Thursday, October 27, 2016

Mengapa GrabCar, Uber jadi pilihan?

7 sebab mengapa GrabCar, Uber jadi pilihan
Posted on Monday, October 24 @ 21:40:35 MYT by paktam
Pendapat:

KEHADIRAN perkhidmatan aplikasi GrabCar dan Uber membuatkan pemandu teksi panas punggung kerana periuk nasi mereka diancam.Malah dalam tempoh sebulan pemandu teksi berpiket dua kali di ibu negara sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk

Persoalannya, apakah dosa pemandu teksi sehinggakan orang ramai kini beralih kepada perkhidmatan GrabCar dan Uber.

Di sini disenaraikan tujuh sebab penumpang berpaling tadah kepada perkhidmatan pengangkutan alternatif.

1. Harga berpatutan

Wujud segelintir pemandu teksi tidak mahu menggunakan meter dengan alasan jalan sesak. 

Bahkan menetapkan harga tambang lebih RM10 daripada harga biasa jika menggunakan meter.

Lebih teruk lagi, pemandu teksi menutup meter dengan menggunakan tuala bagi melindungi kiraan tambang.

Berbanding GrabCar/Uber, caj tambang tidak boleh ditipu kerana menggunakan aplikasi yang wajib diakses pemandu dan pelanggan.

2. Bersih dan selesa 

Kenderaan digunakan GrabCar atau Uber lebih selesa dan bersih memandangkan syarikat aplikasi itu menetapkan tahun kenderaan tidak boleh melebihi lima tahun. 

Manakala teksi pula masih kekal dengan Proton Saga lama dan kereta berjenama import zaman dahulu kala.

3. Mudah

Kini semua di hujung jari. Tempahan boleh dibuat bila-bila masa dengan hanya membuat tempahan di aplikasi.

4. Promosi

Kadang-kala GrabCar dan Uber akan menawarkan promosi menarik buat pelanggan. Sebagai contohnya GrabCar menawarkan tambah serendah RM1 bagi 5km pertama. 

 5. Tidak pernah menolak

Pemandu GrabCar atau Uber tidak boleh memilih pelanggan. Mereka perlu hantar ke destinasi ditetapkan. Berlainan pula dengan teksi, mereka boleh ‘menolak’ permintaan anda dan boleh menurunkan pelanggan di simpang jalan masuk ke rumah kalau rasa malas meredah kesesakan lalu lintas. 

6. Tiada caj tambahan

Umum ketahui, teksi akan mengenakan caj tambahan sebanyak 50 peratus bermula 12 tengah malam sehingga 6 pagi. Tetapi GrabCar/Uber tidak mengenakan caj tambahan untuk tempoh masa sama.

7. Inisiatif

Jika anda tidak tahu bagaimana hendak pergi ke tempat yang ditujui, kebiasaannya pemandu GrabCar dan Uber akan menggunakan aplikasi Waze atau Google Map.

 Tetapi, jarang sekali kita melihat pemandu teksi mempunyai inisiatif sebegitu. Kebanyakan mereka akan menolak dan menyuruh anda mengambil teksi lain.

Atau jika tidak jumpa jalan/ sesat mereka akan caj tambang yang mahal sedangkan itu kesalahan mereka kerana tidak berusaha menggunakan kemudahan teknologi.

KESIMPULAN

Ini adalah beberapa sebab mengapa penumpang memilih GrabCar dan Uber berbanding teksi. Walau bagaimana, bukan semua pemilik teksi begitu. Ada saja pemandu teksi yang baik dan jujur sehinggakan ada yang memberi diskaun lagi.

Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sesetengah pemandu teksi tidak bertanggungjawab telah menyebabkan nama teksi ‘busuk’.

Pandangan kami, apa kata tingkatkan lagi kualiti dan mutu perkhidmatan daripada anda mogok di tengah jalan raya sehingga memberi keuntungan lebih buat GrabCar dan Uber.

Tepuk dada tanya selera. 

Sumber: www.pandulaju.com.my

* Tilik diri dulu sebelum salahkan orang lain!

No comments:

Post a Comment