Saturday, August 20, 2016

Najib tetap yang terhebat!

Thursday, 18 August 2016

NAJIB TETAP YANG TERHEBAT, TAK PERLU BANDINGKAN DIRINYA DENGAN TUN M

Sudah beberapa kali Najib Razak mengkritik dasar atau pendekatan kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sambil membandingkan dengan apa yang dilakukannya sekarang. Tujuannya tidak lain ialah untuk menonjolkan dirinya lebih baik berbanding bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini.

Ketika melancarkan sebuah model baru Proton tidak lama selepas Tun Mahathir berundur dari syarikat kereta nasional itu, Najib mengambil kesempatan menempelak kononnya sering berlaku campurtangan politik dalam syarikat tersebut, tetapi ia kini telah berakhir di era kepimpinannya.

Walaupun diketahui umum Tun Mahathir memandang jauh ke hadapan berkenaan pengangkutan awam dengan memperkenalkan LRT, ERL, komuter, memperkenalkan sistem bas dan lain-lain, manakala Najib hanya melakukan sambungan saja, beliau tetap menyalahkan bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan tidak menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun berkuasa selama 22 tahun.
Najib seolah-olah, dengan hanya pengenalan MRT yang dibawanya, mahu seluruh kebaikan dan pujian berkaitan pengangkutan awam sertus-peratus ditumpukan kepadanya seorang diri saja.

Apabila tambang ERL dari pusat bandar ke KLIA dinaikkan dari RM35 kepada RM55, Najib tidak melihat ia sebagai kegagalan pentadbirannya melakukan rundingan, tetapi lebih menyalahkan era kepimpinan Tun Mahathir yang memetrai perjanjian pada 1997 dahulu.

Najib juga  "masuk bakul angkat sendiri"  kepada masyarakat India dengan mengatakan sumbangan yang dilakukannya kepada komuniti itu lebih banyak berbanding Tun Mahathir.

Hari ini, sekali lagi Najib membandingkan kebaikan dirinya berbanding Tun Mahathir berhubung dasar luar.

Kata Najib, dasar luar Tun Mahathir sengaja berbentuk konfrontasi bertujuan untuk meraih populariti peribadi, pendek akal dan merugikan diri sendiri berbanding pendekatannya yang mementingkan kerjasama dan bukan persengketaan serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.

Dalam beberapa ucapan lain, Najib juga kerap meletakkan dirinya lebih baik berbanding Tun Mahathir seperti berkaitan sistem pemilihan UMNO yang kononnya lebih terbuka, menghapuskan beberapa akta dan sebagainya.

Apa sebenarnya masalah Najib sehingga beliau begitu kerap cuba membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir?

Kenapa beliau tidak pernah membandingkan dirinya lebih baik berbanding pendahulunya yang sebenar iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi atau bapanya sendiri, Tun Razak?

Mengapa Tun Mahathir saja yang kerap dijadikan perbandingan?

Kenapa nama dan kelibat Tun Mahathir begitu alergik dan seolah-olah melekat dalam pemikirannya?

Apakah Najib secara diam-diam sedang memasang impian mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada 22 tahun?

Sebenarnya adalah perbuatan sia-sia bagi Najib membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir. Tidak perlu pergi terlalu jauh, jika dibandingkan dalam tempoh tujuh pertama menjadi Perdana Menteri saja, Najib sudah terbukti "lebih hebat"  dan meninggalkan Tun Mahathir ketinggalan di belakangnya.

Apa pencapaian Tun Mahathir ketika tujuh tahun pertama menjadi Perdana Menteri?
Sudah tentu ramai yang lupa dengan pencapaiannya.

Tetapi, seawal tujuh tahun menjadi Perdana Menteri, bermacam-macam "rekod" dan "pencapaian gemilang" telah berjaya digapai oleh Najib.

Antaranya, hutang tertinggi negara, pembaziran dan kemewahan di mana-mana, kenduri kahwin anak perempuannya yang gilang-gemilang yang tidak pernah berlaku sebelum ini, isterinya yang didedahkan dengan pelbagai barang mewah, perhiasan mahal, percutian, penggunaan jet yang tiada tolok bandingnya serta bermacam-macam gegak gempita lainnya.

Tidak sekadar itu, Najib juga mencipta "rekod" sebagai penerima derma terbesar dunia - dulu, kini dan selamanya dan melalui 1MDB serta persahabatannya dengan Jho Low, nama Malaysia terus melonjak, tidak saja di dalam negara dengan hutang besar dalam tempoh yang singkat dan perbualan rakyat mengenainya, malah di persada antarabangsa turut berlaku liputan media berterusan sepanjang masa serta lapan negara terpaksa membuka kertas siasatan mereka.

Di Amerika, melalui tindakan yang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS dengan bantuan FBI, nama Malaysia terus menjadi bualan dan beralih dari sebuah negara demokrasi kepada ungkapan baru iaitu kleptokrasi.

"Kehebatan" dan "kegemilangan" ini pasti akan berterusan, dikenang dan menjadi sebutan lebih lama berbanding orangramai mengingati jasa-jasa Tun Mahathir selama 22 tahun. Tiada mana-mana pemimpin lain yang mampu menandinginya, baik Tun Mahathir atau sesiapa jua. Itu baru tujuh tahun pertama saja, bayangkan betapa gemilangnya Malaysia jika Najib berpeluang berkuasa lebih 22 tahun lamanya.

Lalu, tidak perlu sama sekali Najib membuang masa membanding-bandingkan dirinya dengan Tun Mahathir. Beliau tetap yang "terhebat" dan "tiada duanya" dalam sejarah Malaysia. (SH 18/08/2016). - sumber

No comments:

Post a Comment