Tuesday, March 6, 2018

Sesudah gegak gempita satu negara, baru akui itu berita palsu?

Tindakan SKMM terhadap Raja Petra lewat, gagal selamatkan keadaan
Chan Kok Leong · Diterbitkan pada 6 Mar 2018 7:00AM
Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata arahan SKMM supaya artikel berkenaan Robert Kuok diturunkan daripada blog Raja Petra jelas menunjukkan BN gagal menggunakan isu itu dalam memfitnah pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mac, 2018

ARAHAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada penulis blog Raja Petra Kamarudin untuk menurunkan artikel berkenaan hartawan Robert Kuok jelas menunjukkan usaha parti kerajaan memburukkan pembangkang gagal, kata penganalisis.

“Ini petanda paling jelas bahawa pasukan Barisan Nasional (BN) gagal dalam menggunakan Kuok untuk memfitnah dan menyerang pembangkang,” kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

“Dan kini ia berpatah balik selepas dikecam oleh masyarakat.”

Dalam satu surat kepada pentadbir blog itu semalam, SPRM mengarahkan artikel bertajuk "Robert Kuok wants Chinese rule in Malaysia", "Malaysian Insight funder fingered" dan "Robert Kuok's last chance at changing the government" diturunkan sebelum jam 10 pagi hari ini.

SKMM berkata artikel itu melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyalahgunakan Internet untuk komunikasi yang mengandungi apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Pemeriksaan dilakukan di blog itu petang semalam mendapati artikel berkenaan sudah pun diturunkan.  

Liew berkata artikel tentang Kuok menunjukkan betapa jauh BN sudah tersasar daripada rakyat Malaysia.

“Dengan menggunakan Kuok untuk menyerang kami, mereka tersasar dalam memainkan peranan dan tidak begitu memahami pengundi,” katanya yang juga pengarah pendidikan politik DAP.

Tetapi penyelidik Penang Institute, Dr Wong Chin Huat berkata kegagalan Raja Petra itu tidak sepatutnya digunakan sebagai duluan untuk bertindak terhadap portal berita yang sah.

Wong, yang berpengalaman mengajar pengajian media berkata SKMM mungkin “secara tidak sengaja menetapkan standard di mana individu pada masa depan boleh menggunakan kes itu untuk mendesak tindakan sama terhadap pihak lain”.

Dan ketika ditanya sama ada SKMM cuba untuk membaiki keadaan selepas artikel itu mencetuskan kemarahan masyarakat Cina, Wong berkata tindakan itu cukup untuk membetulkan keadaan dan terlalu lewat.

“Saya fikir sekarang, hampir semua orang tahu siapa bayar blog itu dan kerosakan (menggunakan Kuok untuk menyerang pembangkang) sudah pun berlaku,” kata Wong.

Jurucakap publisiti MCA Ti Lian Ker berkata SKMM hanya melakukan tugasnya untuk menghentikan artikel yang menyakitkan hati dan berita palsu.

Ti yang menyokong tindakan SKMM mengarahkan Raja Petra menurunkan tiga artikel itu berkata ia selaras dengan rancangan kerajaan untuk menyekat berita palsu.

"Raja Petra menulis berita palsu tentang Kuok dan sewajarnya dia dihentikan. Sudah sampai masanya artikel yang mempolitikkan apa saja dihentikan.

“SKMM juga perlu bertindak adil dan konsisten dalam menghentikan artikel palsu terhadap pembangkang dan kerajaan.

“Artikel tulisan Raja Petra itu tidak membantu dalam pembangunan negara dan hubungan antara kaum yang dibina oleh kerajaan selama ini,” kata Ti. – 6 Mac, 2018.

* Arahan turun artikel saja yang SKMM boleh buat? Mamat ni berada di luar negara kerana melarikan diri dari tindakan undang-undang di Malaysia. Rasanya kalau benar-benar Kuok mengambil tindakan saman lagi bagus di atas kerusakan yang mamat ni lakukan ke atas lapisan masyarakat di Malaysia

No comments:

Post a Comment