Monday, November 14, 2016

Zuraida minta binatang buas dikurung!

'Jamal seperti binatang buas, kurung dia!' - Zuraida
Dania Zainuddin dan Wan Syamsul AmlyAstro Awani |  November 14, 2016 17:20 MYT

'Jamal seperti binatang buas, kurung dia!' - Zuraida
ZURAIDA: Saya minta Ketua Polis Negara untuk bertindak lebih tegas dan mengurung Jamal.
KUALA LUMPUR: Pihak polis seharusnya memantau pergerakan Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunus yang dilihat semakin dibiarkan bebas menganggu kententeraman awam, kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Beliau mengulas tindakan Jamal dan kumpulannya akhir-akhir ini yang disifatkannya kerap mengugut  serta membuat ancaman tanpa sebarang kawalan.

"Jamal kini seperti binatang buas yang ganas berleluasa.

"Saya minta Ketua Polis Negara untuk bertindak lebih tegas dan mengurung Jamal. Jamal ketika ini seperti dibiarkan dan dia boleh buat sesuka hatinya.

"Kita mesti kurung dia dan pastikan bahawa perhimpunan Bersih berjalan dengan aman dan tenteram," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Ahad, Jamal mendakwa diserang dan ditumbuk pengikut Zuraida di Ampang.

Kejadian kira-kira 4 petang itu berlaku ketika Jamal bersama kumpulannya mengekori Zuraida yang juga anggota Parlimen Ampang, serta pengikutnya yang sedang mempromosi perhimpunan Bersih di sebuah pusat beli-belah.

Sejurus kemudian difahamkan berlaku kekecohan akibat provokasi hingga berlaku adegan tolak-menolak antara penyokong kedua-dua kumpulan.

Dalam pada itu jelas Zuraida, kejadian itu merupakan satu perkara yang sangat melucukan.

"Saya terima banyak panggilan dari rakyat Malaysia yang mengucapkan syabas kepada saya kerana tumbuk dia, tetapi kalau kita tengok dalam video yang diviralkan itu, jelas bahawa ketika pergelutan, tidak ada orang baju kuning berada di situ. 

"Jadi dia bergelut dengan polis, dari situ agaknya dia tercedera. Sama ada polis tumbuk dia atau tidak, ia tidak kelihatan.

"Selepas itu Jamal membuat ancaman dan ugutan kepada keselamatan kami. Jadi pada Selasa jam 10 pagi saya akan membuat laporan polis," ujarnya.

Dalam video yang disiarkan sebuah portal, Jamal mendakwa ditumbuk anggota polis.

"Polis tumbuk saya... polis tumbuk saya," jeritnya dalam video itu.

Jamal juga telah membuat laporan polis tentang kejadian itu di Balai Polis Ampang kira-kira jam 5 petang Ahad.

BACA: Jamal Baju Merah dakwa ditumbuk 'budak Zuraida'

Sementara itu, Zuraida turut mempertikaikan kefahaman Jamal terhadap Akta Perhimpunan Aman.

"Dia tidak faham apakah itu konsep perhimpunan aman. Kalau dia hendak buat Perhimpunan Merah, teruskan, tiada masalah.

"Buat cara profesional, buat laporan polis, ikuti langkah yang diperlukan.
"Jangan buat macam orang tidak sekolah, datang kawasan orang dan membuat kacau," katanya.

Seksyen 2 Akta Perhimpunan Aman memperuntukkan hak warganegara untuk menganjur dan menyertai perhimpunan secara aman tetapi tertakluk kepada sekatan yang difikirkan sesuai dalam suatu masyarakat demokrasi demi keselamatan negara serta perlindungan hak dan kebebasan orang lain.

Seksyen 4 pula, antara lain, menetapkan hak berhimpun tidak terpakai kepada bukan warganegara, protes jalanan serta yang melibatkan kanak-kanak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menegaskan perhimpunan dan konvoi Bersih 5 tidak boleh diteruskan di luar Dataran Merdeka susulan syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 gagal dipatuhi penganjur.

Tegasnya ia berikutan tiada notis lokasi baharu yang diserahkan pihak Bersih 2.0 bagi menggantikan cadangan berhimpun di Dataran Merdeka.

No comments:

Post a Comment