan - lihat bagaimana Bashar dipertahankan oleh Rusia manakala Amerika membekalkan senjata kepada puak yang bertelagah dan dalam runtuhan itu orang awam menjadi mangsa. Kefasadan ini amat dilarang oleh Islam demi kemanusiaan sejagat (Rahmatan lil ‘alamin).
"Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi. (Al Maidah 5:32)
3. Kuasa besar tidak peduli kepada pembunuhan kanak-kanak yang tidak berdosa, wanita yang kehilangan suami dan orang-orang tua yang menjadi mangsa perang asalkan cita-cita dan agenda mereka tercapai.
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Al-Qasas 28:77)
4. Tanpa mengira mazhab atau agama, setiap pembunuhan orang awam itu adalah dilarang sama sekali atas apa juga kewajarannya kecuali kepada combatant (tentera yang berperang). Tidak timbul samada ianya perbuatan dari Syiah mahupun Sunni mahupun dari agama lain. Perbuatan keji itu harus dilihat atas perbuatan dan bukan siapa yang melakukan kerana jika kita melihat pelakunya, berkemungkinan kita tidak marah jika mangsa adalah dari mazhab lain dari kita. Ini satu kesilapan besar dalam prinsip Rahmat ISLAM yang diperjuangkan.
"Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang melampaui batas; Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan tidak membuat kebaikan." (Asy-Syu'araa' 26:151-152)
5. Setiap tawanan ataupun orang awam tertakluk kepada kod peperangan yang perlu diberi layanan kemanusiaan. Dalam Islam tawanan perang dan orang awam, mereka wajib diperlakukan atas nilai-nilai kemanusiaan kerana peperangan dalam Islam bukan atas kebencian dan kemarahan tetapi atas mempertahankkan prinsip, maka sebab itu adanya keterbatasan kepada ungkapan "...janganlah kamu melampaui batas..."
"Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." (Al Baqarah 2:190)
6. Rumah-rumah ibadat dan mereka yang sedang beribadat dalamnya dilarang dihancurkan dan dibunuh pengunjungnya. Apa yang berlaku dalam kegilaan perang di Timur Tengah ialah kemusnahan rumah ibadat, pembunuhan ke atas penganut agama lain atas kebencian agama dan ia dilarang oleh Islam dan harus dikutuk atas nama kemanusiaan juga.
7. Kita juga harus mengutuk mereka yang mengapikan kebencian agama dan mazhab kerana sentimen ini menajamkan kebencian hubungan Sunni-Syiah, Islam-Kristian, Islam-Yahudi dan akan melebarkan kebencian ini di luar daerah konflik justeru mencacatkan usaha hubungan damai antara agama. Apa sahaja jenayah yang dilakukan penganut sesuatu agama tidak boleh dihukum secara umum bahawa ia adalah dorongan dari agama tersebut. Pembunuh, perosak dan pengganas tidak ada agama atau mazhab kerana ia bukan arahan mana-mana agama atau mazhab, ia hanyalah dibuat atas wajah agama pada hakikatnya tersembunyi cetusan rasis perkauman dan kesempitan fahaman agama. Oleh itu menentang fahaman kebencian antara mazhab dan agama adalah tanggungjawab bersama bagi menjaminkan keamanan dalam jangka panjang di rantau Timur Tengah.
"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Al-An'aam 6:108)
8. Pemimpin diktator termasuk Bashar dan yang masih berkuasa di Timur Tengah harus diganti dengan kehendak rakyat melalui pemulihan demokrasi untuk persediaan pemilihan secara demokratik. Parlimen perlu berfungsi dan tanggung jawab kerajaan kepada kebajikan, infra dan pendidikan perlu dipulihkan. Kesengsaraan yang menimpa di Timur Tengah adalah kerana kediktatoran dan penindasan kepada suara rakyat dan ini turut melahirkan keganasan kerana kekecewaan kepada sistem negara yang tidak berfungsi menjadi alat kepada kehendak kuasa besar. Setiap wilayah adalah kedaulatan yang perlu dihormati dengan memberikan rakyat kuasa menentukan masadepan negaranya secara demokratik dan bukan menjadi bidak-bidak pencatur kepentingan pihak tertentu.

"Dan kaum Fir'aun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak), Yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri, Lalu mereka berbuat banyak kerusakan dalam negeri itu." (Al Fajr 89:10-12)
9. Timur Tengah kaya dengan khazanah ketamadunan yang bersendikan toleransi dan hormat-menghormati dengan wujudnya kepelbagaian. Merangkuli kepelbagaian melahirkan Timur Tengah yang mewah dan membangun. Lahirnya kediktatoran, rasisme dan pelampau agama akan merosakkan beribu tahun khazanah nilai ketamadunan yang pernah diasaskan oleh ketiga-tiga agama samawi di rantau ini iaitu, Yahudi, Kristianiti dan Islam. Kebebasan beragama adalah asas tertegaknya ketamadunan dulu kini dan selamanya, asas ini jika hilang akan membawa kepada pembunuhan atas nama agama dan mazhab seperti yang pernah berlaku dalam sejarah hitam Yahudi, Kristian, dan Islam. Pemimpin terdahulu khususnya Salehudin Al Ayubi, St Francis dan lain-lain memelihara asas-asas berdialog, menghormati agama lain dan menentang penindasan atas nama agama.
10. Bahayanya pemikiran dan doktrinasi "Barat melawan yang lainnya" (The West vs The Rest) atau "Islam melawan dunia Barat" (Islam vs West) kerana ia akan membawa kepada 'zero sum game' (sama ada kau hancur aku menang atau kau menang aku hancur). Apa yang perlu dibawa adalah "kita bersama melawan kerosakan dan tirani" (Us vs Destruction and Tyranni) bagi memberi laluan kepada kemanusiaan dan kebebasan bermaruah.
"Janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi setelah ianya dibaiki dan dipulihkan, maka minta dan serulah kepadaNya dalam keadaan penuh harapan, sesungguhnya Rahmat Allah itu hampir untuk golongan Muhsinin..." (Al A’raf: 56)
Penutup
Isu Syria akan berpanjangan selagi ide dan operasi pemetaan semula Timur Tengah dilaksanakan. Sememangnya kita sedih isu kebencian mazhab Sunni lwn Syiah diperbesarkan, namun seharusnya kita lebih sedih kepada kegagalan kita memahami percaturan kuasa besar dan kegagalan umat Islam merentasi mazhab membela mangsa kemusnahan dan peperangan. Watak penguasa atau 'state actor' tidak semestinya mewakili kehendak awam, ramai di kalangan rakyat Amerika dan Rusia menentang dasar negaranya dan tentunya ia memberi kesan kepada politik dalaman kuasa besar.
Begitu juga, di peringkat pengikut mazhab masing-masing, tindakan watak penguasa tidak semestinya didokong oleh mereka. Apa yang sepatutnya menyatukan warga dunia dalam kes Syria ialah kekuatan bersatu atas perasaan kemanusiaan merentasi mazhab dan agama serta melihat ianya sebagai krisis kemanusiaan yang paling kritikal untuk diperjuangkan bersama. Sunni atau Syiah, Kristian atau Yahudi malah Islam sekalipun pembunuhan dan melakukan fasad harus ditentang secara bersama jikalau kita seorang insan yang punya maruah dan kemuliaan.
*Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden Amanah, Ahli Parlimen Malaysia dan Ahli Eksekutif Kesatuan Parlimen Negara-Negara Islam (PUIC). Artikel ini diolah berdasarkan buku terbaru beliau, "Islam Bukan Agama Teroris: Islamfobia, Pertembungan Budaya dan Perang Global Terhadap Keganasan" terbitan ILHAM Books

No comments:

Post a Comment