Wednesday, March 21, 2018

Benarkah RELA tak perlu 'dedak'?

Ini tanggapan atau memang pendirian majoriti anggota Rela?
Di kala semua orang gilakan 'dedak' termasuk orang dok laungkan agama sekali pun lemas dalam 'dedak', takkan anggota Rela dengan elaun yang ciput tak nak dan tak perlukan dedak?

Terima kasih Najib, RELA tak perlu 'dedak'
Amran Ahmad Noor  |  Dikemaskini 20 Mac 2018, 10:17 pagi
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengumumkan kenaikan elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daripada RM6 kepada RM8 sejam.

Daripada membiarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri umumkan, Najib sendiri mahu melakukannya kerana beliau turut umumkan kenaikan elaun pegawai RELA daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam.

Selain itu, Najib juga menambah peruntukan RM20 juta untuk pembelian pakaian seragam baru buat anggota dan pegawai RELA.

Jadi, sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Najib tambah elaun RM2 sejam untuk anggota dan pegawai RELA selain berikan pakaian seragam baru buat mereka yang kini berjumlah 3 juta sukarelawan.

Khabarnya, media milik Umno dengan pantas menyiarkan berita yang menyorot pendapat rata-rata anggota RELA cukup bersyukur dan gembira dengan pemberian tersebut walaupun ramai juga yang melihatnya sebagai gula-gula PRU14.
Ia menjadi 'gula-gula' kerana Najib berjanji untuk 'memberi' lebih banyak lagi jika BN kekal memerintah Putrajaya dengan berjaya mengalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan geng dalam Pakatan Harapan pada PRU14.

Wajar jika ada anggota RELA yang mahu berterima kasih dengan pemberian tersebut kerana ia sedikit sebanyak mampu untuk membantu mereka mendepani kenaikan harga barang dan kos sara hidup semenjak sistem GST diperkenalkan.

Sama seperti rakyat lain daripada semua jenis pekerjaan dan juga mereka yang tidak bekerja, anggota RELA juga tidak terlepas daripada bebanan kenaikan kos sara hidup yang melonjak akibat GST dan penurunan nilai ringgit.

Untuk rekod, sejak 2012 hingga 2018, kerajaan telah menaikkan elaun anggota RELA sebanyak dua kali dengan jumlah keseluruhan RM4 untuk tempoh enam tahun atau setahun lebih enam puluh sen sahaja.
Persoalannya, cukupkah 'hadiah' tersebut jika dibandingkan dengan keperluan anggota RELA yang turut yang ditugaskan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone)?

Cukupkah elaun naik RM2 sejam dan pakaian seragam baru jika dibandingkan dengan risiko bertugas di banyak jabatan serta agensi kerajaan antaranya sebagai menggantikan tugasan polis bantuan?

Apa yang anggota RELA perlukan bukanlah sekadar kenaikan RM2 sejam atau pakaian seragam baru sahaja tetapi kebajikan para anggota RELA seharusnya dijaga sama seperti pekerja lain.

Anggota RELA yang majoritinya berbangsa Melayu perlu perlindungan semaksimum mungkin, terutama ketika menjalankan tugas-tugas menjaga keselamatan sama ada di atas jalan raya, perhimpunan di padang atau dewan serta semasa bencana alam.

Manfaat KWSP, Perkeso

Agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) perlu dilibatkan dengan aspek kebajikan para anggota dan pegawai RELA.

Saya ulang, jika diletakkan bawah KWSP, aspek kebajikan anggota RELA akan lebih terjaga dan meningkatkan peluang mereka mendapat kehidupan lebih baik menerusi beberapa skim seperti bantuan hilang upaya dan kematian, manfaat persaraan selain mendapat dividen atas simpanan yang dibuat.

Melalui Perkeso pula, anggota RELA boleh mendapat akses kepada skim bencana pekerjaan dan skim keilatan yang antara lain menawarkan pencen ilat, bantuan ilat, pencen penakat, faedah pengurusan mayat, program ‘Return To Work dan faedah pendidikan.

Dengan adanya caruman KWSP dan Perkeso, kebajikan para anggota RELA terutama mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap akan lebih terpelihara dan lebih ramai rakyat negara ini yang mungkin berminat untuk menyertai RELA.
Walaupun anggota RELA ialah mereka yang bekerja secara sukarela, ia tidak bermaksud mereka terhindar daripada sebarang risiko kecelakaan dan nyawa mereka tidak semahal anggota keselamatan lain seperti polis atau tentera.

Mereka juga manusia yang kebanyakannya telah berkeluarga, berniat murni untuk membantu memelihara aspek keselamatan dan ketenteraman negara dan layak untuk diberikan perlindungan serupa seperti kakitangan keselamatan yang lain.

Justeru, selain menambah elaun, adalah sangat wajar juga jika kerajaan dapat menimbang untuk melibatkan anggota RELA dengan skim-skim di bawah KWSP dan Perkeso agar bukan sahaja masa depan mereka lebih terjamin, minat untuk menyertai RELA akan lebih berdaya.

* AMRAN AHMAD NOR ialah Naib Pengerusi Biro Buruh DAP selepas menerajui Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan mantan naib pengerusi DAP.

1 comment:

  1. Mat Rela kebanyakan bodoh bodoh alang.. ngaji tak tinggi mana pun. Join Rela pun pasal teringin nak pegang kuasa boleh eksyen ngarah ngarah orang pastu kebulur elaun sekupang dua tu pasal kena pelembu dengan UMNO sejak azali. Ye ke dak dol Rela? Kah kah kah

    ReplyDelete