Tuesday, March 13, 2018

Kini bayangan Pakatan berusaha tawan ‘kawasan tengah’ Kelantan

Jerayawara terkini Pakatan cermin usaha tawan ‘kawasan tengah’ Kelantan
TMI · Diterbitkan pada 13 Mar 2018 7:00AM
Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad menerima sambutan hangat daripada pengundi semasa hadir di program 'Jelajah Pakatan Harapan' di Bachok, Kelantan pada 10 Mac. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Mac, 2018

AHLI perniagaan Ahmad Salman Shamsuddin menyaksikan kejatuhan jualan hampir 30% di kedai-kedainya di Bachok, Kelantan, sebuah daerah yang terkenal dengan pantainya.

Oleh itu, beliau teruja apabila Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk membina terminal minyak dan gas di Pantai Senok berhampiran, sekiranya ia memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dan mengambil alih Putrajaya seterusnya menguasai Kelantan.

"Projek tersebut boleh menjadi pemangkin kepada perniagaan di sini. Akan ada limpahan yang boleh membawa kebaikan kepada penduduk," kata lelaki berusia 37 tahun itu kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.

Janji membina sebuah terminal minyak dan gas itu dibuat oleh Ketua PH negeri Husam Musa dalam ceramah pakatan di Bachok, sebagai sebahagian daripada tawaran gabungan dalam kempennya untuk menawan Kelantan daripada PAS.

Pemilihan Bachok sebagai lokasi terakhir PH dalam siri jelajah di Kelantan mencerminkan usaha pakatan memasuki kawasan luar bandar dan separa bandar, dan keluar dari pusat bandar di Kota Baru.

Kawasan jalur tengah Kelantan mempunyai 17 kerusi negeri yang dimenangi kurang daripada 2,000 undi pada PRU13. Daripada kerusi itu, lapan dimenangi dengan kurang 1,000 undi.

Bilangan 17 kerusi itu begitu penting bagi ketiga-tiga gabungan – PH, Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera yang diketuai oleh PAS – dalam usaha mereka untuk menguasai negeri itu dalam PRU14.

Ini kerana pakatan memerlukan 23 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri 45 kerusi itu untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Ceramah di Bachok pada Sabtu menampilkan pemimpin utama PH, seperti calon perdana menteri dan timbalannya, Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta presiden parti komponen Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu.

Pada pagi hari yang sama, Dr Mahathir dan Husam menghadiri perhimpunan dan sesi bertemu pengundi di Tanah Merah, sebuah kerusi Parlimen yang terletak satu jam perjalanan dari Kota Baru.

Kelantan secara asasnya berbentuk segi tiga, dengan ibu negeri Kota Baru dan pinggir bandarnya terletak di bahagian atas. Ini adalah kawasan paling ramai penduduk, dan mempunyai lapan kerusi Parlimen.

Bahagian tengahan segi tiga mempunyai enam kerusi Parlimen dan 17 kerusi negeri. Daerah tengah ini membentuk jaluran dari Bachok dan Pasir Puteh di pantai timur hingga ke Machang dan Tanah Merah di tengah, hingga ke Jeli, kawasan pedalaman barat Kelantan, bersebelahan dengan Thailand.

Kuala Krai membentuk bahagian selatan jalur itu, sebelum kawasan Parlimen Gua Musang.
Sebahagian hadiran yang khusyuk mendengar ceramah daripada Dr Mahathir Mohamad semasa program 'Jelajah Pakatan Harapan' di Bachok, Kelantan pada 10 Mac. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Mac, 2018

Daripada 17 kerusi negeri di jalur tengah, 11 dimenangi oleh PAS, dengan baki selebihnya dimiliki BN.

Kerusi Parlimen Pasir Puteh dimenangi oleh parti Islam itu dengan 1,888 undi manakala Machang dimenangi oleh BN sebanyak 805 undi. Bachok dimenangi oleh PAS dengan majoriti 201 undi.

Hisham Fauzi, pemimpin akar umbi PH Tanah Merah, berkata sesi Dr Mahathir bersama penduduk bagi membolehkan pengundi dan penyokong dari kawasan tengah Kelantan bertemu dengan bekas perdana menteri itu.

Ia juga untuk mempromosikan PH, dan menyebarkan mesej gabungan kepada pengundi di kawasan lebih pedalaman di negeri ini.

"Respon di kawasan sini lebih perlahan berbanding di Kota Baru. Itulah sebabnya kita buat perhimpunan di Tanah Merah.

"Di sini, orang dari Machang, Jeli dan Kuala Krai senang datang."

Mesej lebih baik

PH masih dianggap pemain baru yang mencabar landskap politik tradisi Kelantan, yang dikuasai oleh PAS dan BN.

PH terdiri daripada parti pembangkang yang ditubuhkan PKR dan DAP, dan terbaru Bersatu, yang merupakan cabang Umno, serta serpihan PAS, Amanah.

Apabila PH ditubuhkan pada akhir 2016, banyak programnya di Kelantan diadakan di Kota Baru dan berdekatan Tumpat dan Pasir Mas, yang mempunyai kepadatan penduduk tertinggi.

"Respons pada kita positif dan lebih laju di kawasan Kota Baru. Tetapi di sini sedikit perlahan," kata Hisham, 66, yang merupakan penyelaras Amanah bagi kerusi DUN Bukit Panau di Tanah Merah.

"Tetapi kedudukan kita di sini masih berkembang dan kita lihat semakin ramai menjadi peserta dan sukarelawan yang datang membantu untuk program," katanya.

Ceramah di Bachok menyaksikan kehadiran orang ramai hampir 3,000 orang, yang mengejutkan guru agama Muhammad Hussin, yang memandu dari Pasir Puteh.

"Program macam ini BN atau PAS tak mampu nak dapat penyertaan macam ini, secara sukarela," katanya yang berusia 66 tahun.

Beliau percaya ini memberi petanda baik bagi usaha gabungan untuk menyebarkan rayuannya di seluruh negeri.

"Orang Kelantan ini ada kesedaran politik yang tinggi. Kita tidak takut tukar kerajaan," katanya, merujuk kepada bagaimana negeri itu menyingkirkan PAS pada 1978 dan menerimanya semula pada 1990.

Bagaimanapun, Ketua Bersatu Jeli, Dr Aminuddin Yaacob, percaya menewaskan PAS dan BN tetapi menjadi tugas sukar bagi PH.

"Orang luar bandar memang makan daripada tangan BN. Mereka dapat wang, beras di program BN.

"Tapi kita percaya, berbanding PAS atau BN kita mempunyai mesej yang lebih baik." – 13 Mac, 2018

No comments:

Post a Comment