Thursday, March 22, 2018

Isu tanah Felda: Wujud jenayah penipuan

Wujud jenayah penipuan isu tanah Felda Jalan Semarak
JANATUL FIRDAUS YAACOB -  22 MAC 2018
Razali ketika menjawab soalan yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat, hari ini

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Razali Ibrahim mengakui wujud jenayah penipuan dalam proses penukaran hak milik tanah strategik Felda di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta.

Razali berkata, kes pindah milik tanah Jalan Semarak itu masih disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa khas Felda yang meneliti kes ini secara domestik selama tiga bulan.

“Memang ada jenayah penipuan dan siasatan ini juga  disiasat secara jenayah bukannya sivil. Tapi saya belum boleh dedahkan lagi nanti dikatakan mendahului siasatan polis pula.

“Ada penggunaan.. ada lah, saya tak boleh cerita . Ceritanya mudah disebabkan Power of Attorney (POA) untuk memajukan tanah tersebut syarikat pemaju tidak ada sekatan untuk pindah milik tanah itu kepada mereka.

Katanya, syarikat pemaju ke pejabat tanah dan bertindak menukar hak milik tanah Jalan Semarak itu kepada miliknya.

“Ini bukan seperti didakwa Felda cagar tanah itu untuk bayar hutang, sebab itu selepas berunding kita dapat balik tanah itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Gobind turut membangkitkan tindakan sementara yang dikenakan kepada pegawai-pegawai yang disyaki terlibat dengan jenayah ini.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, audit forensik, siasatan domestik dan polis masih jalankan siasatan jadi buat masa ini belum ada tindakan diambil kepada mana-mana individu.

“Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir  Samad juga telah dipanggil polis untuk membantu siasatan, jawatankuasa khas juga masih jalankan siasatan.

“Bagaimanapun buat masa ini belum ada lagi sebarang tindakan di ambil ke atas mana-mana individu. Jawatankuasa khas siasat selama tiga bulan, polis kita tak tahu berapa lama,” tambahnya.

Razali berkata, kes tanah Jalan Semarak adalah pengajaran buat kita semua apa yang penting tanah ini dipulangkan kepada Felda.

No comments:

Post a Comment