Tuesday, October 24, 2017

Berbelanja besar mempromosikan diri sendiri?

Apa sebenarnya tujuan lawatan Najib ke Amerika, soal Amanah
TMI · Diterbitkan pada 24 Oct 2017 7:01PM ·
Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah mempertikaikan adakan lawatan perdana menteri ke Amerika Syarikat hanya untuk mempromosikan dirinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017

AMANAH hari ini mempersoalkan sama ada lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) pada September lalu hanya untuk mempromosikan dirinya atau atas tujuan pelaburan.

Pengerusi Amanah Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah berkata beliau terkejut dengan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mustapa Mohamed semalam yang mengatakan tiada sebarang perjanjian pelaburan dimeterai dalam lawatan ke White House itu.

"Adakah ia bermakna Najib hanya ingin mengambil hati Presiden (Donald) Trump atas sebab tertentu tanpa benar-benar berupaya membuat pelaburan?  

“Adakah ini ada kaitan dengan siasatan DoJ (Jabatan Kehakiman AS) ke atas kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad)? Bukankah ini merosakkan nama baik Malaysia?

"Tawaran pelaburan Malaysia merupakan jenaka besar yang menyedihkan. Adakah ini juga menunjukkan pelawaan pelaburan Najib tidak laku kerana 'berisiko tinggi'," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata kenyataan Mustapa itu berbeza dengan kenyataan Najib sebelum ini yang mengatakan lawatan ke sana adalah bagi membantu ekonomi AS melalui pelaburan.

"Saya terkejut dengan kenyataan tersebut kerana saya mendengar sendiri video Najib menyatakan Malaysia ingin membantu ekonomi Amerika.

“Ini termasuk akan membuat pelaburan di Amerika berharga lebih daripada AS$4 bilion melalui KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Khazanah Nasional serta puluhan bilion lagi bagi membeli kapal terbang Boeing daripada Amerika," katanya.

Najib sebelum ini berkata beliau berkunjung ke Washington dengan tiga cadangan khusus “untuk mengukuhkan ekonomi Amerika” iaitu menambah pembelian pesawat oleh Malaysia Airlines daripada Boeing serta melabur dana KWSP dalam pembangunan infrastruktur negara itu serta meningkatkan pelaburan Khazanah Nasional di negara itu.

Urus niaga dengan Boeing yang pada asalnya lapan pesawat Dreamliners 787 bernilai AS$2.2 bilion kemudiannya bertukar jadi komitmen AS$10 bilion untuk jet dan enjin jet daripada General Electrics.

"Najib tidak dijemput secara rasmi kerana tiada sambutan permaidani merah dan hotel dibayar dengan duit rakyat Malaysia.

"Tidak hairanlah pertanyaan ketua pembangkang Wan Azizah (Wan Ismail) tentang perbelanjaan Najib ke Amerika yang sia-sia itu ditolak oleh speaker Parlimen pada hari pertama persidangan.

"Inilah karenah perdana menteri Malaysia yang belanja besar mempromosikan diri sendiri tapi kepentingan rakyat terus diabaikan," katanya.

Semalam, Mustapa berkata lawatan kerja pada 11 hingga 13 September itu bertujuan meningkatkan profil dan persepsi positif terhadap Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan AS.

Mustapa berkata lawatan Najib ke AS itu tiada sebarang perjanjian pelaburan di antara kerajaan Malaysia dan AS yang dimeterai.

“Lawatan kerja itu usaha berterusan dalam meningkatkan profil dan persepsi positif terhadap Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan dari kaca mata pentadbiran dan ahli Kongres AS,” katanya semalam dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Mustapa berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasturiraani Patto yang meminta kementerian menyatakan dengan terperinci perjanjian dan jenis pelaburan yang dimeterai dalam pertemuan Najib dengan Trump. – 24 Oktober, 2017.

* Ada apa-apa soalan kepentingan rakyat dari kumpulan 'Pasu Bunga'?

No comments:

Post a Comment