Thursday, December 29, 2016

Sorotan berita 2016

Sorotan 2016: Emas Rio, gol ajaib dan politik bola mewarnai sukan negara

  | December 29, 2016
Daripada pencapaian terbaik Olimpik dan Paralimpik kepada pergolakan bola sepak tanah air yang tidak ada kesudahan, 2016 merupakan tahun rancak bagi sukan Malaysia.
PETALING JAYA: Tahun 2016 menyaksikan pelbagai kejutan dalam dunia sukan di Malaysia.
Berikut 10 peristiwa utama yang mewarnai arena sukan negara sepanjang 2016.
Atlet negara memenangi 3 emas, 1 gangsa pada Sukan Paralimpik ke-15 di Rio de Janeiro, Brazil, September lalu. Ia merupakan kejayaan paling manis tahun ini dan pencapaian terbaik skuad negara sejak Malaysia menyertai temasya 4 tahun sekali itu pada 1972 di Jerman.
Kontinjen Olimpik berjaya meraih 4 pingat perak dan 1 gangsa pada temasya Sukan Olimpik, Ogos lalu, sekali lagi menjadikan ia pencapaian Olimpik terbaik bagi Malaysia.
Selepas memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik, Azizulhasni Awang secara sinis berterima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kerana enggan membeli basikal “Roadbike” untuk beliau dan Fatehah Mustapa sebagai persiapan ke Olimpik. Kedua mereka bertemu dan berbaik semula.
Malaysia mengumumkan tidak lagi menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) selepas kontraknya tamat pada 2018 kerana tidak mendapat pulangan dan negara terpaksa membelanjakan RM300 juta setahun. Litar Antarabangsa Sepang sebaliknya akan meneruskan penganjuran Grand Prix Motosikal Malaysia atau MotoGP.
Kabinet memutuskan skuad Harimau Malaysia perlu meneruskan saingan dalam kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki di Yangon dan kerajaan akan mencari kaedah lain untuk menentang kezaliman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya di negara itu, tetapi ia tidak akan melibatkan sebarang acara sukan.
Malaysia bagaimanapun tewas kepada Myanmar 0-1, kali pertama Malaysia gagal ke separuh akhir sejak 2008.
Pemilihan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hangat dibincangkan selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengundur diri. Calon menjadi sebutan ialah Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat serta bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dicalonkan untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 menerusi jaringan ajaibnya yang dihasilkan daripada sepakan percuma dari jarak 35m melencong memasuki gawang. Faiz diberi ganjaran RM15,000 oleh Tuanku Mahkota Johor (TMJ) atas pengiktirafan itu.
Pemilik Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang lebih dikenali sebagai Dr Vida pada Januari lalu bersetuju menaja RM16 juta untuk Persatuan Bola Sepak Kelantan selama 2 musim, tetapi dengan 35 syarat. Dr Vida bagaimanapun menangguhkan tajaan untuk pasukan itu selepas aksi hambar Kelantan dalam Liga Malaysia, disusuli penarikan diri kerana dana tidak mencukupi.
Kejohanan Kriterium Junior Cycling Malaysia (JCM) di Serdang pada April lalu yang sekadar menawarkan hadiah RM30, RM20 dan RM10 bagi pemenang tempat pertama hingga ke-3 untuk kategori bawah 11 tahun serta 9 tahun, menjadi perbualan netizen yang disifatkan hadiah tidak munasabah. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan matlamat utama program itu ialah memupuk minat dan bukan habuan wang.
Khairul Idham Pawi mencipta sejarah negara dengan menjuarai kelas ke-3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sebanyak 2 kali, seterusnya mengatasi pencapaian terbaik pelumba Malaysia sebelum ini yang dicatatkan Zulfahmi Khairuddin dengan memenangi tempat ke-2 GP Malaysia pada 2012.

No comments:

Post a Comment