Thursday, October 26, 2017

Bongkar: Permaianan Injit-injit semut di Sabah

Janji kepada penduduk Sabah yang dimungkiri, SPRM bongkar semuanya
Jason Santos · Diterbitkan pada 26 Oct 2017 7:00AM 
Penduduk Pulau Gaya sehingga kini terpaksa bergantung kepada air hujan dan telaga untuk terus hidup. Ketika musim kemarau mereka terpaksa membeli air bersih. Walaupun, janji membekalkan air paip kepada mereka sudah dibuat sejak 2008 lagi, ia masih tidak menjadi kenyataan. Projek Bekalan Air Pulau Gaya adalah salah satu projek pembangunan luar bandar yang sedang disiasat SPRM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Oktober, 2017

BAGI Atong Arjuna dan orang kampungnya, laporan harian siasatan penyelewengan dana projek pembangunan luar bandar di Sabah adalah peringatan pedih tentang perubahan kehidupan yang sepatutnya berlaku kepada mereka.

Kehidupan mereka sepatutnya lebih selesa. Air paip sepatutnya sudah menjadi kenyataan sekarang. Tetapi untuk Atong dan rakan-rakannya di Kampung Gaya Asli, ia adalah sebuah siri panjang janji yang sering dimungkiri. Kisah mereka adalah ulangan kisah di bahagian lain di negeri Malaysia Timur itu.

Seingat lelaki berusia 42 tahun itu, keluarganya sudah lama hidup tanpa air paip dan terpaksa bergantung harap kepada air hujan dan telaga untuk kegunaan harian mereka.

“Akan jadi lebih sukar waktu kemarau. Sekarang, kami terpaksa beli air,” kata pengemudi bot pelancongan generasi kedua keturunan Bajau Ubian itu.

Sebuah tong 200 liter air berharga sekitar RM7 dan tangki 1,400 liter pula menelan belanja RM45.

Kampung halamannya adalah kawasan penempatan di Pulau Gaya yang antaranya termasuklah Kampung Lok Urai, Kampung Kasuapan dan Kampung Lobong.

Penempatan di pinggir Kota Kinabalu itu mempunyai sekitar 2,000 orang penduduk.

Pulau Gaya adalah tempat tinggal orang seperti ibu bapa Arjuna, yang melarikan diri daripada perang di selatan Filipina sekitar tahun 1970-an. Kini mereka adalah warganegara Malaysia yang merupakan bank undi ahli politik Barisan Nasional (BN) pada musim pilihan raya.

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, semua perkampungan itu dijanjikan bekalan air terawat oleh Ahli Parlimen Putatan, Marcus Mojigoh, daripada United Posokmomogun Kadazandusun Murut Organisastion (Upko), sebuah parti komponen BN.

Malah kontraktor pernah datang ke situ pada 2010, menurut Awang Adril Isil, 43, yang berpindah ke Pulau Gaya 30 tahun lalu mengikut isterinya yang berketurunan Bajau.

Kontraktor daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sepatutnya membina tangki simpanan. Dan tangki itu sudahpun disiapkan pada 2015 dengan kos RM135 juta, tetapi air bersih tidak pernah disalurkan kepada perkampungan yang terbina di atas air itu.
Penempatan di Pulau Gaya mempunyai lebih 2,000 orang penduduk dan sehingga kini masih ketinggalan dalam pelbagai projek keperluan asas walaupun merupakan bank undi Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Oktober, 2017

Projek itu juga termasuk saluran paip dalam air untuk membawa air terawat dari Taman Kingfisher di tanah besar ke pulau itu di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar (RSWP), dan pembinaan kabel kuasa berharga RM42 juta di bawah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Projek itu di bawah kementerian yang diterajui Shafie Apdal, ketika dia masih menjadi menteri kerajaan pusat dan masih bersama Umno.

Kini Shafie menjadi presiden parti pembangkang, Parti Warisan Sabah dan sedang dalam tahanan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan wujudnya penyelewengan dana RM1.5 bilion dana awam persekutuan yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan projek luar bandar Sabah.

Projek bekalan air Pulau Gaya adalah salah satu daripada banyak lagi projek yang sedang disiasat SPRM.

Walaupun wang yang diperuntukan untuk saluran perpaipan antara rumah, kerja-kerja pemasangan paip itu ditangguhkan sementara menunggu kelulusan kerajaan negeri.

Apabila skandal korupsi Jabatan Air Sabah terbongkar, isu itu dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sabah, dan kerajaan Sabah mengatakan pemasangan paip itu tidak dilakukan kerana kerajaan persekutuan melupakan negeri itu.

Tiada air paip, sekarang tiada tanah

Arwina Ali,47, yang merupakan penguasaha kantin kecil di Pulau Gaya memberitahu The Malaysian Insight yang hampir tiga ekar tanah suaminya diambil oleh kementerian untuk projek itu.

“Kami sudah tinggal di sini bergenerasi lamanya. Apabila pegawai kementerian persekutuan datang jumpa dan ambil tanah kami untuk bina tangki simpanan di atas bukit untuk simpan air terawat untuk kegunaan kampung, kami sangat gembira dan beri tanah.

“Suami saya tak beritahu saya banyak tapi kami tahu mereka akan bekalkan air kepada kami dan dia mahu tolong,” katanya.

Arwina berkata dia sangat kecewa yang masih tiada air paip ke rumah mereka walaupun sudah menyerahkan tanah keluarga untuk projek itu.

“Satu-satunya alasan diberikan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu beri adalah kerana ramai penduduk kampung tak bayar bil elektrik mereka dan kerana itu kami tak layak dapat bekalan air,” katanya.
Penduduk luar bandar Sabah masih tidak mempunyai keperluan asas yang cukup dan baik, walaupun negeri Bawah Bayu itu sudah menyertai Persekutuan Malaysia sejak 1963 lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 Oktober, 2017

Satu lagi alasan yang diberikan kepada penduduk adalah mereka akan dipindahkan ke Kimanis dan kerana itu tiada sebab air paip terawat dibekalkan kepada mereka, kata seorang lagi penduduk, Amen Ibrahim yang berusia 52 tahun.

Dan tangki simpanan di atas tanah yang diserahkan suami Arwina hanyalah simpanan air untuk bekalan Pejabat Operasi Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah di pulau itu, satu-satunya sekolah di situ dan Gayana Resort.

“Kami dengar kerajaan mahu ubah pulau ini jadi kawasan pelancongan. Dan kami dimaklumkan yang kami mungkin dipindahkan ke Kimanis.

“Kami tak lawan kerajaan tetapi mereka patut bagi kami bekalan air. Lagipun kami undi mereka dalam banyak pilihan raya,” kata Amen.

Ditanya sekiranya dia kenal Shafie Apdal, katanya mereka suku kaum yang sama, “Bajau Ubian” seperti ramai lagi penduduk di Gaya Asli. Amen juga mengatakan Shafie dulunya orang Umno.

Walaupun Amen tidak begitu tahu tentang parti baru Shafie, Warisan, janji dimungkiri dalam bekalan air terawat menjadikan dia berat hati hendak mengundi BN lagi pada pilihan raya umum akan datang.

Janji lain yang tak dipenuhi

Satu lagi projek bekalan air juga disiasat SPRM.

Tapak rawatan air di Kampung Sungai Intan, Semporna bernilai RM45 juta direka oleh Wilsakaya Sdn Bhd untuk membekalkan air ke bandar Semporna, kawasan Parlimen Shafie.

Ahli Warisan Amarjit Singh, antara ahli parti yang ditahan dalam siasatan SPRM adalah antara orang bertanggungjawab mereka tapak rawatan di Kampung Sungai Intan.

Pembinaan tapak itu kemudiannya ditenderkan kepada kontraktor, sementara kerja-kerja pemasangan paip antara rumah dilakukan Jabatan Air Sabah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Saluran air untuk penduduk Kampung Sungai Intan juga sepatutnya dilakukan jabatan air dan bukannya kerajaan persekutuan.

Walaupun tapak rawatan itu sudah disiapkan tahun lepas, ia masih tidak beroperasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad melawat tapak rawatan Semporna pada 12 Oktober dan mengatakan penduduk di situ sudah menunggu lebih daripada 30 tahun untuk bekalan air yang stabil tetapi sehingga sekarang masih terpaksa bergantung kepada telaga yang dibina mereka sendiri. – 26 Oktober, 2017.

2 comments:

  1. Good post. I learn something new and challenging on websites I stumbleupon everyday.

    It's always useful to read through content from other writers
    and practice a little something from their sites.

    My web page guesthouses In Goa

    ReplyDelete
  2. Very shortly this web site will be famous among all blog viewers, due to it's good posts

    ReplyDelete