Friday, October 27, 2017

Bajet 2018: PM umumkan faedah bagi penjawat awam dan pesara kerajaan

Khabar gembira untuk penjawat awam
mk   -   Hari ini, 7:05 pm
BAJET 2018 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Beliau berkata bayaran itu akan diberikan dua kali iaitu RM1,000 pada awal Januari 2018 dan RM500 dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

Kerajaan juga tidak lupa kepada pesara kerajaan apabila bakal menerima bayaran khas sebanyak RM750 iaitu RM500 pada Januari 2018 dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri, kata Najib, yang juga menteri kewangan, ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat.

Selain bayaran khas, beliau turut mengumumkan beberapa khabar gembira untuk penjawat awam yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan antaranya kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan (time-based) kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama.

Beliau berkata penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib.

Beliau turut mengumumkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari akan dibenarkan digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan dan kadar Cuti Rehat Khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dinaikkan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun.

Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan buat julung kali bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah.

Untuk memberi fleksibiliti, beliau berkata, kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.

Pakar Perubatan Gred UD54 dan ke atas, yang telah diwartakan sekurang-kurangnya empat tahun serta memenuhi syarat tertentu, akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan Waktu Kerja Fleksi.

Najib turut mengumumkan kelayakan cuti bersalin ditambah daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun.

Beliau berkata penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenarkan pulang lebih awal sejam.

“Bagi melengkapi hasrat ini, suami yang bekerja kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam, syaratnya, suami dan isteri mestilah bekerja di lokasi yang berdekatan,” katanya.

Beliau berkata pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam akan dilakukan dengan melaksanakan Kursus Sarjana dan PhD secara dalaman (in-house).

Najib turut mengumumkan kenaikan kadar pencen terendah kepada RM1,000 sebulan melibatkan lebih 50,000 pesara awam, dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan.

Turut diumumkan ialah pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara kerajaan. Najib, dalam pada itu, berkata bagi mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, kerajaan akan meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15 peratus tertakluk kepada maksimum RM250 setahun dalam Skim Persaraan Malaysia, di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sumbangan ini bermula dari 2018 hingga 2022,” katanya.

1 comment:

  1. ambek dedak ambek jugak
    tukar tetap mau tukar
    jangan takut tukar ini kerajaang
    ada peluang tukar dalam pru14
    jnagan lepaskan peluang
    tengok kalau amono ni kalah depa nak buat
    huru hara ka???
    mase matde dulu kalau bn kalah konon nya akan jadi kacau
    ni pung sekor lagi lahabau
    duk meracau lani

    ReplyDelete