Wednesday, March 21, 2018

Cambridge Analytica dan SCL Group: Pembangkang mahu polis, SKMM siasat dan Mukhriz tak kenal

Pembangkang mahu polis, SKMM siasat firma manipulasi pilihan raya
TMI · Diterbitkan pada 20 Mar 2018 5:08PM
Rakaman sulit itu merupakan sebahagian daripada siasatan Channel 4 News ke atas Cambridge Analytica, yang menyiasat penglibatan firma tersebut dalam kempen pilihanraya 2016 melibatkan Presiden AS, Donald Trump. – Gambar Youtube, 20 Mac, 2018

PKR menuntut polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyiasat firma data raya Cambridge Analytica dan syarikat sekutunya, SCL Group berhubung penglibatan dalam manipulasi pilihan raya di Malaysia.

Pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil berkata Najib Razak yang pengerusi BN perlu menjelaskan penglibatan firma terbabit sebagai perunding politik bagi parti kerajaan itu.

Beliau menggesa demikian kerana Cambridge Analytica serta terlibat dalam aktiviti politik yang mungkin mempunyai elemen jenayah dan didakwa menyalahguna data peribadi pengguna Facebook.

“(Oleh itu) saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk membuka siasatan terhadap kedua-dua entiti ini pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Najib perlu menjelaskan mengenai penglibatan firma berkenaan, yang kini diharamkan dari Facebook atas kesalahan melanggar dasar pengguna platform media sosial tersebut.

“Jika wujud sebarang kontrak di antara Umno-BN dengan syarikat ini, demi demokrasi dan kebaikan orang ramai, saya mohon Najib untuk mendedahkannya,” kata Fahmi lagi.

Eksekutif kanan Cambridge Analytica mendedahkan bahawa firma tersebut membuat kerja pilihan raya di Malaysia.

Pengarah urusan CA Political Global, Mark Turnbull mendedahkan demikian kepada seorang wartawan stesen televisyen United Kingdom, Channel 4 yang menyiasat kes tersebut tahun lalu.

Ia dilakukan sebagai tersembunyi dengan menggunakan syarikat yang tidak aktif di Mexico, Malaysia dan Brazil, lapor Reuters.

Pengakuan itu dimuat dalam satu video yang dirakam secara sulit oleh Channel 4.

Di laman webnya, firma tersebut menyifatkan usahanya di Kedah sebagai "kempen yang berjaya" apabila BN "menang besar" dengan meraih 21 daripada 36 kerusi negeri dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen.

Hasil dari kempen tersebut, BN berjaya memenangi semula Kedah dari Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, menurut firma itu lagi.

Tuntutan sama turut disuarakan pemimpin strategi Bersatu Dr Rais Hussein yang mahu Najib menjelaskan mengenai penglibatan Cambridge Analytica dalam pilihan raya di Malaysia. 

“BN perlu tampil secara terbuka dan mendedahkan sama ada mereka mengupah syarikat mencurigakan ini untuk mempengaruhi pilihan raya dalam negara,” katanya.

Laporan Channel 4 News turut merakam pengakuan Turnbull bahawa firma itu melakukan pelbagai cara untuk memanipulasi pilihan raya di negara terlibat, termasuk melakukan rasuah, menggunakan wanita sebagai umpan dan khidmat bekas perisik.

Rakaman sulit itu merupakan sebahagian daripada siasatan Channel 4 News ke atas Cambridge Analytica, yang menyiasat penglibatan firma tersebut dalam kempen pilihanraya 2016 melibatkan Presiden AS, Donald Trump.

Rais berkata, firma tersebut berbahaya kerana menunjukkan kemampuan untuk menjalankan operasi seperti memerangkap ahli politik. 

“Dan siapa yang menggunakan (khidmat) mereka di negara ini? BN perlu menjawab soialan ini kerana ia sangat membimbangkan kami semua.

“Kami tidak mahu negara ini menjadi medan tempur askar upahan,” kata Rais.

Seorang lagi pemimpin strategi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menuntut Najib menyatakan jumlah bayaran yang dbuat kepada firma terbabut.'

Ini memandangkan firma itu sendiri sudah mengakui terlibat dengan kempen untuk kemenangan BN di Kedah dalam pilihan raya umum 2013, katanya.

“Najib dengan segera perlu menjelaskan berapa banyak yang dibayar kepada Cambridge Analytica dan apakah kerja sebenar yang dilakukan untuk Umno,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan kebimbangan jika firma itu turut melancarkan kempen berhaluan kanan untuk kemenangan Umno.

Ini kerana, firma itu berpengalaman membantu kempen presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan memanipulasi data untuk mensasarkan iklan dengan sentimen berhaluan kanan kepada pengguna tertentu di Facebook.

Antara pelabur terbesar firma tersebut adalah bilionair Robert Mercer yang membuat sumbangan besar untuk kempen Trump dan organisasi berhaluan kanan lain di AS.

“Tidak kiralah betapa terdesakpun Najib mahu kekal berkuasa, beliau tidak harus menggunakan taktik yang memecah belah dan tidak beretika dengan memanipulasi sentimen berhaluan kanan dan agama etnik di Malaysia,” kata Wan Saiful lagi. – 20 Mac, 2018.

Mukhriz kata tak kenal, tak terlibat dengan Cambridge Analytica
Yasmin Ramlan · Diterbitkan pada 20 Mar 2018 5:08PM
Mukhriz Mahathir bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa firma tersebut diupah oleh Barisan Nasional (BN) di peringkat tertinggi dalam kempen BN semasa pilihan raya umum 2013. Tegasnya, segala kemenangan yang diraih oleh BN Kedah dalam pilihan raya tersebut adalah atas usaha pasukan parti pimpinannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 20 Mac, 2018

BEKAS menteri besar Kedah, Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak tahu menahu mengenai pembabitan firma penganalisis data Cambridge Analytica dalam kempen Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya umum 2013.

Tegasnya, segala kemenangan yang diraih oleh BN Kedah dalam pilihan raya tersebut adalah atas usaha pasukan parti pimpinannya.

"Saya tak pernah kenal dan tak pernah terlibat pun dengan Cambridge Analytica (CA) ini. Bila berita itu mula dilaporkan, barulah saya dapat tahu mengenai nama syarikat itu dan kononnya dia mengaku yang dia pernah buat kerja untuk BN di Kedah.

"Masa tu saya mengetuai jentera pilihan raya BN Kedah masa PRU13 lepas, kemenangan kami adalah strategi dan taktik yang kami pakai untuk tewaskan kerajaan PAS ketika itu tapi tak pernah sekali pun kami dihubungi oleh CA ini.

"Jadi dan apa juga yang kami lakukan atas inisiatif sendiri dengan idea di kalangan usaha sendiri tanpa bantuan daripada CA," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau yang mengetuai jentera BN dalam pilihan raya itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa firma tersebut diupah oleh parti tersebut di peringkat tertinggi.

“Kalau ada pun, mungkin syarikat itu jadi perunding di ibu pejabat (BN),” katanya lagi ketika dihubungi The Malaysian Insight hari ini.

Mukhriz juga mengesyaki bahawa firma tersebut mungkin terlibat dalam kempen memburuk-burukkan Pakatan Harapan (PH) pada masa kini.

Jelasnya, ia berdasarkan pemerhatiannya ke atas bahan kempen dalam media sosial yang menakut-nakutnya pengundi untuk menolak DAP

“Situasi sekarang ini (terdapat) video yang memihak kepada Umno-BN, menakut-nakutkan pengundi (bahawa) DAP akan berkuasa jika PH menang.

“(Strategi kempen) ini seolah-olah sama seperti taktik yang digunakan berdasarkan kegiatan CA di Amerika Syarikat,” kata Mukhriz yang menjadi menteri besar Kedah dari 2013 hingga 2016.

Beliau merujuk kepada operasi CA dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat 2016 yang didakwa melibatkan penyebaran maklumat palsu dan berbaur perkauman kepada pengguna sasaran di media sosial.

“(CA) timbulkan persepsi tidak berasas mengenai pihak yang bertanding bagi pihak yang menggunakan perkhidmatan mereka ini. 

“Sekarang ini bila saya tengok video yang dikeluarkan, yang memihak kepada Umno dan BN, ia seolah-olah menggunakan taktik yang sama,” katanya lagi.

Mukhriz ditanya mengenai penglibatan firma Cambridge Analytica dalam pilihan raya 2013 memandangkan firma itu menyatakan bahawa kempen mereka berjaya sehingga memberi kemenangan kepada BN di negeri Kedah.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula menganggap, dakwaan firma berkenaan dalam pilihan raya di Kedah pada 2013 itu juga mungkin hanya kenyataan “berlagak”

Laporan The Malay Mail Online menyebut, ketua pegawai operasinya, Mazlan Ismial berkata kenyataan itu mungkin dibuat untuk meraih kepercayaan pengguna ke atas firma berkenaan.

“Mungkin untuk mendapat keyakinan ramai, mereka berkata sesuatu ... Tetapi tidak apa, kami boleh semak,” katanya seperti dipetik portal tersebut. – 20 Mac, 2018.

No comments:

Post a Comment