Saturday, October 21, 2017

Jadi.......ganjilkah langkah Dr. Mahathir sekarang

Obama hentam ‘politik perpecahan’ sekembalinya ke medan kempen
TMI  -  Diterbitkan pada 20 Oct 2017 7:19PM
Berucap di perhimpunan menyokong Parti Demokrat untuk pilihan raya gabenor di New Jersey, Obama bercakap tentang ketakutan dan kepahitan yang menandakan kempen pilihan raya 2016 yang membawa kepada jawatan presiden Donald Trump. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2017

BARACK Obama kembali berkempen semalam, bersuara menentang “politik perpecahan” setelah lama berdiam diri dan mengelak daripada konfrontasi secara langsung dengan penggantinya di White House selepas melapaskan jawatannya.

Berucap di perhimpunan menyokong Parti Demokrat untuk pilihan raya gabenor di New Jersey, bekas presiden berusia 56 tahun itu bercakap tentang ketakutan dan kepahitan yang menandakan kempen pilihan raya 2016 yang membawa kepada jawatan presiden Donald Trump.

“Apa yang kita tidak boleh ada ialah politik perpecahan yang lama yang banyak kali kita lihat sebelum ini, sejak berabad-abad dahulu,” kata Obama dalam acara itu yang diadakan di Newark untuk Phil Murphy.

“Sebahagian daripada politik yang kita lihat sekarang, kita lupakannya. Ianya seperti melihat 50 tahun ke belakang,” tambah Obama. “Ini ialah abad ke-21, bukan abad ke-19.”

Obama kemudiannya muncul dalam acara di Richmond untuk menyokong Ralph Northam, calon gabenor partinya di Virginia, di mana beliau secara tidak langsung mengkritik cara Trump mendapatkan White House.

“Jika anda terpaksa memenangi kempen dengan memecahbelahkan rakyat, anda tidak akan mampu untuk memimpin mereka. Anda tidak akan mampu untuk menyatukan mereka kemudiannya,” kata Obama.

“Kita berada di tahap terbaik bukan ketika kita cuba untuk menjatuhkan orang lain, tetapi apabila kita cuba untuk membangkitkan orang lain,” katanya.

Pengundi di New Jersey dan Virginia akan menentukan pertarungan tersebut pada 7 November, setahun selepas Trump menundukkan wakil Demokrat Hillary Clinton dan menguasai White House.

Pertarungan tersebut bakal menjadi petunjuk kepada sentimen pengundi menjelang pilihan raya pertengahan penggal 2018, di mana akan menjadi ujian besar untuk Trump dan Parti Republikan beliau.

Profesor sains politik Universiti Virginia, Larry Sabato berkata pilihan raya gabenor New Jersey dan Virginia adalah satu-satunya "pilihan raya besar" untuk 2017.

“Apa yang dipertaruhkan adalah hak untuk bercakap besar menjelang pilihan raya pertengahan penggal 2018,” Sabato memberitahu AFP.

Obama telah menjauhkan diri dari debat politik sejak meninggalkan pejabat pada 20 Januari, meneruskan tradisi presiden.

Trump sementara itu telah menggunakan 9 bulannya di White House untuk menghapuskan dasar pentadbiran utama Obama. – AFP, 20 Oktober, 2017

No comments:

Post a Comment