Monday, October 23, 2017

Hambik kau RPK!

Sebar berita palsu, peguam negara bakal saman Raja Petra
TMI · Diterbitkan pada 22 Oct 2017 11:35AM
Peguam Negara Mohamed Apandi Ali menyangkal kandungan artikel bertajuk 'Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1' yang ditulis di kolum Raja Petra - The Corridors of Power, dan menafikan dakwaan dalam artikel tersebut termasuk dakwaan rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

PEGUAM Negara Mohamed Apandi Ali berang dengan Raja Petra Kamaruddin dan berkata akan menyaman penulis itu berikutan sebuah artikel tulisan blogger itu pada Jumaat.

Apandi berkata beliau sudah berbincang bersama rakan-rakan peguamnya di United Kingdom (UK) mengenai langkah seterusnya yang akan diambil untuk menyaman Raja Petra seperti yang dilaporkan dalam sebuah artikel terbitan portal berita The Star Online.

"Saya akan saman dan sedang berbincang dengan rakan-rakan peguam saya di UK. Ini tidak lain hanyalah berita palsu yang dibuat dengan niat jahat," katanya kepada portal berita tersebut.

Apandi menyangkal kandungan artikel bertajuk "Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1" di ruangan The Corridors of Power di blog Malaysia-Today dan menafikan dakwaan dalam artikel tersebut termasuk dakwaan rasuah.

Beliau juga menafikan khabar angin bagaimana diberi jawatan peguam negara.

Raja Petra yang hidup dalam buangan di UK selepas melarikan diri dari Malaysia pada 2006 apabila mendapati dia menghadapi tuduhan fitnah selepas menerbitkan cerita-cerita mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dan Rosmah dengan pembunuhan kejam model dan penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut The Star Online, Raja Petra turut menulis mengenai pertemuan yang didakwa diadakan pada 2015 antara hakim-hakim kanan - iaitu bekas ketua hakim Arifin Zakaria, Ketua Hakim Negara Md Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin - bersama seorang ahli politik kanan mengenai satu plot didakwa untuk menjatuhkan kerajaan.

Sebelum dilantik menjadi peguam negara dua tahun lalu, Apandi mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam bidang perundangan, sebagai seorang hakim kanan dan juga dalam politik.

Karier Apandi bermula selepas menamatkan pengajian undang-undang dari Universiti London pada 1972. Beliau kemudian berkhidmat sebagai majistret di Kuala Terengganu dari 1973 hingga 1975.

Apandi kemudiannya dilantik sebagai pengarah Biro Bantuan Guaman di negeri kelahirannya, Kota Bharu untuk dua tahun. Beliau seterusnya berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya di Kelantan dan Terengganu dari 1977 hingga 1980.

Selepas itu Apandi menjadi penasihat undang-undang bagi Kementerian Perdagangan dan Industri sebelum menubuhkan firmanya sendiri pada 1982.

Pada 2003, Apandi kembali ke perkhidmatan awam dan dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan, sebelum menjadi hakim pada 21 Disember 2004.

Pada 30 September 2013, beliau menjadi hakim Mahkamah Persekutuan dan berkhidmat sehingga dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015. – 22 Oktober, 2017.

* Dan "Strong Rumours Surrounding the AG: Part 2"

1 comment:

  1. Gertak di Malaysia sahaja kot, tak sampai ke London.

    ReplyDelete