Thursday, December 21, 2017

Apa dah jadi dengan kes-kes ini?

Kenapa kes besar senyap?
MOHD HAFIZ ISMAIL  -  21 DISEMBER 2017
Salahuddin pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Amanah mempersoalkan beberapa kes besar melibatkan pemimpin negeri, ahli politik dan ketua jabatan kerajaan masih gagal diselesaikan, seolah-olah sengaja disembunyikan dan dibekukan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa, Umno dan BN yang menjadi kerajaan pada hari ini, seolah-olah bimbang kes-kes berkenaan akan menambah lagi 'kecederaan' mereka pada PRU14.

Mengambil contoh kes seorang individu bergelar Datuk Seri yang menumbuk seorang anggota Rela, Salahuddin berkata, selepas ditahan reman, apa tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa?

“Apa perkembangan individu bergelar Tan Sri dibawa ke Mahkamah Putrajaya selepas menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ekoran cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar?,” soalnya dalam sidang media, semalam.

Beliau berkata, sehingga hari ini juga kes Felda ketika di bawah pengurusan Pengerusi Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad masih senyap sunyi seolah-olah tiada tindakan diambil.

“Selepas SPRM menahan beliau (Mohd Isa) bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua buah hotel di Felda Investment Corporation (FIC), masih tidak ada apa-apa tindakan selanjutnya setakat ini.

"Adakah ini satu gimik yang kita anggap sebagai konspirasi politik semata-mata bagi meredakan suasana politik negara?

“Adakah tindakan penahanan reman dan bekukan aset beliau ini satu gimik? Kita juga dimaklumkan sebahagian aset yang dibekukan telah dicairkan tetapi tindakan beliau dalam kes penyelewengan dan salah guna kuasa dalam Felda, masih belum ada tindakan,” katanya.

Salahuddin turut menyentuh siasatan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika masih menjawat jawatan yang dikatakan mempunyai hubungan dengan individu yang didakwa sebagai ketua kongsi gelap di Melaka.

“Setakat hari ini juga, tiada tindakan selanjutnya terhadap isu sebesar ini terutama tuduhan mengatakan seorang yang berjawatan Ketua Polis Negara menyimpan nombor telefon ketua kongsi gelap dalam telefon bimbit miliknya.

“Macam mana individu yang dianggap penjenayah, nombor telefonnya ada dalam telefon milik Ketua Polis Negara? Ia membuka pelbagai tafsiran negatif mengenai spekulasi tersebut,” katanya.

Beliau juga membangkitkan pendakwaan bekas Exco Kerajaan Johor, Datuk Abd Latif Bandi dari team Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kes berkaitan skandal hartanah di negeri berkenaan.

“Kita dapati ia sepi dan tidak ada apa-apa tindakan. Sedangkan rakyat menunggu apakah keputusannya. Sudah tentu ia ditunggu oleh rakyat," katanya.

Dalam sidang Dun Johor sebelum ini juga katanya, seorang Adun telah membawa satu bukti berkenaan skandal hartanah di negeri itu dan kemudiannya telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor untuk beri keterangan.

“Adun berkenaan mempunyai bukti daripada saksi yang mendakwa memberi sejumlah wang wang kepada Mohamed Khaled. Mohamed Khaled ketika sidang dalam sesi penggulungan sidang Dun hanya menjawab secara umum. Tiada siasatan.

"Ini sesuatu yang ditunggu oleh rakyat dan kita harap tidak ada pemilihan dalam soal keadilan,” katanya.

1 comment:

  1. For hottest information you have to go to see world wide web and onn web I found this website as a finest website for most up-to-date updates.

    ReplyDelete