Saturday, March 10, 2018

Perang psiko PRU14: Najib kata tidak akan ada tsunami dan BN akan menang besar, Invoke kata PH akan menang 5 negeri

Wujud petanda BN akan menang besar PRU14
The Malaysian Insight · Diterbitkan pada 10 Mar 2018 7:00AM
Barisan Nasional diterajui Najib Razak dipercayai akan kembali memperolehi majoriti besar dua pertiga disebabkan kemelut dalaman Pakatan Harapan, pecah undi PAS dan kembalinya pengundi kepada gabungan pemerintah yang berkuasa sejak merdeka itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2018

BEBERAPA minggu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), pelbagai faktor seperti pertandingan tiga penjuru dan kembalinya pengundi kepada gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) menyebabkan mereka yakin akan memperolehi kembali majoriti besar yang mereka hilang pada dua pilihan raya umum sebelum ini.

Perdana Menteri Najib Razak sekarang sedang berusaha mendapatkan mandat penggal keduanya sebagai pengerusi BN, memberitahu wakil rakyat BN yang tsunami Melayu yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) tidak akan tercetus walaupun berita mengenainya semakin hebat kedengaran.

“Tidak akan ada tsunami Melayu. Malah tidak akan ada tsunami Cina, itulah yang beliau beritahu pada pra mesyuarat majlis hujung minggu lepas sebelum Parlimen bersidang,” sumber dalaman BN memberitahu The Malaysian Insight.

“Kami akan mendapatkan kembali majoriti dua pertiga tanpa adanya tsunami-tsunami ini,” tambahnya, merujuk kepada 149 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk membentuk majoriti kuat. BN kini hanya memegang 134 kerusi persekutuan.

Beliau merujuk kepada peralihan besar-besaran sokongan pengundi Cina kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013 seterusnya menafikan BN majoriti besar dua pertiga yang membolehkan mana-mana kerajaan meluluskan undang-undang tanpa sebarang tentangan.

PRU2008 menyaksikan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi hilang 91% kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan majoriti besar dalam Parlimen- situasi yang hanya sekali pernah berlaku sebelum itu, pada PRU1969.

Abdullah meletak jawatan pada 2009 dan Najib mengambil alih, mengadakan pilihan raya pada 2013 untuk mendapatkan mandat pertamanya. Beliau gagal mendapatkan majoriti besar dan kalah undi popular seterusnya menimbulkan tekanan kepada gabungan dipimpinnya dan penyokong utamanya ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin Pakatan Harapan dijangka berdepan banyak masalah untuk merampas Putrajaya. Kemelut bahagi kerusi, manifesto yang tidak menyakinkan dan 'musuh dalam selimut pembangkang', PAS akan menambah kesengitan PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2018

Pada 2014, Dr Mahathir menarik sokongan kepada Najib dan kini mempengerusikan PH dan partinya sendiri, Bersatu yang sekarang berdepan pembatalan pendaftaran kerana gagal menghantar dokumen berkaitan mesyuarat parti.

Sumber dalaman BN membangkitkan kemelut yang dihadapi Bersatu dan PH sebagai satu lagi petanda yang BN akan menang besar pada PRU14 yang dipercayai ramai akan diadakan hujung April ini. Mandat kerajaan akan tamat pada Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.

“Realitinya pembangkang sedang kucar-kacir. Mereka bergaduh berebut kerusi dan tidak sepakat tanpa adanya (pendaftaran) pakatan atau logo bersama.

“Dua parti, Bersatu dan Amanah tidak dikenali rakyat. Dan paling utama adalah PAS tidak bersama mereka,” kata pemimpin kanan Umno itu merujuk kepada parti Islam yang memutuskan membentuk gabungan pakatan lain dan bertanding pada PRU14.

PAS dijangka meletakkan sehingga 130 calon merebut kerusi Parlimen bagi memastikan penyokong dan ahlinya tidak mengundi PH atau BN. “Pendek kata, pengundi PAS akan memecahkan undi mereka,” tambahnya.

Kajian dilakukan agensi kerajaan dan firma luar diupah Putrajaya mengatakan sekurang-kurangnya BN boleh menang di 145 kerusi dan hanya perlu berusaha lebih sedikit untuk memperolehi kembali majoriti besar dua pertiga.

Kajian bebas mendapati sekurang-sekurangnya 155 kerusi boleh dimenangi BN terutama sekali dengan proses persempadanan semula berjaya dilengkapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikatakan memberi kelebihan kepada parti pemerintah BN.

“Apa yang pembangkang ada hanyalah Dr Mahathir Mohamad tetapi dia adalah orang yang memecah belahkan ramai pengundi. Orang Cina tak percayakan dia dan akan beri undi kepada kami atau langsung tak mengundi. Orang Melayu juga tahu hanya BN dan Umno boleh jaga kepentingan mereka,” kata perancang strategi Umno kepada The Malaysian Insight.

“BN hanya perlu kerja keras dan pastikan pengundi keluar mengundi. Pembangkang kucar-kacir dan undi mereka akan terpecah,” katanya yang turut mengatakan manifesto PH tidak menyakinkan pengundi. – 10 Mac, 2018.

Pakatan akan menang lima negeri dalam PRU14, kata badan pemikir
Bede Hong · Diterbitkan pada 10 Mar 2018 12:07AM
Lima negeri iaitu Kedah, Perak dan Johor, selain Selangor dan Pulau Pinang akan berada di bawah kuasa Pakatan Harapan, kata badan pemikir Invoke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Mac, 2018

KEDAH, Perak dan Johor akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) selain mendapat kemenangan besar di Selangor dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan tsunami Melayu, kata badan pemikir Invoke berdasarkan kajian.

Dijangka Dewan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan tergantung, kata pengarah Invoke Rafizi Ramli ketika membentangkan kajian di forum "GE14 Prediction Forum: What The Big Data Tells Us?" Kuala Lumpur malam ini.

Barisan Nasional (BN) pula akan menang bersih di Terengganu dan Kelantan selain mengekalkan kuasa di Pahang.

Manakala PAS tidak akan menang sebarang kerusi persekutuan.

Menurut kaji selidik berasingan terhadap 2,000 responden mendapati sokongan Melayu terhadap BN menurun kepada 28.5% bulan lalu berbanding 41% pada Disember tahun lepas.

Sokongan Melayu terhadap PH naik kepada 14.1% berbanding 9.9% dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, jumlah pengundi atas pagar meningkat dari 11.9% kepada 17%.

Jumlah pengundi yang mengelak menjawab parti mana yang akan mereka undi pula kekal pada 22%.

Rafizi mendakwa yang penurunan sokongan pengundi Melayu dengan kadar 6% setiap bulan antara Disember dan Februari itu, hanya pernah berlaku menjelang pilihan raya umum 1999 ketika PAS menawan dua negeri.

“Ini menunjukkan gelombang Melayu (terhadap PH),” katanya.

Di Semenanjung Malaysia, PH dijangka memenangi 89 kerusi Parlimen berbanding BN iaitu 76.

Kaji selidik itu juga menjangka kemenangan besar buat BN di Terengganu, Kelantan dan Perlis. PH pula dijangka menang 15 kerusi DUN Pahang berbanding BN iaitu 27.

“Efek PAS sudah mula nampak di sini. Di negeri pantai timur, efek PAS besar (dalam pertandingan pelbagai tiga penjuru),” kata Rafizi.

Tambahnya, Dewan Undangan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan mungkin akan tergantung.

PH dijangka mengekal kuasa di Pulau Pinang dan Selangor. Di Selangor, PH dijangkakan menang 50 kerusi DUN berbanding enam untuk BN.

PH juga diramalkan menang di Johor dengan majoriti dua kerusi DUN, selain di Perak dengan majoriti 5 kerusi DUN.

Kedah turut diramal berada di bawah kekuasaan PH dengan majoriti lapan kerusi DUN.

Bagaimanapun, Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam kaji selidik Invoke ini memandangkan usaha untuk mendapatkan data agak sukar kerana terpecah dalam banyak kumpulan etnik, kata Rafizi.

“Apa yang kami boleh dapat dalam tempoh ini, secara statistiknya tidak cukup bagus. Kami tak tonjolkan mereka dan oleh itu kami tak dapat jangka keputusan untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah Rafizi lagi, lebih kurang 35% Melayu adalah “pengundi yang boleh dipujuk yang akan menentukan keputusan pilihan raya.”

Data Invoke dianalisis menggunakan regresi logistik yang melihat kepada hubungan antara angkubah (variables) dan hasilnya, kata Rafizi.

Soalan kaji selidik itu dijalankan secara rawak melalui panggilan-robo (robo-calls). Pelbagai soalan yang telah disediakan awal digunakan dalam kaji selidik itu. Soalan yang lain ditanya bergantung kepada kumpulan strata responden. Sekitar 9% responden menjawab soalan akhir mengenai parti mana yang mereka akan undi dalam pilihan raya nanti. – 9 Mac, 2018.

1 comment:

  1. Orang Melayu juga tahu hanya BN dan Umno boleh jaga kepentingan mereka,

    sebab ada lagi melayau ynag terboddo

    60 thaun amaono jaga tm satu hukum jinayah Islam pung tak mau buat
    punay la sial puak amaono ni

    ReplyDelete