Wednesday, March 7, 2018

Kenyataan Media: Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor

KENYATAAN MEDIA
6 MAC 2018

Adakah Kerajaan Persekutuan menyorokkan masalah kewangannya atau mempolitikkan isu air di Selangor?

Hari ini, sebahagian Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air SSP3. Ia bukanlah catuan air seperti yang didakwa, tetapi gangguan sementara 24 jam bagi membolehkan kerja pembaikan dibuat tanpa mengganggu sambutan Tahun Baru Cina.

Barisan Nasional (BN) mempolitikkan kerja penyelenggaraan dengan mengaitkannya dengan pelan penstrukturan semula air Selangor. Ia adalah dua perkara berbeza, namun tindakan BN bermain politik murahan menimbulkan persoalan berhubung kejujuran mereka dalam menyelesaikan rundingan air di Negeri Selangor, atau cuba menyorokkan permasalahan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Hasrat Kerajaan Negeri Selangor adalah mahu meletakkan industri air Selangor di bawah satu syarikat pengurusan senaraian awam, yang menguruskannya dengan kepercayaan rakyat supaya lebih cekap, efektif, berdaya saing dan mampan.

Mengikut dasar air kebangsaan, Kerajaan Persekutuan seharusnya menggunakan sumber kewangannya bagi membiayai perolehan aset air supaya kosnya lebih efektif untuk negeri menguruskannya.

Sebahagian proses berkenaan dilaksanakan di Negeri Selangor, namun penstrukturan semula tertangguh disebabkan Kerajaan Persekutuan sama ada tidak mahu atau tidak mampu membiayai pembelian aset air yang belum diperoleh. Kerajaan Persekutuan adalah punca proses penstrukturan air di Selangor tertangguh.

Kerajaan Negeri Selangor sudah menyerahkan maklumat penilaian bebas untuk aset air yang belum diperoleh kepada Kerajaan Persekutuan dan ia dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Mei 2017. Kerajaan Persekutuan turut menjalankan penilaian bebas terhadap aset air berkenaan, namun berdegil mahu Kerajaan Negeri Selangor menyebut harga terlebih dahulu. Tindakan Kerajaan Persekutuan itu adalah tidak masuk akal memandangkan Kerajaan Persekutuan adalah pembeli aset air terbabit.

Kerajaan Persekutuan mempunyai dua penilaian bebas. Mereka hanya perlu memilih harganya daripada penilaian-penilaian itu dan membayar kos pengambilalihan aset air berkenaan. Ia adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang tidak boleh dielakkan sama sekali.

Keputusan Kabinet menyelesaikan penstrukturan air Selangor sudah ditangguhkan dari Mei ke Oktober 2017, dan kini ditangguhkan ke hujung 2018.

Penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan menimbulkan dua persoalan. Adakah ia permainan politik bagi membuatkan pengguna di Selangor menderita dan memalukan Kerajaan Negeri Selangor menjelang pilihan raya umum? Atau ia sebenarnya tanda bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai masalah kewangan?

Laporan terbaru The Straits Times (16/2/2018) mendedahkan jumlah faedah hutang yang perlu dibayar Kerajaan Persekutuan mencecah RM31 bilion, menyamai kutipan cukai pendapatan atau dua pertiga kutipan GST dan lebih dua kali ganda jumlah berkenaan sudah dibayar pad 2009. Kerajaan Persekutuan kini mengambilalih hutang 1MDB yang jumlahnya kira-kira RM42 bilion. Adakah Putrajaya tidak cukup wang bagi melaksanakan dasar air kebangsaan dan menyelesaikan penstrukturan air? Putrajaya perlu menjawabnya.

Drama terbaru oleh Kerajaan Persekutuan berhubung isu air ialah cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mahu mengalirkan air dari Putrajaya ke Kuala Lumpur untuk pembekalan, atas alasan tidak boleh bergantung harap dengan Selangor. Sejak dahulu, Selangor membekalkan air untuk Kuala Lumpur dan Putrajaya dan jika mereka membantu Selangor, mereka juga akan membantu Wilayah Persekutuan.

Jika Kerajaan Persekutuan menyokong cadangan Tengku Adnan yang bermotifkan politik, maka jelaslah penangguhan pembiayaan penstrukturan air Selangor adalah sebab politik dan mahu menganaktirikan Selangor dan pengguna.

Jika Persekutuan tidak membiayai penstrukturan air Selangor atau pun cadangan Tengku Adnan, maka ia bermakna Persekutuan berhadapan masalah kewangan meruncing. Kerajaan Persekutuan perlu telus berhubung penangguhan penyelesaian penstrukturan semula, sama ada mahu memainkan isu itu untuk pilihan raya umum, atau mahu melindungi hakikat Kerajaan Persekutuan tidak mampu membiayainya.

BN bimbang kedudukan Selangor sebagai negeri contoh, yang menunjukkan bagaimana Putrajaya akan diurus sekiranya Pakatan mengambilalih. Ia adalah sebab mengapa pelbagai usaha dibuat untuk menafikan kejayaan dan pencapaian Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor bertindak atas kepercayaan rakyat berpandukan dasar hasil negeri dikembalikan kepada rakyat. Air adalah hak dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

YIN SHAO LOONG
Pengarah Komunikasi Strategik
Pejabat Menteri Besar Selangor

2 comments: