Saturday, October 28, 2017

Ahli MT Umno cedera ditikam

Ahli MT Umno cedera ditikam, polis tahan jiran
Diterbitkan pada 28 Oct 2017 8:34AM
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Sohaimi Shahadan dikatakan berkunjung ke rumah jiran untuk memaklumkan kepada ibu bapa suspek yang membaling batu sehingga terkena anak saudaranya sebelum ditikam. – Gambar Facebook, 28 Oktober, 2017

AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Sohaimi Shahadan cedera selepas ditikam oleh jirannya yang dipercayai kurang siuman dalam kejadian di hadapan rumahnya di Sungai Buloh, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt S. Somu berkata dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, Sohaimi dikatakan berkunjung ke rumah jirannya untuk memaklumkan kepada ibu bapa suspek berhubung kelakuan lelaki berusia 20-an itu yang membaling batu ke rumahnya sehingga terkena anak saudaranya.

“Lelaki itu kemudian menikam Sohaimi di bahagian belakang kepala dan bahu kanan serta turut menikam anak saudara lelaki Sohaimi yang datang untuk membantunya di bahagian kepala dan pipi menggunakan objek tajam,” katanya ketika dihubungi.

Somu berkata polis yang dimaklumkan kejadian itu menahan suspek manakala Sohaimi dan anak saudaranya dihantar ke Hospital KPJ di Damansara untuk mendapat rawatan kecemasan dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan kes  disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah. – Bernama, 28 Oktober, 2017

1 comment: