PAS bukan bodoh, sengaja tidak beritahu kesan sebenar usul Hadi
Bekas ketua hakim menyingkap permainan politik PAS sekitar pindaan ke atas Akta 355, yang disifatkan lebih cerdik berbanding Umno
KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua hakim Mahkamah Persekutuan mendakwa PAS lebih ke hadapan dalam kempen ‘pindaan hudud’ berbanding Umno.
Tun Abdul Hamid Mohamad berkata pimpinan parti Islam itu mendakwa pindaan itu hanya bertujuan untuk mengangkat bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tidak berkaitan agenda hudud.
Dakwaan itu, katanya, barangkali terbit daripada dua sebab.
Pertama, pimpinan PAS sendiri tidak faham kesan pindaan yang dicadangkan itu.
Kedua, beliau menambah, mereka faham dan tahu kesan sebenarnya tetapi kenyataan kepada bukan ahli PAS itu bertujuan politik semata.
“Untuk mengelirukan orang-orang yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud (Islam dan bukan Islam) dan memudahkan UMNO menyokongnya,” kata Hamid melalui blognya membincangkan kesan sebenar pindaan itu.
Hamid, yang pernah menjadi hakim terkanan mahkamah sivil berpendapat, pimpinan PAS sebenarnya faham dan tahu kesan sebenarnya pindaan yang dicadangkan itu tetapi hanya memaklumkan tujuan sebenar kepada ahli parti.
“Mereka bukan bodoh, malah dalam isu hudud itu, dari segi politik, PAS lebih cerdik daripada UMNO,” katanya.
Oleh yang demikian, kenyataan terbuka PAS bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.
Hamid berkata pimpinan Umno nampaknya mengulangi kenyataan pimpinan PAS.
“Saya percaya, ada pemimpin-pemimpin UMNO itu yang tidak faham dan turut mengulangi apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin PAS kerana mereka tidak mahu UMNO dilihat sebagai “menentang hudud”, satu lagi salah anggapan,” katanya.
Hamid tidak menolak kemungkinan ada pimpinan Umno yang faham kesan sebenar pindaan itu tetapi mereka ingin bersama dalam arus utama.
Maka, mereka melaungkan kenyataan yang serupa dengan harapan ia akan dapat memuaskan semua pihak, yang bagi Hamid satu kesilapan.
Bagaimanapun, perlu ditegaskan perkara pindaan Akta 355 adalah persoalan undang-undang untuk ditafsirkan pengamalnya.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) – untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah “menjatuhkan semua hukuman yang dibenarkan oleh hukum syarak (dan fiqh) termasuk hukuman hudud dan qisas”, kecuali hukuman mati.
Kesalahan hudud yang dimaksudkan – zina, qazaf (membuat tuduhan zina yang tidak betul terhadap seseorang), syrub (minum arak) dan irtidad atau riddah (murtad) – terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS).
Hamid berkata kesan pindaan itu adalah tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukkan kepada Mahkamah Syariah.
“Tetapi, setakat mana Dewan Undangan Negeri boleh mewujudkan kesalahan-kesalahan untuk dikenakan hukuman-hukuman itu adalah satu perkara lain,” tambahnya.
Beliau menyangkal dakwaan pindaan itu hanya membabitkan negeri Kelantan kerana Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan.
Hamid berkata sekiranya pindaan diluluskan, Kerajaan Kelantan pimpinan PAS boleh mengerakkan Dewan Undangan Negeri untuk meluluskan undang-undang yang memperuntukkan hukuman untuk kesalahan hudud.
Hamid menjelaskan beliau cuma mahu pimpinan Umno dan PAS faham kesan sebenar pindaan itu, dan membuat keputusan berdasarkan pemahaman yang betul, menceritakan kepada orang ramai pendirian sebenar masing-masing dan tidak terkeliru atau mengelirukan orang ramai.
Tidak kurang penting, beliau berkata para ahli akademi perlu memahami isu perundangan dan keperlembagaan dalam perkara ini dan tidak menyesatkan mereka dalam hutan belantara “ilmu”.
Akhirnya, terserah kepada orang ramai untuk menilai dan mengambil pendirian masing-masing, kata beliau.
No comments:
Post a Comment