Showing posts with label sastera. Show all posts
Showing posts with label sastera. Show all posts

Friday, February 2, 2018

Cuba amati apakah yang Hisham nak sampaikan?

Riwayat Mat Bodoh, Minah Bebal
Hishamuddin Rais      Hari ini, 9:16 am
Guru, pemikir, ahli falsafah pascamoden counter culture Slavoj Zizek dari Slovenia pernah berkata, dia kecewa, terganggu dan susah hati apabila melihat orang bodoh gembira.

Gua kurang faham kenapa si Zizek (bawah) ini terganggu? Kenapa ahli falsafah tersohor ini ini merasa gusar dan risau? Apa yang merisaukannya? Kenapa susah hati apabila ada orang bodoh gembira?
Tidak bersetuju. Amat jelas, gua Hishamuddin Rais tidak bersetuju dengan pandangan ahli falsafah ini. Gua seratus peratus menolak pandangan Zizek. Gua adalah orang pertama dalam dunia ini yang mengalu-alukan sosok bodoh. Gua mahu merayakan mat bodoh dan minah bebal.

Gua akan mendakwah. Gua akan menulis. Gua akan berhujah. Gua akan menghasut sesiapa sahaja agar orang ramai menyambut saranan gua untuk merayakan mat bodoh dan minah bebal.

Lagi bangang minah dan mat bebal ini lagi wajib kita rayakan mereka.

Pada tahun 1884 – seratus tujuh puluh tahun dahulu – Karl Marx (bawah) dan Friedrich Engels dalam Manifesto Komunis telah mengeluarkan slogan berbunyi: “Kaum buruh sedunia bersatulah, kamu tidak hilang apa-apa kecuali tali penindasan.”
Pada tahun 2018 ini, Hishamuddin Rais mengeluarkan slogan: “Sang bangang sedunia bersatulah, tidak akan hilang kebodohan kamu.”

Slogan inilah yang akan gua arak ke hulu ke hilir untuk untuk merayakan mat bodoh dan minah bebal.

Tidak adalah kegembiraan yang menggembirakan melainkan melihat mat bodoh dan minah bebal dalam keadaan yang amat bodoh. Justeru Profesor Zizek yang tersohor itu tidak seharusnya bersusah hati. Bodoh akan membawa gembira.

Mungkin pada hemat setengah orang bangang dan bodoh ini bertahap-tahap. Ada bodoh yang lebih bangang. Dan ada bodoh yang lebih bodoh dari bangang. Ada bebal yang bangang. Ada bangang yang lebih bebal.

Apakah benar bodoh dan bangang ini bertahap-tahap, bertingkat-tingkat? Ada yang lebih bodoh dan ada yang lebih bangang. Apakah ada bodoh yang lebih bangang dari bebal? Apakah ada bangang yang lebih baghal dari bodoh? Perkara ini gua tak berapa jelas.

Untuk memperhalusi pengkajian, mari kita bersama selidiki perkataan bodoh ini. B-O-D-O-H adalah konsep. Dalam masa yang sama bodoh juga ialah kata sifat. Ini menjadikan perkataan dan konsep bodoh ini cukup menarik. Justeru berkemungkinan perkataan bodoh ini jika diatur dengan baik boleh dibaca ‘cool’.

Hakikatnya dalam konsep/kata sifat ini ada perkataan bodoh, bangang, bebal, baghal, bahlul dan ngok. Semua membawa makna bodoh. Semuanya menunjukkan konsep dan perangai dan sifat seseorang.

Bodoh bukan kurang cerdik

Gua tak mahu menggunakan perkataan ‘kurang cerdik’ untuk memahami apa itu bodoh. Pada hemat gua jika kurang cerdik digunakan ini satu kesalahan yang amat besar. Jangan sesekali dihubungkan perkataan bodoh dengan cerdik. Jangan.

Kalau kita gunakan kurang cerdik untuk memahami bodoh maka ini sama seperti kita menggunakan perkataan kurang kurus dan kurang cun untuk menggambarkan rupa bentuk, susuk badan dan muka Datin Seri Rosmah Mansor.

Begitu juga dengan bodoh. Jika kita melihat mat bebal itu bangang maka kita katakan mat bebal ini bangang. Kita wajib berkata benar, jujur tepat dan ikhlas.

Kadang kala kita terdengar juga perkataan baghal. Ini maknanya bodoh. Baghal ini ialah sejenis binatang kacukan keldai dengan kuda. Baghal ini tidak wujud di gugusan pulau-pulau Melayu. Baghal adalah warga asli negara padang pasir.

Justeru gua rasa konsep bodoh baghal ini hanya menjelma dalam budaya Melayu setelah Bani Melayu berjumpa dengan warga Saudi. Bila Melayu bertemu Saudi, maka baghal mula muncul. 'Kebaghalan' Bani Melayu ini muncul bila bertemu dengan warga Saudi.

Ngok juga bermakna bodoh. Gua rasa ini perkataan baru. Ketika gua membesar dahulu gua tak bertemu atau tidak pernah terdengar perkataan ngok ini. Mungkin dulu ngok belum diolah lagi.

Ngok mungkin perkataan baru seperti kantoi, cun, pot dan gian. Mungkin ngok ini lahir dari budaya anak muda yang mahu menerangkan makna bodoh di kalangan anak-anak muda yang sedang bodoh. Atau ngok ini singkatan dari perkataan bongok yang juga membawa makna bangang.

Harus kita sedari bahawa ada lagi istilah bangang dan bodoh yang hanya digunakan di wilayah-wilayah tertentu sahaja. Mungkin ada perkataan istimewa untuk bodoh dan bangang di kalangan Bajau Laut di Lahad Datu. Atau mungkin ada konsep dan perkataan bodoh yang lagi membodohkan di kalangan warga Bidayuh atau Iban di Sarawak. Dalam hal ini gua kurang arif.
Contoh terbaik ialah di Kelantan, bodoh dipanggil bengong. Orang Kelantan jika bertutur tidak akan lupa dengan bengongnya. Perkataan bengong ini bila sampai ke Jelebu Negeri Sembilan berkalih menjadi pantengong. Nah! Inilah contoh perjalanan perkataan bodoh dan bangang dari wilayah ke wilayah.

Pasti ada pembaca yang akan bertanya. kenapa pada tahun 2018 ini gua beriya-iya sangat mengeluarkan propaganda untuk merayakan mat bebal dan minah bengong? Apa untungnya dan apa faedahnya. Apakah perlu kita rayakan mat bangang dan minah bebal yang bodoh lagi baghal?

Jawapannya cukup senang, menjadi bodoh, bangang, bebal, bengong, baghal dan ngok adalah hak asasi seseorang. Menjadi bodoh adalah hak asasi. Tidak ada sesiapa - individu, kerajaan atau daulah - yang boleh menafikan hak seseorang untuk menjadi bodoh.

Kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab wajib menghormati hak individu atau hak-hak kelompok atau hak persatuan untuk menjadi bodoh dan bangang. Bodoh adalah hak asasi.

Riwayat Mat Bebal tak suka nasi goreng

Sekali lagi gua katakan, menjadi bodoh ialah hak asasi seseorang. Jangan ganggu dan jangan gugat jika ternampak mat bebal dan minah bodoh sedang beraksi.

Sayugia gua ingatkan bahawa bodoh dan bangang ini bukan satu penyakit berjangkit. Justeru kita tidak perlu risau. Jika seseorang itu bangang dan sedang melakukan perkara yang bodoh, yakinlah ia tidak akan berjangkit. Ini kerana bodoh dan bangang tidak membawa kuman atau virus.

Belum pernah tercatat kes mati disebabkan bodoh. Atau wabak bodoh merebak seperti wabak SARS.
Contohnya, ada seorang mat mebal menginap di Flat 223, Blok D, Perumahan PPRT Pantai Dalam. Mamat ini memang terbukti bebal lagi bodoh. Tapi warga Kuala Lumpur tak perlu risau. Kebebalan mamat ini tidak akan merebak dari Lembah Pantai. Malah dalam Blok D pun ia tidak akan berjangkit ke Flat 222 atau ke Flet 224. Kita semua selamat dari mamat bebal ini.

Gua juga mahu memberitahu dunia bahawa bodoh, bangang, bebal, ngok, bengong bukan satu jenayah. Bukan satu kesalahan melanggar undang-undang jika menjadi mat bebal yang bodoh atau menjadi minah bangang yang bebal.

Di Malaysia setakat ini bodoh dan bangang belum ditafsirkan sebagai satu kesalahan jenayah dalam hukum kanun negara. Malah dari apa yang gua baca belum ada sebuah negara pun dalam dunia ini yang menganggap mat bebal dan minah bodoh sebagai penjenayah.

Setelah gua terangkan semua ini maka gua rasa kita tidak perlu menyimpan syak wasangka terhadap mat bebal dan minah bangang. Jika kita terbaca apa-apa tentang kelakuan atau tentang saranan atau tentang pandangan mat bebal dan minah bangang, anggaplah semua itu sebagai satu hak asasi mereka untuk jadi bangang.

Sebelum gua mengundur biar gua bersurah tentang Riwayat Mat Bebal untuk menjadi panduan kita semua.

Pada satu malam hujung minggu gua bersama beberapa rakan telah duduk di warung untuk makan malam. Ada kawan minta mi goreng, nasi ayam, mi bandung. Gua minta nasi goreng. Bersama kami terselit seorang Mat Bebal.

Bila ditanya mahu makan apa, Mat Bebal ini terus bersuara:

“Tak suka nasi goreng.”

Jawapan ini gua faham. Ini hak asasi Mat Bebal untuk tidak menyukai nasi noreng. Adalah hak Mat Bebal ini untuk tidak berminat terhadap nasi goreng. Gua hormat akan keputusan itu.

Lalu gua bertanya lagi, “Kalau tidak suka nasi goreng, suka apa?”

Si bebal ini menaikkan suara dan terus berkata: “Aku tak suka nasi goreng”.

Suaranya agak meninggi. Seorang minah cun dengan balaknya di meja sebelah menjeling melihat kami.

'Aku mahu Anwar jadi PM'

Lalu gua bertanya lagi dengan sopan.

“Aku tak suka nasi goreng, tak faham ke?”

“Gua faham. Kalau tak suka nasi goreng, suka apa?”

“Aku tak suka nasi goreng,” si bebal ini mula menjerit.

Para pelanggan warung mula memasang mata ke arah kami.

Tetiba Mat Bebal ini mula beratip, mengulang-ulang kata-katanya.

“Aku tak nak nasi goreng. Aku tak minat nasi goreng. Aku tak mahu nasi goreng. Tak nak. Tak minat. Tak mahu. Aku tak hendak nasi goreng.”

Gua bersuara, “Jadi kamu mahu apa?”

Mat Bebal berkata, “Aku mahu Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.”

Gua tersenyum dan terus menjawab.

“Anwar masih dalam penjara.”
Apakah bodoh sangat si mamat bebal ini untuk memahami bahawa si Anwar ini masih lagi seorang banduan.

Mat Bebal terus melaung, “Aku tak suka nasi goreng. Kalau kau makan nasi goreng aku akan pecahkan pinggan nasi goreng kau.”

Gua bangun tersenyum dan terus berkata kepada semua yang mahu mendengar.

“Inilah Riwayat Mat Bebal lagi bodoh, bebal lagi bengong, bagal lagi ngok. Bila ditanya nak apa, bila ditanya nak siapa, Mat Bebal ini hanya mahu pecahkan pinggan.”

Tapi yakinlah dunia kita terus jadi indah dengan wujudnya mat bebal dan minah bengong di sekeliling kita. Tanpa mereka, gua akan menjadi macam Zizek, resah gelisah tak senang hati. Tanpa mat bebal dan minah bengong, gua susah untuk gembira.

Terima kasih mat bebal dan minah bangang kerana menghiburkan hati gua. Amin.

* HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Saturday, November 25, 2017

Santai: Kisah lebai bogel

November 24, 2017
Kisah lebai bogel dua
Faisal Tehrani
Dalam cerita lipurlara Melayu terdapat satu genre cerita jenaka.

Anda tentu pernah mendengar kisah Lebai Malang. Secara ringkasnya, Lebai tersebut ingin memenuhi 3 undangan kenduri. Oleh kerana tamak, dia bertangguh-tangguh memikir dan memilih-milih kenduri yang manakah akan mendapat keuntungan lebih.

Ternyata apabila si Lebai berangkat memenuhi kenduri tahlil ia telah berakhir, bila dikejar kenduri khatam Al-Quran pun sudah usai, lantas dihambat kenduri Maulud hanya mendapat sebungkus makanan.

Dalam perjalanan pulang, Lebai memanjat pokok kerana terkenangkan air nira. Nasib malang menimpa lagi apabila makanannya dibawa lari anjing.

Mohd Taib Osman memetik kisah Lebai tersebut dalam sebuah susunan jenaka Melayu:

“Maka anjing itu pun masuklah ke dalam lubang batang kayu bersembunyi membawa bungkusan kuih yang separuh sudah dimakannya sambil lari itu. Maka Pak Lebai pun sampailah kepada tempat anjing itu menyembunyikan dirinya. Dicarinya kayu pun tiada, dan lain-lain benda pun tiada juga hendak disumbatkannya pada lubang itu.

“Maka Pak Lebai pun oleh tersangat berang hatinya, lalu menanggalkan seluar dan baju serta songkoknya, lalu disumbatkannya kepada lubang itu. Maka Pak Lebai pun tinggal bertelanjang bulat sahaja.

“Maka si anjing sial itu pun keluarlah lari mengikut lubang yang sebelah lagi yang tiada bertutup itu, menggonggong bungkusan itu dengan pantasnya masuk ke dalam hutan, lalu hilanglah sekali tiada kelihatan pada mata Pak Lebai.

“Mata Pak Lebai pun tercengang-cenganglah mengintai anjing itu ke sana ke mari. Hatta, seketika lagi terbanglah dua ekor burung punai betul-betul menuju Pak Lebai, kerana pada sangka burung itu tunggul kayu oleh Pak Lebai bertelanjang bulat, seurat benang pun tiada lekat pada tubuhnya. Setelah dilihat oleh Pak Lebai akan punai itu datang, ia pun segeralah mengadangkan lengannya dan membukakan kedua ketiaknya.”

Perihal lebai beradu dengan anjing untuk berebut makanan itu tentulah aneh kerana lebai seharusnya mempunyai kepercayaan, kehormatan dan kemuliaan yang penuh.

Dalam tradisi Melayu, sepatutnya para lebai, para ustaz dan para ulama mendapat posisi yang sangat terpandang. Akan tetapi, lebai malang ternyata dimalu-aibkan, dan bukan setakat ditunjukkan dalam keadaan rugi, malah dilondeh sehingga terlihat-lihat segala punai.

Akan hal lebai tersebut dinyatakan oleh pencerita menerusi sudut pandang isterinya:

“Maka Pak Lebai pun naiklah ke rumahnya. Telah dilihat oleh isterinya Pak Lebai bertelanjang bogel itu, marahlah ia seraya katanya, ‘Kena apa awak demikian ini, seperti laku orang gila? Ke mana pergi seluar dan baju awak?’ Maka oleh Pak Lebai diceritakannya segala hal ehwal yang telah berlaku ke atas dirinya. Maka Mak Lebai pun naiklah radangnya, seraya mengambil kayu api, disesahkannya ke belakang Pak Lebai serata katanya:

‘Lebai nasib langkahan malang,
Ke hulu hilir penat berulang,
Celaka sial bedebah jembalang,
Pakaian dibuang bertelanjang pulang.’”

Persenda watak agama

Sudah tentu naratif lucu atau jenaka ini bukan dibuat-buat untuk tujuan suka-suka dan berhibur. Adalah aneh sekali orang Melayu mempersendakan watak para agamawan yang sepatutnya terhormat dalam masyarakat.

Akan tetapi, orang Melayu sejak zaman berzaman menjadikan kisah ini sebagai satu cerita untuk mengajar perihal ketamakan seseorang sehingga rugi serba-serbi. Orang yang tamak itu bukan orang biasa. Orang yang tamak dalam minda Melayu adalah agamawan.

Tidakkah itu sesuatu?

Menurut saya, kisah lebai malang ini mempunyai pemberat yang jauh lebih mendalam ingatan dan mesejnya.

Apa niat seseorang Melayu menelanjangkan seseorang yang dianggap terhormat dan berstatus tinggi sedemikian rupa? Lantas kemudian dimarahi isteri pula. Maka jelas si pencerita lipurlara ini bukan berniat untuk berhibur jenaka semata-mata. Bukan pula sekadar mengingatkan keadaan tamak dan haloba.

Mesej lebih besar daripada isu tamak dan haloba dirakam dalam jenaka “Lebai Malang” ini. Orang Melayu tidak akan menanggalkan pakaian yang merupakan penutup aib dan aurat melainkan terdapat kemarahan yang nyata. Melainkan gila, atau bodoh (kurang rasional).

Lebai malang dalam kisah jenaka ini ditunjukkan bersifat mementingkan diri. Sejak awal naratif, lebai berkira-kira untuk memenuhi undangan kenduri yang paling bermanfaat dan mendapat harta atau keuntungan besar.

Bukan itu sahaja, lebai digambarkan pula kurang waras bila mana berebutkan makanan dengan anjing sehingga terdesak memecat pakaian sendiri. Apabila gagal bertanding dengan anjing, iaitu binatang yang digambarkan tamak dalam kisah anjing dengan bayang-bayang, si lebai tergamak pulang dalam keadaan polos dan telanjang.

Tanpa rasa malu dan segan, apabila ditanyakan perihal keadaan itu, si lebai berjujur dengan harapan dimengertikan. Padahal kita dalam posisi isteri lebai berasa sangat malu dan tertekan.

Lebai bogel masa kini?

Dalam perspektif si isteri lebai, suaminya seperti orang gila. Untuk menyamakan watak lebai yang terhormat dalam masyarakat Melayu dengan kegilaan yang sanggup dan terdesak menelanjangkan diri merupakan satu kritikan yang bernas dan padu. Ia adalah gambaran institusi agama dalam masyarakat Melayu yang tidak henti-henti bertelanjang memalukan diri sendiri. Apabila diketawakan orang, tanpa segan silu juga mereka terus menegaskan kebodohan mereka sendiri.

Sesungguhnya kritikan orang Melayu terhadap kumpulan agamawan yang mediocre atau tidak bermutu seperti ini amat selalu ditemukan.

Kita malah menjumpainya dalam kisah Luncai. Pendek kata kisah jenaka Melayu memang menjadikan kaum agamawan sebagai sasaran senda mereka kerana sudah tentulah orang Melayu berasa meluat dengan ketelanjangan kaum agamawan yang tidak punya malu.

Hari ini fenomena lebai telanjang dan berani berbogel ini sangat berleluasa. Mereka telanjang dengan fatwa dan pandangan agama yang tidak rasional dan lojika. Bila disangkal, mereka semakin meneguhkan ketelanjangan itu.

Pokoknya golongan agamawan yang tidak lojik dan menggunakan kewarasan serta tergamak menelanjangkan diri ini tentu sahaja wujud dan masih berwatak dalam masyarakat kita. Cuma dalam konteks hari ini, watak agamawan telanjang yang bedebah dan bodoh ini bukan untuk kita ketawakan.

Pada zaman dahulu, lebai ini hanya seorang dan kewujudan mereka membuatkan kita geli hati, atau geli-geleman. Namun demikian, watak lebai yang bertelanjang kemudian bangga seperti dalam kisah Lebai Malang ini telah berganda. Berbiak dan pulang ramai-ramai dari Timur Tengah.

Mereka sedang memalukan diri dengan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu yang dinamakan jamaah. Mereka mempunyai pelbagai misi telanjang untuk memalukan diri. Mereka fikir misi mereka suci. Padahal kira-kira mereka adalah keuntungan diri.

Kita tidak dapat mengharapkan watak lebai yang bodoh dan tidak tahu malu begini. Bagaimanakah kita ingin mengharapkan lebai ini dalam hidup kita (tafsiran kepada bahagian lebai diundang membacakan doa di majlis kenduri), jika mereka sendiri gagal memenuhi kehormatan dan hak diri sendiri?

Lebai seperti lebai malang ini tidak harus diberi muka dan diketawakan lagi. Mereka sedang mempamer kebodohan, keangkuhan dan juga kepanauan yang ada di tubuh badan yang sudah berbogel itu sehingga kita sendiri menjadi mual semak, muak menyampah, jemu bosan, geli meluat dan membangkitkan rasa benci.

Sudah tentu kita tidak membenci adat budaya, atau agama. Yang kita benci adalah “ulama” atau lebai bangang yang tanpa segan silu bertelanjang dan bergaduh dengan anjing.

Apa yang kita perlu lakukan dengan lebai telanjang ini?

Pertamanya kita harus mengambil pendekatan Mak Lebai iaitu kita mesti mengambilkira dan “acknowledge” bahawa lebai ini “laku orang gila”. Kita mesti sedia membuang citra bahawa lebai ini berguna dan bermanfaat kepada hidup kita, sedangkan dalam kepala otak mereka hanyalah untuk nafsu, dan keuntungan diri.

Kedua, setelah kita menyedari bahawa mereka ini gila, kita hendaklah menghambat mereka dan jangan melibatkan diri dengan kumpulan lebai bogel begini.

Kita hendaklah mengambil pendekatan yang tidak lagi wasatiyyah seperti Mak Lebai iaitu mengambil kayu api, lantas disesahkannya ke belakang Pak Lebai. Beri mereka sedar, duhai lebai telanjang.

Untuk lebai, ulama, ustaz, agamawan yang berasa suci dan berkhayal kuat seperti Lebai Malang kita hendaklah tidak berkompromi dengan mereka. Mereka telanjang dan bangga. Kita masyarakat cemerlang. Kita tidak memerlukan jembalang telanjang. Nyahkan mereka.

Nyahkan. Kayu api di tangan kita.

Tuesday, November 14, 2017

Mengapa kita lakukan 'perkara bodoh' begini?

Kesiankan Keintelektulan Kita
November 09, 2017  
Oleh Dinsman
Saya bukan anti orang politik. Jangan salah faham. Saya cuma melihat ketidakseimbangan dan keterlaluan.

Kita keterlaluan berpolitik dan keterlaluan menghormati orang politik, hingga menimbulkan ketidakseimbangan dan kejanggalan dalam kehidupan.

Saya bagi satu contoh. Dalam seni-budaya kita selalu jemput orang politik membuat perasmian program-program seni-budaya yang kita anjurkan. Maka orang politik itupun memberi ucapan. Dia (yakni kebanyakan mereka) yang tak tahu seni-budaya bercakap panjang lebar mengenai seni-budaya kepada khalayak yang memang bidang mereka seni-budaya.

Bukan saja bercakap gaya orang yang serba tahu, tetapi selalunya akan memberi nasihat lagi. Padahal kita semua (para budayawan) tahu yang dia itu tidak tahu. Kita yang lebih tahu.

Maka nampak sangatlah janggalnya dan sumbangnya dan peliknya perkara itu. Seperti kita membodoh-bodohkan diri kita. Mengapa kita lakukan 'perkara bodoh' begini? Dan kita mengulanginya dan terus mengulanginya sejak dulu hingga sekarang. Apa yang kita mahu daripada itu sebenarnya?

Saya kesian tengok perkara ini. Maka saya selalu elak daripada menghadiri majlis-majlis sedemikian. Kesiankan keintelektualan kita. Kesiankan kesanggupan kita untuk berbodoh-bodoh itu. Pelik 'kan?

Saya bukan anti orang politik. Jangan salah faham. Saya juga mara'ikan orang politik. Saya bagi satu contoh. YB Lee Kee Hiong, Adun Kuala Kubu. Saya dan PAKSI selalu buat program seni-budaya dengan dia. Dan dia tak bercakap benda yang dia tak tahu apabila berucap.

Dia bercakap benda seni-budaya yang dia buat, dan yang dia nak buat. Dan dia orang politik. Tapi dia pun faham Tekad Budaya.

Sunday, August 6, 2017

Sejarah Pahlawan: Peristiwa hitam di Tanjung Batu Babi, pada tahun 1971

Serang Hendap Komunis Di Tanjung Batu Babi, 1971
By Haslina Bujang  August 5, 2017

Gambar sekadar hiasan

“AGI idup agi ngelaban” sememangnya sinonim dengan anggota parajurit kita apabila berbicara tentang tugas-tugas mereka yang sentiasa berada di dalam keadaan genting. Adakalanya satu perjalanan yang biasa-biasa boleh bertukar menjadi satu malapetaka yang meragut nyawa mereka. Inilah yang terjadi di dalam satu tragedi yang berlaku di Tanjung Batu Babi, Sungai Katibas pada tahun 1971.

Kisah bermula pada tanggal 20 Januari 1971 apabila Leftenan Muda Anuar Basha Khan bin Haji Zakaria diarahkan oleh Ketua mereka untuk ke Nanga Bangkit iaitu satu kawasan yang terletak di Sungai Katibas berdekatan dengan Nanga Engkuah. Pada ketika itu arahannya adalah untuk berjumpa dengan para Tuai Rumah di kawasan tersebut untuk menghadiri satu mesyuarat antara pasukan keselamatan dan pemimpin tempatan yang akan diadakan pada tanggal 21 Januari 1971. Selain daripada itu mereka juga diarahkan untuk mencari beberapa bahan binaan bagi membina sebuah asrama pelajar di Nanga Bangkit yang akan menjadi antara tanggungjawab CSR tentera kepada masyarakat setempat.

Sudah menjadi kebiasaan apabila setiap arahan ketenteraan tidak akan dijalankan bersendirian lebih-lebih lagi sudah diketahui bahawa musuh seperti komunis itu ada dimana-mana jadi PW2 Lenggu Ak Cina, Renjer Umok Ak Mambang, Renjer Lian Ak Anyi, Renjer Limping Ak Gayang, Renjer Engkas Ak Judik, Renjer Nawawi bin Saffie, Renjer Kelabu Ak Nyalang, Renjer Midong Ak Gundi, Renjer Suntai Ak Duin, Renjer Shaffiee bin Saat dan “Signaller” Ahmad bin Shafie dihimpun menjadi satu unit platun kecil untuk menjalankan misi mereka. Pergerakan menuju ke Nanga Bangkit bermula kira-kira jam 2.00 petang pada hari yang sama setelah mendapat taklimat daripada ketua mereka mengenai sebarang kemungkinan yang berlaku di dalam misi mereka.

Siaga segalanya maka tepat jam 2.30 petang, mereka telah menaiki dua buah bot dari Nanga Engkuah untuk ke Nanga Bangkit. Sebuah bot dinaiki oleh PWII Lenggu Ak Cina dengan enam anggota manakala sebuah lagi bot dinaiki oleh Leftenan Muda Anuar bersama tujuh lagi anggota mereka. Dijangka perjalanan dari Nanga Engkuah menuju ke Nanga Bangkit akan mengambil masa selama 3 jam setengah untuk sampai ke destinasi. Bagi tujuan keselamatan juga diarahkan bot yang dinaiki oleh PWII Lenggu Ak Cina mengharungi Sungai Katibas di sebelah kiri manakala yang dinaiki oleh Leftenan Muda Anuar akan berada di sebelah kanan.

Persinggahan pertama mereka adalah di sebuah sekolah yang terletak di Nanga Bangkit dan disitulah mereka bermesyuarat seketika dengan seorang guru bagi mengambil informasi mengenai bahan binaan yang dikehendaki dan kemudian akhirnya memudiki kembali Sungai Katibas untuk urusan pemberitahuan kepada pemimpin masyarakat di sepanjang rumah panjang di situ.

Hampir enam buah rumah panjang di sepanjang Sungai Katibas mereka ziarahi untuk memberitahu mengenai mesyuarat yang hendak diadakan pada keesokan harinya. Dan setelah informasi disampaikan di rumah panjang yang dikenali sebagai Rumah Eton mereka menuju ke Rumah Dinggai. Dikala inilah mereka diarahkan untuk berhati-hati kerana melalui risikan dimaklumkan bahawa masyarakat Rumah Dingai agak pro kepada TNKU. Lokasi Rumah Dingai pula terletak di sebelah kanan Sungai Katibas dan di titik pertemuan dua cabang sungai iaitu Sungai Ning yang juga dikenali sebagai Tanjung Batu Babi.

Dan diketika melalui Tanjung Batu Babi inilah kedua-dua bot yang membawa PWII Lenggu Ak Cina dan Leftenan Muda Anuar berserta 12 yang lain telah diserang hendap oleh pihak komunis yang berselindung di sebalik kawasan berbukit. Pihak musuh telah menjadikan enjin bot sangkut sebagai sasaran mudah bagi mematikan perjalanan bot-bot anggota keselamatan pada masa itu. Namun walau menjadi sasaran mudah PWII Lenggu dan rakan-rakannya tidak beralah biarpun pada masa itu dikatakan bot mereka berpusing-pusing dibawa arus deras di Tanjung Batu Babi.

PWII Lenggu dan rakan-rakannya di dalam keadaan yang payah akhirnya berjaya mendarat di tebingan dan terus-terusan memuntahkan peluru daripada senjata mereka ke arah sasaran. Disinilah mereka menyaksikan lima rakan yang menaiki bot bersama PWII Lenggu berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir di mana akhirnya mereka sendiri terkulai layu rebah sebagai bunga bangsa akibat terkena muntahan peluru komunis.

Melihat kejadian itu, Leftenan Muda Anuar dan tujuh lagi anggota dari sebelah kiri telah cuba menghampiri kumpulan PWII Lenggu. Namun amat sukar untuk mendarat ke tebingan kerana mereka juga turut menjadi sasaran mudah pihak komunis. Pada ketika enjin bot tidak berfungsi kerana ditembak komunis, Renjer Suntai Ak Duin terkena tembakan betul-betul di kepalanya menyebabkan beliau terjatuh di dalam sungai. Melihat kejadian itu Renjer Engkas dan Renjer Kelabu pula terjun ke dalam sungai bagi mencari perlindungan dan berenang ke sebelah kiri tebingan Sungai Katibas. Mereka mencuba sebaik mungkin untuk membalas tembakan dari tebingan situ.

Manakala Leftenan Muda Anuar, Renjer Nawawi, Renjer Midong dan Signaller Ahmad pula tetap masih diatas bot sambil cuba berlindung dengan berbalas tembakan dari atas bot. Pada ketika itulah juga dinyatakan bahawa Leftenan Muda Anuar turut terkena tembakan di kepala dan begitu juga Renjer Midong dan Signaller Ahmad yang terkulai kerana cedera yang parah. Yang tinggal masih melepaskan tembakan adalah Renjer Nawawi sehinggalah hujan rahmat menyelamatkan mereka semua. Ini kerana dikatakan selepas itu pihak komunis telah memberhentikan serangan mereka dan berundur.

Akibat tidak mampu berbuat apa-apa kerana enjin bot rosak akhirnya bot yang dinaiki oleh Renjer Nawawi bersama anggota yang cedera telah hanyut mengikut arus sungai Katibas yang deras. Dan sekali lagi mereka bernasib baik kerana ditemui oleh Pegawai Pemerintah mereka yang di dalam perjalanan dari Song ke Nanga Engkuah iaitu Leftenan Colonel Syed Abdul Aziz bin Syed Razak. Merekalah yang menyelamatkan Renjer Nawawi dan rakan-rakannya yang akhirnya membawa mereka ke lokasi serangan. Di situ mereka menjumpai lima mayat anggota renjer yang sudah tiada dengan PWII Lenggu anak Cina walau masih bernafas tetapi cedera parah.

Akhirnya bantuan sampai ke Tanjung Batu Babi dengan Leftenan Ragunathan diarahkan untuk memusnahkan komunis yang membuat serangan hendap itu. Mereka menjejak segerombolan komunis ini melalui jejak yang mereka tinggalkan dan akhirnya pada hari yang sama berjaya juga memusnahkan mereka. Disamping itu semasa mereka mula-mula menjejak komunis di sebalik bukit di Tanjung Batu Babi itu mereka turut menjumpai dua mayat anggota komunis yang berjaya dibunuh oleh PWII Lenggu dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah mereka sendiri membawa mayat-mayat anggota renjer yang terbunuh di dalam satu bot manakala Leftenan Muda Anuar dan PWII Lenggu yang cedera parah bersama-sama dengan Renjer Midong juga Signaller Ahmad bersama-sama yang selamat telah dihantar ke Tactical Headquaters untuk bantuan perubatan. Sampai di Headquaters mereka memohon bantuan udara untuk membawa Leftenan Muda Anuar dan PWII Lenggu ke hospital.

Namun sudah menjadi ketentuan Illahi, PWII Lenggu Ak Cina tidak sempat menaiki helikopter untuk bantuan perubatan yang lebih sempurna kerana beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir selang beberapa minit sebelum helikopter itu tiba di lokasi. Hanya Leftenan Muda Anuar sempat diterbangkan ke Sibu bersama yang lain dan selamat setelah melalui pelbagai pembedahan untuk mengeluarkan peluru di dalam badan mereka.

Tujuh perajurit Malaysia gugur sebagai bunga bangsa di dalam satu serang hendap komunis pada tanggal 20 Januari 1971 di Tanjung Batu Babi manakala yang lain cedera dan selamat. Di dalam sejarah juga menyaksikan PWII Lenggu anak Cina merupakan anak iban atau bumiputera Sarawak yang pertama menerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa daripada Kerajaan Malaysia. Sebagai mengenang jasanya, sehingga sekarang ada satu nama jalan yang dinamakan Jalan Lenggu Anak Cina yang wujud di Kem Tentera Desa Tun Hussein Onn. Ianya sebagai bukti kukuh bahawa kepahlawanan anak Iban Sarawak ini sentiasa dihargai di dalam dunia ketenteraan Malaysia untuk selama-lamanya.

Lest We Forget!

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Rujukan:

1. SP PW2 Lenggu Anak Cina – Ambush in Sungei Katibas
http://renjervalour.blogspot.my/2005/10/wo-2-lenggu-ak-china-seri-pahlawan.html

2. Seri Pahlawan Gagah Perkasa
http://www.maele.net/english/roslina/Text%20on%20frontpage.htm

Wednesday, May 3, 2017

Hai Melayu!

Pedihnya sajak *A. Samad Said* ni....

Terkedu bila dihayati..... "Betulkan yg Biasa, Biasakan yg Betul."

HAI MELAYU....

Hai *Melayu*!
Rumahmu semua dibina kontrak *Indonesia*,
Ekonomi pula dikuasai *Cina*,
Golongan profesional semuanya *India*,
Warung makan pun,
*Mamak* dan *Siam* yang berkuasa,
*Bangla* control cuci kereta,
Orang *Nepal* yang menjadi jaga,
Orang *Pakistan* usung karpet jaja merata,

*Lalu melayu ada apa?*
Harapkan Ustaz.....
Saling menyesat,
Harapkan hiburan....
Lagi best filem barat,
Harapkan bahasa....
Banyak telah bertukar kesat,
Harapkan tulisan......
Jawi pun mereka hambat,
Harapkan tanah......
Banyak digadai kpd *Korporat!!*

Hai *Melayu*!
Masih mendabik menjadi tuan?
Sibuk mahu menjadi *tuan*,
Rupanya kerja kelas bawahan,
Ditipu mentah org atasan,
Konon perjuangan ini untuk kalian!
Kerja sikit.....Sembang kencang,
Banyak rungut...... Sikit rancang,
Siapa tegur.. Dituduh lancang,
Duduk warung..... Gigit kacang!

Hai *Melayu*!
Konon kau pantang dicabar,
Konon kau tangkas menyambar,
Tapi cuma indah khabar,
Rentakmu makin lama makin hambar,
Kau *Melayu* aku pun *Melayu*,
Aku menulis bukan cemburu,
Aku mahu engkau tahu,
Kenapa *Melayu* tak macam dulu.....

Hai *Melayu*!
Jari mu hebat bertutur di facebook alam maya,
Bila berdepan ekonomi semasa kau tidak berdaya,
Cuma yg kau tahu melaram bergaya.

Hai *Melayu*!
Kau melaung-laung di jalan raya,
Bagi tahu kepada dunia.... ini bumi aku yang punya,
Pada hakikat ia digadai kapada sepet yg kaya!

Hai *Melayu*!
Kerana hendak bergaya kau gadai pusaka,
Bila dah kaya kau jadi puaka,
Ini tandanya kau sudah derhaka!

Hai *Melayu*!
Sedarlah bangsa ku,
Bukalah minda mu,
Bersatulah bangsaku,
Kerana *Malaya* bukan lagi milik mu!
Aku pun *Melayu*,
Engkau pun *Melayu*,
Bodoh Sombong harus ditepis,
Riak, Bongkak dan Hasad Dengki
Sesama bangsa harus guris,
Bersatulah *Melayu* kerana *agama* dan *bangsa*,
Moyang-moyang yang telah berjasa,
Kerana ini mungkin peluang akhir
Bangsaku utk negara,
Berjasa dan Berkuasa.....
Pedih menyengat.....
Untuk muhasabah diri kita.

*Jika Tak Nak Berubah*,
BETULKAN YanG BIASA,
BIASAKAN YanG BETUL.
*Teruslah Jadi Melayu*
*Yang Layu Di Tanah Sendiri*

Friday, December 23, 2016

Rangkuman 5 Berita Utama: 23 Disember

Astro Awani |  Disember 23, 2016 09:58 MYT
Rangkuman 5 Berita Utama: 23 Disember
Rangkuman 5 berita yang menjadi tumpuan ramai pada pagi 23 Disember 2016.
BERIKUT adalah antara tajuk-tajuk berita yang menjadi tumpuan sepanjang pagi ini di Astro AWANI.

Tidak boleh umum calon PM, nanti ada yang kecewa - Tun Mahathir


Pakatan pembangkang sepatutnya membuat keputusan secara kolektif dalam menentukan calon yang akan menjadi perdana menteri jika pakatan itu menang pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika nama calon perdana menteri diumumkan pada ketika ini, ia akan menyebabkan kekecewaan dan perdebatan sesetengah pihak.

Adik bongsu TPM Zahid, Ahmad Dzulfikri Hamidi meninggal dunia

Adik Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Dzulfikri Hamidi meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada jam 11.30 malam tadi.

Allahyarham Dzulfikri, 45, merupakan adik bongsu kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak selepas solat Jumaat esok.

Resort milik Jamal disita MDSB

Sehari selepas hanya bertuala ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini, sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri berikutan ketiadaan bekalan air di negeri itu, Datuk Seri Jamal Md Yunos 'dihukum' apabila resort miliknya di Sekinchan disita pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) pagi Khamis.

Jamal yang juga Pengerusi Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu berkata tindakan penyitaan itu jelas bermotifkan politik dan mendakwa kerajaan negeri menggunakan kuasa sewenang-wenangnya dengan mengarahkan MDSB bertindak sedemikian.

Jurugambar amatur jadi saksi fenomena salji di Gurun Sahara

Seorang jurugambar amatur telah berjaya merakamkan imej-imej luar biasa dan indah apabila gurun Sahara ditimpa salji pada 19 Disember lalu.

Portal berita Huffington Post melaporkan, gurun yang luas dan terkenal dengan suasana tandus itu kali terakhir menerima fenomena seperti itu adalah pada kira-kira 40 tahun lalu.

Karim Bouchetata telah merakamkan gambar-gambar menarik itu Isnin lalu di sebuah pekan di Algeria iaitu Ain Sefra, yang terletak di kawasan pergunungan Atlas di sebelah utara gurun tersebut.
Salji turun di Gurun Sahara. - Foto: Facebook Zineddine Hashas

Pendapatan David Beckham sehari hampir RM400,000!

Harta selebriti sukan terkenal, David Beckham terbongkar apabila dia disahkan menerima pendapatan £71,000 (RM391,884.49) sehari.

Menurut laporan Daily Mail, ia merupakan jumlah pendapatan tertinggi Beckham berbanding ketika dia hanya menjadi pemain bola sepak sahaja sebelum ini.

Wednesday, August 31, 2016

Sajak: Hapuskan sang nila biru

....teman2, tujuan kitakan 1, kenapa kita tdk mampu menjadi 1 utk tumpaskan musuh yg 1?

*HAPUSKAN SANG NILA BIRU*

Hari ini,
Fajar jingga muncul lagi
Kutatap langit yang jernih membiru
Kupandang sekeliling
Betapa hijaunya bumi Tuhan
Indah...
Syukur padaMu Ya Rabb
Kurniaan tiada galang gantinya

Kupejamkan seketika mata nyata
Merenung kembali sejarah silam
 59 tahun berlalu
Biru yang jernih
Kini keroh keladak biru
Kehijauan bumi terpalit merah
Kita yg dulunya satu
semakin berjurang
Kedamaian semakin berantakan
Lantaran kerakusan pemimpin durjana
Menyimbah sang nila yang pekat membiru
Ke serata alam
Amanah yang diberi
Penimbangnya dacing yg sentiasa berat sebelah

Yang senang semakin lenang
Yang berdikit kian terhimpit
Di mana laungan kesaksamaan?
Sedang teori rakyat di dahulukan
berlalu pergi
Praktisnya menghancurkan pertiwi!

Dalam doa dan tahajjud
Ku mohon pada Yang Satu
Pemegang kunci segala pintu
Kau bukakanlah pintu-pintu hati yang masih beku
Bukakanlah pintu-pintu pandangan yang masih meraba
Bukakanlah pintu-pintu akal yang masih keliru
Agar dapat kami bersatu
Menyimbah kekotoran dek pekatnya sang nila yang biru
Yang dacingnya tidak pernah seimbang
Tidak pernah menambah ruang untuk marhaen bernafas selesa

Bersihkan kembali tanah pertiwi ini dari cengkaman pemimpin serakah
Agar cucu cicit terkemudian
Mewarisi fajar jingga yang indah
Langit yang jernih membiru
Alam yang hijau mendamaikan

Agar dapat semua lena dalam pekatan malam
Berteman cahaya bulan nan gemilang...

Awisy Awfiyah
Jelebu N9
28/08/16

Monday, August 29, 2016

Cerna minda: Beza Benggali dan Bangla

Benggali dahulu bukanlah Bangla yang sekarang
Posted by paktam

Oleh H FANSURI
DALAM teks sastera terdahulu, kerap ditemukan kata ‘Benggali Putih’. Perkataan Benggali juga dipercayai datang daripada kata Bangladesh. Namun, Benggali hari ini lebih dikenali sebagai Bangla, amat berubah dengan benggali putih selepas zaman Hang Tuah dan roti benggali yang kita kenali sejak dahulu.

Perbahasan mengenai warga bangla, benggali putih, roti benggali tentu sahaja berbeza-beza disebabkan wujud beza waktu. Menurut satu catatan, bahasa Benggali itu sendiri adalah bahasa Indo-Aryan (Peranakan bangsa Aryan) yang datang berasal dari belahan Timur Asia Selatan. Bahasa ini kemudiannya berkembang daripada Prakrit, Pali dan Sanskrit.

Kalau penjajah Portugis (Feringgi) pernah digelar sebagai ‘Banggali Putih’, apakah itu bererti bahawa warga Bangla sudah lama bertapak di Melaka untuk urusan perdagangan? Hasil dagangan apakah yang dilakukan warga Bangla sejak Empayar Melaka mula berkembang dengan pesatnya?

Banyak persoalan yang tidak terjawab. Demikian juga, seringkali orang menyebut ‘kuli Batak’. 

Apakah pada suatu masa dahulu, orang Batak selalu menjadi buruh, kuli, dan pekerja kecil kepada sebuah perusahaan dan pekerjaan yang penting? Jika benar ada, apakah pekerjaan dan perusahaan itu?

Itu baharu persoalan buruh-buruh. Belum lagi kita rincikan kegiatan kapitalis British di Malaya. Apa beza British sebelum kemerdekaan dan British yang datang selepas merdeka? Apakah bezanya British sebelum penjajahan Jepun dan selepasnya?

Kenapakah wujud BMA (British Military Administration) selepas Jepun menyerah kalah 1945 dan sebelum itu British dikenali sebagai Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI)?

Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company) atau terkadang disebut ‘John Company’ adalah syarikat perdagangan yang dianugerah piagam diraja oleh Ratu Elizabeth I pada 31 December 1600. Ia juga digelar Honourable East India Company dan diberi kemudahan untuk menguasai perdagangan di Hindia Timur.

Syarikat ini kemudiannya berubah daripada syarikat perdagangan kepada badan yang mentadbir India apabila ia memiliki kuasa ketenteraan dan kerajaan tempatan. SHTI ini ditubuhkan di England dan British telah memberi mandat kepadanya bagi menjalankan perdagangan antarabangsa sekali gus meluaskan tanah jajahan.

Sementara BMA pula wujud selepas SHTI dan warisannya kalah perang akibat jajahan dan perang penaklukan Jepun ke atas empayar Rusia, China dan Malaya. British tergugat oleh kemaraan kuasa besar Jepun selepas Empayar Turki Uthmaniyyah tumbang.

Begitulah sedikit sebanyak cerita pertarungan antara blok-blok kapitalis dunia. Inilah antara peranan sastera, iaitu memerdekakan sejarah yang terjajah dalam sangkar kurungan pemerintah. Pemerintah cuma berminat dengan sejarah yang dikarang dalam versi mereka saja. Tanggungjawab kaum pencerah adalah menguasai ilmu sastera dan berusaha keras memerdekakan sejarah yang terjajah dalam tangan kekuasaan pemerintah.

Kali ini, kita mula menyemak kisah Bangla, Bangladesh dalam versi yang terkini. Yang diperkenal Mamat Khalid dalam filem Werewolf Dari Bangladesh baru-baru ini boleh kita cermati walaupun ia adalah sebuah kisah ringan, jenaka yang dikaburi dengan khayalan-khayalan Barat; werewolf (serigala jadi-jadian).

Menurut versi Mamat Khalid, kejadian serangan serigala jadi-jadian ini terjadi di Kuala Lumpur. Ia bermula sejak 1983 (dua tahun selepas Dr Mahathir Mohamad memimpin Umno) di Chittnambur, Bangladesh yang dikatakan berada antara sempadan Bangladesh dan Myanmar.

Ia bermula saat Mirdu (Saiful Apek) seorang peladang Bangladesh diserang seekor serigala ketika berjuang menyelamatkan keluarganya.

Akibat serangan itu, maka terjadilah beberapa perubahan ke atas tubuhnya sehingga mengakibatkan beliau membunuh orang-orang kampungnya sendiri.

Penduduk kampung tidak dapat bersabar dengan angka korban yang semakin meningkat setiap hari. Lalu, mereka mengambil keputusan untuk membakar rumah Mirdu. Di tengah kekalutan itu, Mirdu akhirnya menggigit dua anak kembarnya Kumba dan Kumbi sehingga kedua-dua mereka menjadi serigala jadi-jadian ketika dewasa.

Kumba dan Kumbi inilah yang kemudiannya melarikan diri ke Malaysia dan kemudian membikin onar di Kuala Lumpur sehinggakan warga Bangla kini menjadi serigala jadi-jadian kesemuanya.

Untuk membiakkan baka serigala jadi-jadian ini, Kumbi sedang berusaha mendapatkan bantuan Jaynab Ramunggei (Emma Maembong) bertujuan menurunkan zuriat haiwan ganas ini, sekali gus melenyapkan bangsa manusia di Malaysia pada hari ini.

Tapi segala rancangan jahat ini sudah lama dihidu Pilun (Zizan Razak), iaitu seorang buruh asing tanpa izin Bangladesh yang juga serigala jadi-jadian. Pilun, pekerja di gerai Usop Wilcha cuba memaklumkan Usop berhubung hal itu. Namun, rahsia besar ini cuba ditutup serapat-rapatnya oleh rakan-rakan pekerjanya yang juga telah menjadi serigala jadi-jadian di ibu kota.

Itu versi Mamat Khalid yang cuba melihat warga Bangla dengan khayalan khurafat Barat seperti serigala jadi-jadian.

Namun hal-hal yang tersirat di sebalik ini semua jelas ada juga. Misalnya Mamat Khalid cuba menunjukkan hubungan warga Bangla dengan BN apabila digambarkan buruh asing ini terkinja-kinja menari dengan baju t-shirt tajaan BN dalam filem lakon layarnya.

Sesekali muncul babak bot-bot kecil yang dinaiki warga Bangla itu. Bot-bot kecil itu dengan jelas mengibarkan bendera BN untuk keselamatan. Ini menitip pesan tersirat.

Iaitu, warga-warga Bangla ini didatangkan oleh BN juga demi urusan politik Umno-BN.

Ada lagi kritik pedas dan sindiran tajam yang terapung di dalam filem Werewolf Dari Bangladesh. Ia menyangkut soal ekonomi dan peluang pekerjaan yang makin berkurang untuk bangsa peribumi.

Untuk menangkap maksud tersirat di sebalik khayalan khurafat Barat yang bersulam komedi ini, anda boleh saksikan sendiri tayangannya yang sedang berlangsung di pawagam.

Namun, satu hal yang pasti, Benggali dahulu, bukanlah Bangla yang sekarang. Dahulu Benggali, tidak pernah dipolitikkan seperti yang terjadi ke atas warga Bangla pada hari ini.