Tuesday, March 20, 2018

PRU14: Dijangka lebih banyak kerusi BN tumbang di Sabah

Penganalisis jangka lebih banyak kerusi BN tumbang di Sabah
Sheridan Mahavera · Diterbitkan pada 20 Mar 2018 7:00AM
Rakyat pelbagai suku kaum di Sabah teruja dengan kehadiran Warisan di negeri itu, tetapi penganalisis meramalkan Warisan dan parti pembangkang lain masih belum mampu merampas negeri itu daripada Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018

PENGANALISIS beranggapan kegagalan Warisan dan parti pembangkang lain untuk bersatu akan menyukarkan usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Sabah dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, penganalisis juga berpendapat pemimpin tempatan parti pembangkang tempatan di Sabah lemah dan calon yang bakal bertanding pula tidak dikenali pengundi.

Bagaimanapun, parti pembangkang terbabit berpeluang meraih lebih banyak kerusi Parlimen walaupun mereka mungkin tidak dapat mengambil alih kerajaan negeri, kata Dr Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Zaini Othman berkata, prestasi BN di setiap kawasan dan kewibawaan wakil rakyatnya akan mempengaruhi undi di kalangan warga Sabah.

Golongan bumiputera Islam seperti Bajau, Melayu dan subetnik Kedayan membentuk kira-kira 52% daripada pengundi Sabah. Ia diikuti kumpulan masyarakat Kadazan Dusun Murut yang membentuk 28% pengundi, dan juga 13% pengundi Cina.

Satu tinjauan oleh Merdeka Center tahun lalu menyebut, Umno merupakan parti paling disukai berbanding semua parti politik. 50% daripada responden yang ditinjau melihat Umno dengan positif, berbanding 42% yang melihat parti itu dengan negatif.

Walaupun Warisan yang dibentuk oleh bekas pemimpin Umno Sabah, Mohd Shafie Apdal, berpengaruh di kalangan bumiputera Islam, ia tidak memadai untuk memberi ancaman kepada pemimpin Umno seperti Musa Aman dan Salleh Said Keruak. 

“Di kalangan bumiputera Muslim, selagi Musa Aman dan Salleh bersatu, Shafie tidak boleh pecahkan Umno,” kata Puyok, yang merupakan pensyarah kanan dalam kajian politik dan kerajaan.
Presiden Warisan, Shafie Apdal berdepan cabaran besar berdepan gandingan Musa Aman-Salleh Keruak. Kelemahan calon Warisan serta tiadanya perpaduan dalam kalangan parti pembangkang negeri akan menyukarkan keadaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018

Satu tinjauan Merdeka Center menyebut, Warisan dipandang negatif di kalangan 40% daripada responden, manakala hanya 28% melihat parti itu dengan positif.

Umno Sabah pada masa ini menguasai 31 daripada 60 kerusi negeri, yang menjadikannya parti terbesar di wilayah Utara Borneo itu. Secara keseluruhannya, BN Sabah menguasai 40 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberikannya majoriti dua pertiga.

Puyok berkata, walau Umno Sabah menerima sokongan kukuh, lain pula bagi rakannya seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Dalam PRU13, sokongan dari kalangan bumiputera bukan Islam seperti Kadazan Dusun Murut beralih kepada parti dalam gabungan Pakatan Rakyat, PKR dan DAP daripada BN.

Dalam pilihan raya sama, Upko hilang kerusi Parlimen Penampang, yang dikenali sebagai kubu kuat Kadazan Dusun.

PBS hilang enam kerusi DUN kepada PKR dan DAP, manakala Upko tewas di satu kerusi.

Zaini dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, walau keputusan PRU13 menunjukkan trend sedemikian di kalangan bumiputera bukan Islam, cara pengundian komuniti tersebut masih lagi bergantung kepada calon yang bertanding.

Katanya, pengundi teruja dengan isu tadbir urus kerajaan, namun sikap serta prestasi calon dan sentimen pengundi di kawasan tertentu akan memainkan peranan penting.

“Sentimen ke atas tadbir urus yang baik nampaknya soal penting untuk menentukan parti mana yang akan dipilih oleh pengundi,” kata pensyarah kanan di UMS itu lagi.
Pembangkang peringkat nasional, Pakatan Harapan terutamanya PKR dan DAP mempunyai lebih banyak kekuatan berbanding Warisan dan parti pembangkang negeri yang lain, kata penganalisis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018

Dalam pada itu, majoriti pengundi Cina yang memilih pembangkang pada PRU13 pula dijangkan akan kekal bersama pembangkang dalam pilihan raya akan datang, kata Puyok.

Peningkatan pengaruh Warisan, PKR dan DAP di kalangan pengundi Kadazan Dusun Murut dan pengundi Cina akan membantu mereka merampas dua atau tiga lagi kerusi Parlimen yang dimenangi dengan majoriti tipis oleh BN, katanya.

Ini termasuk kawasan Pensiangan, Kota Marudu dan Beaufort, yang kesemuanya dimenangi dengan majoriti kurang daripada 2,000 undi.

Walaupun Sabah mempunyai pelbagai parti pembangkang kecil, pengaruh mereka tidak dapat mengatasi parti pembangkang nasional seperti PKR dan DAP, katanya.

Dalam PRU13, DAP dan PKR berjaya mendapat jumlah undi popular yang tiga kali ganda lebih besar berbanding undi diperolehi parti tempatan seperti Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Reformasi Negeri (Star). 

Puyok melihat, kehadiran Shafie dalam barisan pembangkang menarik perhatian rakyat negeri itu.

Namun pengkaji itu tidak yakin jika tarikan itu memadai untuk menggulingkan kerajaan negeri Sabah.

“Satu masalahnya ialah sehingga hari ini, Warisan belum membentuk gabungan rasmi dengan DAP dan PKR untuk mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru. Terdapat juga kekurangan dari kepemimpinan tempatan.

“Semua faktor ini, ditambah dengan kekuatan Musa, akan menyebabkan sukar bagi BN untuk kehilangan Sabah,” kata Puyok. – 20 Mac, 2018.

1 comment: