Tentanglah PAS habis-habisan
Kita terpaksa bekerja keras supaya pemimpin PAS dan Umno yang berhati batu ini akan berubah; supaya hati keras mereka menjadi lembut. Dan akhirnya menerima kenyataan.
Oleh Datuk Zaid Ibrahim
Ramai orang Malaysia, terutama ahli Umno dan PAS, yang berkata mereka tidak faham di mana kesalahan perdana menteri dalam kes ini.
Mereka kata, 1MDB tidak ada masalah. Mereka kata, 1MDB tidak pun rugi. Tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat adalah untuk menyerang kepimpinan Melayu.
Arul Kanda sekarang ini terus aktif memberi keyakinan kepada orang Umno yang 1MDB tidak ada kena mengena dengan PM. Dan seterusnya.
Mereka ini semua dari golongan manusia berhati batu.
Saya tidaklah mahu mengulang kembali fakta bagaimana wang sebanyak AS$3.5 bilion dari 1MDB itu lesap. Penyiasatan FBI jelas menunjukkan bagaimana wang 1MDB itu lesap. Bacalah dahulu sebelum berkata, “tak faham”.
Sebahagian besar daripada wang itu masuk ke dalam akaun peribadi PM, dan rakan-rakannya. Saya percaya kepada penyiasatan FBI. FBI lebih profesional daripada polis kita, dan FBI tidak boleh di arah oleh sesiapa, walaupun presiden Amerika Syarikat sekalipun.
Saya yakin kepada FBI. Tetapi orang yang hati batu mencari berbagai helah untuk menolak siasatan FBI ini.
Di Malaysia, orang hati batu ini tidak pun menuntut siasatan polis yang bebas. Mereka lebih selesa jika kita tiada siasatan, atau kalau ada pun, separuh jalan.
Yang kita ada adalah pengesahan bahawa semua yang dituturkan oleh PM adalah benar belaka. Kalau PM kata derma dari Arab Saudi, maka MACC pun kata, “Ya, itu betul”.
Itu bukan siasatan namanya; itu adalah “cover-up”. Tutup sana, tutup sini. Pecat sana, pecat sini.
Orang yang tak bersalah tidak akan bertindak seperti PM.
Orang yang tidak bersalah tidak akan memecat pegawai tinggi kerajaaan, tidak akan membubarkan Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC), tidak akan melantik pengerusi PAC baru yang berkata dia “cari makan”, tidak akan menyekat sebaran Laporan Ketua Audit Negara, tidak akan menukar juru audit syarikat sebanyak empat kali.
Orang yang tidak bersalah tidak akan menyekat siasatan polis kepada hal tertentu sahaja, dan tidak akan memecat timbalan PM, tidak akan memecat peguam negara dan seterusnya.
Tindakan Datuk Seri Najib Razak jelas membuktikan dia bersalah, dan hanya orang berhati batu yang membelanya.
Pada hemat saya, PM bersalah dalam banyak hal berkaitan dengan 1MDB dan SRC; hanya orang yang berhati batu yang menolak dakwaan ini.
Pada saya beliau dan juga kuncu beliau yang menutup kesalahan beliau itu perlu dibawa ke muka pengadilan suatu hari nanti. Ini akan berlaku sebaik sahaja kerajaan rakyat dapat ditubuhkan.
Buat masa ini saya membuat tuntutan di mahkamah supaya Najib memulangkan balik wang sebanyak AS$731 juta dari 1MDB dan RM42 juta dari SRC kepada rakyat Malaysia dan kes ini saya harap akan dibicara secepat mungkin.
Orang yang hati batu ini ramai; dan kita terpaksa terus cuba menerangkan kepada mereka apa yang telah, dan sedang, berlaku.
Di dalam al-Quran, Surah Al-Baqarah, disebut tentang telatah orang yang hati mereka keras; malah lebih keras dari batu. Batu yang keras itu pun membenarkan air sungai mengalir, tetapi hati manusia yang keras ini hanya boleh dilembutkan dengan kuasa Allah.
Kita terpaksa bekerja keras supaya pemimpin PAS dan Umno yang berhati batu ini akan berubah; supaya hati keras mereka menjadi lembut. Dan akhirnya menerima kenyataan.
Kita tahu ramai peminat PM, dari golongan professor kangkung, dari golongan orang yang memakai “semutar” dan ulama. Kata mereka, siasatan Amerika tidak boleh dipercayai.
Tetapi mereka sanggup menutup mata kepada wang yang masuk ke dalam akaun PM sendiri; dan mereka berdiam diri apabila siasatan bebas disekat, dan apabila Laporan Ketua Audit Negara diletak di bawah OSA.
Seorang pemimpin mesti bertanggungjawab. Kita mesti menerima hakikat ini. Jikalau golongan pemimpin boleh sewenang-wenangnya berbuat apa yang mereka suka, dan undang-undang tidak diguna pakai terhadap mereka, hancurlah negara kita.
Apakah ini yang diperjuangkan oleh Islam di Malaysia ini?
Sekarang ini PM seolah-olah tidak boleh melakukan apa-apa kesalahan pun. Bila 1MDB rugi sebanyak RM42 bilion, dan wang sebanyak hampir RM3 bilion masuk ke dalam akaunnya sendiri kita wajib menuntut daripadanya penjelasan yang masuk akal.
Jika beliau gagal memberikannya kita mesti menolak pimpinannya.
Seorang PM yang juga menyandang jawatan Menteri Kewangan mempunyai tanggungjawab fidusiari tentang harta dan wang kerajaan, atau dalam erti kata lain, satu amanah. Atau di dalam bahasa Arab, Al Masuliyat Al–Istimaniyaah.
Cuma konsep tanggungjawab fidusiari atau amanah ini mungkin tidak ada dalam kamus Umno. Mungkin pemimpin ulama PAS juga belum memahami konsep ini. Sebab itulah wujudnya ramai orang hati batu di dalam negara kita.
Kita mesti menukar nilai yang digunakan hari ini. Jika tidak negara kita akan sentiasa dicuri, dirompak dan disamun oleh lanun VIP.
Sebab itu saya menuntut supaya PM membayar balik wang yang hilang atau yang dilesapkan itu. “Restitution” atau tuntutan pembayaran balik kepada mereka yang mencuri harta orang awam.
Mereka mesti mengembalikan apa yang telah mereka ambil; ini prinsip yang diiktiraf di dalam undang-undang kita.
Saya harap kita dapat perbanyakan ceramah dan sesi penjelasan 1MDB ini ke seluruh negara. Ini adalah skandal kewangan yang paling besar di dunia.
Kalaulah ada acara sukan Olimpik untuk mereka yang melesapkan wang negara, maka tentunya Malaysia meraut pingat emas.
Sungguhpun begitu, hilang wang boleh kita cari ganti, tetapi hilang pedoman akan membuatkan kita bukan sahaja berhati batu, malah boleh membuatkan kita gila.
Saya harap Amanah dapat membela maruah negara dan orang Islam di negara ini.
Tentanglah PAS habis-habisan, sebuah parti yang telah bertungkus lumus menentang kekufuran dan kezaliman selama 60 tahun tetapi tiba-tiba kini selesa dengan 1MDB dan Najib Razak. Apa sudah jadi?
No comments:
Post a Comment