Wednesday, October 5, 2016

Dr.Mahathir, PPBM dan jawatan PM

Posted on Tuesday, October 04 @ 09:02:28 MYT by paktam
Oleh ZULKIFLEE BAKAR

PADA awalnya, pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAN begitu gembira apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama mereka. Maklumlah sudah berdekad-dekad bekas Perdana Menteri itu menjadi ­‘musuh nombor satu pembangkang’. Tetapi akhirnya pemimpin berusia 91 tahun itu terpaksa bersekongkol dengan pembangkang semata-mata bagi meneruskan ­mi­siny­a menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun kegembiraan pembangkang menyambut kehadiran Dr. Mahathir termasuk kesediaan beliau menyokong per­him­punan haram Bersih tidak ber­tahan lama, mereka sendiri kini tertanya-tanya apakah misi sebenar Dr. Mahathir? Apakah berkongsi matlamat kononnya mahu selamatkan Malaysia? Atau terus menjadi pencatur siapa yang perlu menjadi Perdana Menteri?

Dr. Mahathir telah berjaya da­lam misi pertamanya dulu apabila menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pelbagai serangan beliau lakukan bagi menggambarkan ­Abdullah tidak layak menjadi Perdana Menteri. Apabila ‘percaturannya diterima’ sehingga membolehkan Najib menggantikan Abdullah, kini Najib pula mahu ‘diturunkan’. Apabila misi tersebut gagal, Dr. Mahathir bagaikan ‘cacing kepanasan’. Satu demi satu serangan dilancarkan ke atas Najib dan kerajaan. Tidak cukup dengan itu, beliau yang bertaraf negarawan sanggup merangkul musuh-musuh ketat politiknya seperti Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama-sama me­lunaskan dendam politiknya terhadap Najib.

Namun begitu pakatan pembangkang mulai sangsi apabila Dr. Mahathir secara terbuka menyatakan mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hebat sekali percaturan politik Dr. Mahathir, PPBM yang baru ditubuhkan tidak sampai tiga bulan sudah mahu menjadi ‘taiko’ dalam pakatan pembangkang. Soalnya, apakah PKR dan DAP akan menyokong agenda politik Dr. Mahathir tersebut?

Siapa Dr. Mahathir yang secara tiba-tiba muncul memecahbelahkan UMNO melalui penubuhan PPBM mahu menentukan bakal Perdana Menteri dalam kalangan pakatan pembangkang? Bukankah Anwar tetap menjadi pilihan pakatan sejak dulu, kini dan selamanya untuk menduduki jawatan itu?

Penulis sama sekali tidak menafikan kehebatan dan sumbang­an besar Dr. Mahathir dalam memajukan Malaysia sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Tiada siapapun boleh menafikan percaturan hebat beliau dalam meng­uruskan negara, tetapi malangnya keterujaan beliau untuk menjatuhkan Najib menyebabkan dirinya terlupa realiti politik dalam pembangkang. Mana mungkin PKR dan DAP akan membenarkan Dr. Mahathir memandai-mandai menentukan Perdana Menteri jika pembangkang menang. Beliau boleh berbuat demikian jika PPBM menang besar dalam PRU tetapi soalnya mampukah parti itu menandingi PKR atau DAP?

Kerusi mana PPBM mahu bertanding? Adakah PKR dan DAP akan beri kawasan mereka untuk ditandingi oleh PPBM? Hakikatnya, PPBM adalah parti yang sekapal dengan PAN - parti serpihan Pas yang ditubuhkan selepas beberapa pemimpinnya tewas dalam pemilihan parti tersebut.

PAN juga bercita-cita tinggi sama seperti PPBM yang kononnya mahu menjadi parti alternatif dan berhasrat ‘berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara serta berjuang hak-hak keistimewaan orang Melayu dan orang bumiputera berslogan ‘ Maju, Adil dan Makmur’ .

Penulis tidak berhasrat mengu­las panjang soal misi ini, cuma sekadar mahu bertanya apakah PKR yang memperjuangkan kesamarataan akan bersama PPBM? Adakah DAP yang menentang perjuangan Pas dalam menegakkan Islam dan berpegang kepada konsep Malaysia Malaysian akan mengizinkan PPBM menjadi ‘taiko’ dalam pembangkang?

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan dianggap pemimpin hebat, Dr. Mahathir pasti mengetahui sepak terajang dan hati budi pemimpin-pemimpin PKR dan DAP, tetapi malangnya beliau tetap dengan misinya yang bermula daripada menurunkan Najib kepada menjatuhkan UMNO dan BN.

Dalam perbualan dengan beberapa rakan dalam pakatan pembangkang, mereka hanya ketawa apabila diajukan soalan mengenai hasrat Dr. Mahathir itu. Mereka menganggap tidak salah bekas Perdana Menteri tersebut berfikiran sedemikian, dalam keadaan segala percaturan yang beliau lakukan untuk menumbangkan Najib ­menemui jalan buntu.

“Dr. Mahathir perlukan perhatian. Sebab itulah beliau membuat kenyataan sedemikian. Beliau pun tahu realiti politik dalam pembangkang, mana mungkin PKR dan DAP akan beri laluan kepada Muhyiddin. Mungkin Dr. Mahathir terlupa, beliau hanya Pengerusi PPBM bukan Pengerusi Pakatan Pembangkang,” kata seorang rakan yang juga seorang pemimpin muda PKR dari Pulau Pinang.

Kalau dilihat kepada sikap dan pendirian PKR dan DAP se­memangnya cita-cita Dr. Mahathir yang mahu terus mencaturkan siapa menjadi Perdana Menteri tidak akan ke mana. Lagipun apalah hebat sangat PPBM, kalau sekadar ia menjadi ‘lubuk’ mengumpulkan kelompok yang kecewa dalam percaturan politik mereka ketika berada dalam UMNO.

Sememangnya, kita tidak menafikan pengaruh Dr. Mahathir masih ada, mungkin atas ke­yakinan itu juga beliau mahu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri tetapi dalam masa sama de­ngan penuh hormat Dr. Mahathir juga perlu diingatkan - “Allah SWT tidak beri semua yang kita mahu.”

No comments:

Post a Comment