Sunday, November 13, 2016

Teks ucapan TS Muhyiddin Yassin di Konvensyen PH: Sebab Perjanjian Peyertaan PPBM ditangguhkan?

Saturday, 12 November 2016
MEMAHAMI MENGAPA PERJANJIAN PENYERTAAN PPBM KE DALAM PAKATAN HARAPAN DITANGGUHKAN

 1. Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan pada hari ini.

2. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak Sekretariat Pakatan Harapan yang telah mengundang saya untuk berucap bersama-sama pimpinan parti-parti Pakatan Harapan dalam konvensyen yang diadakan pada hari yang amat bersejarah ini.

3.​Ini adalah satu penghargaan dan penghormatan yang amat bermakna buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Pastinya, saya tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama-sama dengan rakan-rakan pimpinan daripada PKR, DAP dan Amanah dalam konvensyen ini untuk merangka pembentukan sebuah gabungan parti-parti pembangkang yang mantap dan kuat serta menawarkan masa depan yang lebih baik buat Malaysia dan seluruh warganya.

4. ​Keadaan negara kita hari ini tidak bertambah baik. Harga minyak dunia yang rendah menyebabkan pendapatan negara semakin susut. Banyak subsidi yang sebelum ini diberikan untuk meringankan beban rakyat terpaksa ditarik balik. Yang terbaharu ialah penarikan subsidi minyak masak yang pastinya menambahkan beban rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

5. ​Semalam, nilai ringgit menjunam ke paras RM4.72 berbanding satu dollar Amerika, iaitu paras paling rendah dalam tempoh 12 tahun. Ini adalah satu amaran awal yang menguji ketahanan Bank Negara dan ketangkasan kerajaan dalam menangani krisis. Saya pernah sebutkan dalam ucapan perbahasan Bajet 2017 di Parlimen baru-baru ini bahawa Malaysia berada dalam keadaan yang amat terdedah kepada serangan spekulator matawang jika langkah-langkah penyelamatan ekonomi negara tidak dilakukan dengan segera. Dengan hutang luar negara kita yang tinggi, harga minyak dunia yang menjunam dan sumber kewangan kerajaan yang terhad, negara kita akan menghadapi satu malapetaka ekonomi yang dahsyat jika ringgit kita diserang oleh penyangak matawang seperti yang dilakukan oleh Soros pada tahun 1997. Nauzubillahi minzalik.

6. Dengan kejatuhan nilai ringgit, nilai hutang luar negara kita yang kebanyakannya dalam matawang dollar akan turut meningkat. Selain itu, harga barangan import, terutama barangan makanan akan bertambah mahal dan ini sudah pasti menambahkan beban rakyat yang telah pun sedia terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat, malah ramai yang terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan mata pencarian jika ekonomi negara kita terus suram dan kerajaan gagal untuk melaksanakan langkah-langkah rangsangan ekonomi dengan segera.

7. Malangnya, tatkala rakyat sedang gundah gulana dan keluh kesah memikirkan nasib hari ini dan esok, Perdana Menteri masih boleh menyanyi dan menari dengan gembira dalam pesta riang ria menyambut tetamu negara. Seolah-olahnya tiada apa yang berlaku. Malah sebelum itu, dia dan keluarganya berkelana ke negara China bukan untuk menarik pelaburan, tetapi menambah hutang negara.

8. Ketika kerajaan sepatutnya lebih berhemah dalam berbelanja dan berusaha untuk mengurangkan beban hutang negara, Najib telah menyebabkan kerajaan berhutang lagi sebanyak RM55 bilion dengan bank dari negara China untuk membina landasan keretapi paling mahal di dunia. Tatkala biasiswa mahasiswa dipotong, subsidi minyak ditarik balik dan peruntukan kepada kementerian-kementerian dikurangkan, kontrak pembinaan projek mega bernilai puluhan billion ringgit ini diberikan kepada sebuah syarikat dari negara China tanpa melalui proses tender terbuka.

9.​ Inilah cara pengurusan ekonomi Najib yang langsung tidak menghiraukan kebajikan rakyat. Ini tidak termasuk perjanjian-perjanjian lain yang bernilai RM144 bilion kesemuanya, yang kebanyakannya adalah hutang, bukan pelaburan. Hutang 1MDB pun masih belum nampak jalan penyelesaiannya, Najib menambah lagi hutang negara berjumlah ratusan billion ringgit yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

10. Apabila pemimpin yang korup salah urus ekonomi negara, rakyatlah yang menderita. Hasil kutipan GST dan cukai pendapatan tidak dikembalikan kepada rakyat, sebaliknya terpaksa digunakan untuk membayar hutang negara dan menampung pembaziran oleh pemimpin yang boros dan rasuah.

11. Dalam keadaan ini, rakyat tiada banyak pilihan. Ke mana sahaja saya pergi, mereka kata tunggu pilihanraya. Mereka tidak mahu lagi mengundi Barisan Nasional. Mereka mahu mengundi parti yang diyakini boleh membentuk sebuah kerajaan yang bersih, beramanah dan bertanggunjawab serta mampu untuk menyelamatkan negara dan membela nasib masa depan mereka.

12. Rakyat sebenarnya meletakkan harapan yang tinggi kepada parti-parti pembangkang untuk mengalahkan Barisan Nasional dalam PRU 14. Mereka melihat parti-parti pembangkang sebagai pilihan utama untuk menerajui negara selepas PRU 14.

13.​Namun, kita tidak boleh berasa selesa dengan sentimen rakyat yang nampaknya menyebelahi kita pada masa ini. Kerana pada masa yang sama mereka juga bertanya bolehkah parti-parti pembangkang membentuk satu gabungan politik yang mantap dan kuat untuk menewaskan Barisan Nasional? Atau mungkinkah parti-parti pembangkang gagal mencapai kata sepakat dan akhirnya terpaksa bertanding melawan sesama sendiri dalam pilihanraya.

14.​Seperti yang telah berlaku dalam dua pilihanraya kecil baru-baru ini, pertandingan tiga penjuru melawan Barisan Nasional telah menyebabkan kekalahan parti pembangkang dan memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional, walaupun parti itu dilihat terbelenggu dengan seribu satu macam permasalahan.

15. Ingin saya tegaskan bahawa pertandingan tiga penjuru akan membawa malapetaka politik yang besar kepada parti-parti pembangkang. Ia ibarat jerangkap samar yang dipasang oleh rejim Najib  untuk memecah-belahkan pembangkang dan mengekalkan kuasa Barisan Nasional dengan cara yang amat kotor.

16. Justeru, penting bagi kita sesama parti pembangkang untuk mencapai kata sepakat dan mengadakan perjanjian untuk bertanding satu lawan satu menentang Barisan Nasional. Kita perlu mencari satu formula terbaik untuk mengelakkan pertembungan antara parti-parti pembangkang, khususnya dalam pembahagian kerusi pilihanraya.

17. Pastinya perlu ada sedikit pengorbanan dalam kalangan parti-parti pembangkang untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri di dalam pilihanraya demi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu untuk menyelamatkan Malaysia daripada belenggu sebuah rejim yang jahat dan khianat. Dalam keadaan ini, kita tentunya perlu meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan parti. Satukan barisan pembangkang. Barulah rakyat ada keyakinan bahawa kita boleh membentuk kerajaan yang lebih baik berbanding BN.

18. Untuk tujuan ini, PPBM bersedia dan komited untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan. Saya tahu bahawa PPBM tidak boleh berjuang secara sendirian. Jika kita bertanding secara bersendirian tidak mungkin kita boleh menang dalam pilihanraya dan membentuk kerajaan.

19.​ Parti-parti dalam Pakatan Harapan pun tidak mungkin boleh menang dalam pilihanraya dan membentuk kerajaan jika bertanding secara bersendirian tanpa mewujudkan suatu muafakat politik sesama kita. Apatah lagi jika kita bertanding melawan sesama sendiri. Kita pasti akan tewas sebelum sempat masuk ke gelanggang. Kita sebenarnya amat memerlukan antara satu sama lain.

20. ​Cuma saya ingin memberikan sedikit penjelasan. Ada yang kata saya 'back-out" atau tarik diri daripada menandatangani perjanjian kerjasama antara PPBM dan PH yang sepatutnya dimeterai pada hari ini.

21. ​Saya tidak sekali-kali “back out” atau berundur. Saya amat serius dan teliti dalam mengurus hal-hal yang penting seperti perjanjian dengan PH. Saya minta majlis menandatangani perjanjian ditangguhkan dahulu untuk memberikan masa yang cukup kepada semua kepimpinan PPBM dan PH untuk berbincang. Bukan hanya antara Presiden tetapi semua pemimpin kanan parti perlu duduk berbincang secara bersama untuk mencapai persetujuan atas setiap satu terma yang terkandung di dalam perjanjian itu.

22.​ Ini termasuk pendirian bersama dalam hal-hal yang berkait dengan kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak para penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing secara aman dan harmoni, kedudukan istimewa kaum Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

23.​ Selain itu, perjanjian ini juga perlu merangkumi komitmen semua pihak untuk melakukan reformasi institusi, memerangi rasuah dan mewujudkan tadbir urus negara yang baik di samping kesediaan untuk merangka dasar-dasar bersama yang berpaksikan kepentingan rakyat dalam semua bidang termasuk ekonomi, pendidikan, sosial, agama, hubungan kaum, hubungan luar negara, keselamatan dan lain-lain. Dasar bersama ini akan dijadikan asas pembuatan dasar-dasar negara apabila kita membentuk kerajaan. Saya mencadangkan satu kumpulan pakar yang mewakili semua parti dibentuk untuk merangka dasar-dasar bersama ini. PPBM bersedia untuk terlibat dan mengambil bahagian dalam kumpulan pakar ini apabila ia diwujudkan kelak.

24.​ Saya mahu supaya keputusan untuk mengadakan kerjasama dibuat secara kolektif dan komprehensif. Ini memerlukan satu proses engagement yang lebih meluas dan menyeluruh dibuat di dalam parti dan di antara parti dalam merangka terma-terma perjanjian.

25. ​Saya telah minta Sekretariat PH tentukan tarikh dan masa yang sesuai dalam waktu yang terdekat ini untuk kepimpinan kanan PH dan PPBM duduk berbincang. Setelah semua terma perjanjian dipersetujui dalam perbincangan itu, saya mewakili PPBM akan menandatangani perjanjian kerjasama dengan PH.

26.​ Di pihak PPBM, kita akan mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Khas dalam sehari dua ini untuk membincangkan hubungan kerjasama dengan PH. Pandangan dalam mesyuarat ini akan dibawa dalam pertemuan bersama pimpinan kanan parti-parti PH. Saya mahu supaya semua pihak dilibatkan dalam perbincangan supaya setiap terma yang dipersetujui itu mendapat input yang sewajarnya daripada barisan kepimpinan semua parti.

27. ​Ini selaras dengan amalan Rasulullah s.a.w yang sentiasa bermusyarah dengan sahabat-sahabat sebelum mengambil sesuatu keputusan penting, sejajar dengan firman Allah s.w.t:

Yang bermaksud:

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."

28. Melalui musyawarah yang lebih menyeluruh ini, insyaAllah kita boleh selesaikan semua isu secara kolektif dan mencapai kata sepakat dalam semua perkara. Kita juga mesti melakar satu roadmap yang jelas untuk membentuk sebuah gabungan politik yang kuat dan mantap sebelum PRU 14 dan insyaAllah, dengan sokongan padu rakyat, kita akan membentuk kerajaan selepas pilihanraya!

29. ​Kita mempunyai harapan yang amat cerah untuk memenangi PRU 14 jika kita berjaya membentuk gabungan parti-parti politik pembangkang yang padu untuk menentang BN secara satu lawan satu. Saya yakin, 'the ground is fertile'. Rakyat sedang menunggu-nunggu kewujudan satu gabungan parti politik alternatif yang viable untuk menggantikan BN yang korup dan menindas rakyat.

30.​Kerana itu, di samping komited untuk membentuk kerjasama dan pemuafakatan yang jitu dengan Pakatan Harapan, PPBM juga bersedia untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti politik lain yang tidak berada di dalam PH, termasuk parti-parti di Sabah dan Sarawak, untuk menawarkan kepada rakyat sebuah gabungan parti politik yang kuat dan mantap serta mampu membentuk kerajaan dan membela nasib mereka.

31. Saya percaya rakyat pastinya teruja untuk melihat semua parti pembangkang sepakat untuk bekerjasama membebaskan Malaysia daripada rejim BN yang mengkhianati mandat rakyat. Rakyat lebih yakin dengan kita jika kita semua bersatu. Sebaliknya, rakyat akan kecewa dan putus harap jika kita berseteru.

32. Untuk mewujudkan satu gabungan politik pembangkang yang mantap dan kuat, saya mencadangkan supaya satu jawatankuasa teknikal  dibentuk untuk menghasilkan formula kerjasama dan pembahagian kerusi yang terbaik berasaskan prinsip kebolehmenangan (winnability) parti dan calon. Satu jentera pilihanraya dan war room pilihanraya bersama juga perlu diwujudkan di mana maklumat mengenai pilihanraya boleh dikongsi secara bersama dan strategi pilihanraya juga boleh dirangka secara bersama.

33. Saya juga mencadangkan supaya dalam waktu yang terdekat ini, sementara kita masih dalam proses membina hubungan dengan parti-parti politik di dalam dan di luar PH, satu bentuk 'gencatan senjata' dibuat di antara parti-parti pembangkang supaya kita dapat bertenang dan mencari jalan untuk berunding dan bekerjasama. Selain itu, satu jawatankuasa bersama juga boleh dibentuk untuk menyelesaikan pertikaian yang mungkin timbul antara parti-parti pembangkang.

34. Pastinya yang lebih utama ialah bagaimana kita boleh menawarkan kepada rakyat satu manifesto yang menepati kehendak mereka. Kita perlu menyantuni kehendak rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik, pekerjaan dengan pendapatan yang lebih lumayan, kediaman yang mampu dimiliki, pendidikan yang lebih berkualiti,  persekitaran yang lebih selamat untuk diri, anak-anak dan keluarga serta sebuah kerajaan yang telus, adil, amanah dan demokratik.

35.​Semua ini boleh dicapai apabila parti-parti pembangkang dapat mengenepikan perbezaan sesama sendiri serta bersedia untuk berbincang dan bekerjasama untuk satu matlamat, iaitu menyelamatkan Malaysia dan membela nasib rakyat.

36.​Saya yakin matlamat ini boleh kita capai jika kita semua berjiwa besar. Apabila kita dapat meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan parti kita, maka kitalah pejuang rakyat yang berjiwa besar.

37.​ Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Sekretariat Pakatan Harapan yang telah sudi mengundang saya untuk berucap dalam konvensyen ini. Mudah-mudahan dengan semangat pemufakatan dan setiakawan antara kita semua, kita akan dapat mewujudkan sebuah gabungan pembangkang yang kuat dan mantap untuk menewaskan Barisan Nasional dalam PRU 14 dan membentuk kerajaan, insyaAllah.

(Di atas adalah teks ucapan Muhyiddin Yassin di Konvensyen Pakatan Harapan petang tadi di Shah Alam. Walaupun beliau menyentuh banyak perkara, tetapi tentunya yang penting  untuk difahami daripada ucapan beliau ialah mengapa majlis menandatangani penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan ditangguhkan. 

Ia hanya ditangguhkan ke suatu tarikh lain setelah semua isu-isu berbangkit dapat diselesaikan dan tidak sama-sekali dibatalkan.

Diharapkan tiada lagi kekeliruan selepas ini kerana yang penting ialah Najib, UMNO dan BN perlu ditamatkan riwayatnya dalam PRU 14 akan datang. - SH 12/11/2016)

* Apa pun aku masih ragui formula 1 lawan 1 yang akan dibincangkan terutama dengan PAS. 

Awal-awal lagi mereka dah kata yang mereka mahu jadi drebar dan dah tentunya Hadi berangan nak jadi PM sekiranya pembangkang menang PRU14 nanti.

Layakkah manusia yang suka cakap belit, bohong dan tikam rakan dari belakang dicalonkan jadi PM?

Kebijaksanaan dan ketahanan mentalnya pun belum teruji lagi. Walau pun nak dikatakan telah teruji semasa PR/PAS menangi Terengganu dan Haji Hadi dah jadi MB, namun beliau terang-terang gagal mengekalkan Terengganu di tangan PAS dalam PRU selepas itu. 

Itu belum lagi diuji dengan penahanan dan pemenjaraan. Bagaimana sekiranya jadi PM dan menerima ugutan luar?

Aimarhum Nik Aziz walau pun tidak pernah dibicarakan, anaknya pernah di ISAkan dan beliau berjaya tenangkan diri dan keluarga. Beliau berjaya pertahankan PAS di Kelantan sehingga kini walau pun sekarang kerusi MB berada di tangan Mat Yaacob. 

Apa pun kebijaksanaan Mad Yaacob dan segala pimpinannya akan teruji jua pada PRU14 nanti. Kali ini setelah ketiadaan Nik Aziz. 

Ekonomi Kelantan pun nampaknya dah jadi 'sura' tunggu masa nak lebur jer. Elaun kakitangan Perbandaran Kota Bharu  dan daerah lain masih tertangguh dan tertunggak atau tidak tidak diketahui.

Aku nampak cukai pintu pun dah ada van masuk buat kutipan dari rumah ke rumah pula walau pun kemudahan yang sepatutnya Badan Berkuasa Tempatan itu sediakan tidak pula dilangsaikan.

Setiap rumah baru, sebagai syarat bagi untuk dapatkan SKD dimestikan membayar sebanyak RM1,000.00 pembinaan parit/longkang untuk (tahun 1986 tu) , sekarang tak tahulah berpa jumlah yang kena bayar.

Lori sampah tak nampak pun masuk buat pungutan sampah di jalan-jalan ke dalam kampung kerana tong-tong sampah tidak disediakan/diminta tuan rumah belikan. Jadi kereta kitalah kita jadikan lori sampah untuk buang sampah ke tong-tong besar yang mereka sediakan hanya di tepi jalan-jalan besar. Jadi bersaranglah segala semut dan lipas di dalam kereta.

Lampu jalan pula ada dua bahagian penyediaannya. Satu pihak dari MPKB dan satu pihak lagi dari UMNO melalui Pentadbir mukim dan JKKKP. Kalau balb terbakar, bukan main susah lagi nak diganti.

Rumput rumpai dan pokok-pokok kecil di tepi-tepi jalan pula, tuan rumah masing-masinglah yang potong atau upah orang potong sekiranya dah hampir menutup jalan.

* Jadi dalam keadaan itu pun hasil bandar/cukai pintu dikutip juga sehingga ke tangga rumah. Kononnya 'hutang wajib dibayar'. Itu hutang kita, yang hutang perkhidmatan dia kat kita bagaimana?

Maaflah aku membebel panjang sikit. Tapi memang ada kaitan dengan kecekapan tadbir urus negeri bukan?

No comments:

Post a Comment