Thursday, March 8, 2018

PAS marah didakwa bela Jho Low

PAS selar pihak dakwa mereka bela Jho Low
Melati A. Jalil · Diterbitkan pada 7 Mar 2018 7:23PM
Idris Ahmad (PAS- Bukit Gantang) meminta kerajaan bertindak berani dalam isu 1MDB bagi menghalang persepsi buruk tentang negara dari pihak luar, menyifatkannya sudah jadi polemik global. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2018

SEORANG wakil rakyat PAS menyelar mereka yang menuduh parti itu membela ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho apabila isu kapal layar mewah Equanimity sekali lagi hangat dibincangkan dalam Dewan Rakyat.


Ketika memperdebatkan titah diraja, Idris Ahmad (PAS- Bukit Gantang) meminta kerajaan memberikan penjelasan mengenai kapal mewah berharga RM1 bilion milk Low- yang juga dikenali sebagai Jho Low- yang dirampas Indonesia pada 28 Februari lalu.

“Polemik isu yang berlaku dalam atau luar negara akan memberi kesan kepada Malaysia. Saya takut jika ia (isu ini) boleh memberi kesan kepada perdagangan kita dan persepsi orang terhadap negara kita.

“Kerana itulah kerajaan perlu mengambil tindakan berani seperti menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Pada 2015, ahli Parlimen Marang (Hadi Awang) sudah mencadangkan RCI diwujudkan untuk menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya merujuk kepada Hadi yang juga presiden parti Islam itu.

Kenyataan beliau menyebabkan Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) berdiri dan bertanya kepada Idris sama ada beliau bersetuju rampasan kapal itu tiada kaitan dengan 1MDB.

“Perkara ini sudah jadi polemik peringkat dunia dan laporan Jabatan Kehakiman AS (DoJ), kami mahu jawapan mendalam termasuklah siasatan yang akan dilakukan kerana kita tak mahu persepsi (negatif).

“Kita tak mahu apa-apa berlaku kepada negara yang akan memberi kesan kepada kerajaan ataupun pembangkang,” kata Idris lagi.

Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) kemudian bangkit bertanya kepada Idris sekiranya Low adalah hero yang perlu dibela.

“Kelana Jaya sentiasa cakap tentang persepsi negatif terhadap PAS, mencemarkan imej PAS.

“Saya tak pertahankan Jho Low, saya minta siasatan dijalankan, bukannya mahu mempertahankan Jho Low.

“Ini bukan sikap (Wong) yang baik, saya minta siasatan, RCI ditubuhkan, dan laksanakan (siasatan) dengan telus,” balas Idris.

Equanimity dirampas pihak berkuasa Indonesia selepas DoJ membuat permohonan rasmi kepada negara itu.

DoJ memfailkan saman sivil pertama dalam siasatan 1MDB pada Julai 2016 untuk merampas aset mencecah AS$3.15 bilion (RM12.3 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali sebelum ini mengatakan Malaysia tidak akan menuntut kapal itu kerana ia bukan hak negara. – 7 Mac, 2018.

3 comments:

  1. Membela najib adalah membela jho lo.noktah

    ReplyDelete
  2. Membela noktah (.) adalah membela comma (,)

    ReplyDelete
  3. Hadi awang dah bisu ka lps 2015? Knp 2017 dan 2018 dia sendiri tak desak kerajaan buat rci utk siasat 1mdb? Atau dah u-turn.

    ReplyDelete