Sunday, December 31, 2017

Anwar: Walau pun dibebas awal, belum tentu boleh jadi PM

Bebas awal belum tentu dapat jadikan Anwar PM
Amin Iskandar, Looi Sue-Chern · Diterbitkan pada 31 Dec 2017 11:00AM
Peguam berkata sukar untuk Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri kerana perlu jalani lima tahun lagi sebelum memperoleh kelayakannya sebagai ahli Parlimen semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017

ANWAR Ibrahim tidak dapat menjadi perdana menteri meskipun jika beliau dibebaskan awal dari penjara, kecuali peruntukan perlembagaan yang menghilangkan kelayakannya bertanding pada pilihan raya umum (PRU) dimansuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kata peguam.

Tidak kira berapa awal pun Anwar dapat dibebaskan dari penjara, beliau masih tidak layak menyertai PRU bagi tempoh lima tahun dari hari pembebasannya  , kata Baljit Singh Sidhu.

Di bawah Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli Parlimen hilang kelayakan jika disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun, atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak menerima pengampunan.

Baljit yang juga ahli jawatankuasa jenayah undang-undang Majlis Peguam berkata kelayakan individu daripada Parlimen boleh ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika tidak, hilang kelayakan itu akan berakhir dalam tempoh lima tahun, bermula tarikh seseorang itu dibebaskan daripada tahanan.

PKR mendesak Anwar yang juga ketua umum parti itu untuk dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh setahun jika gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kuasa persekutuan pada PRU14.

PRU itu perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan. Anwar mungkin dibebaskan pada Jun, mengikut budi bicara ketua pengarah Jabatan Penjara.

Menjadikan Anwar sebagai perdana menteri adalah satu daripada tiga syarat dikenakan PKR kepada PH dan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamed. Dua lagi ialah jumlah kerusi persekutuan yang banyak di semenanjung Malaysia dan Dr Mahathir perlu setuju untuk membuat perubahan dalam institusi utama dalam negara.
Tidak kira berapa awal pun Anwar dapat dibebaskan dari penjara, beliau masih tidak layak menyertai PRU bagi tempoh lima tahun dari hari pembebasannya, kata peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017

Syarat itu yang tidak dinafikan oleh kepimpinan parti itu, diletakkan ketika PH mengumumkan calon perdana menterinya. Kecuali PKR, parti komponen lain, Bersatu, DAP dan Amanah bersetuju untuk mencadangkan nama Dr Mahathir.

Sesetengah penganalisis politik juga berkata menamakan Dr Mahathir sebagai calon adalah strategi untuk menang dengan meyakinkan pengundi Melayu.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun pada 10 Februari, 2015 selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Cakap-cakap tentang pembebasan awamnya timbul kembali apabila Perdana Menteri Najib Razak, timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan menteri Mohamed Nazri Aziz melawat Anwar di penjara secara berasingan pada November dan ketika beliau mendapat rawatan di hospital.

Baljit berkata semua tahanan layak menerima peringanan hukuman satu pertiga secara automatik.

Katanya, ini bermakna Anwar mungkin keluar penjara pada Jun tahun depan, iaitu 20 bulan lebih awal daripada tempoh lima tahun hukuman.
Koordinator Free Anwar Campaign Yusmadi Yusoff berkata tiga pemimpin negara melawat Anwar Ibrahim dilihat sebagai pengiktirafan dan menunjukkan beliau bukan lagi “musuh negara”. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017

Tahanan boleh dibenarkan keluar lebih awal jika berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman.

“Pada asasnya itu bermakna tahanan tidak boleh buat masalah. Sesiapa saja boleh diberikan peringanan hukuman, kecuali jika orang itu timbulkan masalah dalam penjara,” kata Baljit.

Sementara gambar lawatan Najib, Zahid dan Nazri mencetuskan kekecohan di media sosial dengan dakwaan ia kempen pilihan raya oleh BN, sesetengah pihak lain melihatnya sebagai pengiktirafan bahawa Anwar bukan lagi “musuh negara”, kata Koordinator Free Anwar Campaign, Yusmadi Yusoff.

“Malah perdana menteri, timbalan dan menteri kanan melawat Anwar dengan penuh mesra. Najib juga mengakui lawatan tersebut dibuat kerana sifat kemanusiaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Nazri juga mengatakan lawatannya atas sebab persahabatan. Bagi saya ini nilai yang sepatutnya digunakan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan kepada Anwar untuk dibebaskan,” kata peguam dan bekas ahli Parlimen Balik Pulau daripada PKR itu.

Yusmadi dan Baljit berkata jika Anwar tidak diberikan peringanan hukuman itu, satu-satunya cara untuk pembebasan awal ialah menerusi pengampunan diraja.

Ia boleh dilakukan apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak untuk mengampunkan seseorang tahanan itu mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

Yusmaidi berkata lawatan tiga pemimpin itu jelas menunjukkan mesej dihantar kepada Lembaga Pengampunan.

“Bagi saya, Lembaga Pengampunan mesti bersikap bertanggungjawab. Ini ‘isyarat’ pimpinan tertinggi negara,” katanya.
PKR mendesak Anwar Ibrahim yang kini dipenjarakan dilantik sebagai perdana menteri dalam tempoh setahun jika PH berjaya merampas kuasa persekutuan pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2017

Yusmadi berkata sepanjang ditahan di Penjara Sungai Buloh, Anwar menjadi rujukan kepada tahanan lain, menjadi tempat mengadu nasib dan sering memberikan nasihat kepada mereka mengenai kehidupan.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penjara, di mata tahanan lain, Anwar seorang yang sangat positif dan sentiasa menjadi inspirasi.

“Ramai tahanan yang berjumpa Anwar untuk bertanyakan pandangan, termasuk tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang minta nasihat Anwar dan Anwar ada merujuk kepada saya,” katanya yang juga setiausaha politik kepada isteri Anwar yang juga Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Yusmadi berkata ada beberapa sebab kenapa Anwar perlu dibebaskan serta-merta dan antaranya ialah tuduhan RM9.5 juta yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, dikatakan dibayar kepada peguam Umno Shafee Abdullah, yang juga pendakwa raya dalam perbicaraan Anwar.

Free Anwar Campaign dan pembangkang juga mendakwa kes itu bermotifkan politik dan Anwar dianiaya, dengan pandangan itu turut dikongsi oleh Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan International Parliamentary Union (IPU).

Katanya, terdapat juga tuduhan penghakiman yang berat sebelah dan salah laku pendakwaan ketika perbicaraan. – 31 Disember, 2017.

No comments:

Post a Comment