Friday, December 29, 2017

Masih ada lagikah yang nak berunding dengan PAS?

Runding dengan PAS jangan sampai jejas Pakatan, kata Muhyiddin
Noor Azam Shairi, Chan Kok Leong, Asila Jalil
Diterbitkan pada 29 Dec 2017 7:00AM
Ini bukan bergaduh, ini soal berlaku adil memberikan ruang kepada semua pihak dalam Pakatan Harapan supaya tidak menjejaskan gabungan pembangkang, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengenai rundingan parti dalam PH dengan PAS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Disember, 2017

SEBARANG rundingan pengagihan kerusi antara mana-mana parti komponen Pakatan Harapan dengan PAS jangan sampai menjejaskan gabungan pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Tetapi yang sebaik-baiknya bagi PH ialah menerima keputusan pucuk pimpinan gabungan itu, tiada lagi kerjasama dengan PAS dan bersiap sedia menghadapi pertembungan tiga penjuru, katanya.

Muhyiddin merujuk pada keputusan Majlis Presiden PH yang bermesyuarat pada 28 Ogos lalu.

"Bagi saya, itu yang sepatutnya kita terima. Kalau tidak nanti akan jadi masalah kepada parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan," katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.

Muhyiddin menjawab soalan dalam satu wawancara eksklusif menjelang Perhimpunan Agung Bersatu sulung esok, apakah masih ada rundingan antara parti-parti dalam PH dengan PAS berhubung pembahagian kerusi pilihan raya.

Muhyiddin yang juga pengarah jawatankuasa pilihan raya PH berkata beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai rundingan antara mana-mana parti komponen PH di Selangor dengan PAS.

"Kita tidak dilaporkan dan tidak diberitahu walaupun dulu ada disebutkan 'bagi kami sedikit ruang' dan kita kata okay.

"Jadi saya tanya balik dengan kawan saya di sebelah sana, dah sejauh mana runding, tak ada berita. Banyak mana kerusi yang selesai, tak ada berita.

"Mereka tak boleh buat begitu sehingga menjejaskan kami," kata Muhyiddin.  

"Ini bukan masalah ada pergaduhan, tidak. Kita bagi (ruang) tetapi dia pun mesti berlaku adil supaya ia tidak menjadi satu halangan atau sekatan (kepada) rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Harapan."
Wujud ura-ura yang gelombang kedua penghijrahan pemimpin dan ahli PAS Selangor ke dalam PKR di negeri itu, walaupun sudah dinafikan pucuk pimpinan parti Islam itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2017

The Malaysian Insight minggu lalu melaporkan PKR Selangor telah diminta bersiap sedia untuk menerima gelombang kedua penghijrahan keluar pemimpin dan ahli PAS di negeri itu dan menyertai PKR serta seterusnya bertanding atas tiket parti itu dalam PRU14. 

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, gelombang kedua penghijrahan ini, selepas gelombang pertama yang menyertai Amanah, akan melibatkan wakil rakyat dari PAS Selangor yang tidak berpuas hati dengan hala tuju PAS sekarang yang mahu bersendiri dalam PRU14 sedangkan mereka mahu bekerjasama dengan PH.

PAS bagaimanapun menepiskan laporan ada wakil rakyatnya di Selangor yang akan masuk PKR.

Naib Presiden PAS, Iskandar Samad berkata ia khabar angin bertujuan menjejaskan persiapan parti Islam itu menghadapi PRU14, yang dijangka akan diadakan pada suku pertama tahun depan.

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan agung sulung esok, Muhyiddin berkata lebih kurang 1,000 perwakilan dari 137 bahagian yang telah disahkan pendaftarannya akan hadir pada mesyuarat yang akan diadakan di Shah Alam.

Ia akan turut dihadiri oleh pemerhati dari 21 bahagian yang masih menunggu kelulusan pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan, serta jemputan terdiri daripada wakil-wakil parti komponen PH, duta-duta asing di Malaysia dan pertubuhan masyarakat.

Menurut Muhyiddin, perhimpunan itu hanya akan membahaskan satu usul iaitu usul ucapan dasar pengerusi yang akan dibentangkan oleh Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman.

'Kita putuskan agar perbahasan dibuat secara tertutup bagi memberi ruang kepada wakil-wakil negeri menyuarakan apa saja pandangan tanpa rasa kekok," katanya.

Perhimpunan sehari itu akan dibuka dengan ucapan Muhyiddin selaku presiden diikuti ucapan dasar Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad. – 29 Disember, 2017.

1 comment:

  1. Wakil rakyat PAS di Selangor itu tidak boleh diharapkan dan jangan dipercayai langsung! Ketika pintu rundingan terbuka luas, mereka kekal menjadi balaci Hadi mereng dan bersekongkol dengan UMNO. Mereka menjadi parasit dalam kerajaan negeri Selangor dan akan menggugat kerjasama yang elok terjalin dalam PH. Jangan dilayan ADUN PAS yang tidak berprinsip itu!!!

    ReplyDelete