Monday, October 30, 2017

Amukan gajah di Baling

Amukan gajah: Penduduk kampung trauma tanaman, bangsal dan jamban musnah
Astro Awani |  Oktober 30, 2017 13:35 MYT
Amukan gajah: Penduduk kampung trauma tanaman, bangsal dan jamban musnah
Keadaan belakang rumah seorang penduduk yang rosak teruk akibat serangan gajah. - Astro AWANI
BALING: Urusan harian penduduk di Kampung Bukit Hijau, Kupang di sini terganggu, malah kini hidup dalam ketakutan apabila seekor gajah jantan setinggi 15 kaki (4.57 meter) mengamuk di kawasan itu sejak dua hari lalu.

Dalam kejadian tersebut, salah seorang penduduk, Jamilah Ismail, 64, mengalami trauma apabila bangsal dan tandas yang hanya berjarak selangkah di bahagian belakang rumahnya ranap diserang gajah berang itu.

Berikutan insiden berkenaan, Jamilah yang tinggal bersama seorang anaknya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU), Saharani Ghazali, 43, tidak berani untuk pulang ke rumah mereka.

Gajah jantan dewasa berkenaan yang tingginya dianggarkan melebihi aras bumbung rumah, dipercayai masih berada di sekitar kawasan kampung itu, dan turut membawa seekor anak.
Bangsal dan tandas di belakang rumah Jamilah musnah. - Astro AWANI
Jamilah bimbang untuk terus tinggal di rumahnya selepas kejadian serangan gajah. - Astro AWANI

“Dalam pukul 4 pagi itu, dia (gajah) tarik zink di belakang rumah. Saya ingatkan kucing, maka saya hambat (sergah dan kejar) dan dia diam. Lepas tu (nampak) dia pergi ke belakang pokok kelapa di belakang rumah.

“Saya lari ke rumah orang lain (mengikut laluan) depan rumah. Tak berani nak duduk sebab dah tengok badan gajah tu,” imbasnya.

Kejadian pada awal pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Kesan tapak kaki gajah jika dibandingkan dengan tapak tangan manusia. - Astro AWANI

Ganggu habitat

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Hijau, Idris Yaakob pula mendakwa serangan gajah itu ada kaitan dengan aktiviti penggondolan hutan dara di Hutan Simpan Gunung Inas.

Dakwanya, sejak aktiviti pembalakan dimulakan kira-kira 10 tahun lalu, kawasan petempatan kampung mereka sering didatangi mamalia besar berkenaan, dipercayai untuk mencari habitat baharu.

“Di atas sana pun sudah berlaku aktiviti pembalakan. (Hutan) sudah diteroka. Mungkin dia (gajah) terganggu dan tak ada makanan, maka dia masuk ke kampung.

“Kawasan pembalakan ni kira dekat (dengan kampung), di kaki Gunung Inas. Sebelum ni tak ada (datang ke kampung). Dia duduk di kawasan hutan itu saja,” ujar Idris.

Menurut Idris, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah telah dimaklumkan mengenai perkara itu, dan beberapa anggota termasuk pegawai jabatan tersebut telah datang ke lokasi berkenaan pada petang hari kejadian.

Pokok kelapa ini hanya sebahagian daripada tanaman yang dirosakkan di kampung tersebut. - Astro AWANI

No comments:

Post a Comment