Monday, March 5, 2018

Isu Equanimity: Salleh kata tak jejas sokongan pada BN

Equanimity tak jejas sokongan pada BN
mk  |  Dikemaskini 5 Mac 2018, 8:52 malam
Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno yakin sokongan rakyat kepada BN tidak akan terjejas walaupun parti itu berdepan isu kapal mewah Equanimity.

Kata Datuk Seri Salleh Said Keruak walaupun isu kapal itu dikaitkan dengan kerajaan beliau yakin BN akan tetap mendapat kepercayaan majoriti pengundi kerana gabungan berkenaan terbukti membawa kestabilan kepada negara ini.

Katanya seperti biasa BN pula akan memberi fokus untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai apa yang sudah dilakukan, selain meyakinkan pengundi bahawa gabungan berkenaan dapat membuka banyak peluang pendidikan, ekonomi dan pekerjaan.

“BN tidak akan terlibat dalam kempen negatif sama sekali.

"Tanggungjawab kami adalah untuk menjelaskan perkara sebenarnya,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Salleh yang juga menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum itu ditanya mengenai potensi BN yang akan berdepan dengan cabaran pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Mengikut penggal sedia ada kerajaan sekarang mempunyai mandat sehingga Jun ini sebelum parlimen terbubar secara automatik. PRU kemudian mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu.

Isu tak berbangkit

Pada 28 Feb lalu polis Indonesia yang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyita kapal mewah Equanimity di Teluk Benoa, Bali.

Kapal persiaran itu dikaitkan dengan Jho Low. Ahli perniagaan kontroversi kelahiran Pulau Pinang itu pula sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan salah laku dana 1MDB.

Salleh pada 2 Mac menegaskan tiada bukti menunjukkan kapal itu bukan milik Jho Low.

Beliau yang juga bendahari agung Umno berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan fakta yang ada setakat ini.
Kata Salleh BN memang menjangkakan pembangkang akan menggunakan isu Jho Low dan Equanimity untuk meraih undi pada PRU ke-14 nanti.

Keadaan itu, katanya, berlaku walaupun Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali sudah mengesahkan tiada penyelewengan atau salah laku membabitkan dana 1MDB.

“Kita patut ingat, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai tindakan yang sepatutnya seperti pelan rasionalisasi dan nampaknya ia berjaya ketika ini.

"Jadi (isu kapal layar) tak berbangkit sama sekali pada saya,”katanya.

Kapal layar itu ditahan di Bali dan menjadi buruan pihak berkuasa AS sejak 2015 dan disyaki bersembunyi di Indonesia.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) mahu merampas kapal itu sebagai sebahagian daripada pelucuthakan aset yang didakwa diperolehi menggunakan dana yang disalah guna daripada 1MDB.

Kapal yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dilaporkan telah dibina khas untuk ahli perniagaan Malaysia, Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - pada tahun 2014 dengan harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion).

Jho Low melalui jurucakapnya menyifatkan DOJ bertindak keterlaluan kerana meneruskan pelucuthakan aset dan berkata dakwaan yang dibuat badan itu lemah dan bermotif politik.

Berkaitan: Equanimity: M'sia tak hubungi kami, kata polis Indonesia

* Aku rasa apa yang dia kata ni berdasarkan anggapan dia rakyat tak faham hal ehwal luar dan dunia. Jadi padanya majoriti rakyat tidak akan peduli asalkan dapat BR1M

No comments:

Post a Comment