Sunday, October 9, 2016

Cakap-cakap dari kepala lutut macam ni AS ambil kira ke?

Komplot media AS jatuhkan PM? Tak masuk akal, kata Duta
Anisah Shukry   -   Hari ini, 2:05 tengahari
Beberapa pemimpin Malaysia sejak kebelakangan ini menuduh Amerika Syarikat (AS), media atau orang-orang Yahudi berkomplot untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menjejaskan kestabilan kerajaan.

Namun, memandangkan hubungan baik antara kedua-dua negara, sebarang dakwaan yang berkisar cubaan AS menggulingkan Najib dianggap 'tidak berasas', ujar Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Joseph Y Yun.

Yun berkata demikian kepada Malaysiakini dalam wawancara di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.

"Hubungan baik ini meliputi tahap tertinggi kerajaan dan setiap menteri dan pegawai Malaysia yang saya temui benar-benar mahu membina hubungan antara kedua-dua kerajaan.

"Jadi, teori sedemikian bagi saya benar-benar tidak berasas dalam realiti dan kredibiliti. Saya juga tidak serius melihat perkara ini dan lihat kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengambil dakwaan itu secara serius," jelas Yun lagi.

Pada bulan Ogos yang lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron mendakwa penfailan Jabatan Keadilan (DOJ) AS berkaitan skandal 1MDB adalah sebahagian helah politik bagi menjatuhkan Najib dan menyingkirkan pemimpin Melayu dari tampuk kuasa.

DOJ menerusi Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi memohon untuk mendapatkan aset bernilai AS$1 bilion di AS yang didakwa mempunyai kaitan dengan 'kecurian dana' daripada dana pelaburan milik kerajaan Malaysia.

Namun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak pula dengan pantas menolak sebarang konspirasi sedemikian oleh kerajaan AS dan menyatakan tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan atas media negara itu.

Pada bulan lalu, menteri berkenaan menuduh The Wall Street Journal dan The New York Times cuba mencemarkan nama baik isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor demi memburuk-burukkan imej Malaysia, menjejaskan kestabilan kerajaan dan menjatuhkan perdana menteri.

Tetapi teori Salleh itu juga tidak mempunyai kredibiliti, berkata Yun.

"Saya tidak fikir ianya munasabah. Maksud saya, tugas media adalah menyiasat. Itu tugas mereka. Jadi, saya tidak fikir ada apa-apa agenda di pihak media," kata Yun yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai duta Amerika Syarikat minggu depan.

Ditanya jika dakwaan sedemikian menjejaskan hubungan AS-Malaysia setelah ianya datang daripada para pemimpin negara, Yun menambah: "Setiap orang bebas untuk bersuara. Walau menteri boleh menyatakan pendapat mereka."

1 comment:

  1. Jangan buat tak tahu...AS memang sentiasa mengamalkan talam bermuka dua... baling batu tangan suruk belakang...

    ReplyDelete