Thursday, July 28, 2016

Sampai begini sekali terdesaknya mereka?

Gambar ‘orang meninggal’ pertahan Najib di media sosial
mk - Hari ini 28 Jul. 2016, 6:32 petang
Gambar seorang wanita, yang dakwa rakannya telah meninggal dunia tiga tahun lalu, muncul dalam akaun Facebook yang mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Akaun media sosial 'Zunaidah Zain', yang menggunakan potret itu sebagai gambar profil, tidak lagi boleh didapati di Facebook.

Menurut screenshot daripada posting yang sudah tersebar luas itu, 'Zunaidah Zain' berkata rakyat harus menyokong pemimpin, dengan menggunakan hashtag #RespectMyPM #BelieveinPM itu.

Namun, seorang lagi pengguna media sosial menjawab bahawa gambar yang digunakan oleh 'Zunaidah' sebagai gambar profilnya sebenarnya adalah rakannya yang telah meninggal dunia.

"Gambar profile yang Cik Puan gunakan adalah gambar sahabat saya, Syuhada Baharudin. Beliau sudah kembali kepada penciptanya 3 tahun yang lepas," tulis Rita Abdul Rahim.

Semakan di media sosial menunjukkan gambar yang digunakan oleh 'Zunaidah' sepadan dengan gambar yang dimuat naik oleh Syuhada di laman Facebooknya.

Posting terakhir Syuhada di Facebook ialah pada bulan Jun 2014.

Malaysiakini telah menghubungi Rita untuk mendapatkan komennya.

Dalam perkembangan yang sama, jurucakap kumpulan belia, Challenger Syed Saddiq Abdul Rahman berkata ini bukan kali pertama akaun palsu diwujudkan bagi memuji Najib secara melambung.

Katanya, gambar pendebat negara, Mifzal Mohammed juga digunakan tanpa kebenaran.

"Gambarnya digunakan oleh pelbagai akaun (media sosial) untuk menyerang saya," kata Syed Saddiq di Facebook.

"Betapa bodohnya mereka? Adakah mereka benar-benar fikir saya tidak mengenai rakan-rakan debat saya?" kata Syed Saddiq yang dinamakan sebagai pendebat terbaik Asia.

Beliau juga memuat-naikkan screenshot 'Nazreev Najeeb' yang membidasnya di Facebook dengan berkata "minda kosong paling banyak membuat bising".

Gambar profil ‘Nazreev’ sepadan dengan gambar profile akaun Google+ pendebat UiTM, Mifzal.

Hashtag pro-Najib, termasuk #BeStrongPM, muncul di media sosial berikutan pengumuman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang memfailkan tindakan undang-undang untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion berkaitan 1MDB.


DOJ mendakwa aset berkenaan dibeli menggunakan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Antara yang dinamakan dalam saman sivil itu adalah anak tiri Najib, Riza Aziz dan rakan keluarganya, Jho Low.

Anifah dipukau oleh Najib?

Anifah Mengakui Dipukau oleh Najib
Written By canang on Rabu, 27 Julai 2016 | 7/27/2016 07:50:00 PTG
Putra Jaya: Wakil Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan bahawa beliau kini sedang mengembling tenaga untuk menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengembalikan hak 40% hasil negeri Sabah kepada rakyat negeri ini yang dijangka berjumlah RM 100 billion.

Anifah ketika diminta mengulas berkata bahawa selama ini beliau seolah-olah terpukau dengan kebijaksanaan pentadbiran Najib yang penuh bergaya dan karisma.

Ini disahkan oleh pemimpin-pemimpin sebelumnya yang  dikatakan turut terpukau dengan kebijaksanaan pimpinan UMNO/BN selama 42 tahun. Kali terakhir royali minyak dan gas Sabah dibayar oleh persekutuan Tanah Melayu adalah pada tahun 1974,  ketika Tun Mustapha masih menduduki tampuk pemerintahan Sabah.

Ini bermakna 10 ketua menteri Sabah yang memegang teraju kepimpinan selama ini turut sama terpukau.

“Tuntutan 40% kepada negeri Sabah ini adalah sah dibawah perlembagaan persekutuan. Ia adalah milik kita dan kita berhak menuntutnya” kata Anifah yang dipetik oleh pemberita.

Najib yang agak terkejut dengan permintaan mendadak pemimpin-pemimpin Sabah ini bagaimanapun berjanji untuk menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji tuntutan ini.

Najib baru-baru ini mengharumkan nama negara berikutan rating terbaru dari agensi rating Fitch yang memberi rating A+++ untuk kedudukan fiskal kewangan negara. Ia dilihat semakin kukuh berikutan kejayaan Jho Low meraih keuntungan dari pelaburan dana dari syarikat 1MDB.

Najib pada kempen pilihan raya umum lepas berkata bahawa Sabah adalah “simpanan tetap” (Fixed deposit) parti BN. Tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan oleh beliau. Walau bagaimanapun, penganalisa politik bebas, Prof. Jauhari Ahmad berkata bahawa simpanan tetap yang dimaksudkan oleh Najib adalah berupa dana RM100 billion ini.

Joseph Sipanggil, dari Tambunan ketika diminta mengulas berkata bahawa beliau sangat berbangga dengan inisiatif Anifah dan pemimpin-pemimpin Sabah ini. “Saya sangat berbesar hati mendengar khabar ini pagi tadi” kata Joseph. “Untuk ini, saya dan keluarga akan mengadakan kenduri kecil-kecilan untuk menunjukkan sokongan kepada usaha tersebut” tambahnya lagi.

# dengan Kelantan pun Najib janji juga

Walaupun kalah pertarungan, Tun Dr Mahathir menang perang saraf

Benarkah Tun Dr Mahathir Menang Perang Saraf?
musram rakunman - Wednesday, 27 July 2016

Tidak dinafikan, bahawa kumpulan Anti Najib yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohammad, sebenarnya menang perang saraf menggunakan 1MDB sehinggakan syarikat itu menjadi kemelut dan  kemudiannya  kemelut itu dipalitkan kepada Perdana Menteri.

Lebih 3 tahun lalu, jarang sekali rakyat yang mengetahui berkaitan 1MDB, walaupun masa itu, Dato Seri Anwar Ibrahim pernah bercakap mengenainya di Dewan Rakyat.

Tiga tahun lalu, tiada yang kenal siapa Jho Low, siapa Reza Aziz dan dua individu daripada Petrosaudi, termasuk seorang warga Swiss yang bernama Xavier Andre Justo.

Tiga tahun lalu, tiada ura-ura, bahawa Tan Sri Muhiyiddin Yassin atau Datuk Shafie Afdal, bercakap berkaitan 1MDB. 

Pada PRU-13 yang diadakan pada mei tahun 2013, isu 1MDB tidakpun menjadi bahan kempen pembangkang, ertinya, 1MDB pada masa itu belum lagi menjadi faktor yang boleh dijadikan sebagai pemancing undi atau sokongan.

Namun, apabila Tun Dr Mahathir pada Disember 2014, mengambil 1MDB sebagai maskot untuk mendesak DS Najib Razak meletakkan jawatan, maka makin rancaklah cerita berkaitan dengan syarikat itu. 

Laporan bertali arus Sarawak Reports, portal-portal pembangkang tempatan, serta media antarabangsa seperti The Wall Street Journal, New York Times, maka semakin banyak cerita berkaitan dengan syarikat itu. Penangkapan warga Swiss di Thailand, Xavier Andre Justo yang dikaitkan dengan syarikat itu, memperancak lagi, keinginan tahuan rakyat negara ini berkaitan dengan syarikat gergasi itu.

Tulisan-tulisan berkala Tun Dr Mahathir melalui blog beliau www.chedet.cc dengan berbagai dakwaan, termasuk kehilangan wang RM42 bilion yang dipinjam syarikat itu daripada berbagai pihak, menarik perhatian rakyat negara ini. 

Isu 1MDB semakin diminati, apabila berlaku pendedahan USD681milion wang didapati dimasukan ke akaun pribadi Perdana Menteri di AmBank menjelang PRU-13, kemudiannya wang itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri sebagai sumbangan daripada Timur Tengah.

Sebelum penedahan berkaitan sumbangan itu, memang Sarawak Reports, telah mendakwa, bahawa wang mendekati jumlah itu dipindahkan daripada akaun 1MDB kepada satu akaun di Swiss, Gold Star, dan mendakwa bahawa akaun itu kepunyaan Jho Low. Jho Low adalah kenalan keluarga DS Najib Razak, kerana “jutawan” itu kawan baik Reza Aziz, anak tiri Perdana Menteri.

Ekoran-ekoran tulisan-tulisan Tun Dr Mahathir di blog beliau berkaitan 1MDB, Datuk Salleh Tun Said, di mana masa itu sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, mula membela DS Najib Razak dan 1MDB melalui blog beliau www.sskeruak.blogspot.com.

Pada satu perjumpaan di Kota Belud tahun 2015, di situlah Perdana Menteri mengumumkan, bagaimana beliau teruja dengan sokongan Salleh khususnya tulisan-tulisan Timbalan Pengerusi Umno Sabah itu melalui blog. Melalui isyarat itu, ramai penganalis politik tempatan, khususnya daripada Kota Belud, sudah dapat mencium, bahawa Salleh akan di bawah masuk ke dalam kabinet Persekutuan. Benarlah juga, kurang daripada dua bulan, semasa rombakan kabinet pada julai 2015, Salleh dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Seingat penulis, sejak timbulnya isu 1MDB, hanya dua pemimpin yang kerap sekali membela 1MDB dan DS Najib Razak. Dua pemimpin itu, adalah Salleh dan Dato Rahman Dahalan. Dua pemimpin ini, memperuntukan masa untuk mengemukakan berbagai argumentasi, penjelasan, malah data yang berkaitan dengan syarikat gergasi itu. Walaupun dua pemimpin itu, kerap menangkis berbagai dakwaan berkaitan dengan syarikat itu, antara lain, bagaimana Rahman menyanggah kenyataan anggota kabinet khususnya Tan Sri Muhiyiddin Yassin dan Datuk Shafie Afdal yang berpura-pura tidak faham berkaitan dengan perjalanan syarikat tersebut. Para pemimpin lain, bersifat tunggu dan lihat, kerana dibenak masing-masing telah tertanam, bahawa dakwaan-dakwaan Sarawak Reports yang dibantu portal-portal pembangkang dan media luar negara, hanya berupa dakwaan semata-mata, dan cara itu, memang cara pembangkang untuk memalitkan isu-isu rekaan kepada kerajaan.

Pada awal tahun 2015, dengan pertimbangan berasaskan berbagai dakwaan berkaitan 1MDB, maka DS Najib Razak memutuskan, agar Ketua Audit Negara memeriksa syarikat tersebut. Ekoran keputusan itu, maka Peguam Negara masa itu ikut mengumumkan penubuhan Pasukan Khas yang melibatkan Bank Negara, PDRM, SPRM dan Pejabat Peguam Negara sebagai pusat urus setia menyiasat 1MDB. Rentetan itu juga jawatankuasa kira-kira Parlimen (PAC) juga turut sama menyiasat.

Umum mengetahui, selepas sahaja pasukan khas dibentuk, maka tidak semana-mana didedahkan kemasukan USD681milion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri di AmBank. Selain itu, didedahkan juga sejumlah wang SRC International (syarikat milik Kementerian kewangan yang diperbadankan) telah dimasukkan ke akaun Perdana Menteri. Umum mengetahui, para pengurus/individu yang mempunyai jawatan penting dalam SRC International, sehingga kini, missing In Action (MIA). 

Berjalanlah siasatan. SPRM mengesahkan, bahawa USD681milion memang derma daripada Timur Tengah. PAC Parlimen mengesahkan tiada salah laku berlaku pada 1MDB. Ketua Audit Negara membuat laporan, tiada wang 1MDB yang hilang. Peguam Negara yang baru, mengesahkan, DS Najib Razak tidak melakukan apa-apa salah guna kuasa. Siasatan terhadap 1MDB dihentikan. Titik.

Anti Najib yang diketuai Tun Dr Mahathir serta dibantu pembangkang, dan seperti biasa media asing, dan tentunya Sarawak Reports, terus mengulang-ulang dakwaan mereka, sehinggalah pada 20 julai, apabila DOJ Amerika, melalui Peguam Negara, negara itu Loretta E Lynch, mengulangi seluruh dakwaan daripada kumpulan anti Najib. DOJ mengulangi, semacam “copy n paste” laporan-laporan Sarawak Reports. tulisan-tulisan Tun Dr Mahathir, serta tulisan-tulisan The Wall Street Journal (WSJ).

DOJ Amerika, mendakwa USD1bilion wang 1MDB dicuri oleh empat individu, salah seorang adalah anak tiri DS Najib Razak-Reza Aziz, seorang lagi “jutawan” daripada Pulau Pinang Jho Low, kawan rapat Reza dan dua rakyat arab. Dakwaan DOJ, bahawa wang USD1bilion digunakan selain membeli harta seperti rumah-rumah agam, jet, lukisan-lukisan mahal, malah sebahagian wang digunakan berjudi di kasino Las Vegas selain menerbitkan filem boxoffice “The Wolf Of Wall Street”.

Susulan itu, DOJ mencadangkan menyita semua harta yang disenaraikan, membekukan akaun-akaun yang berkaitan dengan para individu itu. Tindakan DOJ itu disambut oleh negara Singapura, apabila membekukan sejumlah wang kononnya dikaitkan dengan Jho Low.

Kini, melalui tindakan DOJ Amerika itu, mereka yang memang awal-awal lagi mahu DS Najib Razak digulingkan, membuat kesimpulan, bahawa panggilan “Malaysian Offcial 1” merujuk kepada DS Najib Razak. Memang, DOJ tidak secara langsung menyebut DS Najib Razak dalam laporan 136 muka surat itu, namun mereka memberi naratif seperti skrip yang dikemukakan oleh kumpulan anti najib, seolah-olah MO1, adalah DS Najib Razak.

Kumpulan anti najib, sudah bertindak sebagai penyiasat, hakim, pendakwa sekaligus, atas sebab itu, mereka mahu memaksa rakyat untuk bersetuju dengan mereka, bahawa DS Najib memang didapati bersalah. Tindakan mereka itu, tidak sama apabila Ketua Menteri Pulau Pinang- Lim Guan Eng yang nyata telah dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan rasuah, namun mereka, menganggapnya sebagai tindakan politik, dan Guan Eng tidak bersalahpun.

Kini, meskipun majoriti rakyat tidak terpengaruh dengan isu 1MDB, setidak-tidaknya ramai sudah turut bercakap mengenainya. Di laman-laman sosial, di majlis-majlis, termasuk di kampung-kampung, ramai sudah bercakap berkenaan dengan 1MDB, khususnya wang USD681milion atau RM2.6bilion. Berasaskan kepada keadaan itu, sebenarnya Tun Dr Mahathir menang perang saraf, walaupun kalah dalam pertarungan.

Pegang kepada falsafah Al-Quran: Aku sokong tapi mesti dibuktikan dengan pelaksanaan!

Apandi: Saya berpegang kepada falsafah Al-Quran

  | July 27, 2016
Peguam Negara berkata beliau menjalankan tugasnya secara terbuka dan betul, termasuk dalam kes 1MDB.
apandi-ali_law_600_1
KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata beliau berpegang kepada falsafah Al-Quran yang memerintahkan supaya manusia diadili sama rata tanpa memberi pertimbangan pangkat atau hubungan kekeluargaan.
“Falsafah ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing kepada kita semua kerana ‘menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih… adalah suatu falsafah yang sungguh sinonim dengan fraterniti perundangan sejak sekian lama,” tulis Apandi dalam Berita Harian ini.
Katanya, falsafah Al-Quran itu juga memberikannya inspirasi mencipta slogan baharu Jabatan Peguam Negara, “Bertekad Menegakkan Keadilan.
Apandi menerima kritikan hebat awal tahun ini susulan keputusannya tidak mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam hal sumbangan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi miliknya, seperti didedahkan The Wall Street Journal (WSJ) yang memetik penyiasat Malaysia.
Apandi berkata beliau keliru pihak tertentu mengkritiknya.
“Apa saja yang saya lakukan adalah mengikut undang-undang negara. Begitupun, masih ada pihak yang sanggup mengemukakan usul tidak percaya terhadap saya di Dewan Rakyat, mendesak saya untuk meletakkan jawatan, malah mengheret saya ke mahkamah,” katanya dalam tulisannya bersempena setahun memegang jawatan Peguam Negara.
Apandi dilantik tahun lalu menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, di kemuncak isu membabitkan syarikat milik negara 1MDB yang disiasat bersama peguam negara, Bank Negara Malaysia dan pelbagai agensi kerajaan lain.
Apandi berkata keputusannya diasaskan sepenuhnya kepada bukti yang ada.
“Inilah yang saya lakukan pada 26 Januari lalu, iaitu dengan mengumumkan bahawa berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan yang ada, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di dalam tiga kertas siasatan berprofil tinggi yang dikemukakan kepada saya,” tulisnya.
Mengenai saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menyita aset berkait 1MDB di negara itu, Apandi berkata tiada sebarang pertuduhan jenayah dikemukakan ke atas mana-mana individu.
“Saya juga menekankan betapa siasatan di peringkat tempatan mengenai perkara ini masih berjalan dan betapa saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding ke atas semua individu yang terlibat dengan perlakuan jenayah sekiranya dapat bukti mencukupi,” kata Apandi.
Apandi turut melahirkan rasa kecewa dengan media yang menurutnya tidak bertanggungjawab dalam laporan mereka.
“Sebab itulah saya sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang.”

Siapa Sebenarnya Berkonspirasi?

WEDNESDAY, JULY 27, 2016
Aduan Pemuda Umno: Siapa Sebenarnya Berkonspirasi?
A Kadir Jasin

ALHAMDULILLAH, satu peluang keemasan terbuka kepada pihak-pihak yang berpengetahuan mengenai skandal raksasa 1MDB untuk menyatakan kebenaran.

Kini, demi mempertahankan diri daripada satu tuduhan yang sangat serius, mereka terpaksa memberitahu polis apa yang mereka tahu mengenai skandal itu dan pelaku-pelakunya.

Mereka yang saya maksudkan adalah bekas Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM) (Tan Sri) Abu Kassim Mohamed dan bekas Gebenor Bank Negara, (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz.

Mereka telah dituduh dalam satu laporan polis oleh Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairul Azwan Harun, terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak dan kerajaan yang sah.
Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia dakwa konspirasi terhadap Najib

Ini adalah satu dakwaan yang sangat berat yang boleh ditakrifkan sebagai penderhakaan terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Jadi wajib disiasat rapi.

Saya tidak tahu apa tujuan tersirat si pembuat laporan. Tetapi secara tersurat, ia nampak seolah-olah satu lagi kegiatan puji ampu oleh pemakan-pemakan dedak Umno.

Namun saya berterima kasih kepada Khairul Azwan kerana akibat laporan beliau itu, ketiga-tiga tokoh yang dituduh boleh memberi keterangan mengenai apa yang mereka tahu berkaitan skandal 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan "derma Arab" RM2.6 bilion yang selama ini terpaksa mereka rahsiakan.

Banyak yang boleh mereka ceritakan kepada polis bagi menafikan tuduhan Pemuda Umno itu.

Misalnya mereka boleh menjelaskan sama ada benar atau tidak ura-ura bahawa Mohd Najib di ambang tangkapan dan pertuduhan di mahkamah pada akhir Julai tahun lalu bersabit kes pecah amanah duit SRC International Sdn Bhd.

Abdul Gani sendiri boleh mengesahkan sama ada betul atau tidak jawatannya sebagai Peguam Negara ditamatkan secara mendadak pada 28 Julai lalu kerana beliau sedang bersiap sedia menangkap dan menghadapkan Mohd Najib ke mahkamah bersama-sama dengan Nik Faizal Ariff Kamil dalam kes penipuan SRC International.

Zeti boleh menjawab mengenai hasil penyiasatan ke atas pengaliran keluar-masuk duit 1MDB dan kaitannya dengan “derma” RM2.6 bilion yang masuk akaun peribadi Mohd Najib di AmBank.

Ambank telah pun mengaku salah atas pembabitannya dalam pemindahan wang tersebut dan membayar denda RM53.7 juta kepada Bank Negara November lepas.

Abu Kassim pun macam itu juga. Dia terpaksa menafikan tuduhan itu dengan menceritakan kepada polis apa yang SPRM telah temui dalam siasatannya ke atas SRC International, 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

Rakyat Malaysia yang tidak keracunan dedak percaya bahawa SPRM telah membina kes yang cukup kuat yang melibatkan Mohd Najib dan Nik Faisal dalam pengalihan haram duit SRC International sebanyak RM42 juta.
Kempen dedak pertahankan Mohd Najib

Hanya dengan mendedahkan maklumat-maklumat ini untuk dirakamkan oleh pihak polis barulah mereka dapat mempertahankan diri daripada tuduhan Pemuda Umno itu.

Saya yakin banyak lagi maklumat yang ada dalam kepala mereka mengenai siasatan ke atas 1MDB, SRC International dan derma RM2.6 bilion yang boleh mereka ceritakan kepada polis demi membela diri.

Polis, khususnya pegawai penyiasat, tentu tidak berani main kayu tiga dengan tiga orang ternama ini kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas di segi undang-undang dan pasti akan diwakili oleh peguam yang cekap.

Abdul Gani sendiri adalah peguam cergas setelah membuka khidmat guamannya sendiri selepas dibuang kerja kononnya beliau sakit teruk. Itulah tahap propaganda pemakan dedak.

Mahkamah Pendapat Umum

Di segi pendapat umum pula, simpati adalah bersama mereka yang dituduh oleh Pemuda Umno itu. Dalam mahkamah pendapat umum, juri rakyat memihak kepada mereka.

Jadi saya hairan apa maksud tersirat Pemuda Umno membuat laporan polis dengan tuduhan yang sangat berat itu.

Perbuatan mereka boleh menjadi senjata yang menikam ketua nombor satu mereka – Mohd Najib - sendiri.

Saya tidak berani mengatakan ada konspirasi halus oleh Pemuda Umno terhadap Mohd Najib melalui laporan atau ia sekadar publisiti murahan kelas pemakan dedak.

Mungkin juga ini adalah cetusan idea gilang-gemilang Pemuda Umno untuk mengalihkan pandangan umum daripada saman sivil KARI (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) di Amerika Syarikat yang melibatkan ahli keluarga dan sahabat akrab "Pegawai Nombor Satu Malaysia".

Wallahuaklam.

Posted by A KADIR JASIN at 12:52 PM

Ambil tindakan terhadap AS jika dakwaan tidak benar

Ambil tindakan terhadap AS jika dakwaan tidak benar - Shafie Apdal 
Astro Awani |  Julai 25, 2016 11:32 MYT
Ambil tindakan terhadap AS jika dakwaan tidak benar - Shafie Apdal
Mohd Shafie berharap laporan audit negara tentang isu 1MDB dapat didedahkan kepada umum. - Gambar fail
KOTA BELUD: Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan undang-undang jika dakwaan Amerika Syarikat (AS) dalam isu melibatkan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak benar, kata bekas naib presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Saman pihak kerajaan Amerika Syarikat sekiranya dakwaan mereka tidak benar,” kata beliau sambil menambah, Peguam Negara Malaysia bukan hanya perlu menafikan dakwaan itu malah harus mendedahkan hasil laporan audit negara mengenai 1MDB kepada umum.

Mohd Shafie berkata, walaupun penjelasan telah disampaikan oleh Peguam Negara namun perlu ada tindakan susulan kerana semua tuduhan AS itu menjejaskan imej negara jika tidak ditangani segera.

"Saya harap laporan (audit negara) itu didedahkan kepada umum dan apa yang penting kepada kita adalah tindakan susulan terhadap perkara ini. Ia bukan hanya (hal) kehilangan duit, (malah) memalukan imej negara di pentas dunia," ujar beliau yang meminta semua tuduhan AS itu dipandang serius.

Tambah beliau lagi, Peguam Negara mempunyai hak untuk pergi ke AS untuk menjalin kerjasama bagi menyelesaikan isu dakwaan tersebut, seterusnya membersihkan nama negara.

BACA: Laporan DOJ: SPRM jalin kerjasama dengan FBI

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud pada petang Ahad.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 penduduk Kota Belud itu turut dihadiri Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin dan beberapa pemimpin pembangkang negeri Sabah yang lain temasuk parti PAS.

Dalam majlis itu juga, Biro Agama UMNO Bahagian Kota Belud, Hanjan Samit dan beberapa ahli UMNO Kota Belud mengumumkan keluar UMNO di hadapan Mohd Shafie.

Mengulas lanjut mengenai ura-ura penubuhan parti baharu di bawah kepimpinan Mohd Shafie cuma menjawab: "Tunggu dan lihat."

ARTIKEL BERKAITAN:

BACAKurang komunikasi dengan 1MDB timbul tanda tanya - Tunku Abdul Aziz
BACA: 1MDB: Tiada lagi perkara yang disembunyi - Salleh Said Keruak

BACA1MDB: Tiada tuntutan tindakan salah laku jenayah dalam laporan DOJ - PM

Wednesday, July 27, 2016

Mamat ni nak buat jasa pada tokey atau sendiri cari bala?

PERKASA saran Pemuda Umno disaman malu
mk - Hari ini 27 Jul. 2016, 7:44 malam
Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA) berharap tiga individu berprofil tinggi dinamakan Pemuda Umno dalam laporan polis mereka semalam memulakan proses saman malu jika mendapati ia berunsur fitnah.

Setiausaha Biro Integriti, Antirasuah dan Salah Guna Kuasa PERKASA, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata Pemuda Umno sepatutnya mendesak kerajaan AS mendedahkan siapa sebenarnya individu di sebalik rujukan Malaysian Official 1 (MO1) dalam dokumen pihak berkuasa negara itu berhubung tindakan saman sivil ke atas 1MDB.

Katanya, nama MO1 disebut sebanyak 36 kali dalam dokumen mahkamah Jabatan Kehakiman (DOJ) AS setebal 136 muka surat itu.

"Tindakan (membuat laporan polis) tersebut dilihat seolah-olah suatu bentuk ugutan atau cuba menutup mulut pihak yang pernah terlibat dalam siasatan skandal 1MDB, atau tindakan balas dendam akibat mendedahkan kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun mengunjungi Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur untuk membuat aduan ke atas Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurut Khairul Azwan mereka bersekongkol untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin negara ini.
Zeti adalah bekas gabenor Bank Negara dan Abu Kassim bakal menamatkan khidmatnya secara rasmi sebagai ketua persurujaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) mulai 1 Ogos ini. Abdul Gani pula bekas peguam negara.

Siapa beri arahan

Ketiga-tiga mereka adalah antara tokoh yang terlibat dalam siasatan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB, yang didakwa melakukan penyelewengan dana awam.

Pada 20 Julai lalu pula DOJ AS mengemukakan saman sivil di negara itu bagi menyita pelbagai aset didakwa mereka diperoleh melalui wang 1MDB yang disalah guna.

Beberapa nama dipetik dalam dokumen itu termasuk anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Aziz. Rosmah adalah isteri Najib.

Dokumen itu juga mengandungi seorang lagi individu yang tidak dinamakan, iaitu "Malaysian Official 1".

Kata Muhammad Faiz PERKASA menganggap tindakan Pemuda Umno semalam sebagai "biadab dan kurang ajar".

Beliau yang juga ahli Dewan Tertinggi PERKASA berkata umum mengetahui Zeti, Abu Kassim dan Abdul Gani merupakan tokoh yang amat dihormati, malah ada antara mereka pernah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Dan yang paling penting sekali, ketiga-tiga tokoh tersebutlah antara penjawat awam terawal yang secara langsung terlibat dalam menyiasat skandal 1MDB mewakili agensi masing-masing," katanya.

Justeru, kata Muhammad Faiz, biro itu tertanya-tanya sama ada tindakan Khairul Azwan semalam dibuat atas arahan pihak tertentu.

Katanya, laporan polis itu juga dibuat pada waktu yang "mencurigakan" serta tiada maklumat lanjut diterangkan Pemuda Umno.

"Sepatutnya Pergerakan Pemuda UMNO mengeluarkan kenyataan rasmi dan mengadakan sidang media terhadap tindakan laporan polis tersebut kerana ia bukannya suatu tindakan remeh atas nama Pemuda UMNO.

Tindakan tersebut seolah-olah dilihat sebagai satu bentuk ugutan atau cuba menutup mulut pihak yang pernah terlibat dalam menyiasat skandal 1MDB, atau pun berupa tindakan balas dendam akibat mendedahkan kebenaran," katanya.

Rahsia telah terbongkar: Che Det bongkar atau memang telah terbongkar?

SEKARANG RAHSIA TELAH TERBONGKAR

1. Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mengambil tindakan untuk merampas aset individu-individu yang dinamakan yang disyaki mencuri wang hak milik 1MDB dan Kerajaan Malaysia.

2. Secara keseluruhannya 17 aset telah disenaraikan. Ini termasuk harta, pelaburan, pesawat udara, kapal layar, syarikat-syarikat, lukisan dan filem-filem. Jumlahnya bernilai USD1 bilion. Dokumen sepanjang 136 halaman itu menunjukkan secara terperinci cara wang itu disalurkan melalui pelaburan penipuan dalam syarikat-syarikat palsu, melalui pelbagai bank dan individu-individu serta berakhir dalam akaun MALAYSIAN OFFICIAL 1.

3. Siapakah Malaysian Official 1 yang disebut 36 kali dalam laporan ini. Beliau digambarkan sebagai “seorang pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan yang berkuasa dengan 1MDB. Sepanjang keseluruhan masa berkaitan dengan aduan itu, Malaysian Official 1 adalah “pegawai awam” sebagai istilah yang digunakan dalam 18 USC – 1956 (c) (7) (B) (iv) dan “penjawat awam” sebagai istilah yang digunakan dalam Seksyen 21 Kanun Keseksaan Malaysia.”

4. Dalam para 39 laporan tersebut “Malaysian Official 1 memegang jawatan yang berkuasa dengan 1MDB. Malaysian Official 1 mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan kepada, dan penarikan balik daripada, Lembaga Pengarah 1MDB dan Kumpulan Pengurusan Kanan 1MDB. Di samping itu, sebarang komitmen kewangan 1MDB, termasuk pelaburan yang mungkin memberi kesan kepada jaminan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia untuk manfaat 1MDB atau mana-mana dasar kerajaan Malaysia, memerlukan kelulusan Malaysian Official 1. ”

Para 102 laporan menyatakan bahawa Malaysian Official 1 adalah benefisiari muktamad AmPrivate Banking – Akaun MR adalah akaun sama yang kemudiannya menerima bayaran tertentu berjumlah kira-kira USD681 juta pada Mac 2013. Seperti yang dinyatakan dalam Perenggan 263 di bawah, Peguam Negara Malaysia telah secara terbuka menyatakan bahawa akaun yang menerima bayaran $681 milion itu dipunyai oleh Dato Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia. Tidak mungkin akaun dan jumlah USD681 juta dimiliki oleh dua orang yang berbeza.

Para 28 menyatakan “Malaysian Official 1″ adalah seorang pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang juga memegang kedudukan yang berkuasa dengan 1MDB.”

Para 29 “Riza Shahriz bin Abdul Aziz (“Aziz”), seorang warganegara Malaysia, adalah saudara kepada Malaysian Official 1 dan seorang kawan LOW. Beliau adalah pengasas bersama Red Granite Pictures, iaitu studio pengeluaran dan pengedaran filem Hollywood, pada tahun 2010.”

Dalam Para 39 Malaysian Official 1 mengambil alih kedudukan berkuasa dengan 1MDB dan lain-lain.

5. Saya tidak tahu mengapa pegawai-pegawai Amerika yang menulis laporan segan memberi nama sebenar Malaysian Official 1 pada hal dengan rela hati menyebut nama-nama pesalah lain, iaitu Riza Aziz, Jho Low dan Khadim Abdullah. Jika ini adalah kerana bukan peringkatnya untuk membuat tuduhan jenayah, maka mana-mana nama pun tidak patut disebut.

6. Sekarang Najib dan penyokong-penyokong bodoh beliau mengatakan bahawa Najib tidak terlibat oleh sebab namanya tidak disebut. Najib sendiri berkata, “Biarkan proses undang-undang berjalan bagi mereka yang nama mereka disebut oleh US DOJ.” Jelas sekali bahawa beliau menganggap proses undang-undang itu tidak mengandungi siasatan berhubung peranannya sendiri di dalam mencuri wang milik 1MDB.

7. Namun rujukan kepada Malaysian Official 1 bertepatan dengan apa yang diketahui dan yang diakui oleh Najib sebagai mempunyai kaitan dengan beliau. Ini termasuk rujukan kepada USD681 juta dalam akaun Malaysian Official 1, rujukan kepada kuasa Malaysian Official 1 atas Kerajaan dan 1MDB yang bertepatan dengan kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Penasihat kepada Lembaga Pengarah 1MDB. Dan begitulah seterusnya dengan 30 penerangan lain mengenai hal kuasa dan peranan Malaysian Official 1 serentak dengan peranan Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan Malaysia dan Penasihat kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

8. Walaupun terdapat penerangan terperinci dalam laporan DOJ bagaimana wang 1MDB telah dipindahkan melalui pelbagai syarikat, termasuk Good Star, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Jho Low dan bank-bank di beberapa negara dan akhirnya menjelma dalam akaun Malaysian Official 1 di Ambank, Peguam Negara menegaskan bahawa tidak ada bukti bahawa wang daripada 1MDB telah disalah gunakan.

9. Di bawah 11 pada Para 14 laporan DOJ “Fasa The Good Star: Lebih daripada $1 bilion disalah gunakan daripada 1MDB.”

10. Para 40, cara bagaimana $1 bilion wang 1MDB telah dilaburkan dalam Petro Saudi diperincikan.

11. Para 41 menjelaskan bahawa Jho Low dan rakan-rakannya menyebabkan $700 juta daripada $1 bilion bertujuan untuk dilaburkan dalam Petro Saudi, dihantar ke satu akaun di RBS Coutts Bank di Zurich yang dipegang atas nama Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Jho Low.

12. Para 42 menyatakan bahawa “di antara bulan Mei dan Oktober 2011”, kira-kira $330 juta dana tambahan telah dihantar atas arahan pegawai 1MDB ke akaun Good Star yang kononnya mempunyai kaitan dengan suatu perjanjian pembiayaan antara 1MDB dan 1MDB-Petro Saudi JV.

13. Mungkin Peguam Negara Malaysia dapat menjelaskan mengapa pelaburan 1MDB sebanyak $1 bilion harus pergi ke dalam akaun Good Star dalam RBS Coutts Bank di Zurich. Atau adakah beliau akan menafikan bahawa ini berlaku? Dalam kes ini beliau patut menunjukkan bukti bahawa ianya tidak berlaku. Semata-mata dengan berkata ianya tidak benar tidak mencukupi. Kata-kata Peguam Negara tidak mempunyai sebarang kredibiliti sama sekali. Dakwaan bahawa tidak ada bukti salah laku Najib dalam semua laporan-laporan yang dikemukakan kepadanya adalah seandai mempercayai air mata tangisan buaya. Dakwaan Peguam Negara bahawa Najib telah mengembalikan RM2.3 bilion daripada RM2.6 bilion yang diberikan oleh seorang Raja Arab Saudi yang telah meninggal dunia mempunyai kredibiliti yang sama. Tiada dokumen pemindahan dan tiada resit telah dipamerkan.

14. Mencuri wang adalah satu jenayah. Semata-mata merampas wang yang dicuri tidak membatalkan jenayah itu. Satu-satunya urutan logik untuk menyita wang yang dicuri adalah membuat pertuduhan jenayah terhadap pencuri. Bagaimanakah DOJ dari Amerika Syarikat akan mengenakan tuduhan terhadap Malaysia Official 1 tanpa menyebut namanya?

15. Rakyat Malaysia mahu menebus semula nama baik mereka. Mereka tidak mahu dipimpin oleh seorang pemimpin yang disyaki kleptokrasi mencuri berbilion-bilion wang Kerajaan. Mereka sendiri tidak boleh berbuat apa-apa kerana Malaysian Official 1 mengawal Peguam Negara dan polis – agensi-agensi penguatkuasaan. Mereka tidak boleh menyingkirkannya melalui undi tidak percaya kerana beliau mengawal majoriti Ahli-ahli Parlimen melalui langkah-langkah yang haram.

16. Suka atau tidak, mereka terpaksa bergantung kepada tindakan oleh negara-negara asing. Jika Amerika Syarikat benar-benar percaya dengan membasmi rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan negara mereka, mereka sepatutnya tidak segan untuk menyebut nama dan membiarkan proses undang- undang berlaku.

17. Apabila pencuri adalah pengawas polis dan agensi pendakwa, hanya campur tangan asing sahaja yang boleh membawa keadilan.

18. Tangislah negara ku yang tersayang .

chedet

Mahfuz masih keliru ka?

Rakyat keliru, peguam kepada negara atau peguam Perdana Menteri, kata MP Pokok Sena
27 Julai 2016 | ARIF ATAN
Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali digesa membuka semula siasatan berkenaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad

Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali digesa membuka semula siasatan berkenaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas ditutup pada 13 Oktober tahun lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Apandi perlu berbuat demikian memandangkan Amerika Syarikat (AS) melalui Jabatan Kehakiman Negara (DOJ) telah memfailkan permohonan rampasan sivil terhadap sejumlah aset mencecah lebih AS$1 bilion.

"Kes ini berkaitan dengan jenayah pengubahan wang haram. Kalau Peguam Negara tidak bersedia untuk bertindak, lebih wajar beliau melepaskan jawatan yang disandangnya.

"Saya melihat Peguam Negara hari ini tidak lagi peguam kepada negara sebaliknya menjadi peguam kepada Perdana Menteri untuk melindungi mereka yang terlibat dalam jenayah seperti disenaraikan DOJ," tegasnya selepas menyerahkan memorandum di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, Apandi perlu mengambil tindakan tegas atau memberi jaminan untuk melihat semula keputusan berhubung pengaliran dana 1MDB.

"Kita minta supaya Peguam Negara tidak harus duduk diam sebaliknya memberi komitmen tinggi dalam perkara ini.

"Beri tumpuan untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

"Bantu kedua-dua pihak dalam usaha membanteras jenayah khususnya berkongsi bukti (dengan AS). Peguam Negara boleh memanfaatkan segala bukti dan mulakan prosedur siasatan," jelasnya lagi.

Peguam Negara AS, Loretta E Lynch pada 20 Julai lalu mengumumkan tindakan undang-undang untuk merampas semula aset miliknya yang berkaitan dengan 1MDB.

Anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz; ahli perniagaan Jho Low dan Eric Tan Kim Loong antara nama dalam senarai saman tersebut.

Turut disebut lebih 30 kali dalam dokumen sebanyak 136 halaman itu ialah individu yang digelar 'Malaysian Official 1' yang didakwa menerima sebanyak AS$731 juta dari 1MDB melalui akaun bank miliknya.

Tak mungkinkah libasan ini akan mengena batang tengkok sendiri?

Laporan Polis Khairul Azwa bin Harun, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia – Suatu Tinjauan
27 Julai 2016 | ZULHAZMI SHARIFF
1MDB mengheret semakin banyak mangsa

No. Report : CHOWKIT/005870/16

Tarikh : 26/07/2016
Waktu : 1314 PM

SAYA KHAIRUL AZWAN BIN HARUN (NO. K/P : 761019-08-5697) SEMASA BERADA DI PEJABAT DI ALAMAT TINGKAT 28, MENARA DATO’ ONN, PWTC, KL MEMPUNYAI SEBAB-SEBAB UNTUK MEMPERCAYAI BAHAWA INDIVIDU-INDIVIDU YANG DINAMAKAN BERIKUT :

1) TAN SRI ABU KASSIM BIN MOHAMED (BEKAS PESURUHJAYA SPRM)
2) TAN SRI ZETTI AKHTAR AZIZ (BEKAS GABENOR BANK NEGARA)
3) TAN SRI ABDUL GANI PATAIL (BEKAS PEGUAM NEGARA)

ADA SECARA BERSEORANGAN DAN/ATAU BERSAMA TERLIBAT DALAM SATU KONSPIRASI UNTUK MENGGULINGKAN YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI DATO’ SERI NAJIB SERTA KERAJAAN MALAYSIA YANG SAH. MEKANISMA YANG DIGUNAKAN OLEH SESIAPA DI ANTARA MEREKA INI ADALAH SEPERTI BERIKUT :

1) MEMBERI MAKLUMAT SULIT DAN DOKUMEN KEPADA AGENSI-AGENSI DI AMERIKA SYARIKAT TERMASUK FBI
2) MAKLUMAT-MAKLUMAT DAN DOKUMEN-DOKUMEN INI TELAH DIBERIKAN KEPADA PIHAK ASING TANPA KELULUSAN YANG SAH OLEH PIHAK BERKUASA MALAYSIA YANG BERKENAAN TERMASUK JABATAN PEGUAM NEGARA
3) SEBAHAGIAN BESAR DARIPADA MAKLUMAT TERSEBUT ADALAH DIREKA, DIPALSUKAN SERTA DIPUTAR BELIT UNTUK MENCAPAI TUJUAN-TUJUAN JAHAT.

PERKARA YANG SAYA LAPORKAN DI SINI BUKANLAH DAKWAAN SEMATA-MATA TANPA ASAS DAN SAYA POHON SUPAYA PIHAK POLIS MENYIASAT PERKARA INI DENGAN SEGERA. SEKIAN LAPORAN SAYA.

ULASAN

Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia Saudara Khairul Azwan telah membuat suatu laporan polis yang cukup serius pada 26/07/2016 yang mendakwa tiga (3) orang yang dinamakan sebagai memberikan maklumat sulit kepada agensi asing untuk menggulingkan Perdana Menteri dan juga Kerajaan Malaysia yang sah.

Atas laporan polis ini, pihak polis boleh membuka kertas siasatan di bawah Bahagian 6 Kanun Keseksaan iaitu Kesalahan terhadap Negara yang mana ianya adalah suatu kesalahan keselamatan yang akan dikendalikan melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai SOSMA.

Ketiga-tiga penama yang dinamakan di dalam laporan polis tersebut boleh ditangkap dan ditahan oleh Polis di bawah SOSMA selama tidak lebih 29 hari bagi tujuan siasatan.

Laporan Polis Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga penama terlibat dalam suatu konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri dan juga Kerajaan Malaysia.

Ketiga-tiga penama didakwa telah memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI.

Dengan jelas disebutkan bahawa ketiga-tiga penama telah memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI yang mana maklumat dan dokumen tersebut diberikan tanpa kebenaran pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara.

Dokumen dan maklumat juga didakwa direka, dipalsukan serta diputar belit.

Siapa tiga penama tersebut?

Penama yang disebut di dalam laporan polis Khairul Azwan ialah :
a) Tan Sri Abu Kassim Mohamed (Bekas Pesuruhjaya SPRM)
b) Tan Sri Zetti Akhtar Aziz (Bekas Gabenor Bank Negara)
c) Tan Sri Abdul Gani Patail (Bekas Peguam Negara)

Ketiga-tiga penama ini merupakan ahli jawatankuasa siasatan khas berkaitan 1MDB yang telah ditubuhkan suatu ketika dulu sebelum ianya dibubarkan. Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Siasatan Khas ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Persoalan yang timbul daripada laporan polis tersebut ialah kenapa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak terlibat atau tidak dimasukkan bersama tiga yang lain sedangkan KPN juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Siasatan Khas 1MDB?

Jika diperhatikan tiga penama yang disebut, mereka semua ialah “bekas”. Bekas Pesuruhjaya SPRM, bekas Gabenor Bank Negara dan bekas Peguam Negara. Adakah jika Tan Sri Khalid Abu Bakar juga bekas Ketua Polis, nama beliau juga akan dimasukkan?

Menberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI

Ketiga-tiga penama tersebut dituduh terlibat dalam konspirasi menggulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia yang sah dengan memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI.

Laporan ini dibuat semestinya ekoran tindakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) mengumumkan tindakan mereka memfailkan tindakan untuk membekukan dan merampas aset di Amerika Syarikat milik orang-orang tertentu yang didakwa dimiliki dan/atau diperolehi melalui dana awam iaitu 1MDB. Laporan oleh DoJ jelas mengemukakan bukti-bukti dokumentasi bagaimana dana 1MDB diselewengkan.

Khairul Azwan mendakwa ketiga-tiga penama telah memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada FBI.

Persoalannya ialah :

a) Bagaimana Khairul Azwan tahu bahawa maklumat dan dokumen yang ada dalam pegangan FBI itu maklumat sulit kerajaan yang telah diberikan oleh tiga penama tersebut?

b) Bagaimana Khairul Azwan tahu ada maklumat sulit dan dokumen Kerajaan telah diserahkan kepada agensi asing termasuk FBI?

c) Bagaimana Kahirul Azwan tahu maklumat tersebut adalah maklumat sulit dan dokumen rahsia?

Siapa Kairul Azwan?

Khairul Azwan hanya Naib Ketua Pemuda Umno yang tiada sebarang jawatan di dalam Kerajaan mahu pun agensi Kerajaan atau pihak berkuasa Kerajaan. Jika Khairul Azwan yang hanya manusia biasa tanpa sebarang jawatan di dalam Kerajaan tahu rahsia Kerajaan, ini sudah pelik.

Kenapa Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara yang juga salah seorang Ahli Jawatankuasa Siasatan Khas 1MDB tidak tahu hal ini? Bukankah sepatutnya KPN lebih tahu? Adakah KPN sendiri mebocorkan maklumat ini kepada Khairul Azwan?

Maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen ini telah diberikan kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara

Laporan Khairul Azwan menyatakan bahawa ketiga-tiga penama tersebut telah memberikan maklumat dan dokumen kepada pihak asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara. Hahhhh kelakar. Ironinya salah seorang yang dinamakan di dalam laporan polis Khairul ialah Tan Sri Abdul Gani Patai, bekas Peguam Negara.

Khairul Azwan mendakwa maklumat dan dokumen tersebut (jika benar ianya dokumen rahsia dan sulit) diserahkan kepada agensi asing tanpa kelulusan pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara. Persoalannya ialah dalam laporan polis Khairul tidak pula menyatakan BILA ketiga-tiga penama tersebut memberikan maklumat dan dokumen kepada agensi asing? BILA??

Jika maklumat diberikan ketika Abdul Gani masih Peguam Negara, maka tuduhan bahawa pemberian dokumen tanpa kebenaran Jabatan Peguam Negara adalah kelakar kerana Gani Patail adalah Peguam Negara. Jika Abdul Gani memberikan maklumat semasa beliau masih Peguam Negara, maka tuduhan tersebut kelakar.

Sebahagian besar daripada maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan serta diputarbelit untuk mencapai tujuan-tujuan jahat

Khairul mendakwa dalam laporan polisnya bahawa sebahagian besar maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan dan diputar belit.

Persoalannya ialah :
a) Bagaimana Khairul Azwan tahu maklumat tersebut direka, dipalsukan dan diputar belit?

b) Adakah Khairul mempunyai maklumat lain yang asli dan tulen sehingga mampu mendakwa maklumat yang ada pada FBI adalah palsu, rekaan dan putar belit?

c) Jika Khairul Azwan mempunyai dokumen dan/atau maklumat lain yang asli lagi tulen, bagaimana Khairul Azwan perolehi dokumen sulit lagi rahsia?

d) Jika Khairul Azwan mempunyai dokumen rahsia kerajaan, ianya merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan pihak polis harus mengambil tindakan terhadap Khairul Azwan.

Ambil perhatian bahawa Khairul Azwan di akhir laporan polisnya berkata “PERKARA YANG SAYA LAPORKAN DI SINI BUKANLAH DAKWAAN SEMATA-MATA TANPA ASAS”. Ini jelas bahawa Khairul Azwan mempunyai maklumat dan dokumen rahsia sulit Kerajaan yang beliau tidak sewajarnya ketahui dan perolehi.

Jelas bahawa Khairul Azwan terlebih dahulu melakukan kesalahan memiliki maklumat dan dokumen rahsia Kerajaan tanpa kebenaran yang sah yang merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Cadangan

Bagi meredakan sedikit kekeliruan, dicadangkan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang melepaskan Laporan Audit Negara berkaitan 1MDB daripada kekangan Akta Rahsia Rasmi. Tan Sri Ambrin dalam keterangannya di Mahkamah dalam perbicaraan terhadap YB Rafizi Ramli berkata beliau diberikuasa oleh Perdana Menteri mengklasifikasikan Laporan Audit berkaitan 1MDB sebagai rahsia rasmi atas alasan untuk tidak mahu ianya menggangu siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1MDB. Sekarang Laporan PAC sudah dibentangkan justeru tiada keperluan lagi Laporan Audit tersebut dirahsiakan.

Adalah lebih baik Laporan Audit tersebut diangkat sebagai dokumen awam seperti mana Laporan PAC.

Kesimpulan

a) Laporan polis Khairul Azwan membuka lebih banyak persoalan malah ianya juga memberikan gambaran jelas tentang apa yang sedang melanda Malaysia.

b) Dengan laporan polis Khairul Azwan, Malaysia ditunjukkan bahawa Malaysia Official No 1 yang disebut oleh DoJ ialah Perdana Menteri Malaysia. Jika bukan kenapa Khairul Azwan dakwa bahawa ketiga-tiga penama di dalam laporan polis beliau terlibat dalam konspirasi menggulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia?

c) Laporan Khairul Azwan menjelaskan bahawa maklumat dan dokumen yang selama ini didedahkan oleh The Wall Street Journal (WSJ), Sarawak Report (SR) dan terkini oleh FBI dan DoJ adalah benar justeru Khairul dakwa ianya palsu dan direka.