Tuesday, October 24, 2017

Siapakah berani mengesahkan: Dengan pelaburan berbilion ringgit China tiada niat menguasai negara kita?

Kata Pedang: Projek OBOR China satu bentuk ‘penjajahan’ baharu
October 22, 2017
(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

SIAPAKAH yang berani mengesahkan bahawa pelaburan berbilion ringgit oleh kerajaan komunis China ke dalam Malaysia tidak mempunyai niat menjajah dan menguasai negara kita?

Siapakah yang berani mengesahkan semua projek yang dijalankan di tanah milik kita, manfaatnya akan kembali kepada kita?

Siapakah yang berani mengatakan bahawa pelabur China ikhlas membangunkan negara kita dengan pelbagai infrastruktur moden, semata-mata untuk memajukan Malaysia?

Siapakah yang berani memberi jaminan semua projek pelabuhan di kawasan-kawasan strategik akan mengukuhkan pertahanan negara dan tidak sedikit pun memberikan ruang kepada China untuk menjadikannya pangkalan tentera mereka?

Siapakah yang berani mengatakan bahawa syarikat-syarikat Melayu dan Bumiputera tempatan akan beroleh pelbagai peluang untuk naik maju melalui projek-projek China ini?

Siapakah yang berani berjanji bahawa China tidak akan masuk campur dalam isu dalaman negara sama ada aspek ekonomi, perundangan, pendidikan, pertahanan dan sebagainya?

Siapakah yang berani?

Hari ini, disebabkan tiada seorang pun orang kerajaan yang berani mengesahkan perkara-perkara di atas, maka Pedang berani berkata dengan lantang bahawa kemasukan pelaburan berbilion ringgit oleh China adalah satu ancaman kepada kedaulatan negara.

Pedang berani mengatakan bahawa di sebalik pelaburan China yang kononnya memberi manfaat kepada rakyat tempatan, adalah satu bentuk penjajahan baharu ke atas bumi bertuah ini.

Pedang berani berkata bahawa pimpinan negara telah menggadaikan masa depan negara di tangan kerajaan komunis China.

Pedang berani mendatangkan pelbagai bukti dan hasil kajian yang menunjukkan bahawa projek One Belt One Road (OBOR) China ini adalah satu malapetaka kepada negara.

Pedang berani mengatakan bahawa kerajaan China sedang berusaha menjarah hasil bumi negara kita tanpa meninggalkan sedikit pun untuk kita dan generasi seterusnya.

Banyak media telah mendedahkan bahawa pekerja-pekerja dari China dibawa masuk ke dalam negara ini untuk menjalankan projek berkenaan.

Juga telah didedahkan bahawa banyak bahan mentah dibawa masuk dari China untuk projek-projek ini dan barangan tempatan tiada tempat dalam projek mereka.

Segala-galanya atas nama transformasi – masa depan generasi Melayu, Bumiputera dijual, digadai, tanah diambil diserah kepada bangsa asing, rakyat dicengkam pelbagai cukai.

Adakah kita tidak mahu mengambil pengajaran daripada projek Pelabuhan Hambantota di Sri Lanka?

Kata Pedang: Berani pertahankan kedaulatan negara. - sumber

1 comment:

  1. Dah hampir terlambat baru nak sedar. Bodoh punya melayu siang malam dok serang dap dan pertahankan umno celaka. Baru skrg nak sedar. Hadi dan Pas bila lagi?

    ReplyDelete