Tuesday, March 13, 2018

PH rampas Perak: Jangan mimpilah, 9 kerusi yang ada akan terlepas!

Siap sedia hilang 9 kerusi lagi di Perak, kata BN kepada Pakatan
Nabihah Hamid, Gan Pei Ling · Diterbitkan pada 13 Mar 2018 7:00AM
Penganalisis politik percaya kedudukan di Perak akan ditentukan oleh pertembungan di hampir 30 kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu yang dimenangi oleh Umno terutamanya sembilan kerusi marginal yang dimenangi oleh Barisan Nasional dengan kelebihan kurang daripada 1,000 undi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2018

PAKATAN Harapan (PH) dinasihatkan usah bermimpi hendak merampas Perak daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, kata seorang pemimpin kanan Umno negeri.

PH sebaliknya mesti bertanya diri sendiri apakah sudah bersedia untuk terlepas sembilan lagi kerusi negeri pada, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad

BN kini menguasai 31 daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak. PH mempunyai 24 kerusi, dengan 18 dipegang oleh DAP, PKR (5) dan Amanah (1) sementara PAS ada empat kerusi.

Saarani memberitahu The Malaysian Insight, BN akan menahan apa yang didakwa oleh PH sebagai tsunami Melayu yang akan sekali lagi menumbangkan parti pemerintah itu seperti pada PRU 2008.

"Mana ada tsunami Melayu menyokong PH. Tsunami Melayu sokong BN, adalah. Untuk PH tidak ada.

"Saya antara yang memimpin (BN) di Perak, saya turun ke bawah, saya tahu," katanya kepada The Malaysian Insight.

"BN boleh dapat 40 kerusi pada PRU kali ini," tambah Saarani.

Invoke, badan kajian data yang digerakkan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli minggu lalu meramalkan Perak akan jatuh kepada PH selain dua lagi negeri iaitu Kedah dan Johor, menjadikan semuanya lima negeri dikuasai PH selepas PRU14 termasuk Selangor dan Pulau Pinang.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Saarani Mohamad menafikan wujudnya 'tsunami Melayu' yang menyokong Pakatan Harapan, sebaliknya untuk Barisan Nasional. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2018

Menurut kajian Invoke, PH akan menang 32 kerusi di DUN Perak manakala BN 27 dan PAS berputih mata tidak menang satu kerusi pun.

"Kita bekerja untuk pilihan raya sejak 2014. Kita kenal pasti punca kekalahan di beberapa kawasan. Kita bekerja keras untuk mendaftar pemilih-pemilih baru yang berpihak pada BN," kata Saarani, yang juga Adun Tampan, kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Lenggong.

Penganalisis politik dan pemimpin PH percaya kedudukan di Perak akan ditentukan oleh pertembungan di hampir 30 kerusi di kawasan majoriti pengundi Melayu yang dimenangi oleh Umno terutamanya sembilan kerusi marginal yang dimenangi oleh BN dengan kelebihan kurang daripada 1,000 undi.

Bagaimanapun Saarani berkata BN tidak bimbang dengan kedudukannya di kerusi marginal kerana undi pada 2013 itu termasuk undi daripada penyokong PAS tetapi parti Islam itu sekarang tidak lagi bersama PH.

Beliau memberi contoh kerusi marginal yang dipegang oleh PKR di Kuala Sepetang dengan kelebihan 758 undi, yang katanya termasuk undi daripada penyokong PAS.

"Kekuatan kita dalam BN kita bersatu-padu. Kita ada kesepakatan baik dalam Umno mahupun dengan parti-parti komponen, tidak seperti pembangkang. Mereka sudah berpecah. Tiada lagi (kerjasama) dengan PAS.

"Maka, bila sampai pilihan raya nanti, kelebihan dapat pada kita," katanya.

Penganalisis Politik Prof Dr Mohd Redzuan Othman turut mengakui kurangnya kesepakatan dalam PH di Perak, selain tiada pemimpin utama yang dilihat boleh menerajui negeri.

"Mereka (PH Perak) tidak ada pemimpin yang boleh menyatukan parti. Tiada yang setanding dengan Zambry," katanya, merujuk kepada Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir.

"Saya jangka BN akan menang (Perak) dengan majoriti yang besar."

Selain perpecahan pembangkang dan kesatuan dalam BN, Saarani berkata parti pemerintah itu boleh kekal di Perak kerana khidmat konsisten kepada rakyat yang diberikan selama ini.
Ahli Parlimen Lenggong, Dr Shamsul Anuar Nasarah yakin pengundi di Perak akan memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional tanpa mempedulikan isu nasional yang dianggap sekadar 'cerita politik'. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Mac, 2018

Beliau memberikan contoh kempen turun padang yang ditekankan oleh Zambry kepada semua wakil rakyat BN serta pelbagai usaha kerajaan negeri menangani masalah rakyat terutamanya kos sara hidup.

"Kita ada buat Kedai Bergerak 1AmanJaya. Untuk barang keperluan harian, harganya lebih murah lima hingga 10%. Ini kita buat untuk rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lenggong, Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bantuan BN juga tidak bermusim, tanda parti pemerintah itu ikhlas membantu rakyat.

"Kita kerja lama sejak sebelum PRU. Ini memang sudah jadi satu sistem. Itu tanda hubungan kita dengan rakyat. Itu kekuatan kami," katanya.

Mengenai isu-isu nasional seperti skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), Samsul berkata rakyat Perak tahu menilai apa yang berlaku dan mereka tahu apa yang sebenarnya menjadi lebih utama.

"Mereka tahu ini semua cerita politik. Orang kampung tidak kisah apa yang berlaku di pusat, yang penting mereka dapat beras murah, gula murah dan sebagainya," katanya. – 13 Mac, 2018.

* Situasi ni aku tak reti nak komen sebab aku ketinggalan maklumat. Dah lama aku tak balik Ipoh. Dok asyik berulang KB-KL jer

5 comments:

  1. Hairan, kalau lah UMNO ini amat bersatu padu, undi tak pecah dan sebagainya ... yang ramai-ramai menyertai Bersatu tu geng mana pulak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lenggong, Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bantuan BN juga tidak bermusim, tanda parti pemerintah itu ikhlas membantu rakyat.

      "Kita kerja lama sejak sebelum PRU. Ini memang sudah jadi satu sistem. Itu tanda hubungan kita dengan rakyat. Itu kekuatan kami," katanya.

      Mengenai isu-isu nasional seperti skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), Samsul berkata rakyat Perak tahu menilai apa yang berlaku dan mereka tahu apa yang sebenarnya menjadi lebih utama.

      "Mereka tahu ini semua cerita politik. Orang kampung tidak kisah apa yang berlaku di pusat, yang penting mereka dapat beras murah, gula murah dan sebagainya," katanya. – 13 Mac, 2018.

      Delete
    2. itu geng dap.....kiikikikih

      Delete
  2. PH tak check persempadan (gerrymandering) semula di perak ka? Jk tidak bn takkan terlalu yakin

    ReplyDelete
  3. Biasalah UMNO. Kelebihan mereka terletak kepada kebodohan orang Melayu yang boleh dibeli dengan sehelai kain pelikat dan duit RM100. Dapat BRIM RM1200 seronok gila macam dah dapat emas setempayan. Padahal UMNO melalui Kerajaan Pusat belasah GST tiap-tiap hari drpd poket mereka tak kurang RM6 sehari.

    ReplyDelete