Monday, March 5, 2018

"Kalau kerjasama dengan kafir jadi kafir, PAS jadi apa apabila tolong Umno menang?"

Kuok tidak langgar undang-undang jika sokong pembangkang
TMI · Diterbitkan pada 5 Mar 2018 2:00PM
Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad mendakwa sesiapa yang didapati menyokong pembangkang akan diganggu oleh kerajaan yang menghantar agensi tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2018

DR Mahathir Mohamad berkata Umno bersikap berat sebelah kerana berang terhadap hartawan Malaysia Robert Kuok yang dituduh membiayai DAP.

Walhal, parti kerjaan itu sanggup menerima sumbangan dari sumber kontroversi, kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam tulisan di blognya hari ini.

Katanya pihak yang menyokong parti pembangkang malah diganggu oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan penyiasat anti-rasuah, sedangkan sumbangan kepada akaun Perdana Menteri Najib Razak tidak pernah disiasat.

"Ternampak marah sungguh Umno kepada Kuok kerana kononnya ia menghulur bantuan wang kepada DAP. Undang-undang manakah yang dilanggar oleh Kuok? Setakat yang saya tahu siapa sahaja boleh bantu mana-mana parti politik.

"Tetapi sekarang bantu Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh. Curi duit untuk pilihan raya pun boleh. Tetapi parti lawan tak boleh terima derma pun," kata bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata Putrajaya mengarahkan LHDN dan agensi anti rasuah kepada mereka yang menyokong parti pembangkang, memaksa mereka "membayar cukai pendapatan tambahan, yang salah di sisi undang-undang, dan menuduh mereka melakukan pengubahan wang haram walaupun tiada bukti".

"Tetapi duit 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun Najib yang dikatakan derma daripada orang tidak disiasat, tidak dituduh salah. Sebaliknya AG (peguam negara) dakwa tidak ada salah laku oleh Najib," katanya, merujuk kepada firma pelaburan negara  1Malaysia Development Bhd.

Pada Ogos tahun lalu, LHDN dilaporkan menyerbu pejabat milik tiga anak lelaki Dr Mahathir, Mokhzani, Mirzan dan Mukhriz pada hari yang sama. 

Dr Mahathir sebelum ini turut mendakwa rakannya dan mereka yang berkaitan dengannya diganggu oleh kerajaan, termasuk menerusi LHDN. 

Salah seorang daripada rakannya, ahli perniagaan Lee Kim Yew, yang mendakwa beliau disiasat di bawah undang-undang jenayah dan bukannya undang-undang sivil. 

"Sekarang Expo diadakan oleh Umno seluruh negara dengan rumah dan motorsikal sebagai hadiah nombor bertuah. Diadakan apabila pilihan raya dekat menjadikan agihan ini satu jenis rasuah. Tetapi tidak ada siasatan oleh SPRM atau polis.

Katanya, wang kerajaan yang diraih melalui cukai seperti GST digunakan untuk membeli undi rakyat Malaysia dan ia tidak mengapa untuk rakyat mengambil balik wang berkenaan, tetapi jangan bagi undi kepada Barisan Nasional. 

Tambahnya, jelas sekali PAS menerima duit daripada Perdana Menteri Najib Razak dan juga memecahkan undi untuk Umno menang pada pilihan raya umum akan datang. 

"Kalau kerjasama dengan kafir jadi kafir, PAS jadi apa apabila tolong Umno menang?" soalnya. – 5 Mac, 2018.

2 comments:

  1. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin (mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

    ini tm pemimpin mesti islam

    ReplyDelete
  2. Ayat tersebut..bukan bermaksud utk ahli parlimen..kerana ahli parlimen hanya bekerja membuat dasar ketajaan sahaja dan bukannya pemimpin mutlak sebagaimana maksud ayat suci al quran tersebut.

    ReplyDelete