Tuesday, December 27, 2016

Selepas Palestin, Bosnia, Syria kini Yaman sedang dimusnahkan

27 Disember 2016 | RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Malaysia sekurang kurangnya mesti melakukan sesuatu didalam kemampuan pengaruh yang ada.

Resolusi bersejarah di Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang mengharamkan Israel dari meluaskan serta membina rumah dan menduduki tanah Palestin telah di luluskan.

Tahniah kepada ahli-ahli Jawatankuasa Keselamatan, termasuk Malaysia, yang telah berusaha ke arah resolusi tersebut. Rakyat Palestin telah lama menderita dan nasib mereka sukar untuk di ubah dalam masa terdekat ini kerana dunia telah terlalu lama mengabaikan mereka. 

Syria yang telah dan masih  mengalami peperangan yang amat dahsyat juga perlukan perhatian dan tindakan dari PBB serta dunia luar. Malangnya dunia keseluruhannya tidak bertindak seperti sepatutnya dan menyepi begitu lama untuk menyelesaikan persengketaan.

Malahan ada kuasa besar dan negara jiran Arab turut ambil bahagian dalam pengeboman dan membekalkan senjata kepada pihak tertentu. Hanya hampir di penghujung peperangan dan setelah begitu banyak Syria musnah, khususnya bandar Aleppo, baru dunia mula sibuk menunjukkan lebih banyak keperhatinan dan mengutuk apa yang telah dibenarkan berlaku.

Inilah sikap hipokrit dunia antarabangsa hari ini. Setelah musnah binasa dan kehilangan beratus ribu jiwa baru masing-masing mengangkat suara dan berlakon juara membela rakyat Syria. Ulangan kosong hipokrit gesaan tidak membenarkan trajedi kekejaman di Bosnia berlaku lagi bergema kembali. Trajedi Palestin, Bosnia, Syria telah berlaku dan kini yang dunia ingin dan pura-pura lupakan adalah trajedi Yaman yang sedang hebat bergolak dan berdarah.

Di Yaman hari ini dunia umum mengetahui angkatan tentera udara Arab Saudi serta sekutunya mengebom hospital, sekolah dan dewan awam semasa acara pengkebumian yang menyebabkan beratus orang terbunuh. Tentera laut Amerika Syarikat pula membedil bandar pelabuhan di pantai Yaman menyebabkan berpuluh terbunuh dalam satu serangan. Arab Saudi di antara negara berRaja terkaya di dunia sementara Amerika pula negara tentera terkuat dunia, dua gergasi yang menyerang negara kerdil serta termiskin Yaman.

Dunia dan PBB, berpura-pura tidak tahu dan kini menyepi semasa ini semua sedang berlaku. Media Britain menyiarkan berita penderitaan di Yaman.

Malaysia mempunyai tanggung jawab besar dalam isu Yaman kerana kita menduduki kerusi Majlis Keselamatan PBB dan juga menyertai pasukan latihan perang dengan negara Arab Saudi serta sekutunya. Dari sumber diplomatik antarabangsa yang boleh di percayai, Malaysia dikatakan telah berbelanja beratus juta untuk melobi kuat untuk tempat di Majlis Keselamatan PBB dan di beritakan belanja besar pergi ke beberapa Negara- negara tertentu dan bukan hanya berkempen di ibu pejabat PBB di New York.

Begitu banyak wang Negara dihabiskan untuk mendapat prestij nama di majlis Keselamatan PBB. Oleh itu Malaysia perlu berusaha bersungguh- sungguh dalam isu Yaman untuk tidak mensiasiakan kedudukan tersebut. Berkali- kali telah saya timbulkan isu Yamen di Parlimen tanpa jawapan memuaskan dari Menteri Luar tentang usaha Malaysia. Berbelanja beratus juta untuk menduduki Majlis Keselamatan tanpa peranan sepatutnya membela negara yang lemah dan kerdil amat mendukacitakan. Malaysia menghantar berpuluh ribu pelajar kita ke Yaman dan mereka pernah merupakan diantara pelajar asing teramai di Malaysia.

 Di Parlimen saya telah menyoal peranan dan justifikasi anehnya Malaysia menyertai latihan tentera bersama Arab Saudi serta sekutunya dari Negara- negara Arab dan Afrika lain. Tiada jawapan yang munasabah telah di beri kenapa kita negara luar tunggal masuk campur ehwal rumah tangga ketenteraan Negara Arab dan Afrika selain dari ujudnya hubungan 'istimewa' ini. Kalau Malaysia berada dalam pasukan bersekutu Saudi itu, sudah tentu ada sedikit sebanyak pengaruh.

Oleh itu saya disini menuntut Datuk Ser  Mohd  Najib Razak mendesak dan menggunakan hubungan istimewa beliau untuk menggesa kerajaan Arab Saudi menghentikan serangan kejam atas Negara berdaulat Yemen. Datuk Seri Najib sendiri juga mengistiharkan hubungan istimewa beliau dengan keluarga di Raja Arab Saudi yang telah menderma berbillion ringgit kepada dirinya. Gunakanlah hubungan istimewa itu untuk menyelamatkan nyawa rakyat tidak berdosa Yaman. Lakukan sesuatu sebelum terlambat dan gunakanlah pengaruh untuk kebaikan menyelamatkan nyawa orang awam termasuk anak kecil, warga tua dan wanita yang lemah. Jangan sia siakan pengaruh dalam majlis Keselamatan PBB dan hubungan istimewa dengan keluarga di Raja Arab Saudi.

Sementara Datuk Seri Najib berurusan dengan Kerajaan Arab Saudi, di cadangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula boleh menasihati pemimpin Iran yang di katakan menyokong pihak yang di tentang oleh Kerajaan Saudi di Yaman. Kalau Haji Hadi sanggup memainkan peranan pendamai dengan Iran di penhujung peperangan Syria, sudah tentu usaha di peringkat pertengahan peperangan di Yaman amat di alu- alukan oleh semua.

Dunia antarabangsa dan PBB akan terus dengan sikap hipokrit mereka. Malaysia sekurang kurangnya mesti melakukan sesuatu didalam kemampuan pengaruh kita yang ada. Jangan ulangi seperti Palestin, Bosnia dan Syria, dimana setelah beratus ribu nyawa hilang dan bandar serta kampung musnah kita baru akan mengulangi kenyataan- "Dunia tidak akan membenarkan ini berulang lagi !" Sebenarnya, "sikap hipokrit" inilah yang tidak patut di ulangi terdahulu kalau kita mahu mengelakkan peristiwa sebegini berulang ! .

*Raja Bahrin Shah  adalah Pengerusi Biro Antarabangsa  Parti Amanah Negara.

No comments:

Post a Comment