Saturday, December 24, 2016

Petanda apa KWSP jual saham FGV?

Petanda apa KWSP jual saham FGV? ― Naraza Muda
themalaymail: Friday December 23, 2016 - 3:01 PM GMT+8


23 DISEMBER ― Perkembangan terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melupuskan semua pegangan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menambahkan lagi keluh resah rakyat Malaysia terhadap kedudukan saham syarikat itu yang mula diniagakan sejak 2012 .

Merujuk laporan beberapa portal berita, KWSP menegaskan bahawa pihaknya tidak lagi memegang apa-apa kepentingan saham dalam FGV.

Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, dana persaraan itu memantau prestasi ekuiti FGV sejak beberapa tahun dan secara beransur-ansur menjual pegangan sahamnya.

Pihak KWSP terpaksa melupuskan pemilikan saham ini berdasarkan prinsip mereka mengamalkan tahap piawaian tadbir urus korporat yang tinggi menerusi dasar yang teguh pada kawalan risiko dan peruntukan aset strategik.

KWSP terpaksa menjual semua ekuiti FGV yang mereka miliki secara beransur-ansur sehingga tidak memilikinya lagi sehingga hari ini.

Jika KWSP sudah hilang kepercayaan kepada FGV, bagaimana pula nasib peneroka Felda? 

Walaupun peneroka Felda memiliki hanya sekitar 2.5 peratus kedudukan dalam keseluruhan saham FGV, ia  sudah pasti akan memberi kerugian dan kebimbangan masa depan saham mereka.

Peneroka Felda hanya ditawarkan 800 unit saham dengan terpaksa membuat pinjaman daripada intitusi kewangan. Sehingga sekarang sudah empat tahun mereka masih membayar pinjaman ini setiap bulan secara potongan daripada hasil pendapatan jualan buah sawit atau getah mereka.

Mana janji perdana menteri untuk menjadikan peneroka Felda menjadi sebahagian golongan yang berpendapatan tinggi setanding dengan negara maju setelah penyenaraian FGV?

Apakah durian runtuh RM15,000 setiap peneroka Felda sebelum penyenaraian FGV dulu satu langkah mengunci peneroka Felda untuk membiarkan Felda dibuat sesuka hati oleh pemimpin negara?

Mereka juga bimbang mengenai kedudukan keseluruhan FGV, tanah seluas 360,000 hektar milik Felda sebelum ini juga telah diserahkan kepada FGV. Peneroka Felda sebelum ini banyak mendapat faedah daripada hasil tanah ini, antaranya peruntukan pembangunan sosial berjumlah RM60 juta setahun. 

Tanah ini juga mendatangkan hasil kepada kumpulan RM1.2 hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Apabila ia  diserahkan kepada FGV, Felda dan peneroka sudah hilang satu aset yang bernilai buat mereka.

Kesannya kepada kumpulan sangat ketara, juga kepada peneroka, sudah ada kumpulan mereka terpaksa berdemonstrasi di hadapan pejabat pengurusan kerana menuntut bayaran hasil jualan sawit mereka.

Sebelum ini mereka sudah lama dibayar secara tunai dan tidak tertangguh, kini pihak pengurusan terpaksa meminta penangguhan dua minggu sehingga sebulan untuk melunaskan bayaran.

Urus tadbir pengurusan tanam semula banyak menghadapi masalah. Felda juga sebelum ini mengaku 60 peratus pokok sawit mereka sudah tua dan perlu urusan penanaman semula segera bagi mengekalkan pengeluaran hasil sawit dan getah. 

Apakah jaminan kerajaan untuk menyelesaikan masalah Felda, FGV dan peneroka? Apakah dengan terus mengekalkan Tan Sri Isa Samad selama beberapa tahun lagi menerajui Felda, kerajaan yakin Isa boleh menyelesaikan semua masalah yang sedang melanda? 

Peneroka Felda yang kebanyakannya sudah berumur hanya mampu melihat pemimpin mereka menguruskan Felda. Dulu dengan harapan agar pemimpin mereka mampu mengekalkan kecemerlangan Felda tetapi kini harapan itu sudah terhakis.

* Naraza Muda pengerusi Hal Ehwal Felda PAS

** Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online. 

*Berkaitan: Penjualan Oleh KWSP Sumpahan Ke Atas FGV - A Kadir Jasin

No comments:

Post a Comment