Sunday, December 25, 2016

'lembaga hitam' melintas atau halusinasi kerana mengantuk?

Pemandu nampak lembaga sebelum treler terbalik di LPT2
pada 25-12-2016 11:12
DUNGUN: Seorang pemandu treler yang berusia 25 tahun berkata dia mengelak kelibat 'lembaga hitam' yang melintas di hadapan kenderaan yang dipandunya menyebabkan treler berkenaan terbabas sebelum terbalik di KM 342.7, LPT2.

Menurutny lagi kejadian itu berlaku selepas susur keluar Kuala Dungun kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, pemandu berkenaan bersama kelindan yang juga adiknya mengalami cedera ringan.

Kata pemandu tersebut, dia dan dua treler lain yang sarat dengan muatan bijih besi berkonvoi dari Gua Musang untuk menghantar bahan itu ke Kawasan Industri Gebeng, Kuantan.

“Saya sedang bercakap menggunakan ‘walkie-talkie’ seorang lagi pemandu treler di belakang yang dikenali sebagai Awi berusia 35 tahun manakala adik melihat telefon bimbit.

“Tiba di lokasi, saya lihat lembaga itu melintas dari arah kanan lebuh raya dan saya sempat memaklumkannya kepada Awi sebelum treler terbabas ke kiri jalan,” katanya dipetik Harian Metro.

Dia dan adiknya kemudian dibantu keluar oleh Awi.

“Ketika itu hujan, saya dan adik menumpang dalam treler Awi. Tiba-tiba saya ternampak kelibat wanita berdiri di tepi pokok bersebelahan treler saya yang tersadai.

“Kelibat wanita itu melambai-lambai dan saya beberapa kali meminta Awi mengundurkan treler kerana saya mahu merakam gambar itu, namun Awi enggan,” katanya.

Kemalangan itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub. - sumber

*Bila mengantuk dan keletihan semua perkara pelik boleh terjadi. Ikutilah pengalaman yang saya sendiri alami bila memandu dalam keadaan yang letih dan kurang tidur. N3 ini saya bawa ke sini dari blog asal moundweller.blogspot.com 

Orang Besar Di Jalanraya Timur-Barat

Saya tersedar dari lamunan bila tiba-tiba van yang dipandu oleh Mat berbunyi bising semacam besi bergesel di bahagian roda belakang kiri dan berhenti dengan tiba-tiba. Kawan-kawan lain pun yang tadinya berdengkur mula menanyakan sebab apa dan kenapa. Saya tengok jam di tangan sudah pukul 2.00 pagi. Tiba-tiba Mat berkata "Abang Din, brek van rosak. Dah tidak ada brek langsung". Saya turun dari van dan pasang lampu gas yang memang kami bawa dari mulakan program ini lagi beberapa hari lalu. Kami pergi seramai 7 orang dengan menyewa van pandu sendiri.

Saya ambil Jek dan buka roda. Aduih... brek pad dan besi serta springnya sudah lenyet dan tertanggal dari tempatnya. Minyak brek pula bocor kering. Saya buang semua yang menghalang roda bari berpusing kerana kami terpaksa teruskan perjalanan sebab pagi esoknya salah seorang kawan yang bersama kami akan bekerja jam lapan pagi. Kami terpaksa teruskan juga perjalanan pulang walau pun van sudah tiada brek langsung. Bila sudah dibesihkan roda dan dipasang kembali, Mat meminta saya yang pandu sebab dia tidak biasa memandu dengan kenderaan di dalam keadaan yang tidak mempunyai brek.

Sebenarnya kami dari Cameron Highland mendaki Gunung Berembun sempena Sambutan Ulang Tahun Kejayaan Everest 97'. Kami di sana selama 2 malam. Petang tadi setelah singgah di Ipoh rumah Mak Mertua saya sekejap, kami terus bertolak pulang ke Kota Bharu dan singgah makan malam di Lenggong. Ikan Patin Masak Asam Pedas. Setelah kenyang dan letih semuanya tertidur sehingga mendengkur di dalam van.

Sebelum itu dari Cameron Highland saya yang pandu sebab semua kawan-kawan beralasan tidak biasa pandu van di kawasan berbukit dan jalan yang berbelit-belit (jalan lama tapah-cameron highland). Selepas makan malam di lenggong barulah saya berikan setering kepada Mat dan selepas itu saya pun separuh lena.

Bila Mat berhenti kerana brek rosak, barulah saya sedar rupanya kami semua baru melepasi Puncak Titiwangsa. Dari situ saya pula ambil alih pemanduan. Mula-mula tu saya pandu agak perlahan untuk membiasakan diri dengan kenderaan yang ketiadaan brek dan hanya menggunakan gear dan pedal minyak untuk brek. Tetapi sesudah agak lama dan berkeyakinan saya meneruskan pememanduan dengan kelajuan yang perlahan sedikit dari biasa. Semua kawan-kawan sudah lena dan mendengkur kembali termasuk Mat yang duduk di sebelah saya yang sedang memandu. Saya pun hairan, mereka cukup percayakan saya memandu dengan ketiadaan brek dan boleh lena serta berdengkur.

Tiba-tiba dari jauh di sebalik kabus nipis dengan pancaran lampu van, saya nampak satu lembaga menyerupai manusia tetapi tinggi dan besar seolah-olah setinggi 8 kaki. Saya terus pandu sambil perhatikan apakah makhluk itu sebenarnya. Tiba dalam jarak lebih kurang 50 meter, lembaga itu masih berdiri tegak di tengah-tengah jalan. Saya toleh kiri dan kanan semua orang berdengkur tidur mati.

Saya terus pandu ke arah lembaga tersebut dan nekad sekiranya dia tidak lari saya akan rempuh dengan van.

Bila tiba lebih dekat, saya dapati satu selekoh yang agak tajam. Saya turunkan gear dan lepaskan padel minyak untuk memperlahankan kelajuan, barulah saya pasti rupanya lembaga itu di tepi jalan selepas selekoh. satu papantanda amaran jalanraya yang berbentuk bulat macam kepala di atas dan di bawah kepala pula satu palang memanjang macam tangan di depa . Itulah rupanya hantu tinggi yang saya nampak! .

Saya ketawa sorang-sorang dengan kuat dan kawan-kawan tersedar serta bertanya "Kenapa Din?" Dalam gelak saya berkata "Kamu semua rugi, tadi aku tengok hantu tinggi tapi kamu semua tidur" Jadi semua orang bising kenapa saya tidak kejutkan mereka.

Kesimpulan saya ialah kerana letih dan mengantuk berserta dengan kabus dan silauan cahaya lampu, papan tanda pun akan menjadi hantu!

Kami tiba di Kota Bharu, rumah saya ketika azan subuh berkumandang. Kawan yang akan masuk kerja pagi ini dapat ke pejabat dengan hati yang lega. Kalau tidak dia pun tidak tahu apakah alasan yang akan dikatakan kepada Ketua Unitnya.

Posted by fakhruddin yusoff at 9:55 PM 

1 comment:

  1. kalau kerana letih n mengantuk semua benda kita kata hantu tiap tiap hari kita boleh nampak hantu
    tapi tak pulak macam tu
    belum kena bnayak cakap bila dah kena baru tahu
    hantu yang jenis nampak ok jugak
    ynag bahaya yang tak nampak mai menggoda dengan bisikan suruh manusia lawan perintah Allah
    inilah ynag paling bnayak terjadi

    ReplyDelete