Friday, April 13, 2018

Ramalan dan kajian yang melegakan BN hadapi PRU14

Realistikkah Kajian Dan Ramalan BN Menang Selesa Dalam PRU-14?
By Khairul Amir - 12/04/2018
TERSEBAR laporan firma penyelidikan, Oxford Economics yang menyatakan Barisan Nasional (BN) diramal menang selesa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan memperoleh peningkatan majoriti.

Pakar ekonomi di firma penyelidikan, Oxford Economics, Sian Fenner berkata, manifesto BN yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mampu melonjakkan ekonomi negara kira-kira 0.25 peratus pada 2018.

“Manifesto yang diumumkan Najib memberi tumpuan menangani masalah kos sara hidup yang meningkat, termasuklah menaikkan gaji penjawat awam dan menetapkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam masa lima tahun akan datang.

“Selain pemotongan cukai pendapatan dan pemberian tunai lebih tinggi untuk isi rumah berpendapatan rendah dalam belanjawan lalu, gaji agregat kakitangan awam akan dinaikkan sebanyak RM1.46 bilion berkuat kuasa 1 Julai ini,” kata kajian itu.

Sebelum ini, sebuah institut milik pembangkang turut membuat kaji selidik yang me­nunjukkan BN dijangka menang pada PRU-14.

Dari satu segi mungkin ini berita baik untuk parti tersebut, tetapi dalam senario politik semasa menunjukkan bahawa mungkin atas kertas lain, di hati rakyat (pengundi) pula lain kemahuannya.

Jadi, BN tidak boleh mudah terperdaya atau berasa selesa dengan ramalan itu.

Terlalu banyak agenda yang perlu dilaksanakan untuk mengukuhkan sokongan rakyat kepada parti itu.

Dalam tempoh hampir lima tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-13-(PRU-13), banyak isu melanda yang sedikit-sebanyak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN.

Dalam pada itu, walaupun apa yang berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) dianggap boleh memberi kelebihan kepada BN, tetapi buat masa ini itu semua boleh dianggap sekadar satu andai­an kerana dalam politik segalanya berkemungkinan.

Jika dilihat, biarpun pembangkang berpecah tetapi pendekatan politik mereka khususnya dalam mewujudkan persepsi negatif rakyat kepada BN boleh memberi ancaman dalam usaha parti tersebut mencapai kejayaan dalam PRU-14.

Apa yang sudah terbukti, BN merupakan sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

Kajian juga menunjukkan BN menunaikan semua janji-janjinya apabila mereka dapat melaksanakan sebahagian besar daripada perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto pilihan rayanya sejak 1959.

Tidak ada gunanya kerajaan sekadar menabur pelbagai janji hanya untuk memenangi pilihan raya.

Jadi, adakah kerajaan BN jenis yang cakap tidak serupa bikin?

Rakyat sendiri dapat melihat dan menilainya.

Janji biarlah berpatutan dengan keupayaan supaya pelaksanaannya menjadi kenyataan, bukannya berakhir dengan pelbagai alasan apabila tidak mampu dilaksanakan.

Apa yang penting, rakyat mendapat manfaat daripada janji yang dibuat dan bukan terus dibiarkan ternanti-nanti menunggu sesuatu yang belum pasti seperti dicanang pembangkang selama ini.

Selepas ini, manifesto PRU-14 pula perlu ditunaikan BN, pastikan manifesto itu bukan sekadar janji kosong.

Oleh itu, kepemimpinan BN tidak boleh berada dalam kedudukan ‘syok sendiri’ atau begitu yakin mampu mempertahankan kuasa pada PRU-14.

Menjelang hari raya besar pada 9 Mei 2018, berilah tumpuan sepenuhnya dalam usaha untuk memulih dan mengukuh­kan kedudukan BN di seluruh negara.

Jangan terlalu percaya dengan laporan-laporan yang menyatakan ‘semuanya ok’ selain BN boleh menang dengan bergaya dan selesa.

Ini kerana sejarah dalam pilihan raya sudah membuktikan laporan seumpama itulah yang telah memungkinkan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan masih gagal menawan Kelantan, Sela­ngor dan Pulau Pinang pada PRU-13.

Ramalan atau kajian bukan menggambarkan isi hati sebenar rakyat. Ia hanyalah di atas kertas.

Keputusan akhirnya terletak di tangan rakyat sendiri apabila hari pengundian pada 9 Mei 2018 tiba.

BN perlu terus memenangi hati rakyat. Itu lebih penting dari berasa selesa dengan kajian dan ramalan yang menunjukkan BN mampu menang dengan selesa pada PRU-14.

Kuasa rakyat akan menentukan segala-galanya.

1 comment:

  1. 1 Bolehkah percaya cakap najib lg?
    2 Adakah firma penyelidik ini sudah
    dibayar oleh cash is king?
    3 Hillary clinton pun diramal
    menewaskan trump

    ReplyDelete