Thursday, March 2, 2017

Hantu jadian masih lagi ditakuti Melayu?

Racun lama yang masih berbisa
01 Mac 2017 | AHMAD LUTFI OTHMAN
Lim Kit Siang menunjukkan poster memburukkan DAP sewaktu menghadiri Konvensyen Amanah Disember tahun lalu

Hati nurani saya tidak gemar untuk mengulas isu ini. Tema yang sentiasa diulang-ulang oleh jentera propagandis Umno -- didukung aparat pemerintah -- untuk mengekalkan kuasa. Ia bukan sesuatu yang real tetapi begitulah lazimnya politik Malaysia.

Isu yang sering dikitar semula adalah imaginasi palsu yang diwariskan sejak zaman berzaman, tapi malangnya masih berkesan untuk menakutkan pengundi, khususnya orang Melayu. Sekurang-kurangnya bertujuan mengelirukan rakyat yang menyebabkan mereka bimbang dengan peralihan kerajaan, lalu mengekalkan regim yang ada.

Apa lagi kalau bukan isu perkauman yang dipakejkan bagi menyamarkan krisis besar yang melanda negara agar majoriti rakyat tertumpu kepada polemik "jadi-jadian". Maka selesalah elit pemerintah di singgahsana kuasa walaupun penuh berlumuran dengan skandal demi skandal, pembohongan demi pembohongan, kejahatan demi kejahatan.

Era langit terbuka 

Walaupun berada di zaman globalisasi dan era langit terbuka yang memecahkan semua sempadan fizikal, serta terdedah dengan proses rancak pendemokrasian, manakala maklumat hanya di hujung jari, namun kita masih terkurung dan terkongkong dengan budaya politik lama yang usang. Kita masih berputar di tempat yang sama; sukar untuk maju ke hadapan.

Setandan isu yang membelit maruah negara boleh dilupakan begitu saja apabila api perkauman dinyalakan dan emosi keagamaan sempit dicuit. Anehnya, golongan menengah dan yang berpendidikan tinggi, khususnya masyarakat Melayu, termasuk pemegang jawatan tinggi dan strategik dalam kerajaan, turut tersilau dan terpedaya dengan dakyah yang direka-reka itu. Apatah lagi dengan masyarakat di pedalaman, penempatan tanah rancangan atau komuniti nelayan yang sibuk membanting tulang mencari sesuap nasi.

Menyedari kedudukan Umno begitu genting dalam PRU14, Pengerusi BN, Najib Razak kembali menayangkan filem lama, dengan mendakwa jika parti yang diterajuinya kalah, maka Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri. Maksudnya, bukan lagi pemimpin Melayu yang menggantikan Najib, tetapi tokoh Cina yang digambarkan sebagai cauvinis, rasis dan pelampau menunggu peluang.

Dalih Najib, DAP sekarang ini mempunyai kerusi Parlimen dan Dun yang paling banyak di kalangan parti pembangkang. Dalam Twitter, Najib menulis: "Lim Kit Siang ialah Ketua Umum Pakatan Harapan. DAP perlu berhenti daripada cuba menyembunyikan perkara itu.” Ya, pedulikan benar atau salahnya, persetankan berapalah sangat jumlah kerusi parlimen DAP itu -- juga kerusi majoriti Cina yang ditawarkan -- yang penting dan mahu dipasakkan ke dalam minda pengundi, survival orang Melayu bakal terancam jika Umno dikalahkan.
Tweet Najib Razak menyebarkan propaganda DAP akan kuasai Malaysia

Pembohongan ini turut disebarkan, hatta di negeri-negeri yang langsung tidak ditandingi DAP, misalnya Terengganu. Pemimpin kanan Pas sendiri pernah mengakui jentera kempen Umno terutama yang bergerak dari rumah ke rumah membisikkan pemimpin DAP boleh menjadi menteri besar negeri itu jika Umno kalah, walhal satu kerusi pun tidak ditandinginya. Kepelikan bertindih-tindan apabila ada kelompok yang percaya dakyah itu!

Proses pembodohan 

Sebenarnya proses pembodohan ini disuburkan dalam tempoh yang panjang. Saya masih ingat, sejak belajar di sekolah menengah, pada akhir tahun 1970-an, kami diasak dengan doktrinisasi bahawa orang Cina adalah musuh yang berbahaya dan menggugat kedudukan orang Melayu. Ditanam kebencian melulu -- oleh penceramah yang dijemput khas -- terhadap masyarakat Tionghoa yang didakwa bakal menguasai negara ini.

Peliknya, sasaran bukan hanya ditujukan kepada Lim Kit siang dan pemimpin DAP tetapi dilemparkan secara umum, kepada semua yang berkaitan dengan bangsa Cina. Malah sebaran atau surat berantai yang mengecam pemerintah di Pulau Pinang, diterajui Gerakan-BN. diedarkan secara meluas. Digambarkan bahawa seluruh parti Cina, tidak kira sama ada dalam kerajaan ataupun pembangkang, bergabung untuk memusnahkan ketuanan Melayu. Orang Melayu-Islam Pulau Pinang didakwa telah dihalau keluar Tanjong secara halus melalui perancangan strategik, termasuk dengan membiarkan sekumpulan babi berkeliaran di kawasan penempatan Melayu.

Dalam bilik yang ditutup lampu, masih terbayang bagaimana penceramah -- sebahagiannya adalah guru-guru kami sendiri -- bijak mencuit emosi dengan mengolah kisah tragis Peristiwa 13 Mei, yang kemudiannya baru saya tahu ia direkayasa semata-mata untuk menimbulkan kesangsian terhadap orang Cina. Mudah sekali Lim Kit siang dipaparkan dengan wajah bengis, apatah lagi memang pembawaan pemimpin DAP ini jarang tersenyum dan sering berpidato dengan intonasi keras!

Ya, berapa ramai individu Melayu -- di pelbagai peringkat, daripada pelajar sekolah, belia di kampung, mahasiswa di universiti, kakitangan awam, guru-guru di institusi pendidikan, pelajar yang bakal keluar negara -- yang telah direkrut oleh Biro Tatanegara (BTN) dengan semangat asobiyah dan mitos palsu yang dianyam rapi itu? Sentimen perkauman itu juga mudah meresap dan mempengaruhi, antara lain, mungkin difaktorkan oleh psikologi Melayu yang memang sentiasa rasa terancam, justeru mahu terus dilindungi.

Pendekatan kaum atau kelas 

Sedangkan elit politik pemerintah, yang terdiri daripada pelbagai kaum, terus berpakat dan bersenang-lenang menikmati sumber yang mewah yang diagihkan sesama mereka, hasil manipulasi isu-isu perkauman yang didandan khusus itu. Rakyat bawahan yang dikelirukan, juga daripada pelbagai ras, tetap terkepung dengan rantaian masalah seharian "hanya sekadar untuk hidup" dan berjaya dialpakan daripada kes real kebobrokan penguasa rakus dan tamak. Polisi yang menindas, kekayaan negara yang dirompak, korupsi yang berleluasa, cukai yang menekan, pemborosan yang bakal memufliskan; semuanya tidak dipedulikan.

Saya tertarik dengan tulisan Dr Nidzamuddin Sulaiman, "Kaum dan Kelas: Pendekatan Popular Melihat Politik Gabungan Malaysia" (1999), yang cuba memaparkan realiti dihadapi rakyat yang dikuasai elit politik yang menggunakan pendekatan perkauman: "Perbezaan kelas tetap wujud, miskin kaya tetap berleluasa malah menjadi semakin meluas. Kelas bawahan sentiasa mengeluh tentang makanan yang tidak mencukupi, sewa rumah yang semakin tinggi dan belanja sekolah anak yang perlu dibiaya.

"Sentimen dan keperitan ini ditanggung oleh semua tanpa mengira kaum kerana penderitaan tidak mengenal kaum, kemiskinan tidak mengenal keturunan dan perut anak yang lapar tidak akan bertahan lama. Semua ini dikongsi sama oleh kelas bawahan tetapi mereka tetap tidak sedar. Mereka tidak sedar bahawa mereka berada bersama-sama di dalam satu kelas, satu kedudukan, satu perasaan dan satu sentimen."

Sudah beberapa kali, pertukaran kerajaan gagal berlaku disebabkan rakyat pelbagai bangsa tidak sederap langkah mempunyai keazaman untuk berubah. Misalnya, dalam pilihan raya umum 1999, ekoran semangat reformasi, sebahagian besar pengundi Melayu sudah bersedia untuk mengangkat kerajaan baru, tetapi pemilih Cina pula menjadi faktor utama menyelamatkan kedudukan BN.
Reformasi 1999

Ketika Tsunami Cina melanda negara pada tahun 2008 dan gelombangnya membadai dengan lebih dahsyat lima tahun kemudian, masyarakat Melayu pula, terutama di luar bandar, kelihatan seperti teragak-agak untuk menamatkan era pemerintah yang dipusakai sejak merdeka.

Saya tidak rasa proses peralihan kerajaan itu terbantut hanya disebabkan orang Melayu bimbang dengan "dominasi" DAP, yang mungkin dilihat sebagai "abang besar" dalam barisan pembangkang. Ia memerlukan sedikit masa lagi, serta mesti diiringi dengan projek intensif mencerdaskan minda politik Melayu yang sebahagiannya agak keliru.

Bukan faktor ekonomi semata 

Beberapa isu sensitif juga, termasuk dakyah perkauman, mesti diselaraskan di kalangan semua parti pembangkang. Pemimpin DAP juga harus faham, kebangkitan rakyat untuk menumbangkan BN tidak semata-mata didorong oleh faktor ekonomi, juga dipengaruhi oleh sentimen tertentu, yang mungkin selama ini dilihat remeh oleh mereka.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu pernah membuat peringatan hampir sama, dalam sidang meja bulat "Selamatkan Malaysia" pada 7 Februari lalu. “Isu sudah banyak sehingga orang nak muntah. Tetapi orang Melayu bertanya apa akan terjadi jika BN tidak lagi menjadi kerajaan. Ini (Melayu tidak terbela tanpa BN) hanya persepsi, bukan fakta pun. Tetapi kita kena memberikan keyakinan kepada orang Melayu, dan rakan kita dari DAP perlu membantu untuk mengubah persepsi ini,” kata Mohamad.

Sebelumnya, Naib Presiden KeADILan. Rafizi Ramli, dalam ucapannya dalam persidangan yang dihadiri oleh semua pemimpin utama oposisi termasuk Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan Dr Wan Azizah Ismail. juga menekankan pembangkang perlu memahami kehendak sebenar pengundi Melayu terutama di luar bandar, dan bukan sekadar mengkritik BN. "Orang tidak mengundi dengan fikiran, tetapi perasaan…pembangkang bermasalah dalam memenangi hati orang Melayu," katanya.

Dr Mahathir, yang kini mengetuai Bersatu -- parti baru yang mensasarkan menyaingi Umno di kawasan majoriti pengundi Melayu -- turut mengakui peranannya untuk memberi gambaran buruk dan jelik kepada DAP.

"Saya sendiri sedikit sebanyak menyumbang kepada reputasi buruk DAP. Saya menggambarkannya sebagai sebuah parti jahat yang mahu menguasai Malaysia dan tidak mengambil berat tentang nasib orang Melayu," katanya di majlis ceramah DAP-Bersatu di Alor Setar.

Sangkaan meleset 

Beliau juga mengakui banyak tanggapan buruknya kepada DAP meleset apabila Dr Mahathir hadir sendiri dalam majlis perasmian persidangan tahunan parti itu. Lagu rasmi DAP dinyanyikan dalam bahasa Melayu, begitu juga ucapan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dan pemangku Pengerusi Nasional, Tan Kok Wai. Sedangkan, kata Dr Mahathir, lagu rasmi MCA, sekutu BN dalam bahasa Mandarin, manakala keahliannya terhad kepada kaum Cina, berbeda dengan DAP yang dianggotai pelbagai kaum.

Malah. sekarang, parti berasaskan prinsip sosial demokrat itu mempunyai beberapa wakil rakyat Melayu, antaranya Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (Parlimen Raub), Zairil Khir Johari (Parlimen Bukit Bendera) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Dun Mentakab). Ketiga-tiga mereka mengalahkan calon Cina daripada MCA dan Gerakan. DAP juga menerima kehadiran Sasterawan Negara, A Samad Said dan pakar perlembagaan, Prof Dr Abd Aziz Bari.

Bekas calon DAP dalam pilihan raya kecil Teluk Intan, Dyana Sofia Mohd Daud kerap diundang sebagai penceramah terutama di atas pentas Pakatan Harapan. Perlu ditekankan juga, dua bekas aktivis Pemuda Pas, peguam Zulhazmi Sharif dan Sheikh Omar Ali, graduan pengajian Islam, turut menyertai DAP serta berperanan aktif.

Mungkin rahmat tersembunyi dengan kehadiran Dr Mahathir bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir, tokoh yang dijaja namanya oleh BN Kedah dalam misi menawan negeri itu daripada Pas dalam PRU13. Barisan kepimpinan Bersatu juga boleh menyuntik rasa yakin diri di kalangan orang Melayu.

Umno yang selama ini selesa dengan kawasan majoriti Melayu di luar Kelantan, Kedah dan Terengganu, kini diumpamakan bagai buku bertemu ruas apabila Bersatu mungkin dipilih mewakili barisan pembangkang untuk sebahagian kerusi berkenaan. Apakah strategis Umno masih mahu menuduh Lim Kit Siang memperkudakan Dr Mahathir untuk melayakkan dirinya menjadi perdana menteri? Sudah ada petanda mereka sudah meminda dakyah palsu itu, dengan mendakwa Kit Siang mendambakan kerusi timbalan perdana menteri dan Dr Mahathir mahukan anaknya, Mukhriz sebagai PM!

Sikap baru Pas 

Cuma, cabaran baru yang agak besar, yang perlu ditangani adalah posisi Pas selepas terbubarnya Pakatan Rakyat. Bukan soal Parti Islam itu tidak berada dalam gabungan baru, Pakatan Harapan, tetapi sejauhmana berpengaruhnya siri dakwaan yang keras menikam DAP.

Kalau dulu Umno berperanan menyerang parti itu tetapi kini seperti sudah diambil alih oleh Pas, malah kecamannya kadangkala lebih serius. DAP digambarkan sebagai anti-Islam, pewaris PAP -- dengan paparan parti yang menekan orang Melayu-Islam -- yang memerintah Singapura sejak sekian lama. (Walhal, dari segi urus tadbir, kebertanggungjawaban, ketelusan serta usaha membanteras rasuah, kerajaan PAP telah menunjukkan rekod yang cemerlang).

Tidak terbayang, ada penceramah Pas boleh mendakwa azan tidak boleh dilaungkan di masjid dalam Pulau Pinang dan tohmahan pula dibuat di lokasi bersempadan dengan negeri pimpinan Lim Guan Eng itu!

Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga dilaporkan pernah berkata DAP telah menunjukkan “belang sebenar” kepada umat Islam di Pulau Pinang dan gagal menjaga kepentingan awam di negeri itu. Beliau acap kali melabelkan Amanah, bukan sahaja sebagai pengkhianat, tetapi menjadi khadam DAP dan bertindak sebagai Dewan Himpunan Penyokong DAP.

"Mungkin untuk PRU14, Pas perlu bertanding semua kerusi Dun di Pulau Pinang, atas alasan menyelamatkan umat Islam di sana," kata seorang rakan, seorang wartawan politik sambil ketawa kecil.

Sekurang-kurangnya, dalam batas tertentu, Ustaz Hadi dilihat berjaya mengepung ahli-ahli partinya secara berbondong-bondong daripada menyertai Amanah. Maka, untuk kelompok yang masih melihat DAP sebagai "hantu yang menakutkan", imej Amanah juga terpalit dengan wajah yang sedikt hodoh.

Semasa masih bersama Pakatan Rakyat dahulu, beliau bertegas menolak keperluan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, atas alasan jika pembayar cukai dapat memilih secara langsung anggota PBT, maka ia akan didominasi oleh orang Cina.

Demografi penduduk 

Sedangkan dari segi demografi penduduk, populasi Melayu mengatasi Cina hampir di semua PBT, kecuali beberapa tempat seperti Ipoh, Subang Jaya, Sibu, Kuching Selatan dan Pulau Pinang. Malah populasi Melayu dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching Utara melebihi penduduk Cina. Ini belum dikira bandar besar di setiap negeri lain, termasuk Johor Bahru, Melaka, Seremban dan Kuantan.

Ada penganalisis politik mendakwa Pas kini sudah terjebak dengan perangkap perkauman dan termakan dengan jarum halus perang saraf Umno, khususnya dari Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kebimbangan melampau terhadap nasib dan survival bangsa Melayu kebanyakannya atas sebab tidak berasas. Realitinya, pemikir Cina yang risau dengan unjuran populasi kaum itu, yang semakin merosot dari tahun ke tahun.

Kemerosotan itu mungkin berpunca daripada tabiat kahwin yang lambat, tradisi tidak mempunyai anak ramai dan penghijrahan keluar negara. Seorang pengarang akhbar berbahasa Inggeris, dalam tulisannya, sering mengingatkan kemungkinan peratusan penduduk Cina di Pulau Pinang sendiri terus jatuh, dan tidak mustahil untuk tempoh masa yang tidak lama mereka akan menjadi golongan minoriti di pulau itu.

Saya tidak beranggapan Pas sudah lupa dengan kempennya memerangi semangat perkauman sempit -- asobiyah -- sebaik sahaja era kepimpinan ulamak mengambil alih pada 1983. Dalam ucapan dasar Presiden Pas pada tahun 1984, tema yang dipilih adalah Menggempur Pemikiran Asobiyah, yang disampaikan Haji Yusuf Rawa. Biarpun berubah pendekatan dan strategi, tidak mungkin asas perjuangan yang sudah sebati itu sudah terpinggir.

Harapan buat Amanah 
Amanah kini menjadi harapan baru rakyat.

Parti Amanah, sebuah lagi parti Islam, yang cuba bersaing secara sihat, dengan berteraskan Islam sebagai rahmat untuk semua (rahmatan lil 'aalamin), atas pendekatan berhikmah dan sederhana, memberikan sinar harapan untuk melihat Malaysia menjadi tempat berteduh yang sejahtera untuk semua warganya, tanpa mengira kaum dan agama.

Usaha pemimpin Amanah mengetengahkan konsep maqasid syariah juga sudah membenihkan kejayaan awal bagi membetulkan salah faham tertentu mengenai tuntutan agama.

Malaysia terlalu kaya dan cukup untuk dikongsi oleh lebih 30 juta penduduknya. Perbedaan dan kepelbagaian yang wujud sebenarnya satu aset paling berharga untuk membangunkan negara ini, bukannya menjadi alasan kepada perpecahan dan pergaduhan, juga rasa buruk sangka dan prejudis yang berlarutan. Muafakat patut dieratkan lagi.

Namun, semewah mana pun hasil mahsul bumi Allah ini, ia pasti tidak mencukupi buat mereka yang sentiasa tamak. Teringat saya kata-kata seorang pemandu teksi, ketika menghantar saya dari HUKM ke Ampang: "Untuk kerajaan yang rakus, bukan saja wang 1MDB tidak memadai, bahkan wang satu (seluruh) Malaysia ini pun tidak cukup buat mereka!"

Kaitan: Melayu hanya keliru dengan dakyah dominasi DAP, kata penulis

Pecah amanah Felda: Wujud 'tangan ghaib' di sebalik skandal RM47.6 juta?

Siasat juga ‘tangan ghaib’ skandal RM47.6 juta Felda
Pada 1 Mac 2017
MENTAKAB, 1 MAC: Dakwaan pecah amanah berjumlah RM47.6 juta melibatkan bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan bekas timbalannya Muhammad Sufi Mahbub perlu disiasat secara menyeluruh.

Ini termasuk siasatan terhadap bekas menteri UMNO yang pernah mempengurusikan agensi itu gesa Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

“Adakah wujud tangan ghaib yang mengarahkannya atau terlibat sama dalam kes ini kerana tak masuk akal seorang penjawat awam berani melakukan begitu tanpa mengikut SOP kecuali ada arahan daripada pihak tertentu.

“Biasanya jika kes rasuah atau salah guna kuasa melibatkan nilai yang kecil mungkin boleh di terima akal.

“Tapi ini melibatkan jumlah nilai yang besar dan kita harap SPRM dapat menyiasat kes ini di semua peringkat,” katanya kepada Roketkini.

Dalam kes tersebut, Datuk Faizoull Ahmad dan timbalannya Muhammad Sufi Mahbub didakwa telah pecah amanah dan bersubahat bagi kesalahan yang dilakukan tiga tahun lalu di Bangunan Wisma Felda Jalan Perumahan Gurney, Kuala Lumpur.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 24 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Faizoull, Sufi serta 2 lagi pegawai kanan Felda melibatkan kelulusan projek penternakan ikan Sturgeon tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan Felda. – sumber

Hubungi tak berjawab, surat terima tawaran dialoq RUU 355 diserah ke Pejabat Dewan Ulama' PAS Pusat

Sebaran Umum & Rasmi

Sebentar tadi, saya sempat menziarahi Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut bagi menyerahkan surat Penerimaan Tawaran Dialog RUU 355 seperti yang dicabar oleh YB Dato' Dr Khairuddin al-Takiri, MP Kuala Nerus.

Setelah saya menghubungi beliau melalui aplikasi Whatsapp sebanyak dua kali, walaupun telah diterima dan dibaca (blue tick), beliau tetap tidak memberikan sebarang respon.

Bagi meneruskan usaha baik dialog ini, saya berkunjung ke Pejabat Dewan Ulama' PAS Pusat di tingkat 2 Pejabat Agung PAS.

Alhamdulillah, layanan baik dan mesra di tingkat 2 dan diterima oleh wakil pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat kerana pegawai Pejabat Dewan Ulama' PAS Pusat dimaklumkan mempunyai tugasan luar ketika kami tiba.

Inshaallah, kami menunggu jawapan YB Dato' Dr Khairuddin dalam jangka masa 5 hari dari tarikh surat ini dan kita mendoakan dialog ini akan berjaya.

Abu Hafiz Salleh Hudin
Setiausaha Agung
Pertubuhan Kebajikan al-Qayyim Malaysia
1 Mac 2017, Rabu

Aikk.......tiba-tiba bercakap hal inflasi dan GST?

Bagai tikus baiki labu kerajaan gagal atasi kenaikan kadar inflasi, kata Nik Abduh

 | MALAYSIA DATELINE

Nik Mohamad Abduh Nik AzizNik Mohamad Abduh Nik AzizPeningkatan kadar inflasi sehingga ke paras 3.2 peratus pada Januari 2017 menunjukkan betapa peritnya kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat,kata Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.
Beliau dalam satu kenyataan berkata,walaupun tidak dinafikan faktor semasa yang mendorong peningkatan kadar tersebut berpunca dari peningkatan mendadak harga bahan api dalam negara selain penyusutan nilai ringgit yang berterusan, namun impaknya amat terkesan kepada rakyat.
"Disebalik pelbagai janji yang sering diulang-ulang pihak kerajaan terutamanya menjelang pembentangan bajet setiap tahun, masalah kos sara hidup nampaknya tidak kelihatan semakin reda.
"Apa yang dilaksanakan pemerintah tidak pernah memperbaiki kesejahteraan rakyat ibaratkan 'tikus membaiki labu'," ujarnya seperti status dimuat naik di facebooknya hari ini.
Justeru, ujarnya, peningkatan mendadak kadar inflasi pada Januari ini seharusnya menjadi suatu indikator kepada kerajaan supaya memperhalusi semula polisi-polisi yang membebankan rakyat terutamanya sistem cukai GST.
Tidak menjadi suatu kesalahan jika kerajaan mengambil suatu pendirian melaksanakan kajian penilaian impak (impact evaluation) mahupun penilaian terhadap sejaumana relevennya GST (relevance evaluation) untuk dilaksanakan.
"Pertimbangan kerajaan terhadap GST merupakan langkah yang tepat pada masanya memandangkan peningkatan harga minyak mentah dunia yang stabil pada paras USD56 per barel ketika ini berbanding USD52 per barel pada 2015, malah lebih tinggi jika dibandingkan ketika semakan Bajet 2016 yang dilaksanakan pada Januari 2016 iaitu sekitar anggaran USD48-30 per barel.
"Peningkatan harga minyak mentah dunia itu seharusnya meningkatkan pendapatan kerajaan terutamanya berkaitan dengan hasil minyak (oil-related revenue).
"Tahun lalu, jumlah pendapatan daripada keseluruhan hasil minyak hanya mencapai 14.6 peratus dan dengan jangkaan harga semasa minyak mentah dunia, pendapatan negara sudah pasti akan melonjak.

Maka, sebaiknya kerajaan melaksanakan 'revision' terhadap aspek perlaksanaan GST yang sebelum ini dikatakan sebagai 'offset' bagi menyerap pendapatan yang rendah dari hasil minyak.

"Ini merupakan jalan terbaik sebelum kesejahteraan rakyat semakin membarah disebalik "kekayaan" yang disumbangkan kepada negara," ujarnya seperti ditulis di laman facebooknya hari ini.
hli Parlimen Pasir Mas itu juga berkata, peningkatan perbelanjaan awam (private consumption) kepada KDNK setiap tahun. pada 2017, jumlah itu dianggarkan berjumlah RM627 bilion iaitu 54.2 peratus KDNK.
"Persoalannya, adakah itu menunjukkan rakyat semakin banyak berbelanja atau sebenarnya jumlah barangan yang dibeli semakin menguncup disebabkan faktor inflasi yang tinggi? Kerajaan seharusnya bersikap objektif dalam hal ini.
"Hakikat yang perlu diterima adalah kuasa membeli (purchasing power) rakyat semakin melemah ketika ini. Jumlah barangan yang dibeli rakyat semakin berkurang sebaliknya harga yang terpaksa dibayar pula semakin tinggi.
"'Real income' rakyat semakin rendah meskipun disokong dengan bantuan BR1M dan sebagainya," ujarnya.
Justeru PAS ujarnya, tetap bertegas menolak perlaksanaan GST yang menjadi titik asas peningkatan kos sara hidup ini.
"Ironinya, setiap tahun kerajaan begitu bangga dengan peningkatan kadar kutipan GST, walhal, bukankah peningkatan itu hasil dari keperitan rakyat yang berbelanja setiap hari?
"Pada 2015, jumlah kutipan mencecah RM27 bilion sebelum meningkat kepada RM38 bilion pada 2016. Jumlah kutipan dijangka terus meningkat sebanyak 4 peratus kepada RM40 bilion pada 2017.
"Lebih malang lagi apabila peningkatan jumlah kutipan yang ditunjukkan itu diselangi pula dengan potongan terhadap beberapa perbelanjaan sosial seperti peruntukan kepada universiti awam.
"Maka, kini yang bermasalah bukan sahaja bagaimana GST itu diperolehi malah juga ke mana ia dibelanjakan?," soalnya lagi.

Wednesday, March 1, 2017

Rupanya orang-orang di bawah ketiak Exco ni yang ditangkap SPRM

Exco negeri Johor, Abd Latif Bandi bercuti mulai hari ini
Astro Awani |  Mac 01, 2017 16:11 MYT
Exco negeri Johor, Abd Latif Bandi bercuti mulai hari ini
Kelulusan cuti Abd Latif (gambar) dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin ketika masyuarat exco. - Foto Bernama
ISKANDAR PUTERI: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi mula bercuti hari ini untuk suatu tempoh yang belum diputuskan.

Permohonan cuti Abdul Latif yang anak serta pegawai khasnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu, diluluskan susulan pertemuan beliau dengan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday, Abdul Latif  mengadakan perjumpaan singkat dengan Mohamed Khaled pada 9.30 pagi di Pejabat Menteri Besar, sebelum mesyuarat exco kerajaan negeri bermula.

"Dia (bercuti) nak uruskan isu yang ada kaitan dengan keluarga dan pegawai dia," katanya pada sidang media di Bangunan Datuk Jaafar, di sini hari ini.

Katanya lagi, cuti tersebut hanya melibatkan jawatan Abdul Latif dalam kerajaan negeri manakala semua urusan berkaitan portfolionya ditangguhkan sementara.

Md Jais turut menegaskan permohonan cuti itu bukan bermakna Abd Latif terlibat dalam kes berkenaan.

"Dia (Abd Latif) memang tidak disabitkan dengan siasatan atau dakwaan. Kena jelas tu," tegasnya.

Beliau juga berkata isu berhubung rasuah tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat exco hari ini.

Sebaliknya kata Md Jais Menteri Besar hanya memaklumkan mengenai permohonan cuti Abd Latif.

Jumaat lalu, SPRM bertindak menahan enam individu dipercayai terlibat dalam skandal rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di negeri itu.
Antara enam yang ditahan ialah anak dan pegawai khas kepada seorang pegawai kerajaan negeri Johor, dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal rasuah bernilai  Rm15.5 juta itu.

Turut ditahan seorang kontraktor berumur 46 tahun pada Selasa yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan hartanah tersebut.

Kaitan: Kalau tiada kaitan, kenapa SPRM soal dia dan Sultan murka?

Adakah Pas Selangor sedar akan keadaan ini?

Pas Selangor mungkin hilang 10 Dun
ONG BOON TECK - 1 MAC 2017
KEDUDUKAN Pas Selangor kini goyah setelah parti itu bertegas tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah pada PRU akan datang.

Pada PRU lalu, daripada 56 kerusi Dun di Selangor, DAP menang 15 kerusi; Pas (15) dan PKR (14) sehingga berjaya membentuk kerajaan yang pada masa itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Manakala BN pula memperoleh 12 kerusi.

Setelah berlaku pergolakan politik sepanjang empat tahun lalu, pembahagian kerusi antara parti-parti pembangkang turut berubah dengan DAP kekal 14 kerusi; Pas (13), PKR (13), Amanah (2) dan Bebas (2). BN kekal 12 kerusi.

Analisis yang dibuat oleh Oriental Daily mendapati, pada PRU lalu, daripada 21 Dun yang dipertandingkan Pas, parti itu menang 15 kerusi dengan lapan kerusi daripadanya menang atas sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

Kelapan-lapan kerusi Dun yang dimaksudkan itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua dan Tanjong Sepat.

"Semua lapan kerusi itu berada dalam kawasan bandar dengan jumlah pengundi Cina menghampiri atau lebih daripada 30 peratus. Dijangkakan, pada PRU kali ini, tanpa sokongan daripada pengundi Cina, adalah sukar bagi Pas untuk mempertahankan kelapan-lapan kerusi yang dimenangi mereka dulu," kata seorang pemimpin pembangkang kepada akhbar ini.

Selain itu katanya, dua kawasan luar bandar seperti Dun Morib dan Tanjung Sepat dimenangi Pas dengan kelebihan majoriti kurang daripada 1,000 undi turut berada dalam keadaan tidak menentu.

"Oleh itu, atas faktor kehilangan sokongan pengundi Cina, Pas kemungkinan akan kalah sekurang-kurangnya 10 Dun di Selangor pada PRU14," kata beliau lagi.

Empat juta rakyat perlu daftar sebagai pengundi

Senario politik negara pastinya akan berubah sekiranya empat juta rakyat yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi pada PRU14.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, sekiranya PRU14 jatuh pada Julai ataupun September ini, maka 31 Mac ini adalah tempoh terakhir untuk yang masih belum mendaftar sebagai pengundi berbuat demikian.

"Empat juta pengundi baharu ini mampu mengubah nasib negara," katanya seperti disiarkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Sementara itu, Kit Siang berpendapat, terdapat tiga cabaran besar yang perlu dihadapi oleh rakyat pada PRU14.

Katanya, cabaran pertama ialah bagaimana mengekalkan sokongan yang diberikan kepada DAP dan PKR seperti dalam PRU lalu.

"Kedua, bagaimana memenangi sokongan daripada 3.5 juta ahli dan pengundi Umno melalui Kempen Selamatkan Malaysia dan ketiga, bagaimana memenangi sokongan ahli dan pengundi Pas melalui Kempen Selamatkan Malaysia bagi memastikan semangat bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kekal sepanjang masa," kata Kit Siang.

Bulan lalu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan berkata parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor semasa muktamar April ini.

70,000 penjawat awam minta bantuan Cuepacs

Sekurang-kurangnya 70,000 penjawat awam menghadapi masalah hutang sehingga terpaksa mendapat bantuan daripada Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Difahamkan, akibat gagal menjelaskan hutang mereka kepada bank ataupun ah long, penjawat awam terbabit akhirnya memilih untuk ponteng kerja selama beberapa bulan.

Menurut bekas Setiausaha Agung Cuepacs, Datuk Loke Yim Pheng, kebanyakan penjawat awam yang dihimpit masalah hutang terdiri daripada kumpulan gred rendah akibat tidak mampu mengurus kedudukan kewangan dengan baik dan bersikap boros.

"Golongan ini kerap terpengaruh untuk membeli barang-barang baharu seperti telefon bimbit dan perabot menggunakan kad kredit.  

"Malah, tidak kurang pula yang terpaksa meminjam wang untuk kahwin, beli rumah dan kereta," kata Yim Pheng seperti dilaporkan dalam China Press.

Beliau berpendapat, gaji kecil bukan alasan kumpulan gred rendah ini terpaksa berhutang, sebaliknya yang lebih penting ialah mereka perlu bersikap bijak dan tidak terlalu boros, bersesuaian dengan kedudukan kewangan mereka.

Bunuh Kim Chol: 2 wanita didakwa di Mahkamah Majistret Sepang

2 wanita didakwa bunuh Kim Chol
mk  -  Hari ini, 1:07 tengahari
Wanita Vietnam, Doan Thi Huong & Indonesia Siti Aisyah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Kim Chol di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari lalu.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin, yang bertindak sebagai Majistret, menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Pertuduhan ke atas kedua-dua wanita itu dibacakan secara berasingan dalam bahasa Vietnam dan Indonesia. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua wanita terbabit.

Siti Aisyah merupakan tertuduh pertama manakala Thi Huong adalah tertuduh kedua.


Hadir sama pada prosiding hari ini ialah wakil daripada kedutaan Indonesia dan Vietnam.

Siti Aishah, 25, hadir dengan memakai kemeja-T merah dan seluar jeans biru dan dibawa masuk ke kandang tertuduh tepat jam 10.03 pagi.

Manakala, Thi Houng, 29,  yang digari dibawa masuk ke kandang mahkamah jam 10.09 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 34, di Balai Berlepas KLIA2, pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pihak berkuasa telah mengesahkan pembawa pasport yang tertera dengan nama Kim Chol adalah sebenarnya Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Jaket kalis peluru

Menurut Reuters, kedua-dua suspek utama itu juga kelihatan memakai jaket kalis peluru tetapi tidak menyatakan sebabnya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad manakala Siti Aisyah diwakili barisan lima peguam diketuai Gooi Soon Seng dan Thi Huong diwakili peguam S Selvam.

Kedua-dua tertuduh selepas itu dihantar ke Penjara Kajang.

Sebelum ini, ketibaan kedua-dua suspek tersebut di Kompleks Mahkamah Sepang dalam keadaan
dikawal ketat.

Dua suspek berkenaan tiba dalam konvoi pacuan empat roda berasingan oleh pasukan polis yang menggunakan penutup muka serta diiringi polis trafik dan kereta peronda polis.

Konvoi pertama lapan pacuan empat roda yang membawa suspek pertama tiba di kompleks mahkamah kira-kira 9.34 pagi manakala konvoi enam pacuan empat roda membawa suspek kedua tiba enam minit kemudian.

Kebanyakan media tidak dapat melihat dua suspek berkenaan kerana mereka dibawa ke bahagian belakang mahkamah yang tidak dapat diakses semua media.

Kawalan di sekitar kompleks mahkamah juga diperketatkan dengan kehadiran anggota polis yang agak ketara ramai.

Polis trafik juga mengawal lalu lintas di laluan di hadapan kompleks mahkamah.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam berkata dua wanita asing akan dihadapkan di mahkamah hari ini bagi menghadapi tuduhan.

Ratusan wartawan di luar mahkamah

Warga Vietnam dan Indonesia itu ditahan reman selama 14 hari mulai 16 Februari lepas bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.


Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Media yang dibenarkan mengikuti prosiding pendakwaan dalam mahkamah adalah terhad manakala beratus lagi pengamal media berkumpul di luar.

Apabila kelibat seorang peguam tiba di kompleks mahkamah, beliau dikerumuni para wartawan tempatan dan antarabangsa yang sedia menunggu di luar dan mahu mengetahui suspek mana yang beliau wakili.

Gooi Soon Seng dari Tetuan Gooi & Azura berkata beliau mengetuai barisan peguam bagi Siti Aisyah dan dilantik oleh pihak kedutaan Indonesia.

Pasukan beliau akan terdiri daripada lima hingga enam orang peguam.

Kaitan: Polis, saksi diarah tutup mulut dalam kes Jong-nam

Nak rampas Malaysia: Waau......tinggi sungguh angan dia nih!

Cerah di Kelantan, tak mustahil rampas Malaysia - Mohd Amar
mk  -   Hari ini, 12:56 tengahari
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata berdasarkan kajian, peluang PAS untuk kekal di Kelantan bukan sahaja cerah, tetapi tidak mustahil jika parti itu menawan Putrajaya.

Sambil mengakui parti itu sedia bergerak sendirian dan bertanding di semua kerusi pada PRU14, katanya PAS juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berdepan pertembungan lebih dua penjuru.

"Kita bersedia, kita akan lawan. Dua penjuru, tiga penjuru, malah lima penjuru pun kita tetap lawan. Kita bukan agah (sombong) tapi perjuangan dan matlamat kita jelas.


"Malah melalui kajian dibuat, peluang PAS cerah untuk menang bukan hanya di Kelantan, malah tidak mustahil kita akan rampas Malaysia.

“Yang penting, kita kena istiqamah dan yakin dengan kuasa Allah SWT," katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian ketika menyampaikan ceramah umum dan isu-isu semasa di Kampung Pangkal Jenereh, di Machang, malam, kelmarin.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai kajian tersebut ataupun bila dan di mana ia dijalankan.

Pada ceramahnya itu, Mohd Amar, juga berkata PAS tidak pernah mempunyai sebarang kaitan dengan Umno dan BN, termasuk isu kerajaan perpaduan yang masih dikaitkan dengan parti itu.

Menurutnya, dakwaan parti tertentu mengenai kerajaan perpaduan tersebut adalah tuduhan yang tidak berasas bagi menjatuhkan PAS semata-mata.

"Tuduhan tersebut bertujuan memburukkan-burukkan PAS dan menarik sokongan kepada parti mereka, sedangkan kerajaan gabungan itu tidak pernah dibincangkan.

"PAS tetap terus menjadi alternatif dan pesaing utama kepada Umno BN pada PRU akan datang. Kita akan lawan," katanya yang dipetik akhbar berkenaan.

Angan-angan AMANAH

Sinar Harian juga dalam laporan lain memetik Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan sebagai berkata azam Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk menawan Kelantan menjelang PRU akan datang hanyalah angan-angan politik.

Katanya, bukan mudah bagi AMANAH yang disifatkan hanya 'setahun jagung' bertapak dalam arena politik untuk merampas Kelantan daripada PAS.

"Saya sifatkan ia hanya angan-angan politik AMANAH. AMANAH perlu tahu, untuk memenangi
PRU, sesebuah parti itu perlu ada kekuatan asas terlebih dahulu.

"Kekuatan asas yang perlu ada termasuk cawangan, ahli dan pengundi, bukannya sekadar ada parti kemudian buat gempak pada satu atau dua program dan seterusnya buat kenyataan akan menang di Kelantan," katanya.

Menurut Nasrudin, bukan mudah bagi parti lain untuk menakluk dan menduduki Kelantan.

"Kami yang daripada parti-parti lama termasuk Umno pun tahu nak menang sesebuah negeri bukan mudah.

“Secara asasnya dari awal lagi PAS akan pertahankan Kelantan dari mana-mana pihak," katanya lagi.

RM2.6b: Kenapa RPK pula yang briefing Hadi?

Apa pulak kena mengena RPK dengan Najib?
Adakah dia lebih tahu dari sesetengah menteri kabinet dan pemimpin UMNO?
Atau adakah dia cuba menjadi wakil Najib semoga dapat menebus dosanya kerana memfitnah Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya dulu?

Raja Petra beritahu Hadi RM2.6b bukan wang 1MDB dalam pertemuan di Bangkok
01 Mac 2017 | ZIKRI ABDULLAH
Raja Petra Kamaruddin

Pemilik portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin memberitahu Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa wang yang masuk ke akaun Najib berjumlah 2.6 billion bukan dari 1MDB ketika mereka bertemu di Bangkok minggu lalu.

Husam Musa bercakap di program minum pagi anjuran pemuda Amanah Kelantan

Ahli dewan undangan negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa menyatakan perkara ini ketika berucap di majlis minum pagi bersama Amanah di Kedai Kopi Mat Jen Tanjung Chat, Kota Bharu semalam.

"Orang Pas jangan terkejut pulok, macamana saya tahu perkara ini," katanya.

Baru-baru ini semasa berceramah di Pasir Puteh Datuk Husam menyebut Pas menerima wang RM90 juta melalui Affin Bank.

Sebagai reaksi kenyataan itu pemuda Pas telah membuat laporan polis di beberapa tempat berasingan.

Mengulas perkara itu Husam yang juga penasihat Amanah Kelantan berkata tindakan itu kebudak-budakan kerana mereka tidak tahu menahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Budok-budok tak tahu kijoe (kerja buat) ayah dio"," katanya.

Tindakan Raja Petra memberi taklimat (briefing) kepada presiden Pas adalah untuk meyakinkan pihak Pas bahawa wang RM2.6 billion itu adalah halal dan Najib tidak perlu dipersalahkan.

Menyentuh pentadbiran Kelantan sekarang, beliau menganggap kerajaan negeri tidak ada sebarang idea untuk mengukuhkan ekonomi selain membebankan rakyat dengan menaikkan pelbagai jenis cukai.

"Sepatutnya dengan sumber kekayaan negeri dan keupayaan rakyat Kelantan kita sewajarnya sudah jauh ke hadapan dalam pelbagai industri.

"Apa yang berlaku menurutnya pihak kerajaan gagal mengutamakan keperluan rakyat dan asyik leka dengan imbuhan dan kemewahan peribadi," katanya.

Beliau terus mempersoalkan masalah pengurusan sampah yang semakin kronik tanpa sebarang penyelesaian.

"Di negara lain, sampah dikitar semula menjadi bahan-bahan bermanfaat yang mendatangkan hasil lumayan.

"Dulu telah ada syarikat yang datang menawarkan pengurusan sampah yang menguntungkan ini namun kelihatannya tidak diurus.

"Boleh tanya Datuk Taki (Takiyuddin Hassan) ahli parlimen tuan-tuan kerana perkara ini masa dia jadi exco PBT lagi," katanya.

Berani ke ayam kampung bertarung di gelanggang terbuka?

Debat elak Khairuddin dilabel jaguh kampung
mk - 28 Feb 2017, 9:06 malam
Penganalisis politik dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, mencadangkan Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menerima cabaran debat seorang pensyarah universiti berhubung pindaan Akta 355.

Menurut Dr Maszlee, Khairuddin yang juga ketua penerangan Dewan Ulama PAS perlu menerima pelawaan debat itu bagi memastikan beliau tidak digelar sebagai jaguh kampung.

Malah, katanya, medan debat itu juga boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk melihat kredibiliti sebenar ulama PAS yang sebelum ini didakwa hanya berceramah politik sehala.

"Ceramah politik sehala biasanya menjadi medan para ulama PAS seperti Khairuddin dan lain-lain untuk mengutuk lawan mereka tanpa adanya akauntibiliti dan semak imbang.
"Para ulama PAS sewenangnya menghentam, mengugut, menghina mana-mana individu yang tidak sehaluan dan tidak sealiran dengan mereka terutamanya dalam isu rang undang-undang 355 dan juga hubungan rapat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Tehran serta Umno.

"Ruang debat, dialog atau forum lebih sesuai untuk memastikan ketepatan fakta, integriti dan profesionalisme. Jika beliau (Khairuddin) melarikan diri daripada berdialog, ia hanya akan memberikan kesan buruk dan titik hitam dalam lipatan sejarah hidupnya kerana beliau akan dilihat hanya berani sebagai jaguh kampung sahaja," kata Dr Maszlee dalam kenyataannya kepada Malaysiakini.

Sendiri lontar cabaran

Isu debat atau diskusi melibatkat Khaiduddin timbul selepas pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle menyatakan kesediaannya menyambut 'tawaran' Khairuddin yang mempertikaikan sikap sesetengah pihak yang menolak cadangan pindaan Akta 355.

Rozaimi menyambut tawaran itu selepas tersebarnya klip video ceramah Khairuddin yang menyatakan kesediaannya untuk berhujah dengan sesiapa sahaja yang menganggap melakukan pindaan Akta 355 adalah tidak wajib.

Malah, dalam klip video ceramah sepanjang kira-kira 4.30 minit itu, Khairuddin turut mencadangkan supaya disekeh kepala mufti yang anggap pindaan Akta 355 itu bukan wajib.

Selain itu, pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh UPSI itu juga berkata, sekiranya Khairuddin bersetuju untuk berdebat, ia boleh dijadikan medan untuk dirinya membersihkan nama ekoran isu pembelian kereta Audi Q7 kepada isterinya menjadi tular di media sosial.

"Khairuddin boleh ambil peluang ini untuk membersihkan dirinya dari isu hangat pembelian Audi Q7 untuk isteri keduanya yang menjadi viral di media sosial dan menjadi perbualan netizen.

"Terbaik untuk Khairuddin ialah untuk tampil dalam debat dengan Rozaimi yang menawarkan diri, di mana debat tersebut beliau (Khairuddin) sendiri yang melontarkan cabarannya," katanya lagi.
Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut memberikan respon terhadap 'sahutan' Rozaimi.

Mohd Asri yang dirujuk Khairuddin dalam ceramahnya itu berkata, beliau berharap agar program debat bersama Khairuddin - jika benar diadakan - akan berlangsung dengan baik.

"Mari kita doakan supaya program berjalan dengan dengan baik. Insha-Allah akan ada banyak kebaikan.

"Tahniah al-fadhil Dr Rozaimi yang menyahut cabaran tersebut," tulis Mohd Asri di Facebooknya.

Makluman: 

* Ambo baru terbang pulang malam tadi dari KL kerana rindukan cucu-cucu. Itulah sebabnya blog ini agak kurang diupdate sepanjang minggu lalu. Mohon maaf dari semua pengunjung