Friday, March 4, 2016

Kenyataan Media SAMM

Kenyataan Media
4 Mac 2016

SAMM Desak Penubuhan Kerajaan Transisi Bersama Jaminan Pilihanraya Dalam Tempoh 2 Tahun

1. Perkembangan mutakhir politik tanahair semakin bercelaru dan tidak memberangsangkan. Sebagai gerakan anak muda yang peka terhadap polemik politik domestik, SAMM telah mencetuskan kembali idea perubahan sistem di kala ramai watak-watak politik tempatan lebih gemar untuk bercakap soal menggantikan individu.

2. Najib dan kabinet Malaysia hari ini sememangnya berdepan krisis keyakinan dan integriti. Akan tetapi, menukar seorang Perdana Menteri dengan seorang lagi politikus dari UMNO/BN tidak akan menghasilkan impak positif kepada negara. Insiden menggulingkan Abdullah Badawi, diganti dengan Najib telah membuktikan perkara ini.

3. Jangan kita lupa skrip dialog dan ayat yang sama juga digunakan oleh Mahathir ketika keluar Umno, memperkudakan sentimen rakyat bagi menukar Abdullah Badawi yang gagal menjadi bonekanya. Setelah berjaya, Mahathir kembali kepada Umno memeras rakyat.

4. Kelakuan segelintir oportunis pembangkang yang tiba-tiba bergantung harap kepada Mahathir dan Muhyiddin lebih merisaukan. Mahathir telah menyatakan bahawa beliau hanya meninggalkan UMNO selagi Najib memimpin parti itu, manakala Muhyiddin lebih penakut apabila memilih untuk terus kekal dalam parti itu.

5. Lantas bagaimana kedua-dua politikus ini akan membantu pembangkang untuk melakukan pembaharuan sistem? Kelakuan oportunis pembangkang ini hanya menyerlahkan sikap tamak kuasa dalam diri masing-masing. Slogan Menyelamatkan Malaysia (Save Malaysia) hanyalah alat untuk mengolah pandangan rakyat semata-mata.

6. Pembangkang walaupun sudah menubuhkan Pakatan Harapan selepas pengkhianatan PAS masih gagal untuk membentuk persefahaman jitu di antara ketiga-tiga parti. Tambah kelihatan absurd apabila masih terdapat beberapa oportunis yang masih menjalin hubungan secara rasmi dengan PAS. Ini pastinya akan melemahkan kepercayaan dan persefahaman Pakatan Harapan dan mengelirukan rakyat.

7. SAMM bersetuju bahawa Najib dan Rejim UMNO/BN ini perlu dijatuhkan dalam kadar segera tetapi menolak gerakan bersekutu dengan Mahathir mahupun Muhyiddin selagi mana mereka masih kekal dengan perjuangan sempit demi kuasa dan kedudukan peribadi dan kroni.

8. Tumpuan semua pemain politik bukan UMNO/BN adalah untuk perubahan sistem yang lebih tuntas. Menjatuhkan rejim UMNO/BN secara total adalah pintu kepada perubahan. Tidak sepatutnya semua watak-watak lama yang menjadi punca kehancuran sistem diangkat dan dipuja sebagai jalan penyelesaian.

9. SAMM menggesa semua rakyat untuk bangkit bersatu. Sedarlah negara ini sedang tenat. Desakan daripada rakyat harus bergema untuk memastikan satu Caretaker Government atau Kerajaan Transisi yang dianggotai oleh semua pihak harus dibentuk dengan kadar segera untuk membaikpulih/menukar sistem dan polisi pemerintahan termasuklah memastikan sistem pilihanraya dapat berjalan dengan telus, bersih dan adil. Sebuah PRU harus diumum untuk dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun sebaik sahaja penubuhan Kerajaan Transisi.

10. Jika hanya menukar Najib kepada sebuah regim yang lain dengan sistem pemerintahan yang sama tanpa satu tempoh Caretaker Government (sebelum pilihanraya baru), SAMM melihat ia bukanlah usaha yang serius sebaliknya hanyalah satu tindakan politik sempit untuk meraih kuasa semata-mata.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment