Pakar yakin MH370 tiada di zon pencarian di Lautan Hindi
Bagaimanapun, lebih 20 serpihan ditemui, dengan kebanyakannya di bahagian barat pesisiran pantai Lautan Hindi yang mungkin atau memang pasti daripada pesawat malang itu.
SYDNEY: Pakar percaya pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang hampir pasti tidak berada dalam zon pencarian sekarang di kawasan terpencil di Lautan Hindi, tetapi mungkin di bahagian utara.
Tiada jejak ditemui menerusi operasi pencarian besar-besaran di dasar laut Australia dalam usaha mencari pesawat yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Bagaimanapun, lebih 20 serpihan ditemui, dengan kebanyakannya di bahagian barat pesisiran pantai Lautan Hindi yang dikenal pasti sebagai mungkin atau memang pasti daripada pesawat malang itu.
Dengan penjelajahan zon seluas 120,000 km persegi hampir berakhir, pakar antarabangsa dan Australia bermesyuarat di Canberra bulan lalu untuk menyemak semula bukti mereka dan model yang digunakan.
Mereka membuat kesimpulan, pesawat itu tidak ada di kawasan pencarian sejak 2 tahun lalu itu, yang diketuai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), kata laporan itu.
“Kami amat yakin pesawat hilang itu tidak ada di kawasan bawah laut yang sebelum ini dikenal pasti sebagai tempat pencarian,” katanya.
Laporan itu berkata “serpihan yang ditemui memberi bukti kukuh pesawat itu kemungkinan besar berada di lokasi lebih utara dari kawasan pencarian dasar laut pada masa ini”.
Ia mengenal pasti satu kawasan seluas kira-kira 25,000 km persegi sebagai tempat “kemungkinan besar di mana bangkai pesawat itu berada”.
“Pakar memutuskan, jika pencarian dibuat di kawasan itu, lokasi prospektif untuk mengesan bangkai pesawat, berdasarkan kepada analisis setakat ini, akan sia-sia,” kata laporan itu.
Kerajaan Australia, Malaysia dan China, yang mempunyai jumlah penumpang paling ramai dalam pesawat itu, sebelum ini bersetuju menghentikan operasi sebaik saja seluruh kawasan pencarian diteroka kecuali jika menemui “maklumat baharu yang meyakinkan”.
Laporan ATSB bulan lalu berkata pesawat itu mungkin di luar kawalan ketika ia menjunam ke dalam laut dengan sayapnya tidak bersedia untuk mendarat, menimbulkan keraguan terhadap teori yang menyatakan juruterbang masih mengawal pesawat pada masa itu.
No comments:
Post a Comment